Soalan ruangan Dilema Perkahwinan, Majalah Pa&Ma edisi April 2011:
"Saya baru sahaja dimadukan tetapi bersyukur kerana madu tidak pernah mengongkong suami. Giliran saya dihormatinya tetapi jauh di sudut hati, saya cemburu dan terluka memikirkan suami melimpahkan kasih sayangnya kepada orang lain. Sedangkan Aisyah, isteri Rasulullah cemburukan Khadijah yang telah meninggal dunia, inikan pula saya. Bagaimana cara untuk saya kikis perasaan negatif ini kerana bagi saya cemburu itu tandanya sayang?"
JAWAPAN:
Benarlah ada pepatah Melayu mengatakan; cemburu itu tandanya sayang tetapi perlu diingat; cemburu yang melampau juga boleh memusnahkan kasih sayang yang ada. Cemburu memang tak boleh dielakkan hatta isteri-isteri Rasulullah SAW pun mempunyai rasa cemburu di kalangan mereka. Walau cemburu adalah penyakit biasa di dalam kehidupan berpoligami namun ianya tidak boleh dibiarkan berlarutan. Sakit cemburu ini perlu dibendung dan diatasi agar ianya tidak membawa padah dan mudharat kepada diri sendiri, suami dan ahli keluarga lainnya.
Kebanyakan kes; cemburu wujud bukan sahaja kerana si suami membahagikan kasih sayang dan luang masa tetapi acapkali kerana si isteri merasakan madunya adalah pesaing dan mempunyai lebih keistimewaan berbanding dirinya. Malah ada tikanya para madu ini sengaja menyelidik aktiviti si suami bersama isteri yang satu lagi lantas membanding-bandingkannya. Buat penyoal dan isteri-isteri lain di luar sana yang ditakdirkan mempunyai madu, tak kiralah anda yang pertama, kedua, ketiga atau keempat, ingatlah satu perkara: ANDA JUGA MEMPUNYAI KEISTIMEWAAN YANG TERSENDIRI.
Jika anda yang pertama, anda paling istimewa kerana anda adalah wanita pertama yang berjaya merebut hati suami anda hingga anda dijadikan suri hidupnya berbanding jutaan wanita lain yang ada tika itu. Sudah semestinya anda memiliki keistimewaan tersendiri yang membuatkan suami anda memilih anda. JANGAN SALAH SANGKA, walaupun ada wanita lain hadir di antara anda dan suami anda, tidak bermakna wanita itu lebih istimewa daripada anda. Anda tetap unggul dan istimewa lantaran itulah suami anda memilih untuk memberikan anda seorang madu dan bukannya menceraikan anda walaupun setelah hatinya diusik oleh wanita lain. Yang nyata, suami anda masih memerlukan anda di dalam hidupnya.
Jika anda adalah isteri kedua, ketiga atau keempat, JANGAN BERASA DIRI TERLALU ISTIMEWA. Kedudukan anda dengan isteri sedia ada sebelumnya adalah sama sahaja. Tak kiralah anda lebih berpendidikan, lebih berharta atau berkerjaya menarik atau mungkin terasa lebih cantik dan lebih muda, anda belum layak diiktiraf sebagai lebih istimewa. Hakikatnya, walau di mana pun kedudukan anda, semuanya adalah sama iaitu seorang isteri kepada seorang lelaki. Jadi, anda tak perlu berasa terlalu cemburu dengan madu-madu anda. Seperti yang saya jelaskan di awal tadi, setiap daripada anda mempunyai keistimewaan yang tersendiri yang membuatkan suami anda memilih anda sebagai teman hidupnya. Mungkin anda pandai memasak, suara anda manja, anda seorang yang kelakar, peramah dan pandai mengambil hati dan entah beribu alasan lagi yang hanya suami anda dan mungkin juga anda mengetahuinya. Kekalkan keistimewaan anda itu dan berusahalah untuk terus menambat hati suami dengan keistimewaan tersebut.
Ingatlah, sifat diri yang peribadi boleh dikekalkan sebaliknya jika anda sekadar menambat hati suami dengan rupa paras yang menawan hati, jangan terkejut jika tiba satu masa, anda dipinggirkan. Rupa paras yang cantik dan bentuk badan yang menarik tidak akan kekal walaupun sekarang ini terdapat beribu produk dan pusat rawatan kecantikan. Anda perlukan sesuatu yang lahir daripada diri dalaman anda untuk kekal istimewa setanding dengan madu-madu anda yang lain. Bila anda sedar keistimewaan diri anda, terimalah juga hakikat bahawa anda dan madu-madu anda juga mempunyai kelemahan yang tersendiri. Atas rasa kesedaran ini, insyaAllah rasa cemburu anda kepada madu-madu anda akan dapat dibendung dan diatasi.
Paling penting juga, anda perlu menganggap madu anda sebagai saudara anda sendiri, sebagai kakak dan adik. Saya tahu, bercakap memang mudah, nak lakukan tu amatlah payah. Hanya yang menghadapi dan mengalaminya sahaja yang tahu. Namun, satu sahaja nasihat saya, anda telah terpilih untuk berkongsi kasih dan hampir merelakan walau dalam keadaan terpaksa, berlapang dadalah menerima hakikat dan kebenaran ini kerana anda memiliki satu persamaan; sama-sama menyayangi dan disayangi seorang lelaki. Jika anda berjaya menanam anggapan tersebut di dalam diri, percayalah, rasa cemburu anda yang ada tikanya akan hadir membabi buta akan dapat dibendung dan diatasi.
Kenapa? Realitinya seorang kakak dan adik akan saling sayang menyayangi dan bantu membantu antara satu sama lain. Ianya bukan satu perkara mustahil. Saya pernah menyaksikan sendiri kesanggupan isteri pertama menjaga madunya yang sedang di dalam tempoh berpantang. Malah komunikasi antara mereka menggunakan bahasa kakak dan adik, tak terasa tika itu saya sedang berhadapan dengan dua wanita yang sedang berkongsi suami, subhanallah. Jangan lupa, di samping segala tindakan tersebut, sentiasalah berdoa agar anda dan madu-madu anda serta suami anda sentiasa dijauhkan daripada hasutan nafsu dan syaitan. Poligami adalah perkara yang harus dan halal di dalam Islam. Melaksanakannya dan redha menerimanya adalah perkara yang dibenci oleh syaitan. Jika anda tersasar walaupun sedikit, syaitan akan mengawal emosi anda dan anda akan dikuasai sepenuhnya oleh nafsu anda, nauzubillah.
Kepada yang berkongsi kasih suami, tahniah kerana terpilih untuk menerima ganjaran indah di akhirat. Laksanakan peranan dan tanggungjawab anda yang sewajarnya dan biarkan suami anda juga melaksanakan tanggungjawabnya yang sewajarnya kerana hak anda adalah sama dengan hak madu anda. Ingatlah, hanya kalian sahaja yang mampu menjadikan suami kalian sebagai suami yang adil di dalam poligami. Tak perlu iri hati atau berhasad dengki. Tak perlu nak rasa benci atau cemburu membuta tuli. Anda dan madu anda sama sahaja, tak ada perbezaan yang ketara kecuali kedudukan anda sama ada pertama, kedua, ketiga atau pun keempat. Biar di mana pun kedudukan anda, anda tetap sama sebab anda mempunyai hak yang sama dan diiktiraf oleh hukum syarak dan undang-undang keluarga Islam di Malaysia.
Secara umumnya, isteri yang perlu berkongsi suami mempunyai hak yang sama seperti juga isteri yang tidak perlu berkongsi suami. Hukum dan undang-undang jelas menyatakan bahawa suami adalah bertanggungjawab sepenuhnya kepada isteri dan anak-anak, merangkumi segala keperluan yang patut dan wajar bagi isteri dan anak-anak, tak terkecuali walaupun si isteri bekerja dan mempunyai pendapatan yang lebih berbanding suami. Bermaksud, seorang suami mestilah menyediakan makan minum, pakaian dan tempat tinggal yang sesuai dan sempurna untuk isteri dan anak-anaknya. Bukan sekadar itu, anak-anak mestilah mendapat pendidikan yang sempurna.
Pendek kata, segala keperluan isteri dan anak-anak bagi menjamin sebuah kehidupan yang selesa bersesuaian dan wajar dengan kehendak kehidupan kini perlulah disediakan oleh seorang lelaki bernama suami dan bapa. Jika anda mempunyai dua, tiga atau empat isteri sekali pun, segala tanggungjawab ini tidak ada pengurangan sedikit pun walaupun isteri kedua atau ketiga atau keempat ataupun isteri pertama mempunyai pendapatan sendiri. Sebab itulah, di dalam ayat al-Quran yang menerangkan hukum harus berpoligami menyatakan dengan jelas bahawa: ‘Jika tidak mampu berlaku adil, memadailah dengan satu”.
Keadilan yang dikehendaki bukanlah bermaksud sama rata tetapi mendapat hak yang sewajar dan sepatutnya. Sebagai contoh, jika isteri pertama mempunyai anak lebih ramai berbanding anak isteri kedua, sewajarnya perbelanjaan untuk keluarga daripada isteri pertama adalah lebih berbanding untuk keluarga isteri kedua. Inilah keadilan. Bukan sekadar pembahagian wang belanja tetapi juga pembahagian masa dan perhatian. Bak kata Datuk dalam cerita Mami Jarum, yang baru nak dipolish, yang lama pun nak kena gabuih. Bukannya dah dapat yang baru, yang lama terbiar terpinggir sendiri. Jika keadaan ketidak adilan berlaku, isteri yang dipoligamikan berhak menuntut keadilan tersebut di mahkamah. Jika masih gagal, isteri berhak memohon untuk keluar daripada perkahwinan.
Namun, sesuai dengan hikmah adanya poligami di dalam Islam, bukan sebagai
satu cabang untuk mewujudkan permusuhan sebaliknya adalah satu cara untuk
merapatkan persaudaraan serta saling bantu membantu sesama insan. Paling
penting, setiap individu yang terlibat menjalankan tanggungjawab dan peranan
masing-masing.