Seseorang mengirimkan petikan emel seperti di bawah kepada saya:
...cuma saya dalam keadaan dilema di mana bolehkah saya menceritakan hal rumahtangga kepada orang lain? Kerana dalam Islam, kita diajar jangan buka aib suami dan jangan ungkit kebaikan diri sendiri. Saya benar2 keliru...
Saya yakin bukan pengirim emel ini sahaja malah ramai lagi yang keliru. Saya akui, rumahtangga adalah rahsia mutlak milik pasangan suami isteri. Mana-mana pihak yang sengaja mendedahkannya adalah berdosa.
Namun, terdapat pengecualian di dalam perkara kerahsiaaan ini iaitu hal-hal yang berkaitan dengan tanggungjawab dan hak pasangan terlibat. Contohnya, semua sedia maklum bahawa suami bertanggungjawab memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak. Sekiranya suami dengan sengaja gagal menjalankan tanggungjawab tersebut, isteri wajar meminta pendapat seseorang yang boleh dipercayai untuk menegur sikap suami sekiranya dia sendiri gagal mengubah sikap buruk suami.
Yang penting, rahsia tersebut diceritakan kepada yang boleh dipercayai untuk menyimpan rahsia anda dan boleh membantu anda mengatasi permasalahan tersebut. Islam adalah agama yang adil. Allah takkan menganiayai hamba-Nya dengan hukum dan peraturan yang ditetapkan-Nya.
Sebenarnya, menceritakan tentang hal pasangan adalah termasuk di dalam kategori mengumpat atau ghibah.
Di dalam satu hadis Rasulullah SAW: Ghibah ialah engkau menceritakan saudaramu tentang sesuatu yang ia benci.” Si penanya kembali bertanya, “Wahai Rasulullah, bagaimanakah pendapatmu bila apa yang diceritakan itu benar ada padanya ?” Rasulullah SAW menjawab, “Kalau memang benar ada padanya, itu ghibah namanya. Jika tidak benar, bererti engkau telah berbuat buhtan (mengada-adakan cerita -fitnah).”
(HR. Muslim, Tirmidzi, Abu Dawud, dan Ahmad).
Hukum asal bagi ghibah ialah haram hinggakan sesiapa yang melakukan perbuatan tersebut dikira sebagai memakan daging saudaranya sendiri. Namun, ulama menentukan pengecualian bagi beberapa keadaan antaranya orang yang mazlum (teraniaya) boleh menceritakan dan mengadukan kezaliman orang yang menzaliminya kepada seorang penguasa atau hakim atau kepada orang yang berkuasa memutuskan suatu perkara dalam keadaan menuntut haknya.
Hal ini dijelaskan dalam Al-Qur’an surat An-Nisa ayat 148 bermaksud: “Allah tidak menyukai ucapan buruk (yang diucapkan) dengan terus terang kecuali oleh orang yang dianiaya. Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Ayat ini menjelaskan bahawa orang yang teraniaya boleh menceritakan keburukan perbuatan orang yang menzaliminya kepada orang lain iaitu seseorang yang mempunyai kekuasaan, kekuatan dan mampu untuk menegakkan amar ma’ruf nahi munkar, seperti seorang pemimpin atau hakim atau pihak-pihak tertentu, dengan tujuan mengharapkan bantuan atau keadilan.
Orang yang teraniaya adalah termasuk para isteri yang tidak mendapat hak yang wajib sebagaimana yang ditetapkan oleh hukum Islam bererti anda boleh menceritakan perihal sikap suami anda itu. Seperti yang saya jelaskan di awal tadi, luahkan kepada seseorang yang boleh dipercayai dan boleh membantu anda mengatasi masalah tersebut.
Kepada mereka yang terpilih untuk berkongsi rahsia seseorang, tanggungjawab anda adalah untuk menyimpannya kemas dan tidak didedahkan kepada orang lain. Anda memegang amanah seseorang dan gagal menunaikan amanah bererti anda munafik!!
KHAS UNTUK ORANG UTARA: Saya akan berada di sekitar Sungai Petani dan Sik mulai 19hb hingga 21hb Julai ini. Jika anda berhajat untuk berjumpa dengan saya, boleh hubungi pembantu saya dan tetapkan temujanji.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan