Kes-kes remaja perempuan mengandung seterusnya melahirkan anak yang kemudiannya dibuang bagaikan kes-kes biasa dan ‘ceria’ dipaparkan di dada-dada akhbar juga saluran media elektronik. Selalunya, remaja-remaja ini akan dipersalahkan, dicaci maki dengan teruk tanpa sedar atau sengaja lupa; ada satu makhluk bernama lelaki yang turut berperanan dalam kes tersebut. Bukan menuding jari tetapi sesi koreksi diri agar kesalahan bukan difokuskan kepada para remaja ini semata-mata.
*Gambar hiasan
Terdapat tiga faktor utama yang mendorong para remaja ini tidak mengendahkan nilai maruah mereka:
Tanggungjawab sebagai ketua keluarga
- Ketua keluarga sinonim dengan bapa atau ayah atau apa saja panggilannya kepada lelaki yang bernama suami yang menjadi sebab kepada lahirnya zuriat.
Ketua keluarga bukan ibu. Malangnya mutakhir kini, kebanyakan golongan ibu terpaksa mengambil alih peranan tersebut. Bukan saja sebagai penyumbang nafkah keluarga tetapi juga sebagai pembentuk dan pembimbing akhlak anak-anak.
- Malah, dalam keluarga yang nafkahnya dibiayai oleh si bapa pun, terlalu sedikit bapa yang mengambil berat tentang pembentukan akhlak anak-anak. Ramai yang bersikap lepas tangan, menyerah bulat-bulat kepada si ibu. Bila tanggungjawab mendidik anak-anak diabaikan oleh si bapa, anak-anak akan hilang hormat kepada si ibu dengan mengambil kira; bapa yang sepatutnya menegur dan mendidik tak ambil kisah, kenapa perlu dipedulikan leteran dan teguran si ibu?
- Setiap bapa bertanggungjawab mempastikan setiap ahli keluarganya berada di landasan yang betul, sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras lagi kasar (layanannya); mereka tidak pernah derhaka kepada Allah dalam setiap perkara yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” – surah al-Tahrim ayat 6.
- Kegagalan si bapa berperanan dengan sewajarnya mendorong para remaja mengambil kesempatan dan tidak mempedulikan harga diri sendiri.
Mengabaikan tuntutan syariat
- Khitan kepada anak perempuan
o Kajian membuktikan masyarakat moden kebelakangan ini terlalu mengabaikan tuntutan syariat antaranya amalan berkhitan atau berkhatan kepada anak perempuan yang telah ditinggalkan. Biarpun tiada nas yang jelas dalam al-Quran atau hadis berkenaan keperluan khitan kepada anak perempuan namun ulama’ salaf berijtihad, khitan kepada anak perempuan adalah wajib sebagai satu cara mengekang nafsu. Apabila khitan tidak dilakukan kepada anak perempuan, nafsu seksual yang ada adalah pada tahap yang tinggi dan sukar untuk dikawal.
- Pergaulan bebas
o Remaja kini juga terlalu bebas bergaul, tidak endahkan saranan syariat agar membataskan hubungan antara lelaki dan perempuan. Bukan saja hubungan dengan bukan muhrim malah Islam menyuruh setiap Muslim agar menjaga adab hubungan sesama ahli keluarga termasuk adab bergaul di dalam rumah. Malangnya, ramai ibu bapa yang tidak kisah malah membiarkan anak-anak bergaul dengan harapan; anak-anak dah besar dan sudah pandai menjaga diri.
- Cara berpakaian dan penampilan
o Kebanyakan remaja kini juga terlalu bersikap melampau dalam cara berpakaian dan berpenampilan. Bukan saja mendedahkan aurat malah sudah ramai yang berani mendedahkan alat sulit sendiri. Semacam satu kebanggaan. Hakikatnya cara berpakaian tersebut bukan saja melanggar syariat tetapi juga nilai murni masyarakat. Siapa perlu dipersalahkan? Remaja yang memakai? Ibu bapa yang tak melarang? Atau pereka fesyen dan pihak berwajib yang benarkan pakaian tersebut dipasarkan?
Peranan lelaki sebagai pelindung
- Wanita sinonim sebagai makhluk yang lembut. Dalam satu hadis, lelaki disuruh untuk membentuk wanita dengan penuh hikmah kerana lelaki sepatutnya berperanan sebagai pelindung tetapi kebelakangan ini, ramai lelaki yang lebih suka mengambil kesempatan. Betul ada pepatah: bangkai dah di depan mata; masakan harimau tak merasa! Persoalannya; kenapa perlu jadi harimau?
- Jika kaum lelaki mempunyai iman yang kuat; selicik mana pun kaum wanita atau para remaja, mereka takkan tergoda dan menodai si gadis. Ingat!! Antara kaum yang mendapat perlindungan di mahsyar nanti ialah lelaki yang menolak ajakan kaum wanita untuk berzina.
Kesimpulannya; tak adil jika hanya remaja bermasalah ini disalahkan 100% kerana ada pihak lain yang turut mendorong ke arah meliarkan mereka ini. Jika setiap pihak melaksanakan peranan masing-masing, remaja takkan hilang harga diri, insyaAllah!
**** Perbincangan ini disiarkan melalui ruangan Cermin Diri akbar Kosmo! bertarikh 29hb Oktober 2010.
#### CEPAT! Sertai Kelab Eksekutif Bina Bahagia , Bengkel Menggilap Permata dan Santai Ilmiah.
2 ulasan:
Salam Along...
Membaca tulisan Along kali ni,Gie teringat pada students Gie...senario yang Along paparkan memang sama dengansenario yang students Gie hadapi...faktor utama yang mendorong mereka menjadi BOHSIA @ LIAR ialah kekurangan pemantauan dan kasih sayang dari keluarga...
Terima kasih atas nasihat yang diberikan kepada saya selaku kaum lelaki..
Setakat ini saya belum mempunyai anak perempuan.. Cuma ada 2 orang hero.. Dan kami sedang merancang untuk mendapatkan seorang heroin sebagai penghias rumah tangga kami..
Insya Allah saya akan menjadi seorang ayah dan lelaki terbaik buat anak-anak saya.. Saya harap Puan Suzana dan semua pembaca turut mendoakan kesejahteraan keluarga saya dunia dan akhirat..
Catat Ulasan