16 Februari 2009

BUATMU WANITA bakal dilancarkan

MAJLIS PELANCARAN BUKU

'BUATMU WANITA'

Tarikh : 22hb Februari 2009 (Ahad)


Masa : 10am-11.30am

Tempat : Work From Home Centre, C-12-3A, Tgkt 12,
Wisma Goshen, Plaza Pantai,
Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur
(berdekatan stesyen LRT Kerinchi)


Perasmian oleh : Wakil Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat.

SEMUA DIJEMPUT HADIR.
PENYERTAAN PERCUMA.
CABUTAN BERTUAH
BERUPA SEBUAH BUKU BUATMU WANITA
SETIAP SEORANG
MENANTI ANDA.


----------------------------------------------------------------------



"Bismilla hirrahma nirrahim. Alhamdulillah syukur kepada Allah yang Maha Kuasa, setelah melalui pelbagai ujian dan rintangan, akhirnya saya berjaya juga menyediakan catatan fakta khusus berkaitan kehidupan seorang wanita.

Saya gembira kerana hasrat saya untuk berkongsi ilmu tentang hak-hak wanita di dalam perkahwinan dan rumahtangga serta bagaimana caranya untuk memperolehi hak-hak tersebut, akhirnya dimakbulkan oleh-Nya. Bukan sahaja saya akan ketengahkan peruntukan undang-undang dan hukum syarak malah saya juga akan kemukakan kes-kes yang pernah saya kendalikan sebagai teladan dan pengajaran untuk semua.

Jangan salah sangka!! Fakta-fakta yang terkandung di dalam buku ini adalah sesuai untuk semua wanita: yang belum berkahwin, yang sedang bertunang, yang telah lama berumahtangga atau yang sedang menghadapi ujian di dalam rumahtangga. Paling istimewa, huraian fakta di dalam buku ini juga turut bermanfaat kepada kaum lelaki sama ada yang bernama teman, tunang atau pun suami dan bekas suami. Kenapa sesuai juga untuk lelaki? Kerana anda perlu ketahui hak wanita bagi menjadikan anda benar-benar seorang pencinta wanita sejati.

Saya tau, telah banyak buku-buku serupa di pasaran namun buku yang saya hasilkan ini berbeza daripada buku-buku yang ada. Ingin saya tegaskan, buku ini bukan semata-mata untuk bahan bacaan mereka yang bermasalah atau sedang merasai derita tetapi juga sesuai untuk mereka yang sedang bergembira mengecap bahagia hidup. Inilah janji yang saya ucapkan kepada Kak Sharah. Tika menerima panggilan telefon daripada beliau yang memberikan cadangan agar saya menghasilkan sebuah buku, saya merasakan seolah-olah mimpi saya mula menjadi realiti.

Saya memang bercadang untuk menghasilkan sebuah buku yang mampu menjadi bahan bacaan santai tetapi penuh fakta dan berguna untuk semua. Sebabnya, bacaan fakta dalam bentuk yang serius boleh menjadikan sebahagian pembaca merasakan mereka sedang bergelut dengan emosi dan minda.

Saya juga pernah berdepan dengan beberapa orang yang berpandangan, mengetahui hak atau mempunyai ilmu berkaitan perceraian, seolah-olah ‘badi’ yang akan memakan diri. Allahu akbar! Tolonglah jangan berpendirian sedemikian. Mempunyai ilmu bererti anda mempunyai pelbagai kelebihan, bukan mengundang malang. Hanya dengan ilmu, anda terutamanya wanita mampu menjadi perkasa dan tidak mudah diperkotak-katikkan.

Di samping fakta berharga, saya juga akan berkongsi dengan anda kisah-kisah mereka yang pernah berkongsi kisah dengan saya (hanya kisah, bukan pemilik kisah tersebut). Bukan saja kisah orang lain sebaliknya saya juga akan berkongsi kisah saya sendiri dengan anda. Bukan mengharapkan populariti, bukan juga untuk dihargai atau dikeji sebaliknya saya mengharapkan pengalaman saya selama bergelar Peguam Syarie kemudiannya sebagai Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie akan menjadi panduan dan pengajaran untuk semua.

Harapan saya agar, buku ini mampu memberikan manfaat untuk semua, insyaAllah!!"

- Petikan Prakata buku BUATMU WANITA





"Anda perlu baca buku ini!! Bukan arahan sebaliknya satu usul yang tak perlu dibahaskan lagi!

Buku ini menghuraikan segala fakta yang relevan dan sinonim dengan kehidupan seorang wanita: bermula sebagai seorang anak kemudiannya bergelar tunangan orang, dikahwinkan dan memegang gelaran seorang isteri, ada yang diuji dalam perkahwinannya dan terpaksa mencari jalan penyelesaian. Secara ringkas dan mudah, buku ini memberikan anda segala fakta yang perlu anda tahu sepanjang anda menjalani kehidupan tersebut.

Banyak kisah hidup orang lain yang boleh anda jadikan iktibar dan pengajaran kerana pengalaman sama ada daripada sesiapa juga, adalah sekolah kehidupan yang paling tinggi harganya. Baca, penuhi minda dengan ilmu berguna, insyaAllah anda takkan menyesal."


- Petikan 'back cover' buku BUATMU WANITA

1 ulasan:

Bawang Goreng berkata...

Tahniah! Lama saya nantikan buku puan, kalau tak silap dari pertengahan tahun lepas puan ada beritahu ttg penerbitan buku ini...

Insya Allah, saya akan menghadirkan diri. Kalau tak kena cabutan bertuahpun, saya akan beli dan nanti minta autograf ek!