30 Jun 2008

Jangan pendam luka perasaan

Malam tadi, sambil melayan anak-anak bermain, saya sempat melayan satu cereka di TV9. Saya tak pasti apa tajuknya tetapi ada satu babak yang membuatkan saya berminat nak tau apa kesudahannya. Cereka tersebut berakhir dengan si gadis bernama Ana berubah watak menjadi gila dan terpenjara, sama seperti yang saya jangka.

Saya bukan penilai drama, saya juga bukan penulis skrip cereka. Namun, cereka tersebut memberikan satu pengajaran yang jelas: "Jangan pendam luka perasaan anda sendirian. Luahkannya kepada seseorang yang boleh anda percayai. Berhati-hati juga dalam berkorban. Ada tika dan masanya anda perlu fikirkan diri sendiri juga dan bukan orang lain semata-mata walaupun orang itu adalah ahli keluarga anda."

Mengambil teladan daripada kisah Ana; Dia adalah gadis kampung yang tinggal bersama ibu dan kakaknya. Si kakak membawa diri ke bandar setelah malu kerana menolak pinangan seorang pemuda baik di kampung. Ana pula beperwatakan sedikit pendiam dan suka menyimpan perasaan. Ana sanggup menuruti kehendak ibunya agar berkahwin dengan pilihan ibunya semata-mata kerana si ibu tidak sanggup lagi menjadi bahan bualan orang kampung apabila mempunyai dua anak dara tua yang selalu menolak pinangan. Ana tidak bahagia namun semuanya dipendamkan sendirian dan akhirnya Ana menjadi gila dan dipenjarakan kerana mencederakan kakaknya.

Mungkin ada yang beranggapan, itu hanya kisah drama. Ya, saya akui tetapi kisah-kisah sebegini telah wujud di dunia nyata. Ingat lagi dengan kisah ibu yang menjerut leher anak-anaknya dengan wayar sterika? Ada ibu yang memberi anak-anaknya minum peluntur sebelum dia sendiri akhirnya membunuh diri? Macam-macam kisah lagi yang jika diselidiki, ianya berpunca daripada kemurungan berpanjangan yang puncanya dicetuskan oleh suami dan insan lain sekeliling. Mengikut logik akal, takkan ada ibu yang sanggup mencederakan anaknya sendiri tetapi perlakuan melanggar kewarasan akal tersebut boleh berlaku apabila fikiran dan minda tidak mampu dikawal lagi gara-gara kerunsingan, keserabutan dan tekanan yang melampau.

Kenapa? Apabila fikiran tidak tenang, serabut dan tertekan, tika inilah syaitan akan cuba menguasai. Bukan saja syaitan malah nafsu yang ada di dalam diri kita juga akan cuba mengawal. Ramai yang tak tau, di dalam diri kita telah dimasukkan nafsu (bukan nafsu seksual yer) yang amat jahat bahkan lebih jahat daripada syaitan.

Syaitan hanya enggan tunduk kepada Nabi Adam apabila merasakan diri lebih hebat kerana dijadikan daripada api sebaliknya Adam hanya dicipta daripada tanah. Nafsu pula lebih berani apabila enggan mengakui Allah itu penciptanya. Setelah dihumban beberapa kali ke dasar api neraka, barulah nafsu mengakui bahawa Allah itu Tuhan dan penciptanya. Nafsu itulah yang Allah masukkan ke dalam diri kita. Bersama dengan itu, Allah kurniakan pula nikmat iman untuk kita mengawal nafsu tersebut.

Iman bererti antaranya kita percaya kepada-Nya, bersyukur dengan segala kehendak-Nya. Namun, bersyukur bukan bereti kita berserah semata-mata dengan segala takdir-Nya. Bersyukur bermaksud kita berusaha mencari jalan keluar daripada segala ujian yang diberikan kepada kita. Jalan keluar takkan anda perolehi sekiranya anda menyimpan dan memendam segalanya sendirian. Bukan sahaja masalah tidak boleh diselesaikan malah anda akan menghadapi tekanan yang lebih.

Ya, betul! Hal suami isteri adalah rahsia dan tidak boleh diceritakan kepada orang lain. Jangan pendek akal, rahsia camana pun masih ada rukhsah atau pengecualian. Hatta anda boleh ceritakan tentang kisah di atas katil anda sekiranya keadaan tersebut perlu dan yang penting, pastikan anda meluahkan kepada yang berhak, yang boleh anda percayai untuk membantu anda menyelesaikan masalah anda.

Luahkan segala masalah, bukan meluahkan kepenatan anda menghadapi masalah. Saya pernah menerima sms meminta saya hulurkan bantuan. Bantuan yang bagaimana perlu saya berikan jika anda tidak menjelaskan segalanya?

Saya merayu kepada semua wanita, luahkanlah masalah anda. Jangan dipendam, nanti akan menambahkan kekusutan. Carilah kekuatan yang tersembunyi di dalam diri, anda pasti mampu menghadapi segala ujian ini kerana anda adalah yang terpilih. Sesungguhnya Allah memberikan ujian kepada anda kerana Dia tahu, anda mampu hadapinya. Bukan berseorangan tetapi boleh berteman. Jika rasa sukar percayakan orang sekeliling anda, hubungilah saya. Anda juga boleh sertai kelab saya insyaAllah, kita akan sama-sama membantu anda hadapi segala permasalahan anda.

Yang penting, LUAHKAN DAN JANGAN PENDAM SENDIRIAN.

Tiada ulasan: