Tujuan sebenar saya bukan nak tayangkan foto-foto ini sahaja sebaliknya nak menyatakan penghargaan saya kepada Puan Fauziah, Pengusaha dan Pengetua Tadika Idealis di atas usaha beliau menganjurkan sukan ini yang bukan hanya mampu menceriakan pelajar dan guru-guru sebaliknya membantu merapatkan hubungan kasih sayang suami isteri iaitu ibu bapa kepada para pelajar.
Saya yakin, anda semua faham kenapa saya katakan sukan tersebut membantu merapatkan hubungan kasih sayang suami isteri kan? Terus terang, pertama kali saya berjumpa dengan sukaneka kerusi muzik berpasangan. Melucukan tetapi penuh kasih sayang. Anak-anak riuh bersorak memberi sokongan kepada ibu bapa masing-masing. Satu suasana yang amat ceria dan gembira.
Suasana sebeginilah yang diperlukan oleh anak-anak. Anak-anak bukan perlukan suasana disiplin yang keras sebaliknya penuh kasih sayang, perhatian, tolak ansur, kerjasama dan ceria. Anak yang sentiasa melihat kegembiraan, keceriaan, kerjasama dan kasih sayang antara kedua ibu bapanya akan membesar dengan penuh kasih sayang juga, jiwanya akan tenang, mudah untuk fokus kepada pembelajaran.
Sebaliknya anak yang sering melihat atau mendengar percakaran dan pergaduhan ibu bapa, mindanya akan serabut, kusut, terganggu dan kacau bilau. Saya pernah menerima beberapa kes berkaitan antaranya seorang remaja berusia 16 tahun dari utara tanahair yang tertekan kerana ibu bapanya sering bergaduh hingga tidak dapat memberikan tumpuan kepada pelajaran. Remaja tersebut juga serba salah apabila terpaksa memilih satu antara dua: ibu atau bapanya, sedangkan dia menyayangi kedua-duanya.
Itu cuma satu kes. Banyak lagi kes lain yang agak serupa. Saya faham, bak lirik lagu P.Ramlee, sedangkan lidah lagi tergigit... cuma satu saya mohon, jangan bergaduh di depan anak-anak. Sekeruh mana pun keadaan, cuba untuk bersikap seperti biasa di depan anak-anak. Jangan libatkan anak-anak di dalam kemelut masalah anda.
Sekiranya masalah tidak dapat dibendung lagi, keluarlah daripada perkahwinan. Jangan jadikan anak-anak sebagai alasan sedangkan hakikatnya anda menambahkan beban kepada anak-anak sendiri. Ada tikanya perceraian adalah lebih baik dan cakaplah dengan baik mengenai hakikat tersebut kepada anak-anak. Jika betul terjadi perceraian, jangan halang hubungan anak-anak dengan pasangan anda.
Ingatlah! Anak-anak adalah amanah Allah kepada anda. Jagalah mereka dengan baik. Jika anda tidak berusaha mengukir keceriaan di wajah mereka hari ini, anda akan sukar melihat keceriaan di wajah mereka pada masa akan datang.
Lantas, wujudkanlah suasana ceria demi anak-anak tercinta....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan