Malam tadi saya sampai ke rumah agak lewat kerana terlibat dengan satu program. Usai menguruskan diri (anak-anak dah pun tidur), saya membelek telefon bimbit. Ada panggilan tak berjawab dan beberapa sms. Semuanya daripada klien-klien saya. Ya! Apabila anda telah bersemuka dengan saya, anda akan mendapat nombor telefon bimbit saya sendiri tetapi awal-awal lagi saya dah cakap, anda boleh sms dan saya akan cuba balas sms anda. Tak perlu telefon sebab saya tak janji akan dapat jawab panggilan-panggilan anda itu.
Dalam beberapa sms tersebut, ada satu sms daripada seorang wanita yang berjumpa dengan saya hujung Mei lalu. Wanita ini keliru tentang hala tuju perkahwinannya memandangkan suami mengabaikan nafkah, jarang ambil tau pasal anak-anak. Mempunyai hubungan dengan wanita lain dan tika itu, suaminya dah lama tak balik ke rumah. Hanya balik bila dia tiada di rumah. Dalam masa yang sama, suami mengabaikan nafkah batin malah berhutang dalam jumlah yang banyak dengan si isteri. Dah pernah janji akan berubah tetapi janji tinggal janji. Bukan sehari dua tetapi sejak awal perkahwinan suaminya bersikap sedemikian dan makin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini hingga keluar dari rumah dan langsung tidak endahkan panggilan telefon isteri.
Bila saya tanya, masih sayang? Jawapan wanita tersebut: Memang sayang dan dia masih mengharapkan agar suami berubah dan kehidupan rumahtangga mereka akan bahagia.
Itulah wanita yang luhur kasihnya. Biar suami memberikan seribu penderitaan, berjuta peluang masih mampu diberi. Namun, Islam menganjurkan perkahwinan perlu menepati hikmah dan prinsip mawaddah dan rahmah. Setiap pihak samada suami atau isteri perlu bahagia dengan perkahwinan tersebut, tidak boleh hanya satu pihak yang bahagia sedangkan pihak lain tak habis-habis berkorban hingga mengganggu emosi dan perasaan sendiri. Memang segala masalah itu ujian dan sebagai makhluk, kita perlu terima ujian Ilahi tetapi meneriman bukan bererti membiarkan diri derita tanpa mencari jalan keluar daripada penderitaan tersebut.
Jalan terbaik, berserah dan mohon yang terbaik kepada-Nya. Itulah yang saya pesankan kepada wanita tadi. Berdoa kepada Allah mohon yang terbaik. Sekiranya perkahwinan ini baik untuk masa depan dirinya, suami dan anak-anak, mohon Allah ubah sikap suami menjadi seorang suami yang soleh dan menjalankan segala tanggungjawab. Sekiranya yang terbaik adalah sebaliknya, mohon agar Allah memudahkan segala urusan dan diberikan kekuatan untuk menerima kehendak-Nya itu. Beberapa kali juga kami ber'sms' menceritakan perkembangan kes.
Malam tadi, sms yang saya terima menyebut, kes ditetapkan pada 24hb ini untuk perceraian. Dia mohon nasihat saya tentang hak-hak yang boleh dituntut di mahkamah nanti. Setelah beberapa sms, dia berpuas hati namun di akhir sms ada luahan rasa, dia sedih dengan takdir perkahwinannya.
Jawapan saya: Kita merancang namun hanya Allah yang tau setiap perkara yang terbaik untuk kita. Kita dah mohon dan Allah dah tunjukkan jalan. Sewajarnya kita terima dan teruskan kehidupan seperti biasa.
Memang mulanya agak sukar tetapi bertahanlah dan kekal tabah serta kuatkan semangat kerana akan tiba masanya, anda akan rasa betapa berharganya ketentuan Allah ini. Sungguh... setiap kehendak dan takdir-Nya bukanlah sia-sia!
****Mulai esok (18hb) hingga 22hb (Selasa depan) saya berada di luar pejabat, agak sukar untuk saya menjenguk blog. InsyaAllah, saya akan bersama dengan anda semula pada 23hb ini.
****KHAS UNTUK ORANG UTARA: Saya akan berada di sekitar Sungai Petani dan Sik mulai 19hb hingga 21hb Julai ini. Jika anda berhajat untuk berjumpa dengan saya, boleh hubungi pembantu saya dan tetapkan temujanji. Jika kena dengan jadual kerja saya, kita boleh bertemu insyaAllah!!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan