Sempena Ramadhan yang akan bertamu dalam tempoh seminggu lagi, saya akan berikan diskaun istimewa untuk setiap sesi konsultansi bersama saya sama ada bersemuka, bercakap melalui telefon atau chat YM, bermula 20hb Julai ini hingga 15hb Ogos nanti.
Berikut caj untuk sesi konsultansi sepanjang tarikh tersebut:
1) sesi bersemuka - anda perlu jelaskan RM100 sahaja untuk tempahan sesi anda;
2) sesi melalui telefon - anda perlu jelaskan RM50 sahaja untuk tempahan sesi anda; dan
3) sesi chat Yahoo Messenger - anda perlu jelaskan RM70 sahaja untuk tempahan sesi anda.
Bagi setiap sesi, TIADA BAYARAN TAMBAHAN dan tempoh sesi masih sama, maksima 90 minit.
Untuk tempahan, sila bank in bayaran disebut ke akaun Bank Islam 120650 10035871 atas nama Bina Bahagia Services
kemudian SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta
nama anda ke talian 013-2545965 dan nyatakan anda sama ada inginkan
temujanji bersemuka, menerusi telefon atau chat YM. Jadual akan ditetapkan berdasarkan kekosongan jadual terdekat.
Untuk makluman; tiada sesi temujanji untuk waktu malam sepanjang Ramadhan ya.
Saya akan terima temujanji bersemuka di Sungai Petani pada 20hb dan 21hb Julai ini dan untuk sesi ini, bayaran diskaun telah mula diguna pakai. Terima kasih atas kerjasama dan kepercayaan anda kepada saya... (",)
Hidup kita bagaikan ombak laut, ada tikanya tenang dan ada masanya bergelora. Gelora ombak di laut tidak sepanjang masa, sama juga seperti hidup kita, ujian diterima sekadar menguji tahap kesabaran dan keimanan kita kepada-Nya, demi mencapai bahagia sejati....
13 Julai 2012
Suami rahsiakan wujudnya telefon bimbit kedua
SOALAN: "Sebelum ini suami suka menceritakan apa sahaja yang berlaku sepanjang hari kepada
saya, seolah-olah memberi laporan harian. Malah dia tidak kisah jika saya memeriksa
telefon bimbitnya. Akhir-akhir ini, saya dapati dia mula tidak “melaporkan”
aktiviti harian. Telefon bimbit pun sering disorok dan saya dimaklumkan anak,
suami ada dua telefon bimbit. Hal ini menimbulkan syak. Apa yang harus saya
lakukan bagi memastikan suami tidak bermain kayu tiga?"
JAWAPAN:
Hubungan
perkahwinan dan jawatan sebagai suami atau isteri bukanlah satu perkara yang
semata-mata menggembirakan sebaliknya satu amanah daripada Allah SWT. Bila
disebut sebagai amanah, jelas sekali terdapat perkara-perkara tertentu yang
perlu diambil berat dan diambil peduli bagi merealisasikan antara hikmah
perkahwinan ditetapkan syariat iaitu untuk kedua-dua pihak iaitu suami dan
isteri merasai tenang dan bahagia dan agar kedua-dua pihak melaksanakan peranan
dan tanggungjawab masing-masing. Untuk merasai ketenangan dan kebahagiaan, pasangan
suami isteri perlu mewujudkan komunikasi unggul antaranya berterus terang,
berbincang, bergurau senda dan saling berkongsi cerita suka dan duka. Tahniah
kerana puan dan suami temasuk golongan yang melaksanakan komunikasi unggul.
Namun, kisah terkini puan menunjukkan komunikasi unggul yang wujud sebelum ini
kian malap. Jangan berdukacita! Mendung tak selalunya hujan dan jika benar
hujan, takkan terus hujan selamanya kerana hari yang cerah pasti tiba jua!
Bila
berdepan situasi seperti ini, perkara yang perlu dijauhi ialah syak yang
melampau! Mempunyai dua telefon bimbit tidak semestinya bermaksud suami puan
mempunyai orang ketiga. Dahulu, sebelum mempunyai pembantu, saya sendiri pernah
mempunyai dua telefon bimbit, bagi membezakan urusan kerja dan keluarga. Bila
keadaan mendesak, telefon untuk urusan kerja saya ‘matikan’. Malah, dua telefon
bimbit bukanlah perkara luar biasa tika ini. Ramai yang mempunyai dua malah
lebih daripada itu bagi menyesuaikan diri dengan rakan-rakan yang mempunyai
pelbagai rangkaian telefon mudah alih.
Keterlaluan
meragui suami akan membataskan kemesraan puan bersama suami termasuk akan
menghambarkan suasana ceria sedia ada. Bila mendapat maklumat mengenai telefon
bimbit baru suami, jalan terbaik ialah puan perlu berdepan dengan suami dan
minta suami berterus terang mengenai sebab dan alasan wujudkanya telefon bimbit
kedua tersebut. Berhati-hati dengan ayat puan, jangan sampai suami merasakan
puan meraguinya ketulusannya. Puan boleh mulakan dengan menyatakan puan
mendapat tahu daripada anak puan, suami puan memiliki satu lagi telefon bimbit,
benar atau tidak? Jika suami mengakui, mohon suami jelaskan alasan dan sebab
memerlukan telefon bimbit yang baru dan dapatkan juga nombor telefon bimbit
tersebut untuk makluman puan. Jika nombor sedia ada tidak dapat dihubungi, puan
boleh hubungi talian satu lagi. Sebaliknya jika suami menafikan, mungkin
jelaskan itu telefon bimbit rakan atau apa juga alasannya, jangan cepat
meradang. Berikan masa dan carilah jalan untuk membuktikan kata-kata anak puan
itu benar dan kata-kata suami juga benar. Mungkin betul telefon yang dilihat
oleh anak puan itu adalah telefon rakannya atau sesiapa saja seperti kata
suami.
Dalam
masa yang sama, puan perlu ‘memaksa’ suami untuk kembali seperti keadaan
seperti sebelum ini. Jika suami tidak lagi bercerita, puan sendiri mulakan
bertanya agar suami bercerita. Jika suami memberi alasan penat atau tiada
cerita menarik, puan sendiri tanyakan satu persatu sebagai jalan untuk suami
mula berbicara semula. Usahakan berulang kali. Jika hari pertama tidak menjadi,
cuba lagi esoknya. Selepas beberapa hari dan suami masih serupa, cari masa yang
sesuai dan paling penting, bukan di hadapan anak-anak, luahkan rasa pelik dan
kesal puan dengan perubahan sikap suami yang tidak lagi berkongsi seperti
sebelum ini. Tanyakan, apakah perkara yang mengganggu dirinya hinggakan suami
berubah sikap dan tawarkan bantuan puan jika diperlukan. Ingat!! Jangan
sesekali sentuh mengenai telefon bimbit kedua atau pun wujudnya orang ketiga!!
Jika
suami memberi respons positif, usahakan untuk membantu suami keluar daripada
belenggu masalah yang mengganggunya. Sebaliknya, jika suami memberikan reaksi
negatif atau kebanyakan lelaki menafikan atau mendiamkan diri, jangan cepat
mengalah. Berikan masa dan peluang kepada suami. Teruskan memberikan layanan
yang baik dan adalah lebih baik juga jika puan dapat ‘upgrade’ atau
menambahbaikkan lagi layanan puan kepada suami.
Lebih
luangkan masa bersama suami biar hanya puan saja berbicara. Ada tikanya puan
masih boleh luangkan masa bersama suami walau dengan keadaan diam membisu.
Terlalu banyak bicara dalam keadaan suami asyik mendiamkan diri bukan saja
memanaskan hati puan sendiri malah dibimbangi akan menimbulkan rasa bosan di
hati suami. Tak perlu bersuara tetapi biarkan tangan-tangan anda melaksanakan
peranannya. Jika suami menonton televisyen atau melakukan kerjanya hingga lewat
malam, temani suami dengan menyedikan secawan kopi bersama jemput-jemput atau
kuih atau apa sahaja. Kemudian picit-picit bahunya. Suami mungkin melarang jika
ia sesuatu yang baru tapi percayalah, halangan tersebut hanya sebagai
‘berbahasa’ dan bukan larangan yang nyata. Terus lalukan!! Jika suami tidak
mempunyai ‘agenda’ lain, layanan kelas pertama puan akan menjadi suatu yang
istimewa buatnya. Jika suami tetap berkeras menghalang puan bertindak
sedemikian, puan ada asas untuk meragui.
Tunggu!
Jangan ragu dalam tangisan tetapi puan perlu bertindak! Awasi tingkah laku
suami. Siasat kebenaran cerita telefon kedua dan ambil tahu aktiviti suami
menggunakan telefon bimbit tersebut. Jika ada panggilan masuk yang
disembunyikan daripada puan menggunakan telefon bimbit tersebut, puan berhak
untuk bersuara tetapi secara berhikmah! Puan masih boleh minta izin suami untuk
membelek telefon bimbit tersebut seperti sebelum ini. Tiada larangan bererti
suami masih boleh dipercayai! Jika dihalang, puan berhak mempersoalkannya. Bila
soalan demi soalan tidak memberikan sebarang petunjuk malah pembayang kepada
persoalan puan, tiba masanya untuk berterus terang dengan suami mengenai
perkara yang menyesakkan emosi puan iaitu orang ketiga! Puan boleh mengajak
suami makan malam sama-sama di luar dan dalam suasana paling ceria, puan
tanyakan, apakah hati suami puan kini dikongsi oleh wanita lain? Penting! Puan
perlu rasional dan dapat mengawal emosi. Jika benar suami kini punya teman
baru, mohon suami berterus terang sejauh mana hubungan tersebut. Percayalah!!
Jika puan boleh bersikap professional, terbuka dan bersedia berbincang sebagai
kawan, suami akan berterus terang!
Bila
realiti diketahui, jangan layan kesedihan. Ingat!! Suami puan masih hak milik
puan yang mutlak. Puan perlu kekalkan senyuman puan. Kenapa perlu senyum dan tak boleh marah atau menangis? Kerana puan sebenarnya sedang berada dalam
pemerhatian Allah SWT. ‘Pengkhianatan’ yang suami puan lakukan itu merupakan
satu ujian di dalam rumahtangga puan. Firman Allah yang bermaksud: Apakah manusia itu mengira bahawa mereka
dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka
tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum
mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan
sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. - surah Al-Ankabut ayat 2-3. Ujian
itu adalah tanda kasih sayang-Nya. DIA berikan ujian tersebut dan hanya DIA
yang mempunyai jalan keluarnya. Jangan gentar dan jangan risau! Allah pasti
puan mampu hadapi dan lepasi ujian tersebut. Janji Allah adalah pasti.
Firman-Nya yang bermaksud: "Allah
tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." - surah Al-Baqarah ayat 286.
Berusahalah untuk memperbaiki
diri. Jangan putus asa kerana anda masih di hatinya lantaran itu anda diberikan
pesaing dan bukan ditinggalkan. Berusaha untuk berikan yang terbaik. Jika
selama ini anda telah berikan yang terbaik; usahakan untuk berikan yang lebih
baik. Saya akui, ada juga kesilapan suami; jangan mengherdik sebaliknya cakap
dengan elok agar suami boleh sedar diri. Kata-kata nista dan caci maki, walau
bukan kepada suami tetapi kepada kekasih hatinya, tidak akan berikan keputusan
yang baik malah anda akan dicap sebagai keras kepala dan enggan memahami.
Sebaiknya; tunjukkan pemahaman
anda dan minta agar suami kenalkan anda dengan teman barunya. Berjumpa dan
berbuallah dengan baik. Luahkan perasaan anda dan dengar juga luahan teman
wanita suami anda. Tiada salahnya bermadu jika suami anda layak dan wanita itu
juga baik. Sebab itulah perlunya anda berdepan dan berkawan dengan wanita tadi;
agar wanita tadi lebih tahu banyak kebenaran tentang suami anda dan anda serta
keluarga sebelum masuk ke dalam keluarga anda. Dalam masa yang sama berdoalah:
Kalaulah wanita ini baik untuk masa depan dan agama suami puan, masa depan dan
agama puan serta masa depan dan agama anak-anak puan; lapangkan hati puan untuk
terima dirinya sebagai madu. Lapangkan juga hati wanita itu untuk menerima puan
dan anak-anak sebagai ahli keluarga. Kekalkan kasih sayang suami puan kepada
puan. Sebaliknya jika dia tak baik untuk puan sekeluarga; padamkan cinta suami
puan kepadanya dan jauhkan dia daripada keluarga puan.
Bertindak dan berdoalah, DIA
pasti akan berikan yang terbaik untuk puan sekeluarga, insyaAllah!
**** Dilema Perkahwinan Pa&Ma bulan Julai 2011.
**** Diskaun istimewa untuk khidmat konsultansi sepanjang Ramadhan akan datang (bermula 20hb Julai hingga 15hb Ogos). SMS ke 013-2545965.
Langgan:
Catatan (Atom)