Undian tentang siapakah yang memperuntukkan perbelanjaan bagi segala kos keperluan rumahtangga telah tamat beberapa hari yang lalu. Terima kasih kepada yang sudi mengundi. Walaupun sekadar 52 pengundi tetapi undian tetap boleh dikira sebagai undian rawak. Keputusan seperti yang boleh anda saksikan sebelum ini:
- Suami sepenuhnya 15%
- Suami dengan bantuan isteri 65%
- Isteri dengan bantuan suami 15%
- Isteri sepenuhnya 7%
Seperti yang selalu saya tegaskan, hidup berumahtangga adalah satu perkongsian. Walaupun suami yang dipertanggungjawabkan untuk menanggung segala keperluan rumahtangga, bukan bererti isteri tidak boleh membantu.
Yang menjadi masalah ialah apabila kewajipan seorang suami terpaksa dipikul oleh isteri atau lebih banyak dipikul oleh isteri (seperti kes ketiga dan keempat yang mewakili 15% dan 7%). Saya akui, peratusannya tak besar tetapi sewajarnya, kedua-kedua tersebut tidak berlaku. Malangnya, ia tetap berlaku dan seringkali alasan yang diberikan ialah suami tidak mampu. Dah kalau tak mampu, kenapa nak jugak jadi suami orang??
Ramai orang yang tak nak belajar tentang ilmu perkahwinan yang sebenarnya. Malah ketika kursus perkahwinan, perkara-perkara yang wajib dan perlu tahu jarang sangat diambil peduli malah kurang diberi penekanan. Sebagai contoh, tahukah anda hukum untuk berkahwin itu terbahagi kepada lima?
Anda dikira WAJIB berkahwin apabila anda tergolong dalam kumpulan mereka yang mampu dari segi fizikal dan kewangan. Sekiranya tidak berkahwin, takut terjerumus kepada maksiat zina.
Anda dikira SUNAT berkahwin apabila anda tergolong dalam kumpulan mereka yang mampu dari segi fizikal dan kewangan dan mempunyai keinginan untuk berkahwin. Sekiranya tidak berkahwin, tidak khuatir terlibat dengan zina.
Anda dikira HARAM berkahwin apabila anda tergolong dalam kumpulan mereka yang tidak mampu dari segi nafkah zahir dan batin, atau perkahwinan yang bertujuan untuk memudaratkan isterinya.
Anda dikira MAKRUH berkahwin apabila anda tergolong dalam kumpulan mereka yang tidak mampu memberi nafkah kepada isterinya tetapi berkeinginan untuk berkahwin.
Anda dikiran HARUS berkahwin apabila anda tergolong dalam kumpulan mereka yang tidak mempunyai sebab yang mendesak untuknya berkahwin, dan tidak pula mengharamkan dia berkahwin.
Di mana kelayakan anda untuk berkahwin? Ada di kalangan lelaki yang menyimpan hasrat, kahwinlah dengan gadis/wanita yang kaya raya, dapatlah tumpang kekayaannya. Jika dari awal lagi niat dah tak betul, bagaimana nak teruskan kehidupan berumahtangga dengan aman damai?
Berdasarkan kes-kes yang saya kendalikan hampir 70% melibatkan masalah kecuaian suami dalam menjalankan tanggungjawab yang perlu berkaitan nafkah zahir.
Walau hukum asal adalah makruh tetapi bila anda mengabaikan tanggungjawab hingga memberikan penderitaan dan penyiksaan kepada isteri dan anak-anak anda, hukumnya adalah berdosa. Ya! Rezeki ketentuan Ilahi tetapi dah kalau dari awal tak mampu dan tak der usaha nak mencari atau menambah rezeki, itu namanya 'cari pasal'.
Sekiranya para suami memahami hukum perkahwinan dan berusaha menjalankan tanggungjawabnya dengan sedaya upaya, statistik kes berkaitan akan dapat dikurangkan dan matlamat asal perkahwinan akan berjaya dicapai.
1 ulasan:
Salam,
Setuju dengan Pn Suzana. Saya sedang menjalankan poll yang sama di blog, setelah saya baca antara punca perceraian yang paling utama adalah soal kewangan (nafkah).
Mohon dipanjangkan artikel Puan ke blog saya nanti setelah tamat tempoh poll.
Seorang penunjung blog dari Indonesia memberi komen. Katanya, "Sangat mengejutkan. Saya ikut "pool" di blog anda. Hasilnya sementara ini menunjukkan yang memilih 100% tanggung jawab suami hanya 10%. Sedangkan yang menginginkan istri ikut menanggung nafkah adalah 90%. Dimana nilai kepemimpinan seorang lelaki? Seorang lelaki sejati tidak akan mengharapkan gaji istrinya untuk menanggung nafkah keluarganya, walaupun gaji si lelaki itu kecil. Nafkah dari istri adalah sedekah baginya, dan tidak masuk dalam perhitungan uang yang digunakan untuk membiayai keluarga. Jadi kaum lelaki sekarang ini berkahwin dengan seorang wanita berkerjaya dengan harapan wanita itu ikut membiayai keuangan keluarga. Sungguh membimbangkan."
Pihak berkuasa patut ambil pot tentang perkara yang mungkin dipandang remeh temeh tetapi memberi impak yang sangat besar kepada masalah masyarakat kita.
Catat Ulasan