10 November 2010

Hantaran tak selesai jadi hutang perlu dibayar

Hakikat Hantaran

Hantaran bukan mas kahwin. Mas kahwin ketetapan syariat dan wajib dibayar sementara hantaran adalah ketetapan adat yang menjadi budaya turun temurun. Hantaran terbahagi dua bentuk; wang tunai dan barangan.

Secara mudah hantaran merupakan hadiah pemberian suami atau isteri kepada pasangannya sebagai tanda persetujuan dan kegembiraan untuk hidup bersama. Kebiasaannya sebahagian daripada hantaran ini akan diberikan pada hari pertunangan dan sebahagian lagi akan diberikan pada hari akad nikah dijalankan. Barangan hantaran inilah yang ditetapkan mesti dipulangkan semula sama ada dalam bentuk asal atau nilaiannya sekiranya berlaku pemungkiran pertunangan iaitu pertunangan diputuskan dan perkahwinan dibatalkan.

Hantaran bukan wajib tetapi tidak haram diadakan. Malah ketetapan adat ini diterima pakai sebagai satu kewajipan bukan saja sebagai tanda menerima pasangan tetapi juga sebagai permulaan tanggungjawab sebagai seorang suami dan isteri. Biar suami isteri saling menghargai. Hantaran tak perlu mahal; sudah nama pun sebagai hadiah, biarlah jumlah hantaran di dalam kemampuan pihak terlibat. Jika untuk melunaskan hantaran memaksa pihak-pihak terlibat berhutang sana sini; pasti lebih sukar dan payah untuk meneruskan kehidupan selepas bergelar suami isteri sedang hakikatnya kehidupan sebenar suami isteri bermula selepas sah ijab dan qabul.

Saya bukan menolak amalan masyarakat hari ini tetapi saya sekadar berusaha menjelaskan satu kebenaran yang telah dipinggirkan. Ramai ahli masyarakat kini yang berbangga bila hantaran anaknya tinggi tanpa pedulikan cara yang digunakan oleh bakal menantu untuk memenuhi kehendak tersebut. Disebabkan kita hari ni lebih cenderung mengikuti lenggok langkah masyarakat sekitar, kesannya ditanggung oleh raja yang hanya sehari itu di belakang hari. Pengalaman saya mengendalikan kes rumahtangga; daripada 10 kes; 4-5 kes perkahwinan berakhir sebelum hutang hantaran (kepada bank atau individu) berjaya diselesaikan. Bukan pelik sebab pasangan ini memasuki alam rumahtangga dengan masalah kewangan (hutang untuk memenuhi tuntutan hantaran) dan semua maklum; masalah kewangan adalah pemangkin kepada masalah-masalah perkahwinan lainnya. Apakah ini yang ibu bapa inginkan?

PENTING! Jika hantaran telah disepakati oleh kedua-dua pihak tetapi ada pihak yang engkar atau gagal menyelesaikan jumlah yang telah dipersetujui tersebut hingga perkahwinan berakhir; pihak yang satu lagi berhak menuntut agar jumlah yang belum dilunaskan tersebut dibayar oleh pihak yang masih berhutang. Ya! Hantaran yang telah disepakati tetapi tidak dipenuhi boleh menjadi hutang yang perlu dibayar.

Mengikut Syarak:
Hantaran yang disepakati bermaksud telah wujud satu perjanjian antara kedua-dua pihak. Islam menetapkan setiap janji yang tidak berlawanan dengan syarak perlu dipenuhi. Janji hantaran tidak termasuk perkara berlawanan dengan syarak. Alasan tak mampu? Kalau tahu diri tak mampu; jangan setuju dengan hantaran ditetapkan. Biarpun hantaran adalah hadiah tetapi ia adalah hadiah yang dipersetujui bersama dan menjadi satu janji yang perlu dilaksana. Islam menghina individu yang sengaja enggan menunaikan janji. Individu yang tidak menunaikan janji dikategorikan sebagai seorang munafik. Bila janji disepakati; hantaran ini menjadi perkara yang perlu dilaksanakan dan Islam tentukan jika tidak dilaksanakan; hantaran itu menjadi hutang. Hutang perlu dibayar.

Mengikut Peruntukan Undang-undang di Mahkamah Syariah:
Undang-undang yang digunapakai di Mahkamah Syariah memperuntukkan hantaran yang tidak dijelaskan boleh menjadi hutang yang boleh dituntut oleh pihak yang belum menerima hantaran yang telah dipersetujui dan Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan tuntutan hutang hantaran ini.

Enakmen Pentadbiran Mahkamah Syariah memperuntukan bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah untuk membicarakan perkara yang berkaitan dengan perhubungan suami dan isteri. Menerusi Arahan Amalan di Mahkamah Syariah; Kod Tambahan Kes (49) memperuntukkan perkara berkaitan ganti rugi perkahwinan dan hutang dalam perkahwinan. Hantaran yang tidak dijelaskan termasuk dalam kategori hutang dalam perkahwinan dan pihak yang masih belum menerima haknya di dalam hantaran yang telah dipersetujui, boleh menuntut di Mahkamah Syariah agar hutang hantaran tersebut dijelaskan.

Jika kerbau dipegang pada talinya; manusia dipegang pada janjinya...

**** Perbincangan ini disiarkan melalui ruangan Cermin Diri akbar Kosmo! bertarikh 15hb Oktober 2010.

1 ulasan:

zmah berkata...

Zaman sekarang hantaran perlu MAHAL,yang menanggung mereka(SUAMI-ISTERI)sampai anak berderet-deret.