30 September 2009

Penjelasan lanjut dari topik Isteri Bertakliq

Daripada satu emel yang dikirimkan kepada saya:

"Assalamulaikum w.b.r. Puan,

Saya telah membaca artikel bertajuk di atas, dan alhamdulillah faham dengan penjelasan yang diberi.

Sebagai seorang isteri yang menghadapi masalah yang lebih kurang serupa seperti yang dihadapi oleh wanita di dalam artikel tersebut, saya juga pernah bertaklik dengan perjanjian yang hampir sama dengan wanita itu. Suami juga bersetuju dengan mengatakan "saya setuju". Dan alhamdulillah, suami masih mengotakan janjinya dan tiada sebarang bukti yang dia masih curang atau melanggar perjanjian.

Yang menjadi persoalannya sekarang, selepas kejadian lafaz taklik tersebut, suami memberi saya satu artikel kemusykilan dari keratan akhbar mengenai lafaz taklik. Di dalam artikel itu, ustazah yang memberi penjelasan mengenai lafaz taklik seperti berikut:-

Taklik cerai selain yang termaktub dalam surat nikah mestilah syarat diketahui suami dan isteri serta didaftarkan dengan saksi kepada pendaftar perkahwinan. Hairan juga bagaimana isteri boleh mengingati taklik yang pihak suami sendiri meraguinya atau melupainya kerana taklik adalah syarat dipersetujui kedua-dua pihak.Taklik selain yang standard ditulis mestilah dibuat secara bertulis barulah sah. Jika mahkamah sudah mensabitkan cerai talak satu jatuh, maka jatuhlah talak berkenaan. Dalam waktu edah, jika berlaku persetubuhan, maka dikira rujuk tuan dan isteri. Jadi sekarang ini tuan masih ada dua kali cerai bersama isteri. Jagalah hubungan ini dengan baik semoga tidak lagi berlaku cerai.

Dari penjelasan di atas, saya ingin bertanya, perlukah taklik yang saya ucapkan itu dibuat bertulis dan didftarkan kepada pendaftar perkahwinan seperti disebut. Jika berlaku perlanggaran adakah sah lafaz tersebut walaupun ia tidak dibuat secara bertulis?

Andai kata suami melanggar perjanjian tanpa pengetahuan isteri (contoh: masih berhubung dengan wanita lain yang tidak dibenarkan isteri tanpa pengetahuan isteri) dan suami masih bersama isteri seperti tiada apa berlaku yang membawa kepada hubungan suami isteri, bagaimana hukumnya. Boleh ke Puan memberi penjelasan mengenai persetubuhan dalam waktu edah yang dikira rujuk itu?

Mohon jasa baik Puan untuk memberi penjelasan persoalan di atas. Terima kasih banyak-banyak."


---------------------------------------------------------------------------

Saya tak pasti Ustazah mana yang memberikan jawapan seperti tertera. Sepengetahuan saya, dengan sedikit ilmu yang ada, takliq dikira sah dan sabit apabila diucapkan oleh suami walaupun tika lafaz dibuat, isteri tidak mendengarnya. Sebagai contoh, seorang suami lafazkan di kedai kopi di depan kawan-kawannya: "Kalau isteri aku balik kampung, jatuh talak satu." Apabila lafaz tersebut diucapkan dan walau tanpa pengetahuan tentang lafaz takliq tersebut, apabila si isteri balik ke kampung maka takliq diucap tadi dikira telah berlaku dan talak satu telah jatuh.

Takliq tidak perlukan persetujuan isteri sebaliknya jika takliq dilafaz oleh isteri, lafaz tersebut perlukan persetujuan atau pengakuan suami, barulah menjadi takliq yang sah dan boleh disabitkan. Sebagai contoh: isteri melarang suami keluar lewat malam dan menyebut: "Kalau Abang keluar lewat malam lagi, jatuh talak satu kat saya", lafaz tersebut kemudiannya disambut oleh suami, memadai dengan sebutan: ok la.. ye la.. atau haa... malah jika suami mendiamkan diri juga, boleh dikira sebagai tanda setuju dengan lafaz takliq yang disebut oleh si isteri tadi. Apabila syarat lafaz takliq tadi dilanggar, maka takliq dikira sabit dan talak satu jatuh terhadap isteri tadi.

Perkara paling penting, LAFAZ TAKLIQ TAK DISYARATKAN PERLU DITULIS ATAU DITAIP ATAU DIDAFTARKAN DI HADAPAN PENDAFTAR. Lafaz takliq adalah sama dengan lafaz talak biasa, boleh disebut dan berlaku bila-bila masa. Takliq boleh berlaku walau lafaz diucap tika suami dalam keadaan marah atau bergurau dengan syarat, lafaz yang disebut adalah lafaz yang soreh. Contoh: kalau jatuh pinggan tu, jatuh talak satu...

Tapi kalau lafaz yang digunakan bukan lafaz soreh sebaliknya lafaz kinayah iaitu lafaz yang membawa pelbagai maksud maka niat suami ketika melafazkan takliq tersebut diambil kira. Contoh: kalau kau tak masak malam ni, hubungan kita putus... terma 'hubungan kita putus' dikira sebagai lafaz kinayah dan perlukan niat suami sama ada berniat untuk cerai atau tidak.

Tak kiralah lafaz soreh atau kinayah, apabila syarat diletakkan melibatkan hubungan dalam perkahwinan, jalan terbaik ialah dengan mendapatkan pengesahan daripada pihak Mahkamah.

Bagi lafaz takliq yang diucap selepas akad nikah, disyaratkan si isteri mengadu kepada pihak berkuasa dan jika disabitkan, barulah jatuh talak berdasarkan takliq tersebut. Jika si isteri tak mengadu, biarpun suami keluar atau tinggalkan isteri bertahun-tahun lamanya (syarat biasa takliq di semua negeri), takliq tersebut tetap tidak berlaku dan si isteri masih isteri yang sah kepada suaminya.

Bagaimana jika suami melanggar takliq tanpa pengetahuan si isteri? Kembali kepada asal, hukum terpakai dengan syarat seseorang itu mengetahuinya. Dalam kes seperti ini, jika suami melanggar takliq yang diucap dan si isteri tidak tahu kemudian berterusan melayani suami seperti biasa, isteri tidak menanggung apa-apa dosa.

Konsep asas tentang rujuk selepas cerai menyebut, ada persetujuan kedua-dua pihak. Syarak mensyaratkan memadai dengan suami senyum kemudian isteri pun senyum, maka dah boleh dikira sebagai rujuk. Ulama membahagikan rujuk kepada dua: dengan lafaz atau perkataan dan boleh juga berlaku dengan perbuatan.

Dalam keadaan tidak tahu tersebut, jika suami berniatkan dia merujuk kepada isterinya, hukum rujuk boleh digunapakai. Isteri tak tahu? Jangan risau, suami akan menanggung segalanya sebab isteri diperintahkan taat kepada suami dan jika suami libatkan isteri dalam dosa tanpa disedari oleh isteri, isteri terkecuali daripada hukum tersebut. Sama seperti hukum jimak tika puasa Ramadhan, isteri tak perlu bayar dengan ganti puasa dua bulan berturut-turut, hanya suami perlu berbuat demikian. Serahkan segalanya kepada Allah, Dia takkan biarkan hamba-Nya teraniaya...

Jika anda pasti berlaku takliq kemudian sepakat untuk rujuk, daftarkan juga takliq dan rujuk anda di Mahkamah bagi memudahkan kes anda di belakang hari. Jangan tunggu sampai dah tak boleh nak rujuk, baru nak daftar kes di Mahkamah. Paling penting, PASTIKAN KESAHIHAN HUBUNGAN PERKAHWINAN ANDA, jangan sampai berterusan di dalam zina, nauzubillah!!

Hukum bersetubuh dalam tempoh eddah telah saya bincangkan melalui ruangan Resipi Hidup, insyaAllah akan disiarkan dalam majalah Mingguan Wanita awal November nanti. Tunggu keluarannya nanti....
----------------------------------------------------
*Tambahan* Maklumbalas dari Facebook:

Arnie Hamzah
Salam kak su Dlm kes nih si suami tak tau (atau dia tak pasti) bila dia lafazkan taklik....makanya adakah ujud taklik tu?

Suzana Ghazali
Salam Arnie. Kalau suami tak tau, lupa atau tak pasti tpi isteri tau atau percaya wujud lafaz takliq tu, maka isteri kena buktikan termasuk dgn bersumpah. Jika isteri gagal buktikan atau enggan bersumpah, mahkamah memberi hukum berdasarkan perkara zahir, tidak berlaku takliq lah. Jika suami nafikan, dia juga perlu bersumpah. Kita manusia memberikan hukuman berdasarkan keterangan sahih dan terang sahaja. Selebihnya terserah kpd Allah :)

28 September 2009

Salam Syawal

Harapnya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin buat semua pelayar weblog saya ini. Maaf sebab tidak berpeluang mengucapkan eid mubarak ini lebih awal. Almaklum, balik awal ke kampung, bercuti sakan dua minggu, terus lupa segala kerja, terasa bagai kembali ke zaman remaja tika riuh mengadakan persiapan menyambut raya dengan macam-macam agenda :)

Hari ini, buat pertama kali saya menjenguk blog saya ini, buat kali kedua menjenguk emel (yang terlalu banyak, maaf awal-awal kepada pengirim, tak pasti bila berpeluang membalasnya) dan kali pertama juga menjenguk Facebook, tapi sekadar menjenguk je lah. Pengisian untuk weblog lebih perlu diutamakan.

Ada beberapa isu yang ingin saya ketengahkan dan untuk isu sulung selepas seronok menyambut Aidilfitri ini, saya nak sentuh tentang sikap sebahagian ahli masyarakat kita, khususnya yang beragama Islam, yang masih lagi dengan sikap lama... seolah menjadi badi, yang tak lapuk dek panas dan tak lekang dek hujan: sikap mengumpat dan mengata.

Jika anda membaca perbincangan Resipi Hidup minggu nak sambut raya bertarikh 18hb September atau anda menonton slot Awani Pagi di Astro Awani pada tarikh yang sama, saya dah bincangkan tentang isu ini, tentang adab berkunjung di hari lebaran, bukan saja pada hari lebaran tapi pada bila-bila masa. Islam menetapkan, jika ingin berkunjung, sikakanlah tapi jangan sambil-sambil membuat dosa dengan mengumpat atau mencaci orang lain. Jika nak bersembang, silakanlah tapi jangan duk mengata orang itu orang ini, menceritakan kisah itu kisah ini.

Perlu diingat, bila kisah anda adalah kisah yang benar tetapi diceritakan tanpa kehadiran orang tersebut bererti anda telah mengumpat. Bila kisah yang dikatakan itu bukan kisah benar, bererti anda telah melakukan fitnah. Perlu diingat juga, hukum mengumpat dan fitnah adalah berdosa besar. Kesilapan dan kemaafan anda takkan diampunkan oleh Allah SWT jika anda tidak diampunkan terlebih dahulu oleh orang yang anda umpat dan fitnah tersebut.

Apa sakitnya anda jika tau ada sepupu anda bergaduh dengan suami? Apa masalah anda jika ada saudara anda bercerai? Apa yang mengacau anda jika jiran anda berkahwin lebih dari satu? Semua tu kisah peribadi mereka, tak perlu nak heboh dan nak kecoh. Anda bising satu Malaysia pun, sepupu anda tetap bergaduh dengan suaminya, saudara anda yang bercerai tetap dah bercerai, jiran anda tetap juga dah kahwin lagi. Jangan sibuk duk bercakap tentang rumahtangga orang dan paling tak berguna, jika apa yang anda cakap itu membuatkan cerita yang sepatutnya boleh dijadikan iktibar untuk diri sendiri bertukar menjadi cerita sensasi yang ditokok tambah. Bayangkan jika anda di tempat mereka itu, sukakah cerita anda dijaja ke sana sini?

Yang paling menyedihkan ialah yang duk mengata mengumpat tu kebanyakannya ialah wanita. Kenapa tak cuba fahami hati wanita yang terlibat? Mereka yang anda umpat, keji dan fitnah itu tak pernah minta rumahtangga mereka bermasalah. Koreksi diri... rumahtangga anda tu, elok sangat ker?

Seperkara lagi, tolonglah dalami ilmu agama. Dah tua-tua pun tak rugi belajar. Sedih sangat bila saya berpeluang solat berjemaah baru-baru ni, ramai lagi Muslimah yang belum tau cara solat jemaah yang sebetulnya. Saya akui, saya sendiri dah lama tak berpeluang berjemaah di surau atau masjid dan alhamdulillah, peluang tersebut bertamu juga baru-baru ini dan syukur beberapa kali. Bukan saja jemaah di kampung tapi juga di bandar malah bandaraya KL. Adab solat berjemaah, perlu rapatkan saf, bahu menyentuh bahu, bukannya duduk jauh sebatu mempertahankan sejadah sendiri. Dah tu pula, bila ditegur, tak dengar cakap pula. Alahai... tau la saya ni lebih muda tapi tak semestinya yang lebih muda tu tak tau segala dan jangan ingat yang tua tau semuanya...

Sedih... sungguh sedih... lebih sedih bila melihat perubahan yang berlaku tika Ramadhan dulu, kini berubah sekali lagi ke penampilan yang lama!! Apakah hukum Allah hanya valid dan relevan tika Ramadhan sahaja??

Ya Allah!! Ampunkanlah dosa hamba-hamba-Mu dan berikanlah hidayah-Mu kepada kami semua ya Allah!! Moga kita berpeluang mengutip ganjaran pahala berganda sekali lagi pada Ramadhan yang akan datang, amiinnn!!!

14 September 2009

Makluman terkini

Diumumkan, mulai hari ini 14hb September hingga 27hb September, talian 013-2545965 akan ditutup sementara.

Talian akan beroperasi semula seperti biasa mulai 28hb September 2009 dan mulai tarikh tersebut juga, temujanji bersemuka mula diterima untuk tarikh temujanji pertama bermula 5hb Oktober 2009.

Mulai 5hb Oktober, temujanji bersemuka ditetapkan menurut jadual berikut:
- Isnin hingga Khamis di Sungai Petani, Kedah.
- Jumaat dan Sabtu di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur

Hingga tarikh temujanji bersemuka diterima semula, temujanji melalui panggilan telefon masih diterima dan temujanji berkaitan akan diterima kembali bermula selepas cuti panjang sempena Aidil Fitri ini.

Maklumat lanjut berkaitan temujanji, sila emel ke binabahagia@gmail.com atau hubungi talian 013-2545965 (hanya pada 28hb September dan selepasnya).

11 September 2009

Insentif pembakar semangat

Semalam, sedang saya bersiap untuk ke KL, rutin biasa setiap Jumaat pagi di Astro Awani, Ayuni dan Suhail sibuk mengira jumlah hari berpuasa dan jumlah wang yang bakal diperolehi nanti. Ya, semalam hari ke-20 puasa, puteri dan putera saya tu masih kekal bertahan, langsung belum pecah periuk walau sehari. Saya juga teruja dengan prestasi anak-anak terutamanya Suhail sebab Suhail baru berusia lima tahun, Ayuni dah mula puasa tahun lepas walau tak penuh sebulan dan tahun ni, dalam usia enam tahun, dia masih bertahan, alhamdulillah!!

Mak saya juga teruja, malah rakan-rakan saya juga. Petua? Bagaimana saya pujuk? Saya taklah merayu cuma tahun lepas, Ayuni berusia lima tahun, saya ajak dia berpuasa, sebagai latihan. Tapi bertahan puasa penuh lima hari sahaja, (masa ni kat rumah Mak saya, so tak banyak dugaan dari adik-adik) hari-hari lain dah tak dapat bertahan bila melihat Suhail dan Sulaim menjamah makanan.

Anak-anak saya ni penggemar Upin dan Ipin. Bila dapat tau Upin dan Ipin berpuasa cukup sebulan, Ayuni dan Suhail bertekad, akan puasa cukup sebulan juga tahun akan datang, tahun ni lah. Maka, untuk menambahkan semangat anak-anak, saya tawarkan insentif, kalau puasa penuh sehari, saya akan berikan RM2. Jika genap sebulan, ada insentif tambahan, anak-anak akan dapat kasut roda - dah lama juga anak-anak minta tapi biasa lah, ada syaratnya dulu :)

Alhamdulillah, setakat semalam, hari ke-20 puasa, Ayuni dan Suhail masih mampu bertahan. Yang paling buatkan saya teruja, anak-anak saya aktif seperti biasa, sama macam hari-hari tak berpuasa sebelum ni. Tidur siang hari? Jangan haraplah... ada saja aktiviti yang nak dilakukan oleh mereka. Sampaikan saya sendiri (yang sebelum ni penat mengemas sebab baru pindah rumah kan), plan nak baring sekejap pun terpaksa batalkan sebab takkan nak lelap dengan keadaan anak-anak bergerak aktif. Secara tak langsung, Ummi pun kena aktif sama :)

Alhamdulillah juga, anak-anak saya nak bangun waktu sahur. Mula-mula memanglah liat nak bangun tapi saya 'paksa' juga: kalau nak puasa, kena bangun sahur. Saya ikut petua Mak saya, kejutkan anak-anak lebih awal, bukan tika makanan dah terhidang. Bila dah kejut awal, pastikan muka anak-anak dicuci betul-betul dan berkumur hingga anak-anak rasa segar. Bila mata dah segar, sempat borak-borak lagi sebelum makan, barulah anak-anak betul-betul berselera nak makan waktu sahur tu. Saya juga amalkan menyuapkan makanan kepada kedua-dua anak-anak saya tu, jadi saya boleh tahu anak-anak betul-betul menikmati hidangan atau pun tak.

Waktu berbuka pula, saya akan ambil tahu selera anak-anak tapi bersyaratlah juga, bukan semua kehendak diikut, nanti Ummi juga yang makin bertambah berat badan. Hanya itu petua dan cara saya melatih anak-anak saya berpuasa dan paling seronok dan buatkan air mata Mak saya bergenang, bila Ayuni mengimamkan solat Maghrib bersama Suhail dan sepupu-sepupunya - anak Angah - Syimir dan Khairi. Memang terbalik sebab Ayuni kan perempuan tapi tak mengapa, untuk belajar kebetulan anak Angah belum cekap bacaan-bacaan sunat dalam solat.

Sungguh, insentif yang diberikan kepada anak-anak boleh membakar semangat mereka. Bukan saja untuk berpuasa tapi dalam apa juga perkara. Tapi kena tekankan, sebagai pemberi semangat sahaja, dah besar nanti, jangan mintak insentif lagi. Dah besar nanti, dah jadi satu perkara wajib dan sebagai tanggungjawab, bukan lagi satu latihan.

Latihlah sejak awal sebab bila anak-anak dah terbiasa, anak-anak akan mudah untuk melakukannya bila besar nanti walau jauh dari mata ibu bapa. Paling penting juga, sentiasa doakan agar anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh dan solehah...hamba yang sentiasa abid kepada-Nya.... amiinn!!!