24 Julai 2008

Hak isteri yang diceraikan

Seseorang bertanyakan kepada saya tentang pendapat yang diperolehinya menerusi satu forum di internet; benarkah menurut Islam, seorang bekas suami bertanggungjawab ke atas bekas isterinya hinggalah bekas isteri tersebut berkahwin?

Saya tak pasti siapa yang memberikan pendapat tersebut atau ruangan forum mana yang menyiarkannya. Yang membuatkan saya berminat untuk menceritakan mengenai persoalan tersebut ialah pendapat tersebut tidak benar sama sekali. Saya mohon kepada semua pelayar web agar berhati-hati dengan setiap info atau maklumat yang anda perolehi. Jangan sampai anda memperolehi maklumat yang salah.

Sebenarnya, seorang wanita yang diceraikan oleh suami berhak mendapat nafkah eddah, mut'ah, harta sepencarian, nafkah tertunggak (jika ada) dan tuntutan hutang (jika ada) di samping berhak mendapatkan hak hadhanah atau jagaan anak dan nafkah anak-anak. Sinonim dengan namanya nafkah eddah, sudah pastilah ianya bermaksud nafkah hanya di dalam tempoh eddah. Tempoh eddah pula bergantung kepada keadaan isteri semasa diceraikan.

Jika diceraikan dalam keadaan suci (bukan dalam keadaan haid) dan tidak hamil, tempoh eddahnya ialah tiga kali suci. Kalau rutin haid bekas isteri sekali pada setiap bulan, bererti tempohnya tiga bulan. Jika rutin haidnya sekali dalam dua bulan maka tempoh eddahnya ialah selepas tiga kali suci iaitu enam bulan.

Jika isteri diceraikan dalam keadaan haid, talak tetap berlaku dan sah walau hukum perceraian pada tika itu ialah haram. Eddah dikira bermula haid pertama selepas suci daripada haid ketika talak dijatuhkan. Islam mengharamkan perceraian dilafaz ketika isteri dalam keadaan haid adalah untuk mengelakkan isteri menjalani tempoh eddah yang lama.

Sama juga keadaannya jika isteri diceraikan dalam keadaan hamil. Hukum perceraian adalah haram tetapi talak dikira berlaku dan sah. Tempoh eddah bagi isteri yang diceraikan ketika hamil ialah selepas melahirkan anak yang dikandung. Larangan menceraikan isteri dalam keadaan hamil ialah kerana dibimbangi tempoh eddah yang lama. Contohnya isteri dicerai ketika baru sebulan hamil maka isteri perlu melalui saat-saat sukar bersendirian dan dalam waktu yang lama iaitu lebih lapan bulan sedangkan seorang wanita perlu mempunyai wali atau penjaganya.

Jumlah nafkah eddah pula bergantung kepada persetujuan setiap pihak dan biasanya dikira keperluan harian bekas isteri tersebut selama tempoh eddah. Apabila selesai tempoh eddah, suami tidak lagi bertanggungjawab ke atas bekas isterinya. Lantaran itulah, diperuntukkan pemberian mut'ah iaitu saguhati perceraian. Jumlah mut'ah bergantung kepada persetujuan setiap pihak. Isteri boleh menuntut jumlah yang dikehendaki, bekas suami berhak meminta pengurangan dan keputusan ditetapkan oleh hakim.

Harta sepencarian pula adalah pembahagian harta yang dikumpul sepanjang tempoh perkahwinan. Walaupun anda sebagai suri rumah, anda tetap berhak mendapat harta sepencarian iaitu kiraan 1/3 daripada jumlah harta. Suri rumah berhak kerana mengambil kira sumbangan isteri menjaga kebajikan suami hingga suami mampu mengumpul harta-harta tersebut.

Namun, tidak semua isteri yang diceraikan berhak mendapat nafkah eddah dan mut'ah. Isteri-isteri yang disabitkan nusyuz tidak berhak mendapat nafkah eddah. Mut'ah pula menjadi hak isteri yang diceraikan tanpa sebab yang berpunca daripada isteri. Sebagai contoh, perceraian dimohon oleh isteri kerana kegagalan suami menjalankan tanggungjawab, isteri masih berhak memohon mut'ah. Sebaliknya jika perceraian atas kehendak suami dan isteri menerima tetapi isteri adalah penyebab perceraian contoh gagal menunaikan tanggungjawab yang patut, isteri tidak berhak memohon mut'ah.

Mengenai hak jagaan anak, bekas isteri (ibu) mempunyai hak penuh ke atas anak-anak perempuan di bawah usia 11 tahun dan anak-anak lelaki di bawah usia sembilan tahun. Selepas usia tersebut, anak-anak akan disuruh memilih antara ibu atau ayah. Namun, hak ini bukan hak mutlak bererti boleh dicabar oleh suami berdasarkan alasan-alasan tertentu (akan saya terangkan nanti). Isteri yang mendapat hak jagaan anak berhak menuntut nafkah untuk anak-anak juga. InsyaAllah, akan ada penjelasan lanjut nanti.

1 ulasan:

Neija13 berkata...

Salam Puan, saya perlukan nasihat daripada puan berkenaan tuntutan2 hak bekas isteri ini... saya share dlm emel saya kepada puan..