Seminggu lepas, hari-hari saya penuh dengan kes-kes baru. Bukan sahaja temujanji sebaliknya kes-kes melalui sms yang disampaikan oleh PA saya dan juga melalui emel. Sekali lagi ingin saya maklumkan, talian 013-2545965 adalah untuk anda tetapkan temujanji berjumpa dengan saya. Talian tersebut bukan talian penyelesai masalah melalui sms. Maaf! Saya tak berkesempatan nak balas sms-sms anda itu.
Namun, jika anda sukar berjumpa dengan saya, anda boleh hubungi PA saya dan ceritakan kes anda. PA saya akan catatkan kes anda dan dapatkan penjelasan daripada saya. Anda boleh telefon semula untuk dapatkan jawapan kepada masalah anda cuma saya tak berani janji, anda akan dapat jawapan segera memandangkan jadual tugas saya juga agak padat.
Sebenarnya, berdepan dengan kes baru bukanlah pelik. Dah itu rutin kerja saya. Yang menambahkan sesak di minda saya ialah sepanjang minggu lalu, terlalu banyak kes melibatkan wanita yang terlalu sayangkan pasangan melebihi sayangkan diri sendiri. Bukan tak boleh, sayangilah pasangan anda sebanyak buih di lautan atau sebanyak titis air di awan atau apa sahaja ASALKAN KASIH SAYANG ANDA ITU BERBALOI.
Apa maksudnya? Bukannya bererti anda juga perlu mendapat jumlah kasih sayang yang serupa sebab kasih sayang tak boleh ditimbang ukur tetapi anda perlu pastikan KASIH SAYANG ANDA ITU TIDAK MEMBERIKAN PENDERITAAN KEPADA ANDA. Ya!! Pastikan ANDA BAHAGIA DENGAN KASIH SAYANG ANDA KEPADANYA.
Apa erti jika anda mengasihinya separuh mati atau kata setengah orang, bagai nak rak, sedang hakikatnya saban hari anda menangis?? Saban hari hati anda sakit mengenangkan sikapnya? Saban hari fikiran anda berkecamuk memikirkan dia yang tak pedulikan anda? Sampai ada tikanya anda membahayakan nyawa sendiri kerana terlau runsing memikirkan apa lagi penderitaan yang akan ada terima? Berbaloikah menyintai dan menyayangi insan sedemikian?? Mungkin di mulutnya terucap sayang tapi cukupkah dengan perakuan lisan jika tidak disusuli dengan tindakan?
Apa bukti kasih sayang? Bukan perlu renangi lautan api, bukan perlu belah dada operate hati. Kasih sayang yang tulus adalah menyayangi dan melaksanakan tanggungjawab dan kewajipan tanpa memberikan alasan. Juga tanpa meminta anda menerima keadaan secara terpaksa. Seorang yang amat menyayangi anda akan bersedia melakukan apa sahaja yang termampu untuk membahagiakan anda. Seorang yang amat mengasihi anda takkan tega melihat anda bersusah payah atau menderita.
Cinta perlukan pengorbanan. Itu kata ramai orang. Saya akui tetapi ingatlah, jangan jadi lilin, membakar diri demi menerangi orang lain. Jadilah matahari, memberikan cahaya dan haba tanpa perlu musnahkan diri sendiri. Sayangilah diri anda lebih daripada menyayangi orang lain...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan