05 Jun 2008

Minyak naik dan naik minyak

Lebih kurang jam 5.30 petang semalam, tika sedang asyik menyiapkan satu perbincangan, tiba-tiba pejabat saya gempar dengan berita yang disebar melalui laman Malaysia Kini bahawa harga petrol akan naik pada bulan Ogos ini. Tak lama, dapat pula berita daripada satu akhbar harian online bahawa harga minyak akan naik mulai tengah malam. Gamat satu pejabat. Macam-macam reaksi yang rata-rata meluahkan kekecewaan.

Saya? Saya juga tak suka dengan kenaikan harga minyak ini tapi, apa yang boleh saya lakukan? Mahu atau tidak, terpaksa juga 'sami'na wa ata'na'. Cuma satu perkara yang terlintas di fikiran saya, moga-moga tidak menjejaskan keharmonian rumahtangga atau memporak perandakan rumahtangga yang sedia retak menanti belah.

Kenapa? Seperti pelbagai reaksi orang ramai yang diluahkan di dalam media elektronik pagi ini, kenaikan harga minyak adalah sinonim dengan kenaikan harga barang-barang lain di pasaran. Tambang bas sekolah, barang makanan dan macam-macam lagi. Bererti kos sara hidup makin meningkat. Berjimat? Kalau yang biasa hidup mewah dan kaya raya, mungkin boleh bertaubat. Bagaimana dengan golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah? Kalau sama-sama memahami, alhamdulillah dan insyaAllah, boleh diatasi bersama-sama. Tapi...bagaimana dengan para isteri yang banyak bersabar dengan kerenah suami yang asyik lupa tanggungjawab menampung keperluan keluarga?

Saya masih mengumpul maklumat, berapa peratuskah suami yang membiayai keperluan rumahtangga sepenuhnya tanpa bantuan isteri walaupun isteri bekerja? Rata-rata suami dibantu oleh isteri, syukur alhamdulillah. Dah nama pun perkongsian. Yang membimbangkan saya ialah rumahtangga yang kebanyakan perbelanjaan ditanggung oleh isteri disebabkan kelalaian suami. Sabar manusia ada batasnya dan tak mustahil bila minyak naik, ramai juga yang naik minyak.

Pesanan saya kepada para suami yang masih 'tidur', jangan sampai anda gigit jari kerana kehilangan isteri...

#Dah sertai Kelab Bersama Suzana? Maklumat lanjut klik sini .

1 ulasan:

abiumar berkata...

Salam...

Tahniah atas ulasan yang menarik. Tq