Assalamualaikum w.b.r,
Saya ingin mendapatkan maklumat mengenai 2 perkara di bawah:
1. Apakah hak seorang isteri pertama dalam poligami?
2. Senarionya : Seorang suami telah bernikah dengan isteri kedua di Thailand kerana tidak mendapat persetujuan dari isteri pertama dan ibu-bapa isteri kedua. Kemudian, si-suami telah mendaftarkan pernikahan tersebut di Malaysia dengan cara menukar alamat tempat kediaman masing-masing (suami dan isteri ke 2). Saya dimaklumkan prosedur ini diterima. Suami akan hanya dikenakan denda kerana berkahwin lagi tanpa persetujuan isteri pertama manakala isteri ke 2 didenda kerana bernikah di luar kawasan; apakah ini benar?
3. Bagaimana dengan isteri pertama yang tidak mengetahui tindakan suaminya bernikah lain? Tidak adakah prosedur dalam undang-undang keluarga Islam di mana isteri pertama/ibu bapa isteri ke 2 dimaklumkan mengenai pernikahan suaminya dengan isteri ke 2/anak mereka?
Saya berpendapat taktik ini mengalakkan suami bernikah secara rahsia tanpa pengetahuan isteri pertama/ibu bapa.
- Pengirim emel
****************************************************************************
Di atas adalah satu emel yg dikirimkan kpd saya. Memandangkan persoalan pengirim emel ini adalah satu perkara yang perlu diketahui oleh semua tambahan pula terlalu banyak kes poligami dan pra poligami yang sampai ke pengaduan saya, saya mengambil tindakan menghebahkan persoalan dan jawapannya kpd semua melalui blog saya ini, agar lebih ramai yg mendapat manfaatnya.
Merujuk soalan pertama tentang hak seorang isteri pertama dalam poligami, hak anda adalah sama sahaja dengan status anda sbg isteri tanpa perkongsian atau isteri yg berkongsi suami. Anda berhak mendapatkan nafkah yg sewajarnya di sepanjang tempoh perkahwinan. Saya yakin, semua orang telah sedia maklum mengenai maksud nafkah ini kerana selalu sangat dah saya jelaskan.
Satu perkara yang mungkin jarang dipeduli ialah hak seorang isteri untuk mendapat layanan baik daripada suami. Layanan baik adalah terlalu luas maksudnya dan di dalam kes poligami, layanan baik juga merangkumi isteri berhak tau dan merestui hasrat suami untuk kahwin lagi. Perlu diingat! Izin isteri bukan penentu kelulusan dan kemampuan suami untuk berkahwin lagi.
Saya kurang pasti dgn perkara kedua sbb ianya melibatkan pendaftaran dgn pejabat agama. Prosedurnya, seseorang perlu membuktikan bahawa dia tinggal dan menetap di alamat tersebut, barulah boleh didaftarkan di qaryah pilihan itu. Bukti adalah dengan pengakuan Imam Qaryah bahawa seseorang telah tinggal di qaryah tersebut melebihi enam bulan.
Berkaitan suami akan dikenakan denda kerana berkahwin lagi tanpa persetujuan isteri pertama , penyataan tersebut adalah tidak benar kerana izin isteri bukan syarat kelulusan poligami. Yang benarnya ialah suami akan didenda kerana berpoligami tanpa kebenaran pihak berkuasa mengikut peruntukan Undang-undang Keluarga Islam. Isteri kedua juga akan didenda kerana bernikah tanpa kebenaran. Prosedur sebenar poligami ialah suami perlu kemukakan permohonan kpd Mahkamah dan Mahkamah boleh memberi kebenaran jika berpuas hati-
(a) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu, memandang kepada, antara lain, hal-hal keadaan yang berikut, iaitu, kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja ingkar mematuhi perintah untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila dipihak isteri atau isteri-isteri yang sedia ada;
(b) bahawa pemohon mempunyai kemampuan yang membolehkan dia menanggung, sebagaimana dikehendaki oleh Hukum Syara', semua isteri dan orang tanggungannya, termasuk orang-orang yang akan menjadi orang-orang tanggungannya berikutan dengan perkahwinan yang dicadangkan itu;
(c) bahawa pemohon akan berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isterinya mengikut kehendak Hukum Syara'; dan
(d) bahawa perkahwinan yang dicadangkan itu tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri atau isteri-isteri yang sedia ada.
Jika alasan-alasan di atas tidak dapat dipenuhi, permohonan akan ditolak dan penolakan atau kegagalan inilah yg selalunya menghasilkan perkahwinan tanpa kebenaran. Harus diingat, perkahwinan tanpa kebenaran bukan juga mudah untuk didaftarkan. Mahkamah akan meneliti kes dan jika didapati perkahwinan itu sah, barulah boleh didaftarkan.
Menjawab soalan ketiga: Isteri pertama tidak mempunyai hak untuk membatalkan perkahwinan suami dgn madunya yang telah disabitkan sah di sisi syarak dan undang-undang tetapi isteri pertama boleh mengemukakan permohonan bagi melindungi hak dirinya dan anak-anak sedia ada merangkumi giliran bermalam dan harta. Sekiranya suami gagal bersikap adil di dalam poligami, isteri pertama berhak memohon perintah daripada Mahkamah agar suami bersikap adil.
Bagi ibu bapa yang tidak mengetahui atau tidak mengizinkan perkahwinan anak perempuan mereka terutama anak gadis, ibu bapa boleh mengemukakan permohonan kpd Mahkamah untuk memfaraqkan (memutuskan) perkahwinan tetapi perlulah mengemukakan alasan-alasannya.
Nasihat saya, biarlah apa jua keputusan anda mengenai perkahwinan, jangan sampai mengenepikan insan tersayang yang telah sedia ada sblm kehadiran teman anda itu terutamanya ibu bapa anda. Ingatlah! Hubungan suami isteri boleh berakhir dgn perceraian sebaliknya hubungan anak dgn ibu bapa takkan putus hingga ke akhirat.
2 ulasan:
Salam.
Saya adalah isteri yg dimadukan tanpa pengetahuan. Kebiasaannya suami akan bernikah disempadan. Namun kes saya tidak, suami saya bernikah di kg halaman namun dengan bantuan seorang ustaz dgn diwalikan oleh bapa perempuan itu sendiri. Perkahwinan itu tidak didaftarkan kerana suami tidak mendapat keizinan mahkamah utk poligami kerana secara kewangannya dia tidak mampu iaitu bakal muflis dan lain2 lagi yg tak perlu saya sebutkan. Perkahwinan itu tetap sah dari segi syarak kerana bapa perempuan itu sendiri yg mewalikan anaknya cuma dari segi undang2 sahaja mungkin tidak diiktiraf.
Sebelum saya mengetahui suami saya bernikah lain saya pernah bertanya suami adakah dia bernikah dgn sipolan. Namun jawapannya ialah dia tidak menikah dgn sipolan dan hanya sayalah isterinya sahaja. Apakah itu tidak melambangkan bahawa dia menafikan kewujudan isterinya yg satu lagi. Adakah Islam membenarkan lelaki boleh menafikan status isteri atau dlm keadaan bagaimana talak boleh jatuh? Jika lelaki berkahwin mengaku bujang mungkin biasa tapi bagaimana jika lelaki itu menyatakan dgn jelas bahawa dia tidak ada isteri lain selain yg sedia ada dan tidak menikahi sipolan (menyebut nama)?
Salam...
Saya juga telah dimadukan secara senyap-senyap oleh suami. Pernikahan mereka dilakukan di Kelantan dengan diwalikan oleh bapa perempuan itu.
Pertanyaan saya di sini, bagaimana prosedur yang perlu dilakukan oleh suami untuk mengesahkan perkahwinan tersebut? Selagi belum disahkan, maka adalah wajib suami saya membuat giliran bermalam seperti mana yang dituntut oleh agama?
terima kasih...
Catat Ulasan