21 April 2014

Bengkel Penyediaan Dokumentasi Kes di Mahkamah Syariah


Seperti yang dijanjikan, saya bawakan kepada anda semua Bengkel Penyediaan Dokumentasi Kes di Mahkamah Syariah. Menerusi bengkel ini, anda akan diajar cara menyediakan dokumentasi yang perlu bagi memfailkan atau menjawab tuntutan kes  mal (perkahwinan) merangkumi kes tuntutan cerai, takliq, fasakh, khuluk, hak jagaan anak, tuntutan nafkah eddah, mut’ah, nafkah anak, harta sepencarian dan hutang perkahwinan. Anda juga akan diajar tentang pembuktian yang perlu dikemukakan bagi menyokong kes anda. 
***Boleh bawa dokumentasi kes anda jika telah ada kes di Mahkamah Syariah


Tarikh: Pilihan sama ada pada 24hb Mei (Rabu) atau pada 28hb Mei (Sabtu) - saya sediakan dua tarikh bagi memudahkan anda yang susah untuk bercuti kerja (boleh datang pada Sabtu) atau mereka yang susah hadir pada hari cuti (boleh datang pada hari bekerja.)
Masa: 8.00am hingga 5.30pm
Tempat: Dewan Kuliah, Masjid Negara, Kuala Lumpur
Yuran: RM130 per individuPeserta yang hadir ke Bengkel Pengendalian Kes pada 7 Julai 2013, jika ingin menyertai bengkel ini, yuran yg dikenakan hanyalah RM100

Aturcara:
08.00am – Pengesahan Pendaftaran dan sarapan
08.30am – Bengkel 1 – Penyediaan Kronologi Kes
09.00am – Bengkel 2 – Tuntutan Cerai, Pengesahan Cerai dan Khuluk
10.30am – Bengkel 3 – Tuntutan Takliq dan Fasakh
01.00pm – Makan tengahari dan Solat Zohor
02.00pm – Bengkel 4 – Tuntutan Hak Jagaan Anak dan Nafkah Anak
03.30pm – Bengkel 5 – Tuntutan Nafkah Eddah, Mut’ah, Harta Sepencarian dan Hutang Perkahwinan
05.30pm – Solat Asar dan Bersurai

Cepat! Daftar segera! Tempat terhad kepada 25 peserta sahaja.

Untuk pendaftaran, bayar RM100 ke akaun akaun Bank Islam 120650 10035871 atas nama Bina Bahagia Services kemudian SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama penuh, no KP dan alamat lengkap anda ke talian 013-2545965.  Baki bayaranRM30 dibayar pada hari program. Bayaran tidak akan dikembalikan tetapi boleh digantikan dengan peserta lain. Terima kasih atas sokongan dan kerjasama rakan2...

04 April 2014

Pasangan jarak jauh

Soalan Dilema Perkahwinan, Majalah Pa&Ma, OKtober 2012: "Saya dan suami tinggal berjauhan. Saya di Kuala Lumpur. Dia pula di Pulau Pinang. Kadang-kadang timbul rasa cemburu apabila dia selalu mengatakan sibuk untuk pulang berjumpa saya di Kuala Lumpur. Bimbang dia “pasang” yang lain. Boleh beri panduan untuk saya kekalkan perkahwinan jarak jauh ini."

JAWAPAN:

Menjadi pasagan suami isteri jarak jauh bukan satu fenomena biasa kebelakangan ini. Kerajaan sendiri telah mengisytiharkan wujudnya ‘keluarga komuter’ khusus bagi mengiktiraf dan mengambil tahu kebajikan individu-individu yang terlibat walau mungkin masih di peringkat awal.

Hakikatnya, jarak jauh bukan alasan untuk bercerai atau beralih arah atau pun putus kasih sayang. Secara logiknya, takkan ada halangan untuk capai bahagia walau berjauhan sebab kasih sayang yang ada di sebalik hubungan jarak jauh pasangan suami isteri ini juga berasal daripada individu-individu yang hidup berasingan sebelum ini. Rata-rata individu berkahwin dengan seseorang dari rumah yang berlainan, juga berlainan daerah malah negeri yg berlainan. Jika jarak jauh bukan alasan untuk bersatu, wajarkah jarak jauh dijadikan alasan untuk tidak lagi berkasih sayang? Sewajarnya bukan, betul?

Merujuk kepada kes, puan cemburu bila suami nyatakan kesibukannya menghalang dia balik bertemu puan. Bolah saya tau, berapa kerap suami puan pulang bertemu puan? Kekerapan pulang bertemu puan mungkin akan mengganggu belanjawan bulanan maka sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan adalah satu masa yang boleh diterima akal, bergantung pula kepada pendapatan suami dan puan sendiri. Biasanya, suami isteri yang benar-benar mengutamakan hubungan mesra bersama pasangan, akan mencari masa dan ruang untuk bersemuka dan bermesra sekurang-kurangnya sekali dalam masa dua minggu.

Mungkin mengganggu pendapatan tapi andai sanggup berkorban, wang bukan penghalang. Seperkara yang penting, andai suami tidak boleh pulang bertemu puan kerana sibuk bekerja, kenapa tidak puan yang pergi ke tempatnya? Pasti lebih seronok bila dalam kesibukan bekerja, ada isteri bersama untuk membantu menguruskan keperluan, malah mungkin memberi sokongan biar pun seketika. Tak boleh memandu berseorangan? Naiklah kenderaan awam, bas dan keretapi kan ada. Tak biasa ke sana berseorangan? Tak akan wujud pengalaman tanpa satu permulaan. Jika berkehendak, apa pun dugaan takkan jadi halangan.

Saya suka mencadangkan agar puan lakukan kejutan kepada suami. Bila dapat tau suami tak balik balik bertemu puan, rencanakan untuk pergi ke tempatnya tetapi jangan khabarkan. Ada dua sebab kenapa kejutan perlu: 1) menimbulkan teruja di hati suami dan 2) menjawab kemusykilan puan sendiri. Seperti luahan puan yang bimbang jika suami pasang yang lain, kejutan sedemikian pastinya membantu. Andai ‘selamat’, puan akan rasa lebih lega. Sewajarnya pun, puan tidak terlalu memikirkan mengenai orang ketiga. Dalam apa jua keadaan, puan perlu lebih kan percayakan suami tetapi bukan 100%. Memadai 99% dan baki 1% adalah agar puan berhati-hati dan tidak menyesal belakang hari.

Puan perlu ingat, syak wasangka puan terhadap suami boleh menjadi doa, seolah-olah puan mengharapkan sedemikian. Puan perlu faham tanggungjawab suami dalam melaksanakan kerjanya. Mungkin satu waktu dulu tidak sesibuk sekarang dan sibuknya waktu sekarang tak semestinya kerana dia ada orang lain. Puan perlu belajar memahami keadaan tersebut. Untuk lebih memudahkan puan, kejutan yang saya cadangkan boleh membantu. Namun, sekiranya ‘kantoi’, jangan puan pula terkejut. Siasat dulu sebelum mengambil tindakan yang perlu. Hingga detik itu belum berlaku, jauhkan segala perkara negative daripada mengganggu minda puan kerana ia bagaikan virus yang akan cepat merebak dan mengganggu pula hubungan puan bersama suami.

Langkah terbaik untuk mengatasi kekalutan tika berjauhan ialah melaksanakan komunikasi unggul. Tak perlu tinggal sebumbung untuk wujudkan komunikasi unggul. Kemudahan teknologi menghasilkan pelbagai bentuk alat komunikasi canggih dan mudah. Biar jarak berjuta kilometer, anda boleh wujudkan si dia di hadapan anda, boleh bertentang mata, bercakap dengannya secara bersemuka. Paling kurang, anda masih boleh mendengar suaranya secara langsung. Lantas, apa lagi alasannya? Jika mahu, anda punya seribu cara untuk mengekalkan kasih sayang anda bersama.

Khusus untuk puan dan suami malah pasangan jarak jauh yang lain, saya kongsikan beberapa tips untuk anda amalkan bagi mengekalkan hubungan agar terus kekal mesra dan saling memerlukan:-

Perkara paling penting ialah sentiasa sedar diri iaitu sedar mengenai status anda sebagai suami atau sebagai isteri. Bila anda sedar diri, anda akan berjaya mengawal diri agar tidak melakukan sesuatu yang melukakan hati pasangan malah sentiasa berusaha untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab anda sebagai suami atau isteri seperti yang disarankan oleh syarak.

Tip kedua ialah sentiasa wujudkan komunikasi unggul dengan pasangan. Jika berkemampuan, usahakan untuk ‘berkumpul’ bersama pasangan dan anak-anak minima sekali dalam masa dua minggu. Hingga tempoh tersebut, sentiasalah berhubungan sama ada melalui telefon atau chatting atau apa saja mekanisma komunikasi yang ada di zaman penuh canggih ini. Tiada alasan untuk menjarakkan hubungan biarpun berada berjauhan jika benar-benar menghayati dan menghargai kasih yang ada.

Tip ketiga; jangan sesekali cari pasal. Jangan cuba-cuba untuk menguji kesetiaan sendiri terhadap pasangan. Status sebagai suami atau isteri yang anda pegang bukan sekadar tertera di atas kertas tetapi adalah satu amanah dan janji anda kepada Yang Maha Esa. Anda berjanji untuk menyayangi pasangan anda, mencintainya dan membahagiakannya biar pun tika dia tiada di depan mata. Jika anda engkar, anda bukan saja tak setia kepada pasangan anda tetapi anda mengengkari janji kepada-Nya untuk mewujudkan satu hubungan yang penuh rahmah dan mawaddah (kasih sayang).

Tips keempat; bataskan hubungan anda dalam bergaul dan berkawan. Elakkan hubungan yang mesra terutamanya dengan rakan berlainan jantina. Penting; jangan selalu luangkan masa anda dengan seseorang sahaja khususnya yang berlainan jantina dan jangan juga berkongsi masalah dengan rakan berlawanan jenis.
Paling utama; berdoa. Sentiasa berdoa agar kasih sayang suami isteri sentiasa utuh, kekal dan mekar hingga ke akhir hayat. Tak perlu tunggu waktu solat sahaja sebaliknya berdoalah setiap ketika kecuali tika qadha hajat – buang air kecil atau besar. InsyaAllah, dengan segala ikhtiar dan doa anda kepada-Nya, kasih sayang suami isteri akan kekal bersemarak hingga akhirnya.

Bagaimana nak atasi cemburu bila dia tiada di depan mata? Cemburu tanda sayang tapi cemburu melampau atau cemburu tanpa sebab akan menjadi virus dalam rumahtangga. Bagi mengelakkan cemburu yang wajar, bataskan hubungan anda dan wajarkan cara anda berkomunikasi dengan rakan-rakan anda. Jangan pula sentiasa bersama berdua sahaja atau kerap berhubungan sama ada menerusi telefon atau SMS apatah lagi berhubungan tika masa yang tak sepatutnya contoh waktu lewat malam. Kenalkan rakan-rakan sekerja kepada pasangan. Bila rakan anda juga menjadi rakannya, cemburu buta takkan ada. Elakkan juga melakukan perkara yang pasangan tak suka contoh keluar berdua ke mana-mana bersama rakan sekerja walau atas urusan kerja.

Khusus buat diri yang cemburu pula, perlu kawal diri. Fahami keperluan pasangan tika melaksanakan tugasan. Percayai kejujurannya dan keikhlasannya. Ingat! Hubungan suami isteri adalah hubungan yang sah menurut syariat dan halal. Perkara halal memang tak digemari oleh syaitan lantas jangan benarkan syaitan menguasai diri anda. Isu kewangan juga bukan masalah utama jika bijak menguruskannya. Hiduplah sesuai dengan saiz periuk sendiri, bukan periuk orang lain. Suami laksanakan tanggungjawab yang wajib dan isteri membantu. Suami boleh gunakan waktu terluang yang ada kerana bersendirian tanpa isteri untuk melakukan kerja sampingan bagi menambah pendapatan. Hendak seribu daya, mahu seribu cara. Tak nak, satu alasan menutup setiap pintu yang ada.