05 Julai 2014

Suami berhenti kerja



Soalan Dilema Perkahwinan, majalah Pa&Ma bulan Januari 2013: 

"Saya sudah enam tahun berkahwin dan kini dikurniakan dua cahaya mata berusia 5 dan 3 tahun. Keadaan ekonomi kami suami isteri kukuh kerana kami berdua sama-sama bekerja malah gajinya jauh lebih tinggi daripada gaji saya. Malangnya selepas kelahiran anak kedua suami berhenti kerja kerana alasan tiada keserasian dengan ketua barunya di pejabat. Bagi saya tindakannya itu kurang bijak kerana dia tidak mendapatkan kerja baharu sebelum berhenti.

Oleh sebab itu ekonomi kami sekeluarga kini sangat teruk. Malah banyak perbelanjaan yang terpaksa saya potong untuk menyesuaikan bajet keluarga dengan gaji saya yang kecil ini. Suami juga banyak berhutang dengan ahli keluarganya untuk menampung keperluan  dan tidak membayar hutangnya seperti dijanjikan menyebabkan hubungan kekeluargaan menjadi keruh sehingga kadangkala kami dipulau.

Untuk pengetahuan puan, hubungan saya dan suami Alhamdulillah sangat baik dan mungkin sebab itulah kami masih kekal sehingga ke hari ini. Bagi saya rasa hormat dan patuh saya terhadap suami tidak berubah walau pun dia tidak bekerja. Saya bertahan hanya kerana Allah dan saya harungi ini semua kerana yakin ini adalah ujian Allah untuk saya. Di rumah dia banyak membantu membuat kerja-kerja rumah seperti memasak dan mencuci pakaian, mengemop lantai dan menjaga anak.

Saya tidak pernah menceritakan hal ini kepada sesiapa walau pun kepada keluarga saya sendiri kerana bimbang ia akan membuka aib rumah tangga kami. Tambahan pula saya anak yatim piatu tiada sesiapa yang perasan perubahan hidup saya ini. Tetapi suami saya terpaksa menceritakan kepada ibu bapanya setelah didesak ibunya yang mendapat panggilan telefon dari pejabat yang dia sudah lama tidak pergi bekerja. Baru-baru ini dia bekerja tetapi tidak sampai enam bulan telah berhenti lagi kerana katanya gaji kecil tetapi beban kerja terlalu banyak sehingga setiap hari perlu  stayback di pejabat. Di samping itu dia juga sering outstation sedangkan gaji kecil tak mampu menampung kos perjalanan ke luar daerah. Saya nasihatkan dia supaya berbincang dengan ketuanya tentang masalah tersebut tetapi dia memilih untuk berhenti tanpa notis. Saya pasrah dan tidak mempersoalkan tindakannya itu kerana tidak mahu dia tertekan. Malah ibunya juga masih belum tahu yang dia kini sudah  kembali menganggur. Bulan lepas saya terpaksa memberhentikan persekolahan tadika anak pertama yang berusia 5 tahun dan dijaga bapanya di rumah semasa saya bekerja kerana bajet sudah lari.

Masalah kewangan meruncing ini tanpa saya sedari telah berlarutan selama tiga tahun dan tidak mampu saya ceritakan penderitaan saya dari segi kewangan sehingga terpaksa mengikat perut di pejabat untuk berjimat dan ada kalanya terpaksa membonceng motosikal rakan wanita ke tempat kerja kerana kereta disorok kerana bimbang ditarik kerana bayaran bank yang tertunggak. Suhanallah banyaknya dugaan tidak tertanggung oleh saya, hanya Allah yang tahu.

Saya ingin bertanya, apa hukumnya suami tidak bekerja dan tidak memberikan nafkah sebaliknya hanya mengharapkan gaji isteri dan ihsan orang lain walhal dia sihat dan boleh bekerja? Saya juga khuatir anak-anak yang membesar dengan punca yang tidak halal kerana suami tidak membayar hutangnya kepada ahli keluarganya. Apakah tindakan yang sepatutnya perlu saya lakukan dan apakah penyelesaian terbaik yang boleh dibuat tanpa melibatkan penceraian. Terima kasih."

JAWAPAN:
 
Firman Allah SWT dalam ayat 286 surah al-Baqarah bermaksud: "Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." Ayat ini membuktikan setiap ujian yang diberikan oleh Allah kepada hamba-Nya adalah bersesuaian dengan kemampuan hamba-Nya untuk bertindak. Kegagalan menangani ujian bukan kerana ujian tersebut di luar kemampuan sebaliknya kerana diri individu tersebut sendiri yang gagal memaksimakan usaha bagi mengatasi ujian tersebut. Allah telah berjanji dan percaya dengan kemampuan hamba-Nya.
 
Jika Allah SWT yakin dengan kemampuan kita menangani ujian dan dugaan yang diberikan-Nya, kenapa kita tidak percayakan kemampuan diri kita sendiri? Tahniah kerana puan tergolong dalam kelompok individu yang yakin dan percaya dengan kemampuan diri dan pastinya juga mempercayai-Nya. Jelas sekali puan adalah seorang yang redha. Redha bukan bermaksud menyerah begitu sahaja tetapi perlu bersabar dan usahakan jalan penyelesaian sama seperti yang sedang dilaksanakan oleh puan tika ini. InsyaAllah, pasti ada ganjarannya.
 
Menjawab persoalan mengenai hukum bagi suami yang tidak bekerja dan tidak memberikan nafkah sebaliknya hanya mengharapkan gaji isteri dan ihsan orang lain walhal dia sihat dan boleh bekerja, saya nak kongsikan satu hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa apabila suami mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya.” – hadis riwayat Abu Daud. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.” – surah al-Nisa’ ayat 34.
 
Hadis dan ayat ini jelas membuktikan seorang lelaki dengan status seorang suami wajib bekerja dan berusaha bagi menyara isteri dan anak, jika ada. Suami yang sengaja gagal bekerja dan berusaha untuk membiayai keperluan hidup isteri dan anaknya adalah tergolong dalam kelompok yang disebut di dalam hadis – suami mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya dan di suami tadi adalah berdosa. Dalam kes puan, suami puan telah dengan sengaja enggan bekerja walaupun dia kononnya mempunyai alasan yang dianggap sebagai wajar dan munasabah. Hakikatnya alasan yang diberikan si suami adalah tidak wajar sebaliknya hanya mengikut emosi sendiri.
 
Tidak mempunyai keserasian dengan ketua kemudian mengambil tindakan berhenti kerja membuktikan suami puan mengikut emosi dan tidak mempertimbangkan keputusan tersebut sebaiknya. Berhenti kerja sekali lagi kerana bebanan kerja yang tidak setimpal dengan bayaran juga membuktikan si suami terlalu mementingkan diri sendiri. Sewajarnya dalam keadaan yang terdesak dan mendesak yang dilalui oleh puan dan anak-anak, si suami perlu bertahan dan berusaha lebih.
 
Walaupun tidak dapat menampung segala perbelanjaan keperluan puan dan anak-anak tetapi memadai jika dapat membantu puan, sesuai dengan tuntutan syariat yang terdapat dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang yang mampu memberi nafkah hendaklah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka dia hendaklah memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu). Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” – surah al-Talaq ayat 7.

Ayat ini menjelaskan, kadar pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan seorang suami dan suami tidak wajar membebankan dirinya melebihi dari kemampuannya yang sebenar. Maksud membebankan diri di sini ialah melakukan sesuatu yang melebihi kemampuan atau di luar upaya suami. Sebagai contoh berhutang dengan mana-mana pihak bagi merealisasikan kehendak isteri yang melampau. Berbeza dengan tindakan suami puan yang berhutang bagi memenuhi keperluan atas sebab tindakan dirinya sendiri yang enggan bekerja, tidak termasuk di luar upaya suami. Tindakan berhutang tanpa usaha untuk menjelaskan hutang tersebut menjadikan suami puan seorang yang gagal melaksanakan amanah dan sengaja memungkiri janji.
 
Jangan risau bab anak-anak yang makan dari punca yang haram disebabkan kegagalan suami menjelaskan hutang. Perkara tersebut tidak berlaku. Bab hutang dan bab punca kewangan yang ada digunakan sepenuhnya bagi menampung keperluan anak-anak adalah perkara yang berbeza. Anak-anak wajib dijaga dan dibiayai keperluan mereka. Hutang juga perlu diselesaikan tetapi oleh orang yang berhutang. Dalam kes puan, suami yang berhutang dan anak-anak pula dibiayai keperluan mereka oleh puan.
 
Bagi mengatasi masalah ini, perkara pertama yang perlu puan lakukan ialah menasihati suami agar bekerja. Puan perlu berterus terang mengenai kerumitan dan kesulitan yang puan alami. Jangan bimbangkan mengenai tekanan yang mungkin dia hadapi. Sebagai ketua keluarga, suami adalah lelaki yang sememangnya perlu menerima dan menghadapi tekanan tersebut, bukannya menyerahkan segala tekanan yang ada ke bahu puan seorang isteri. Ya, puan mampu tapi ada batasannya dan paling penting, segala yang puan usahakan dan laksanakan sekarang bukanlah peranan dan tanggungjawab puan sebaliknya adalah tanggungjawab suami.
 
Suami lakukan kerja rumah? Ya! Memang diakui tapi kerja tersebut bukan kerja utama seorang suami. Ikutkan fitrah hidup dan norma masyarakat, kaum wanita bekerja di rumah dan kaum lelaki pula keluar mencari rezeki. Sesuai dengan kemampuan fizikal dan emosi yang dianugerahkan oleh Allah kepada makhluk bernama lelaki dan wanita. Bila fitrah ini diubah, berlakulah kecelaruan dan masalah. Ulama salaf pernah memfatwakan wanita diharamkan bekerja bertujuan menjaga kebajikan wanita dan mengelakkan fitnah. Sesuai dengan perkembangan dan menepati kebenaran ijtihad, wanita dibenarkan bekerja bagi membantu suami, bukan mengambil alih tanggungjawab suami.
 
Puan perlu bertegas dalam perkara ini dan berikan tempoh masa untuk suami berubah. Peluang boleh diberi bagi tempoh minima tiga bulan dan maksima sembilan bulan. Jika suami masih enggan bekerja atau gagal bekerja sebaiknya, dapatkan khidmat nasihat daripada pegawai di Pejabat Agama berdekatan untuk menegur dan membimbing suami. Berkemungkinan dek kerana ego, suami sengaja enggan mendengar cakap puan. Dalam masa yang sama, puan perlu mengkhabarkan kepada ibu mertua puan mengenai sikap suami puan. Ibu mertua diharapkan dapat menasihati dan menegur sikap anaknya agar berubah menjadi seorang suami yang baik.

Dalam masa yang sama, puan perlu berdoa agar dilembutkan hati suami untuk berubah sikap dan berusaha keras bagi melaksanakan segala tanggungjawabnya yang perlu untuk mengubah nasib puan sekeluarga. Bila usaha dah dibuat, doa dah dilaksana dan peluang diberikan kepadanya tetapi suami masih kekal di tempat yang sama, puan boleh berkeras dengan mengugut untuk memohon takliq atau fasakh di Mahkamah Syariah. Situasi kes puan melayakkan puan mengambil tindakan tersebut. Ada jenis manusia yang akan berubah bila mula terasa kehilangan. Moga dengan ugutan itu, suami akan sedar dan bertindak ke arah yang lebih baik.

Moga Allah mudahkan urusan puan dan ingatlah... kita tak mungkin dapat mengubah sikap malah hati orang lain. Tapi kita boleh berusaha agar hatinya malah sikapnya berubah menjadi lebih baik. Usaha bermaksud laksanakan tindakan yang perlu beserta doa mohon yang terbaik daripada-Nya. Jika DIA izinkan, insyaAllah usaha dan doa kita berhasil. Hati kita, hati orang lain juga... hanya dipegang oleh Allah SWT. Hanya Allah mampu berikan keputusannya. Namun, andai dia tak juga berubah setelah usaha dan doa, sudah tiba masanya untuk kita mengubah pendirian kita terhadap dirinya pula; agar kita terus berada dalam keadaan redha, bersyukur dan tidak kufur nikmat.

Pengiktiran dari Institut Sosial Malaysia

Alhamdulillah! Saya antara yg terpilih sebagai Penceramah Terbaik 2013 dalam majlis Kecek Bersama Pengarah ISM pada 1hb Julai yg lalu...