31 Mei 2008

Hakikat pernikahan

RENUNGILAH....

Isteri yang kamu nikahi
tidaklah semulia Khadijah
tidaklah setaqwa Aisyah
pun tidak setabah Fatimah

Justeru
isterimu hanyalah wanita akhir zaman
yang punya cita- cita menjadi solehah...

Pernikahan atau perkahwinan
mengajar kita kewajiban bersama

Isteri menjadi tanah, kamu langit penaungnya
Isteri ladang tanaman, kamu pemagarnya
Isteri kiasan ternakan, kamu gembalanya
Isteri adalah murid, kamu mursyidnya
Isteri bagaikan anak kecil, kamu tempat bermanjanya

Saat isteri menjadi madu
kamu teguklah sepuasnya

Seketika isteri menjadi racun
kamulah penawar bisanya

Seandainya isteri tulang yang bengkok
berhatilah meluruskannya..

Pernikahan atau perkawinan
menginsafkan kita perlunya iman dan taqwa
untuk belajar meniti sabar dan redha Allah SWT
kerana memiliki isteri yang tak sehebat mana

Justeru
kamu akan tersentak dari alpa
Kamu bukanlah Rasulullah saw..
pun bukanlah Sayyidina Ali Karamallahhuwajhah

Cuma suami akhir zaman
yang berusaha menjadi soleh... amin

Untuk isteri pula.. renungkanlah...
pernikahan atau perkahwinan membuka tabir rahsia
suami yang menikahi kamu tidaklah semulia Muhammad saw
tidaklah setaqwa Ibrahim
pun tidak setabah Ayyub
atau pun segagah Musa..
apalagi setampan Yusuf

Justeru
suamimu hanyalah lelaki akhir zaman
yang punya cita cita membangun keturunan yang soleh...

Pernikahan atau perkahwinan
mengajar kita kewajiban bersama

Suami menjadi pelindung, kamu penghuninya
Suami adalah nahkoda kapal, kamu pengemudinya
Suami bagaikan pelakon yang nakal, kamu adalah penonton kenakalannya
Saat suami menjadi raja, kamu nikmati anggur singgahsananya
Seketika suami menjadi bisa, kamulah penawar ubatnya

Seandainya suami bengis lagi lancang
sabarlah memperingatkannya..

Pernikahan ataupun perkahwinan
mengajarkan kita perlunya iman dan taqwa
untuk belajar meniti sabar dan redha Allah SWT
kerana memiliki suami yang tak segagah mana

Justeru
kamu akan tersentak dari alpa
kamu bukanlah Khadijah yang begitu sempurna di dalam menjaga
pun bukanlah Hajar yang begitu setia dalam sengsara

Cuma wanita akhir zaman
yang berusaha menjadi solehah... amin...

Justeru itu wahai para suami dan isteri...
jangan menuntut terlalu tinggi
seandainya diri sendiri jelas tidak berupaya

Mengapa mendambakan isteri sehebat Khadijah
andai diri tidak semulia Rasulullah

Mengapa mengharapkan suami setampan Yusof
seandainya kasih tak setulus Zulaikha

Tidak perlu mencari isteri secantik Balqis
andai diri tidak sehebat Sulaiman
DAN
Tidak perlu mencari suami seteguh Ibrahim
andai diri tidak sekuat Hajar dan Sarah

****Sumber: Forward Email. Tahniah kepada pencetus idea bernas. Moga menjadi iktibar dan panduan untuk semua.

30 Mei 2008

Pokok epal dan budak lelaki

Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat besar. Seorang kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal ini setiap hari. Dia memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan epal sepuas-puas hatinya, dan adakalanya dia berehat lalu terlelap di perdu pokok epal tersebut. Budak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainannya. Pokok epal itu juga menyukai budak tersebut.

Masa berlalu... budak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pokok epal tersebut. Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pokok epal tersebut dengan wajah yang sedih. "Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu. "Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau," jawab budak remaja itu. "Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya," tambah budak remaja itu dengan nada yang sedih.

Lalu pokok epal itu berkata, "Kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada padaku. Jualkannya untuk mendapatkan wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang kau inginkan." Budak remaja itu dengan gembiranya memetik semua epal di pokok itu dan pergi dari situ. Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pokok epal itu merasa sedih.

Masa berlalu... Suatu hari, budak remaja itu kembali. Dia semakin dewasa. Pokok epal itu merasa gembira. "Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu." Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku. Bolehkah kau menolongku?" Tanya budak itu.

"Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya." Pokok epal itu memberikan cadangan. Lalu, budak yang semakin dewasa itu memotong kesemua dahan pokok epal itu dan pergi dengan gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira tetapi kemudiannya merasa sedih kerana budak itu tidak kembali lagi selepas itu.

Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pokok epal itu. Dia sebenarnya adalah budak lelaki yang pernah bermain-main dengan pokok epal itu. Dia telah matang dan dewasa. "Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu. "Maafkan aku, tetapi aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar. Malangnya, aku tidak mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?" tanya lelaki itu.

"Aku tidak mempunyai bot untuk diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh memotong batang pokok ini untuk dijadikan bot. Kau akan dapat belayar dengan gembira," cadang pokok epal itu. Lelaki itu merasa amat gembira dan menebang batang pokok epal itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi selepas itu.

Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki yang semakin dimamah usia, datang menuju pokok epal itu. Dia adalah budak lelaki yang pernah bermain di sekitar pokok epal itu. "Maafkan aku. Aku tidak aada apa-apa lagi nak diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau buat bot. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati..." kata pokok epal itu dengan nada pilu.

"Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tiada bergigi untuk memakannya, aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu batang pokokmu kerana aku berupaya untuk belayar lagi, aku merasa penat dan ingin berehat," jawab lelaki tua itu. "Jika begitu, berehatlah di perduku," cadang pokok epal itu. Lalu lelaki tua itu duduk berehat di perdu pokok epal itu dan berehat. Mereka berdua menangis kegembiraan.

***Tahukah anda moral di sebalik cerita ini? Sebenarnya, pokok epal yang dimaksudkan di dalam cerita itu adalah kedua-dua ibu bapa kita. Bila kita masih muda, kita suka bermain dengan mereka. Ketika kita meningkat remaja, kita perlukan bantuan mereka untuk meneruskan hidup. Kita tinggalkan mereka dan hanya kembali meminta pertolongan apabila kita di dalam kesusahan. Namun begitu, mereka tetap menolong kita dan melakukan apa sahaja asalkan kita bahagia dan gembira dalam hidup.

***Anda mungkin terfikir bahawa budak lelaki itu bersikap kejam terhadap pokok epal itu. Fikirkanlah, itulah hakikatnya bagaimana jika anda juga bersikap sama terhadap ibu bapa anda. HARGAILAH JASA IBU BAPA KITA

29 Mei 2008

Wasiat Umamah kepada puterinya

Umamah telah mewasiatkan pada puterinya yang akan berkahwin dengan seorang raja Yaman iaitu Al Harith bin Amru. Katanya, "Wahai puteriku! Ada sepuluh perkara yang ingin kuberikan padamu sebagai pedoman dan juga panduan untukmu dalam kehidupan berumah tangga iaitu;

1. Jalinkan hubungan dengan suamimu dengan penuh ketaatan, perhatikan tempat-tempat yang menjadi kesenangannya dan jangan sampai ia melihat kepada sesuatu yang buruk atau tercium sesuatu yang busuk

2. Sentiasalah membanggakannya kerana ini akan membuatkannya bertambah kasih padamu

3. Benarkanlah segala pendapat dan sikapnya nescaya ia akan bersikap lembut terhadapmu

4. Uruskan rumahtangganya dengan baik dan sempurna

5. Sentiasalah memelihara diri, keluarga dan kehormatannya

6. Simpanlah segala rahsianya dengan baik, jangan sesekali kamu membantah suruhannya kerana ini akan melukakan hatinya

7. Jagalah waktu makannya dan waktu ia beristirehat kerana perut yang lapar akan membuatkan darah cepat naik begitu juga dengan tidur yang tidak cukup akan menimbulkan keletihan

8. Jika ia sedang bergembira janganlah kamu menunjukkan kesedihan, kamu mesti pandai mengikut suasana hatinya

9. Hiasilah dirimu selalu agar ia senang bila memandangmu

10. Jadikanlah dirimu itu sebagai amah kepadanya nescaya ia akan menjadi penolong pula pada dirimu."

****Sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita solehah. Allah SWT telah menjanjikan akan memberikan ganjaran syurga kepada wanita HANYA DENGAN MELAKUKAN DUA PERKARA iaitu taat kepada Allah dan rasul-Nya dan taat kepada suami. Senang ja kan? Nak amalkan tu yang payah tapi usaha ke arahnya PERLU!!

28 Mei 2008

Perihal Cinta

Kepada yang masih SINGLE...
Cinta ibarat kupu-kupu. Makin kau kejar, makin ia menghindar. Tapi, bila kau biarkan ia terbang, ia akan menghampirimu di saat kau tak menduga. Cinta mampu membahagiakanmu tapi sering pula ia menyakiti, tapi cinta itu hanya istimewa apabila kau berikan cinta kepada seseorang yang layak menerima.

Kepada yang ragu-ragu dengan PERNIKAHAN...
Cinta bukannya mencari seseorang yang "SEMPURNA", tetapi menemukan seseorang
yang mampu menjadikan dirimu sempurna.

Kepada PLAYBOY / PLAYGIRL...
Jangan katakan "AKU CINTA PADAMU!" bila kau tidak benar-benar peduli.
Jangan bicarakan soal perasaan bila itu tidak benar-benar ada. Jangan kau sentuh hidup seseorang bila kau hanya berniat main-main dengannya. Jangan menatap ke dalam mata seseorang bila apa yang kau lakukan hanya pembohongan. Hal paling kejam yg dilakukan ialah membuat seseorang jatuh cinta, sedangkan kau tidak berniat langsung "UNTUK MENERIMANYA" saat ia terjatuh.

Kepada yang PATAH HATI...
Sakit... luka, hancur.. patah hati... bertahan selama kau menginginkannya dan akan menghiris luka sedalam kau membiarkannya. Persoalannya, bukan bagaimana mengatasi rasa sakit itu, tetapi adalah apa yang boleh diambil dan dihayati sebagai pengajaran dan hikmahnya.

Kepada yang BELUM PERNAH JATUH CINTA...
Bagaimana kalau jatuh cinta? Mahu jatuh, jatuhlah! Tetapi, jangan sampai terjerumus.
Biar selamba tapi stabil. Berkongsilah tetapi jangan tak adil. Cubalah untuk memahami tetapi bukan bermakna tidak boleh meminta apa-apa. Bersedialah untuk terluka dan menderita, tetapi jangan simpan semua rasa sakit jika itu yang benar-benar dialami.

Kepada yang ingin MENGUASAI...
Hatimu patah melihat orang yang kau cintai berbahagia dgn org lain, tetapi akan lebih sakit lagi apabila mengetahui bahawa orang yang kau cintai ternyata tidak bahagia dengan mu.

Kepada yang takut MENGAKUI...
Cinta menyakitkan bila anda putuskan hubungan dengan seseorang. Tetapi, lebih sakit lagi bila seseorang memutuskan hubungan denganmu. Tetapi, cinta paling menyakitkan apabila orang yang kau cintai langsung tidak mengetahui perasaanmu terhadapnya.

Kepada yang masih bertahan
MENCINTAI SESEORANG YANG TELAH PERGI...
Hal menyedihkan dalam hidup ialah bila kau bertemu seseorang lalu jatuh cinta. Kemudian akhirnya menyedari bahawa dia bukanlah jodohmu dan kau telah mensia-siakan masa bertahun-tahun untuk seseorang yang tidak layak. Kalau sekarang dia sudah tidak layak, 10 tahun dari sekarang pun dia tetap tak akan layak. Biarkan dia pergi dan lupakan..
****Sumber Forward Email
****Saya suka dan setuju dengan perihal ini. Tahniah kepada pencetus idea unggul. Moga kita sama-sama mendapat pengajarannya.

27 Mei 2008

Antara lelaki dan wanita

Kenangan buka puasa bersama rakan sekerja pada Ramadhan 2006 (2007 saya dalam pantang). Dari kiri Hisham, Izam (skrg dgn Media Prima), Roslan, Zarul (juga dengan Media Prima skrg ni), Faizarudin (dah jadi jutawan), Faizul (skrg dengan sebuah sykt animasi), Bobo (dah lama tak der khabar slps berhenti kerja utk balik kg menjaga ayahbonda yg makin uzur), Manisa, Mira dan Izzati (baru berpindah ke Penang tinggal bersama suami setelah lebih 2 thn menjadi pasangan suami isteri jarak jauh)

Sama-samalah kita renung sejenak dan berfikir...

Wanita menarik nafas lebih kerap daripada lelaki, manakala lelaki menarik nafas lebih dalam daripada wanita.

Sistem badan lelaki dan wanita pun tidak sama. Lelaki lebih banyak memerlukan oksigen berbanding wanita supaya mereka dapat menukarnya menjadi tenaga.

Kulit lelaki lebih kasar, kulit perempuan lebih halus.

Perempuan lebih halus suara berbanding lelaki yang kasar dan besar suaranya.

Lelaki memiliki tulang anggota yang lebih panjang berbanding wanita. Tulang wanita bukan sekadar lebih kecil malah susunannya berbeza disebabkan wanita diciptakan Tuhan dengan struktur tubuh bagi melahirkan anak.

Wanita secara umum lebih bersikap mudah mengikut kata hati, lebih berminat kepada cinta dan kasih sayang dan hubungan perasaan.

Apabila mengamati benda, kedua-duanya juga berbeza. Lelaki lebih menggunakan pengamatan tumpuan. Manakala wanita menggunakan lebih pengamatan luas dan membesar. Pengamatan lelaki ibarat cahaya laser yang menumpu kepada sesuatu objek. Manakala, pengamatan wanita ibarat lampu suluh, yang membuka, menampakkan banyak benda.

Wanita mahu mengambil tahu semua perkara. Daripada perkara kecil sehingga perkara besar. Sementara lelaki hanya menumpukan kepada matlamat utama.

Cuba perhatikan kepada wanita, apa yang mereka bawa apabila berjalan keluar rumah. Tengok sahaja pada beg tangan mereka, lebih besar daripada lelaki. Lelaki membawa beg kecil sahaja. Di dalamnya hanya ada lesen kenderaan, duit, surat-surat penting dan kad kredit bank.

Dalam beg tangan wanita semuanya ada. Di dalam beg tangan perempuan ada dompet duit, kad kredit, buku bank, buku cek, ada alatan make-up, cermin, sikat rambut, tisu muka, pengetip kuku, kunci, pen, pensel, ubat sakit kepala, gambar suami, gambar anak, cermin mata hitam, buku telefon, tuala ehem..ehemm... dan macam-macam lagi.

Kenapa sedemikian dilakukan oleh wanita?Jawabnya kerana wanita memikirkan pelbagai kemungkinan perkara yang boleh berlaku. Mereka lebih peka, apabila sesuatu terjadi, persediaan sudah pun dilakukan. Ini bermakna pemikiran dan penumpuan wanita lebih lebar.

Pada lelaki, cukup dengan lesen memandu dan duit. Sebab mereka mahu sampai ke matlamat. Duit untuk membeli. Lesen memandu supaya selamat daripada disoal polis.

Demikianlah perbezaan yang wujud antara lelaki dan wanita. Kerana itu, tidak hairan apabila suami isteri ini melihat banyak perkara secara berbeza. Urusan-urusan rumah tangga kadang-kadang ditangani secara berbeza.

Contohnya, suami isteri yang kedua-duanya bekerja, mereka terpaksa keluar dari rumah awal pagi. Dalam banyak hal, wanita bekerja yang paling kerap bersungut. Suaminya, pabila keluar sahaja dari rumah, yang dibawa hanya kunci kereta, masuk dalam kereta dan hidupkan enjin, kemudian tunggu isteri. Matlamat mereka ke pejabat.

Manakala si isteri, memikirkan apa yang anak bawa ke sekolah, baju di ampaian siapa hendak ambil, anak belum pakai baju lagi, anak belum makan lagi. Kalau bolehnya, dia mahu memikirkan semua benda, kerana padanya, apabila sesuatu terjadi, bagaimana kesudahannya?

Biar lewat ke tempat kerja, asalkan semuanya beres. Apabila si suami dan si isteri ke kompleks membeli belah . Si isteri, apabila masuk sahaja ke pusat membeli belah, dia melihat banyak benda dahulu, satu persatu, perlahan-lahan, dari atas ke bawah, kain ini dipegang, diperhatikan...... kemudian pegang pula kain lain, selepas berjam-jam barulah dibuat pilihan membeli.

Pendek kata, si suami yang menjadi pengikut setia mudah bosan. Bagi lelaki apabila hendak membeli sesuatu, terus dituju ke tempat yang ingin dibeli dan membeli. Membeli belah pada lelaki tidak mengambil masa yang lama seperti perempuan.

Contoh-contoh tersebut menunjukkan wanita mengamati sesuatu berbeza daripada lelaki. Sebab itu, jangan bergaduh selepas membeli belah, jangan bergaduh ketika mahu ke tempat kerja.

Si isteri jangan putus asa melihat si suami, apabila keluar sahaja dari rumah terus masuk kereta. Tanpa mengangkat botol susu anak, kain lampin anak, dan berbagai lagi untuk dibawa ke rumah pengasuh.

Akuilah lelaki dan wanita berbeza. Perbezaan bukan untuk bermusuh, sebaliknya bagi saling membantu dan berkasih sayang. Kerana kita berbeza, kita lebih berkasih sayang. Jangan disebabkan perbezaan pada cara berkasih sayang antara lelaki dengan seorang wanita, maka timbul krisis rumah tangga berpuluh tahun.

Tentulah kerana perbezaan yang ada antara kita itu , maka kita lebih berkasih sayang. Kerana itu, kita berbeza supaya saling sayang menyayangi.

****Sumber: Forward Email. Terpulanglah kepada penilaian anda. Yang penting, keharmonian tercipta...

26 Mei 2008

Kenapa hanya RM50?

Semalam PA saya menyampaikan soalan yang entah dah berapa kali diajukan kepada saya: Ada klien tanya; kenapa Pn.Su hanya kenakan RM50 sahaja untuk bayaran khidmat rundingcara keluarga yang dikendalikannya- bayaran bagi setiap sesi yang memakan masa maksima 2 jam?

Malah untuk temujanji dua minggu lepas, seorang klien bertanya: Betul ker RM50 utk satu sesi? Atau RM50 utk satu jam? Bila saya katakan RM50 utk satu sesi yang masanya adalah 2 jam, klien saya mengerutkan dahi: "Murahlah berbanding khidmat rundingcara swasta yang lain."

Saya tak pasti sama ada penyataan klien tersebut betul atau tidak. Memang saya pernah tau, ada pihak yang kenakan RM50 untuk satu jam dan tambahan RM30 untuk jam-jam seterusnya. Terpulanglah kepada pihak masing-masing. Yang saya pasti, memadailah kos yang saya kenakan tersebut.

Pengalaman saya mengendalikan kes rundingcara keluarga sejak tahun 1998, tempoh dua jam adalah memadai untuk setiap sesi rundingcara. Jika perlu, kes akan disambung ke hari lain pula. Tak boleh lebih daripada dua jam, sesi akan sukar mencapai maksudnya.

Kenapa RM50 sahaja? Cukuplah, sekadar dapat membantu membiayai kos yang perlu. Paling penting, saya tak nak menambahkan beban mereka yang telah pun bermasalah. Tak semua orang bermasalah di dalam rumahtangga mempunyai sumber kewangan yang kukuh. Saya bimbang jika saya kenakan kos yang tinggi, beban mereka ini akan bertambah. Masalah rumahtangga satu hal, masalah duit pun satu hal.

Bila saya menjadi penyebab bertambahnya beban masalah orang lain, itu sudah lari daripada tujuan asal saya berkecimpung di dalam bidang ini. Sejak mula, saya berhasrat untuk membantu setiap insan mencapai kebahagiaan hidup dalam cara mereka yang tersendiri terutamanya membantu kaum wanita. Jika bukan saya yang membantu kaum saya sendiri, siapa yang saya nak harapkan?

Memang ada ramai wanita di luar sana yang lebih pakar dan berpengalaman daripada saya. Namun itu bukan bererti saya tidak boleh menjalankan kewajipan saya sesama manusia. Malah Alhamdulillah, telah lebih 10 tahun terlibat di dalam bidang ini, hampir setiap klien meluahkan rasa lega, hilang rasa tekanan dan gembira setelah selesai berbicara dengan saya. Saya mempunyai rangkaian rakan-rakan yang dulunya adalah klien-klien saya.

Bukan wang tujuan utama tetapi bukan bererti saya boleh berikan khidmat percuma kerana saya juga perlukan wang untuk setiap pergerakan dan langkah saya. Jadi, dalam misi saya membantu anda, memadailah RM50 sebagai bantuan anda kepada saya.

Saya dalam proses untuk menambahbaikkan khidmat rundingcara ini. InsyaAllah dalam masa terdekat, saya akan lancarkan Kelab Bersama Suzana. Tungguuuu.....!!!

22 Mei 2008

Masih kekal tangga teratas

Sulaim (kiri) dipangku oleh Bapa saya (kesian Bapa terkejut diambil gambar tiba-tiba) tika balik kampung baru-baru ini. Di sebelah Sulaim ialah Hafizi (anak ketiga Angah-adik saya) tua dua bulan daripada Sulaim.

Awal malam tadi, lepas selesai solat Maghrib, saya melayan anak-anak bermain sambil-sambil memasang telinga mendengar siaran Buletin Utama. Tiba-tiba adik saya cadangkan satu ujian. Dia akan pegang Sulaim untuk bertatih sementara saya dan Bibik (pembantu saya yang mula bekerja dengan saya sejak kes anak ketiga saya demam dan muntah di taska) disuruh memanggil Sulaim ke arah kami. Tujuannya, nak tau siapa pilihan Sulaim? Saya atau Bibik?

Memang mengejutkan permintaan adik saya itu. Malah merisaukan saya juga namun permintaan tersebut saya penuhi walau Bibik awal-awal lagi dah mengalah, yakin saya yang akan menang. Saya dan Bibik duduk bersebelahan tetapi tidak rapat. Kami sama-sama memanggil Sulaim sambil mendepakan tangan lagak nak mengambilnya.

Sulaim mula bertatih, sesekali terhenti. Sekejap memandang saya, sekejap memandang Bibik. Kemudian Sulaim tersenyum dan bertatih lagi. Dalam hati saya, Allah saja yang tau betapa saya berdebar dan bimbang. Selepas beberapa kali berhenti dan bertatih semula, jelas arah dituju ialah kepada saya dan sungguh, akhirnya Sulaim berada di dalam pelukan saya. "Kan saya sudah cakap. Mestilah dipilih Umminya!!!" Bibik bersuara dalam tawa.

Syukur... syukur Alhamdulillah! Saya masih kekal di tangga teratas. Walau saya hanya menjaga bayi saya (genap lapan bulan semalam) pada malam hari dan hari cuti, saya masih tetap nombor satu di hatinya. Bukan Bibik tak pandai jaga malah hampir dua bulan dia bekerja dengan saya, dapat saya rasakan betapa dia menyayangi dan mengambil berat tentang anak-anak saya. Mungkin komunikasi unggul antara saya dan anak-anak masih berlaku walau masa mereka bersama saya lebih kurang berbanding masa mereka bersama Bibik. Tak dapat saya bayangkan jika malam tadi, saya kalah di dalam pertaruhan tersebut... nauzubillah.

Sungguh!! Walau sebaik mana pun pembantu atau pengasuh menjaga anak-anak anda, anak anda tetap perlukan perhatian dan kasih sayang anda. Jangan sesekali abaikan mereka. Usah rasa seronok atau bangga jika anda 'senang' meninggalkan anak anda kepada pembantu atau pengasuh sepanjang masa.

Jangan rasa selesa bila anak suka tidur bersama pembantu atau pengasuh tika malam menjelma. Jangan rasa bangga bila anak-anak lebih gemar meminta pembantu buatkan apa saja keperluan mereka sedangkan tika itu, anda ada bersama mereka. Keadaan-keadaan tersebut boleh mengundang situasi yang lebih buruk sebenarnya.

Walau anda punya pembantu, cubalah seboleh mungkin untuk melayan keperluan anak-anak anda sendiri bila anda ada di rumah. Saya faham, bekerja seharian memang memenatkan.

Fikirkan, kenapa anda bekerja? Demi kehidupan selesa anak-anak kan? Apa ertinya selesa? Makan KFC setiap hari dan hanya dapat bertemu muka dengan anda satu jam dalam seminggu? Sehari dalam sebulan? Atau anda tak berpeluang melihat perkembangan bayi anda? Sedar-sedar jer dah boleh berjalan sebabnya semuanya diserahkan 100% kepada pembantu.

Dah nama pun pembantu... dia hanya membantu anda tika anda tidak berdaya, bukan menyerahkan segalanya kepadanya. Saya bukan menyokong pembantu atau pengasuh. Saya cuma bimbang jika satu hari nanti, anda kehilangan anak sedangkan dia wujud di depan mata. Renung-renungkanlah....

21 Mei 2008

Anak anugerah paling berharga

Anak yang dilahirkan adalah suci dan bersih. Kita sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab membentuk peribadi mereka dan menentukan halatuju mereka. Justeru, kecemerlangan anak kita bermula daripada diri kita sendiri, lantas:

1. Mulakanlah hidup anak anda dengan nama panggilan yang baik. Nama panggilan yang kurang baik akan menyebabkan anak anda malu dan merasa rendah diri. Di dalam Islam sendiri nama panggilan yang baik adalah digalakkan.

2. Berikan anak anda pelukan setiap hari. Kajian menunjukkan anak yang dipeluk setiap hari akan mempunyai kekuatan IQ yg lebih kuat daripada anak yang jarang dipeluk.

3. Pandanglah anak anda dengan pandangan kasih sayang. Pandangan ini akan membuatkan anak anda lebih yakin diri apabila berhadapan dengan persekitaran.

4. Berikan peneguhan setiap kali anak anda berbuat kebaikan. Berilah pujian, pelukan, ciuman, hadiah ataupun sekurang-kurangnya senyuman untuk setiap kebaikan yang dilakukannya.

5. Janganlah mengharapkan anak anda yang belum matang itu melakukan sesuatu perbuatan baik secara berterusan. Ingatlah, mereka hanya kanak-kanak yang sedang berkembang. Perkembangan mereka membuatkan mereka ingin mengalami setiap perkara termasuklah berbuat silap.

6. Apabila anda berhadapan dengan masalah kerja dan keluarga, pilihlah keluarga kerana anak-anak terus membesar. Masa itu terus berlalu dan tak akan kembali.

7. Di dalam membesarkan dan mendidik anak-anak, jangan sesekali anda mengeluh. Keluhan akan membuatkan anak-anak merasakan diri mereka sebagai beban.

8. Dengarlah cerita anak anda kerana cerita itu tak akan dapat anda dengari lagi pada masa akan datang. Tunggu giliran anda untuk bercakap. Ini akan mengajar anak anda tentang giliran untuk bercakap.

9. Tenangkan anak anda setiap kali mereka memerlukannya.

10. Tunjukkan kepada anak anda bagaimana cara untuk menenangkan diri. Mereka akan menirunya.

11. Buatkan sedikit persediaan untuk anak-anak menyambut harijadinya. Sediakanlah hadiah harijadi yang unik walaupun harganya murah. Keunikan akan membuatkan anak anda belajar menghargai. Anak-anak yang datang daripada persekitaran yang menghargai akan belajar menghargai orang lain.

12. Kemungkinan anak anda menerima pengajaran bukan pada kali pertama belajar. Mereka mungkin memerlukan anda mengajar mereka lebih daripada sekali.

13. Luangkanlah masa bersama anak anda di luar rumah, peganglah tangan anak-anak apabila anda berjalan dengan mereka. Mereka tentu akan merasa pentingnya kehadiran mereka dalam kehidupan anda.

14. Dengarlah mimpi ngeri anak-anak anda. Mimpi ngeri mereka adalah begitu realiti dalam dunia mereka.

15. Hargailah permainan kesayangan anak anda. Mereka juga dalam masa yang sama akan menghargai barang-barang kesayangan anda. Elakkan daripada membuang barang kesayangan mereka walaupun sudah rosak. Mintalah kebenaran mereka sebelum berbuat demikian.

16. Janganlah membiarkan anak-anak anda tidur tanpa ciuman selamat malam.

17. Terimalah yang kadangkala anda bukanlah ibubapa yang sempurna. Ini akan mengurangkan stress anda menjadi ibu bapa.

18. Jangan selalu membawa bebanan kerja pejabat ke rumah. Anak-anak akan belajar bahawa kerja pejabat selalunya lebih penting daripadakeluarga.

19. Anak menangis untuk melegakan keresahan mereka tetapi kadangkala cuma untuk sound effect sahaja. Bagaimanapun dengarilah mereka, dua puluh tahun dari sekarang anda pula yang akan menangis apabila rumah mula terasa sunyi. Anak-anak anda mula sibuk mendengar tangisan anak mereka sendiri.

20. Anak-anak juga mempunyai perasaan seperti anda. Cubalah memahami perasaan mereka.

20 Mei 2008

Waktu temujanji baru

Selalu sangat saya mendapat pertanyaan, kenapa temujanji perlu pada hari Sabtu atau hujung minggu? Maafkan saya. Bukan berniat menyusahkan sesiapa atau untuk memudahkan diri sendiri sebaliknya saya terikat dengan satu tugasan lain yang perlu saya selesaikan pada hari-hari biasa.

Alhamdulillah, tugasan tersebut hampir selesai dan BERMULA JUN INI, saya dah boleh bertemu dengan anda pada hari-hari kerja biasa: Isnin hingga Jumaat, 9am-6pm dan Sabtu 9am-1pm. Untuk jadual terperinci, sila hubungi pembantu saya Aiza di talian 013-2545965. Saya juga boleh berjumpa dengan anda di kawasan anda sendiri (tertakluk kepada kawasan- sila berunding dengan pembantu saya).

Bagi mereka yang berada di luar Kuala Lumpur dan Selangor, anda boleh berkongsi masalah dengan saya secara online. Caranya? InsyaAllah, saya akan war-warkan dalam masa terdekat.

Tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan. Yang penting kita berusaha, berikhtiar, berdoa seterusnya bertawakkal kepada Allah Yang Maha Kuasa.

15 Mei 2008

Luahkan rasa sayang

KAMI SAYANG MAK

Itulah kata-kata yang tertera pada kek untuk Mak sempena Hari Ibu baru-baru ini. Alhamdulillah kami lapan beradik dapat berkumpul bersama, sempat sama-sama berkelah di satu kawasan air terjun. Perasaan Mak? Saya yakin Mak gembira dan kegembiraan Mak memang terpancar jelas di wajahnya. Tak cukup dengan luahan rasa di atas kek, saya dan adik-adik bergilir-gilir memeluk Mak sambil mengucapkan selamat hari ibu.

Bagaimana dengan anda? Sempat mengucapkan selamat hari ibu dan meluahkan rasa sayang anda kepada ibu anda? Jika tidak sempat, gunakan masa yang masih ada ini untuk meluahkan rasa sayang anda.

Bukan saja kepada ibu malah kepada setiap insan tersayang di sekeliling anda: bapa, pasangan dan anak-anak. Saya pernah mendengar luahan, ucapan sayang ni kalau disimpan lebih berharga. Pelik kan? Bagaimana boleh berharga jika orang disayang tidak mengetahuinya? Hidup bersuami isteri belum menjanjikan diri anda disayangi sepenuhnya. Saya pernah mengendalikan kes suami isteri yang boleh hidup bersama selama 13 tahun tetapi tidak pernah berhubungan bagai suami isteri semata-mata ingin tinggal serumah dengan dua anak kembar lelaki mereka.

Tak salah mengucapkan sayang. Ucapan sayang anda kepada seseorang akan membuatkan orang tersebut rasa amat bahagia. Lantas, ucapkan sayang anda selagi masih belum terlambat.

08 Mei 2008

Selamat Hari Ibu


Hujung minggu ini, setiap wanita yang mempunyai anak (tak kisahlah anak sendiri, anak tiri atau anak angkat asalkan di antara wanita dan anak tersebut wujud hubungan kasih sayang ibu dan anak) layak menerima ucapan SELAMAT HARI IBU.

Tahun ini adalah tahun kelima saya menyambut hari ibu. Alhamdulillah, pada tahun kelima ini, saya telah mempunyai tiga cahayamata penyejuk hati dan emosi. Terasa sekejap sangat masa berlalu. Bagai tak percaya pun ada.

Saya masih ingat lagi, tika sahabat baik saya, Syikin, bakal melahirkan anak keduanya hampir lapan tahun lepas, saya pernah menyuarakan: "Jika aku tak ditakdirkan bertemu jodoh tika dah berusia 30 tahun, aku nak mintak seorang anak kau jadi anak angkat aku..." Memang permintaan melampau tetapi itulah hasrat saya tika itu.

Alhamdulillah, dua tahun selepas hasrat itu saya luahkan, saya ditakdirkan bertemu jodoh dan tika meraikan ulangtahun perkahwinan yang pertama, saya sudah memiliki puteri sulung saya, Ayuni Syafiqah yang lahir di stesen minyak Petronas Sg Perak arah utara pada jam 2.40am 12hb Januari 2003. Seterusnya Allah anugerahkan saya dengan kelahiran Azfar Suhail dan Afkar Sulaim. Alhamdulillah... anak-anak adalah kebahagiaan saya.

Benarlah kata orang, anak-anak adalah permata hati. Walau penat yang amat sangat, segala lelah akan rasa berlalu begitu sahaja setelah melihatkan senyum tawa anak-anak. Jika dulu Mak selalu cakapkan pada saya yang sering pertikaikan sikap Mak yang selalu sangat risau tentang saya dan adik-adik: "Hang tak jadi Mak lagi, hang tak faham la... hang jadi Mak nanti baru hang tau..."

Betul kata Mak, kini saya mula faham kerisauan Mak. InsyaAllah, esok pagi saya akan bertolak balik ke kampung untuk bertemu dengan Mak dan Bapa. Kali ni semua adik-adik turut balik dan kami akan berkumpul. InsyaAllah, akan ada sambutan istimewa untuk Mak kali ni...

Kepada semua wanita bergelar Mak, Ibu, Mama, Ummi atau apa saja panggilan anda, saya ucapkan Selamat Hari Ibu. Kepada anda yang bernama anak, luahkan rasa kasih kepada ibu anda selagi hayatnya masih ada...

***Saya akan bercuti mulai 9hb hingga 14hb Mei. Jumpa lagi nanti....

06 Mei 2008

Iktibar dari kisah benar

Seorang isteri, Puan M memohon pertolongan saya bagi menguruskan tuntutan perceraian ke atas suaminya, En. S. Menurut Puan M, perkahwinan yang menjangkau usia 18 tahun adalah atas pilihan ibu bapa kedua-dua pihak. Hasil perkahwinan Puan M dan suami dianugerahkan tiga orang puteri berusia 16, 14 dan 12 tahun. Walau mempunyai tiga cahayamata, Puan M tidak pernah merasa gembira atau bahagia bersama suaminya. Hanya kerana anak-anak, beliau memaksa diri untuk tinggal sebumbung dengan si suami. Itupun, setelah dua kali bercerai dan rujuk semula. Bererti, permohonan perceraian yang bakal dipohon ini adalah untuk kali ketiga.

Bila ditanya kenapa ingin keluar dari perkahwinannya, Puan M menjelaskan, selama hampir 18 tahun perkahwinan, jiwa dan perasaannya tersiksa. Sudahlah perkahwinan atas pilihan orang tua, beliau dikahwinkan pula ketika usia muda iaitu 19 tahun sedangkan pada masa tersebut beliau layak meneruskan pengajian ke sebuah intitusi pengajian tinggi tempatan. Enggan menjadi anak derhaka, beliau menurut kehendak orang tua dengan harapan perkahwinan yang direstui ibu bapa itu akan memberikannya kebahagiaan. Awal perkahwinan, mereka tinggal bersama mertua dan menurut Puan M, sebagai menantu pilihan mertua, hidupnya memang gembira. Selepas dua bulan perkahwinan, suami mendapat tawaran kerja di ibu kota. Puan M bersyukur, sinar bahagia makin menyerlah.

Dua bulan di ibu kota, Puan M mula mengalami tekanan. Diri telah berbadan dua, suami pula makin suka berpoya-poya. Balik lewat-lewat malam, makan minum isteri dah tak dipedulikan lagi. Namun, Puan M masih bersabar, duit simpanan yang ada digunakan untuk menampung keperluan, demi anak di dalam kandungan, cahayamata bakal penambat semula kasih sayang, begitulah harapannya. Namun, kita hanya merancang dan menaruh harapan. Dia lebih mengetahui tentang segala kejadian. Sikap suami tak berubah. Habis kerja pukul 5 petang tapi lewat malam baru balik ke rumah. Waktu hujung minggu, Puan M tetap bersendirian manakala si suami, entah ke mana pergi. Motor kapcai telah digantikan dengan motor berkuasa tinggi. Makin seronoklah memperaga diri. Puan M pernah menasihati tapi masuk telinga kanan keluar telinga kiri.

Tak nak sakitkan kepala, Puan M mula mencari kerja. Puan M mengharapkan, lahirnya cahayamata pertama nanti, sikap suami akan berubah. Namun, bagai mengharap bulan jatuh ke riba. Suaminya masih sama seperti sebelumnya. Malah berterusan hingga perkahwinan mereka dikurniakan tiga orang puteri. Puan M menjadi hilang sabar apabila suaminya tidak mengendahkan langsung dirinya yang demam teruk. Suaminya tetap keluar malam dengan alasan telah berjanji dengan rakan-rakan. Hanya tiga puteri yang masih belum mengerti apa-apa ditugaskan menjaga si isteri. Puan M nekad. Daripada bersuami tapi seperti tak ada, biarlah betul-betul tak ada. Bukan saja tak prihatin kepada isteri, suaminya juga tak ambil peduli tentang anak-anak. Makan minum, pakaian, sakit… semuanya si isteri yang menanggung. Keputusan muktamad, akhirnya Puan M dan suaminya bercerai.

Belum pun cukup sebulan, suaminya seolah sedar diri. Sikap si suami berbeza sama sekali. Saban hari Puan M menerima bunga dan kad bertulis kata-kata romantik dan janji-janji indah. Puan M masih keras hati. Namun, bila si suami berterusan mengulangi sikap romantiknya itu hingga hampir habis tempoh eddah, Puan M terbuka hati untuk menerima suaminya kembali. Namun, tak sampai seminggu, Puan M mula menyesali tindakannya merujuk kembali kerana si suami masih dengan sikap yang sama. Keluar di malam hari. Bila diminta duit buat belanja, suaminya seperti punya telinga kuali. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun. Puan M bersabar, demi anak-anak yang makin membesar. Namun, ujian Allah tiada siapa menyangka. Puan M diberhentikan kerja tanpa sebarang pampasan kerana syarikatnya mengalami kerugian.

Walau Puan M tidak punya pendapatan, suaminya tetap mengabaikan nafkah hingga memaksa Puan M bekerja sendiri dengan membuat kuih dan nasi lemak untuk dijual. Puan M hilang sabar apabila satu hari, si suami mengambil wang yang disimpannya tanpa pengetahuannya. Puan M nekad, suaminya tidak boleh diberi muka lagi. Puan M membawa anak-anaknya pulang ke kampung. Perceraian diuruskan. Sah, mereka bercerai untuk kali kedua.

Ujian Allah datang lagi. Selepas sebulan bercerai, si suami menyertai mereka di kampung. Kali ini, si suami memikat hati anak-anak agar Puan M kembali ke pangkuannya. Sebelum ini, sehelai baju pun susah nak dapat tetapi kali ini, anak-anak menerima pelbagai jenis hadiah. Usaha si suami berjaya. Anak-anak yang mula meningkat usia remaja memujuk agar Puan M menerima ayah mereka. Hari terakhir di dalam tempoh eddah, Puan M menerima suaminya kembali. Selesai rujuk, Puan M rasa sesal kerana percaya, dia tersalah langkah. Memang nyata, hanya seketika sebelum bersama semula sahaja si suami berubah sikap. Bila kembali bersama, bukan sahaja dirinya, anak-anak juga tidak dipedulikan lagi. Segalanya kembali seperti sedia kala.

Puan M tak dapat menahan diri lagi bila ketiga-tiga puterinya jatuh sakit serentak dan beliau tiada wang untuk membawa anak-anaknya ke klinik. Bila diajukan kepada si suami, suaminya hanya berkata, “Nanti baiklah tu!!” Sikap suaminya memaksa Puan M menuntut cerai kali ketiga dan kali inilah, bantuan saya diperlukan. Mendengar aduan kes Puan M, saya berusaha menuntut hak yang patut untuknya sebagai seorang isteri. Demi keadilan, penjelasan daripada suami juga perlu saya teliti. Satu tarikh ditetapkan. Si suami berjumpa dengan saya bagi menjelaskan duduk perkara yang sebenarnya.

Aduan Puan M yang inginkan perceraian saya nyatakan. Si suami hanya diam. Kemudian si suami mula bersuara. “Saya tahu, saya dah banyak lukakan hati isteri saya. Hampir 18 tahun berkahwin, saya gagal menjadi seorang suami dan seorang ayah yang baik. Saya abaikan tanggungjawab nafkah isteri dan anak-anak. Isteri saya yang berhempas pulas membesarkan anak-anak saya. Tapi saya masih sayangkan isteri dan anak-anak saya. Cinta saya terhadap isteri tidak pernah padam. Malah, saya boleh buktikan, sepanjang tempoh perkahwinan kami, walaupun saya seorang yang suka keluar malam, saya tidak pernah mempunyai wanita lain. Saya hanya keluar bersama rakan-rakan lelaki.”

Bila saya ajukan tentang nafkah isteri dan anak-anak yang beliau abaikan, si suami menjelaskan, gajinya dihabiskan dengan tujuan berseronok bersama kawan-kawan lelakinya, untuk perbelanjaan menukar aksesori motor malah satu kelemahan, beliau tidak dapat mengelak daripada menggunakan wang gajinya untuk belanja kawan-kawannya setiap kali keluar. Beliau bimbang akan kehilangan kawan-kawan sekiranya beliau menolak permintaan kawan-kawannya itu. Tambah si suami, beliau sedar tentang tanggungjawabnya sebagai suami namun apabila dilihat si isteri berjaya menampung segala perbelanjaan keluarga walau tanpa bantuannya, beliau rasa lega dan bangga mempunyai isteri seperti itu.

Kes sudah nyata dan jelas. Aduan Puan M tidak tersasar. Namun, satu masalah iaitu suami Puan M enggan menceraikan Puan M. Cukuplah dua kali beliau mengikut kehendak Puan M kerana beliau percaya dia boleh hidup tanpa Puan M tapi nyata tidak boleh. Sesi kesimpulan, saya panggil kedua suami dan isteri berjumpa dengan saya. Perbincangan hati ke hati dibuat. Puan M berkeras untuk bercerai dan En.S juga berkeras enggan menceraikan isterinya. Kata Puan M, beliau tidak dapat mempercayai suaminya lagi selepas dua peluang diberi. Dah lah di dalam hatinya tidak pernah ada rasa kasih terhadap suami. Malahan, menurut Puan M, setiap kali si suami keluar rumah, beliau akan mendoakan agar si suami ditimpa kecelakaan. Nauzubillah… betapa terlukanya hati si steri. Memang payah… kepercayaan bukan seperti makan nasi. Tak sedap satu jenis lauk, boleh pilih lauk lain pulak.

Tiada kesudahan, saya mengambil satu keputusan. Kedua-dua pasangan suami isteri diberikan masa selama tiga bulan untuk memikirkan tentang kedudukan perkahwinan mereka. Cadangan saya semestinya dipersetujui oleh si suami. Dia tersenyum mengucapkan terima kasih. Namun sebelum berlalu, setiap pengakuan suami saya rekodkan dengan ditandatangani oleh si suami, sebagai persediaan untuk apa jua yang bakal berlaku. Puan M mendiamkan diri. Agar Puan M tidak keliru, saya jelaskan keadaan yang sebenar kenapa saya mengambil keputusan sedemikian. Sebenarnya, kes Puan M boleh dibawa ke mahkamah namun apabila si suami enggan menceraikan, kes akan dibubarkan untuk jawatan kuasa pendamai, maka akan memakan masa tiga hingga enam bulan juga untuk proses kaunseling. Lebih kurang sama dengan apa yang saya cadangkan. Sebaliknya, jika selepas tempoh tiga bulan, si suami tidak menunjukkan perubahan, kes Puan M boleh diketengahkan menggunakan tuntutan cerai yang lain dan insyaAllah, pengakuan si suami yang telah saya rekodkan boleh digunapakai.

Saya nasihatkan juga, tindakan Puan M yang mengambil keputusan untuk bercerai kali ini juga adalah satu tindakan segera selepas Puan M terhantuk. Ada tikanya tindakan tersebut di luar pertimbangan sewajarnya walau fakta kes menyokong untuk Puan M bertindak sedemikian. Puan M masih boleh memberi peluang kepada si suami kerana si suami sedar tentang kesilapannya. Cuma saya minta, apa jua keperluan rumahtangga, biar suami yang menanggung. Seperti hidangan, sediakan apa yang dibekalkan oleh si suami sahaja. Jika tidak, sediakan untuk santapan sendiri dan anak-anak, untuk keperluan suami pula, ‘pejam mata’ sekejap, biar suami sedar diri sepenuhnya dan tak rasa, isteri tidak memerlukannya.

Saya juga menasihatkan agar si isteri bertenang, cuba doakan agar Allah berikan petunjuk terhadap perkahwinan mereka. Kalau jodoh mereka memang berada di akhir garisan, mohon supaya Allah mudahkan urusan perceraian mereka. Jika jodoh mereka masih panjang dan baik untuk diri Puan M, suami dan anak-anak, mohon Allah tunjukkan jalan terbaik untuk Puan M bertindak. Saya juga memohon agar Puan M padamkan kebencian terhadap suami yang ada di dalam hatinya. Jangan teruskan dengan amalan mendoakan keburukan terhadap suami. Bukan sahaja tidak elok natijahnya kepada suami malahan kepada diri Puan M kerana Puan M akan berterusan meletakkan dirinya dalam keadaan marah dan kebencian. Kebetulan tika itu, kira-kira dua minggu lagi umat Islam akan menyambut Ramadan yang mulia. Saya meminta Puan M gunakan peluang yang baik itu untuk memohon petunjuk daripadaNya.

Dua minggu selepas Aidil Fitri, saya mendapat panggilan daripada Puan M. Katanya, hari ini adalah pertama kali sepanjang tempoh perkahwinannya beliau mengharapkan suaminya selamat di dalam perjalanan, selamat ketika bekerja dan selamat kembali ke pangkuannya dan anak-anak. Suaranya sebak namun saya yakin, Puan M bahagia. Ketika saya tanyakan adakah suaminya telah berubah. Kata Puan M, suaminya masih belum berubah sepenuhnya malahan Puan M masih perlu menanggung makan minumnya dan anak-anak namun Puan M seperti rela dan sanggup bersabar menunggu perubahan sikap si suami. Bila saya tanyakan, bagaimana dengan cadangan perceraian dahulu? Puan M masih berpegang kepada cadangan saya, keputusan selepas tempoh tiga bulan.

Selepas tiga bulan, saya menerima panggilan daripada Puan M. Mereka kini tidak berada di ibu kota lagi. Kira-kira sebulan yang lalu, si suami mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan pulang ke kampung. Alhamdulillah, walau tak mewah namun si suami telah menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan seorang ayah seperti yang sewajarnya. Makan minum Puan M dan anak-anak dijaga. Kesihatan dan kebajikan Puan M dan anak-anak sudah diambil peduli. Puan M bersyukur, walau kebahagiaan hanya dirasakan selepas tempoh tiga bulan namun ianya memang berbaloi walau selepas 18 tahun menderita.

Demikianlah, kasih sayang bukan paksaan. Kasih sayang perlu dipupuk. Di dalam kes ini, kasih sayang gagal dibentuk oleh si suami malahan si suami telah membenihkan perasaan benci di dalam diri isteri dengan tindakannya yang lari daripada menunaikan tanggungjawab. Kepercayaan juga adalah satu perkara penting yang perlu dijaga. Bayangkan, jika anda kenal seseorang sebagai seorang yang suka bergurau, saya yakin anda sukar menerima apa yang dikatakan oleh orang tersebut sebagai satu kepastian. Sama juga sekiranya anda telah tahu seseorang itu sering menipu, apakah senang untuk anda mempercayainya? Lantas, jaga perkataan dan perlakuan, jangan sampai anda sukar dipercayai. Dalam apa jua tindakan, mohon petunjukNya, Dia lebih Mengetahui.

***Kisah ini adalah kisah benar daripada kes pertama yang saya kendalikan setelah memasuki ambang kerjaya pada April 1998.

05 Mei 2008

Takhta kedudukan isteri

Renungi dan fikirkanlah... di mana kedudukan anda?

1. Isteri Siddiqin
Isteri yang tidak akan meminta apa-apa dari suaminya sekalipun yang perlu (dharuri). Apa yang disediakan suaminya, dia terima dengan penuh malu dan bersyukur.Kalau ada, adalah. Kalau tidak ada, dia bersabar. Tapi meminta, tidak. Apatah lagi yang tidak perlu, kalau diberi pun dia tolak bahkan adakalanya yang perlu pun dia tolak dengan baik, dia lebih suka menolong suaminya.

Itulah golongan yang bersifat orang yang Siddiqin. Golongan ini payah hendak dicari terutama di akhir zaman ini, macam hendak mencari belerang merah atau gagak putih. Ini adalah perempuan luar biasa.

2. Isteri Muqarrobin
Isteri yang tidak meminta dari suaminya kecuali yang perlu sahaja. Yang tidak perlu, dia tidak akan memintanya bahkan kalau suaminya memberi yang tidak perlu dia tolak dengan baik. Tapi kalau yang diperlukan pun tidak ada, dia tetap sabar. Namun dia tidak akan mendesak suaminya. Dia tetap bersabar dengan keadaan itu.

Itulah golongan Muqarrobin. Golongan ini juga susah hendak dicari di zaman kebendaan ini, di zaman orang memburu dunia, di zaman orang memandang dunia adalah segala-galanya.

3. Isteri Solehin
Isteri yang meminta kepada suaminya yang perlu dan juga sekali-sekala meminta juga yang tidak perlu seperti ingin sedikit kehidupan yang selesa sama ada dari segi makan minum, tempat tinggal, kenderaan. Namun kalau suaminya tidak memberi, dia tetap sabar dan tidak pula menjadi masalah.

Itulah dia golongan orang yang soleh. InsyaAllah, masih boleh dicari di zaman serba canggih kini.

4. Isteri Fasik
Isteri yang selalu sahaja meminta-minta bukan sahaja yang perlu, yang tidak perlu pun dia suka meminta-minta juga. Kalau diberi pun tidak pernah puas-puas, tidak pernah rasa cukup, sudah mewah pun tidak rasa cukup. Kalau tidak diberi menjadi masalah, dia merungut-rungut, marah-marah, sakit hati, merajuk hingga menjadi masalah dalam rumah tangga.

Inilah dia golongan yang fasik. Isteri ini selalu sahaja derhaka dengan suami, apatah lagi dengan Tuhan. Nauzubillah…. Memang ada tapi masih ada masa untuk bertaubat!!!

02 Mei 2008

Kisah lima perkara aneh

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqah yang masyhur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-Nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.

Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat seperti berikut:-
Apa yang engkau hadapi, maka makanlah ia;
Apa yang engkau jumpa kemudiannya, maka engkau sembunyikan;
Apa yang engkau dapat kemudiannya, maka engkau terimalah;
Apa yang engkau hadapi kemudiannya, jangan engkau putuskan harapan;
Apa yang engkau tempuhi kemudiannya, larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan perkara pertama yang aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan kalimah syukur, "Alhamdulillah".

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu, mangkuk emas itu keluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya.

Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu.

Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya. Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalanannya.

Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya.Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya.

Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini.

"Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa:
1. Apa yang engkau makan itu ialah perasaan marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.

2. Semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua.

3. Jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya.

4. Jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.

5. Bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain.

Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu." Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu."

*** Moga sama-sama kita mendapat iktibar daripadanya.