Ramai yang dah tau baru-baru ini saya bercuti lama atas urusan penting di Kedah. Bila anda tengok foto-foto di atas, pasti anda dapat agak kenapa saya bercuti? Ya! Saya balik kampung (Sik) kerana Bapa saya menjalani pembedahan Hernia di Hospital Sungai Petani.
Semua adik-adik (kami lapan orang) juga balik hatta yang belajar di IPT. Mak dan Bapa memang melarang kami balik. Alasannya bukanlah teruk sangat tapi bagi saya dan adik-adik, takkan lah nak tunggu teruk atau nazak baru nak balik kan?!
Saya yakin, bukan saya dan adik-adik saja yang berpendirian sedemikian malah ramai lagi. Namun, tidak saya nafikan, ada juga kes anak-anak yang terlupakan ibu bapa masing-masing dek kerana kesibukan kerjaya dan menguruskan keluarga sendiri. Ada juga yang berpendirian, duit dah dikirim setiap bulan, cukup lah!
Ingat yer! Kebanyakan ibu bapa tak mengharapkan duit anda (sebab ada juga kes ibu bapa yang pentingkan duit) sebaliknya mengharapkan kunjungan dan perhatian anda. Tanyakan pada diri, bila kali terakhir anda mengunjungi ibu bapa anda? Bila kali terakhir anda mencium tangan dan pipi ibu bapa anda? Bila kali terakhir anda makan bersama ibu bapa anda? Bila kali terakhir anda berkomunikasi dengan ibu bapa anda? Semalam? Minggu lepas? Bulan lepas? Tahun lepas? Anda sendiri tau jawapannya.
Jika jawapan anda semalam atau minggu lepas atau bulan lepas, alhamdulillah, moga ada lagi detik-detik manis tersebut dalam masa terdekat. Sebaliknya jika hampir setahun yang lalu dan dalam perancangan anda, hanya akan pulang ke kampung berjumpa ibu bapa anda pada musim perayaan yang akan datang hampir dua bulan lagi, renung dan fikirkanlah:
- Apakah anda yakin anda punya peluang untuk menunggu hingga tempoh itu?
- Apa yang akan berlaku jika anda dijemput mengadap Ilahi sebelum tiba saat itu?
- Apa akan terjadi jika tiba-tiba anda mendapat berita, mereka telah pergi dulu mengadap Ilahi?
Kematian akan datang bila tiba masanya, tidak akan tercepat atau terlewat walaupun seminit. Sama ada anda atau ibu bapa anda yang dijemput dulu, hanya Dia yang Maha Mengetahui. Itu kerja Dia, serahkan kepada-Nya. Kerja anda, hargailah peluang yang ada selagi hayat anda dan mereka masih ada.
Ada yang mengadu kepada saya, kecewa dengan sikap ibu bapa. Ada yang disisih kerana hidup susah, kurang bijak berbanding adik-beradik yang lain. Ada yang dimarahi kerana tetap dengan pilihan hati sendiri. Malah pelbagai alasan lagi.
Ingatlah! Mereka adalah ibu bapa anda. Walau apa pun kesilapan mereka, walau seluka mana pun hati anda diperlakukan mereka, ibu dan bapa tetap insan terulung dan teragong yang perlu anda hormati, kasihi, cintai, sayangi dan hargai sepenuh jiwa.
Biar seteruk mana anda dicemuh atau dicaci atau dimaki, jangan padam nama mereka dari hati anda. Jangan juga jadikan segala cemuhan sebagai alasan untuk anda membenci mereka. Mungkin anda di pihak yang benar namun sebagai anak, anda perlu mengalah dan percayalah, mengalah bukan bererti anda kalah. InsyaAllah, kebenaran akan terserlah juga bila tiba masanya.
Jernihkanlah yang keruh. Hubungilah ibu bapa anda sekarang. Ziarahlah mereka hujung minggu ini. Hargailah dan sayangilah mereka selagi masih berkesempatan...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan