14 November 2012

Diskaun Awal Muharram

DISKAUN AWAL MUHARRAM + BERSEMUKA KUALA TERENGGANU, SUNGAI PETANI & KUALA LUMPUR:

Sempena Awal Muharram 1434 Hijrah, esok bersamaan 15 November, saya mengumumkan harga diskaun untuk sesi konsultansi bagi setiap tempahan bermula hari ini 14 November hingga 16 November 2012, bererti kos perlu bayar ialah:-
*temujanji bersemuka hanya RM100 (tanpa bayaran tambahan),
*temujanji menerusi telefon RM50 dan
*temujanji via YM hanya RM70.

Untuk tempahan, sila buat bayaran dengan jumlah ditetapkan ke akaun Bank Islam 120650 10035871 atas nama Bina Bahagia Services kemudian SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama anda ke talian 013-2545965 dan nyatakan temujanji pilihan anda. Booking temujanji boleh dibuat bagi tarikh2 akan datang juga (selepas 16 November).

Saya akan terima temujanji bersemuka di Kuala Terengganu pada 19 November terhad untuk TIGA sesi sahaja (sebelah petang) bertempat di Quinara al-Safir. Untuk info, setakat update status ini, temujanji bersemuka di KL yg terdekat ialah pada 22 November. Seterusnya untuk temujanji bersemuka di KL ialah pada 28 November, 6 Disember dan 13 Disember. Temujanji bersemuka di Sungai Petani pula saya akan terima pada 20 Disember. Selepas tarikh2 ini, temujanji bersemuka bagi 2012 direhatkan sementara dan akan dibuka semula pada awal Januari 2013 TETAPI saya masih terima temujanji menerusi telefon atau chat Yahoo Messenger.

Tolong deal dengan PA saya - yg menguruskan jadual kerja saya, SMS ke 013-2545965 atau emel ke binabahagia@gmail.com untuk maklumat terperinci. Terima kasih atas sokongan rakan2... (",)

02 November 2012

Suami tidur berdengkur

Soalan Dilema Perkahwinan, Majalah Pa&Ma,Oktober 2011 


"Suami tergolong sebagai kuat berdengkur sehingga membuatkan tidur saya setiap malam tidak lena. Saya pernah menegurnya sehingga kerap kali kami bertengkar kerana hal ini. Ada yang menasihatkan agar suami berjumpa dengan pakar agar masalahnya dapat diatasi tetapi dia menolak. Apa harus saya lakukan untuk menasihatkan dia agar tidur saya di masa akan datang lebih tenang?"

JAWAPAN:

Membaca persoalan puan mengingatkan saya kepada satu drama Melayu yang ditayangkan di sebuah stesen televisyen mengenai suami kacak yang mempunyai masalah kencing malam berkahwin dengan isteri yang cantik tetapi tidur berdengkur. Saya kongsikan cereka ini di awal jawapan bagi mengingatkan diri saya, puan dan para pembaca semua mengenai hakikat kejadian kita sebagai hamba; kita mempunyai kelebihan dan dalam masa yang sama kita juga mempunyai kekurangan. Namun bukan bermaksud kita perlu terima sahaja kekurangan tersebut sekiranya ia jenis kekurangan yang boleh diatasi. Seperti kes puan, kekurangan dalam diri suami puan boleh diatasi, insyaAllah!

Sebelum saya jelaskan mengenai perkara yang boleh puan lakukan bagi membantu suami, ada baiknya puan memahami mengenai tabiat berdengkur terlebih dahulu. Pemahaman ini dapat membantu puan untuk lebih memahami masalah yang mengganggu bukan saja tidur puan tetapi boleh membahayakan suami puan sendiri.  Hakikatnya, berdengkur ketika tidur bukan satu perkara luar biasa. Mengikut satu kajian yang diterbitkan dalam sebuah jurnal berkaitan dengan hidung, telinga dan tekak; American Academy of Otolaryngology,  melaporkan bahawa terdapat lebih kurang  45% orang dewasa yang normal didapati berdengkur semasa tidur dan daripada jumlah tersebut sebanyak 25% di antaranya dikira berdengkur sebagai satu keadaan yang biasa maksudnya mereka adalah seorang pendengkur yang tegar. Masalah berdengkur juga lebih banyak berlaku di kalangan lelaki dan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan.

Keadaan mendengkur ini juga biasanya akan bertambah dengan pertambahan usia seseorang itu, maksudnya semakin tua seseorang itu maka ia semakin terdedah untuk berdengkur semasa tidur. Ada banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu berdengkur yang dikaitkan dengan masalah keturunan, dipengaruhi  pola hidup, kesihatan dan persekitaran. Kajian juga mendapati tabiat dengkur sukar ditangani secara terus. Tiada ubat khusus yang boleh dimakan oleh seseorang untuk menghentikan dengkuran ketika tidur. Sebaliknya anda boleh cuba menghentikan kebiasaan ini melalui kaedah alami atau semulajadi dan perubahan pola hidup. Biarpun tidak mempunyai ubat khusus, tabiat berdengkur perlu diusahakan agar berkurangan atau hilang terus kerana kajian juga menjelaskan, tabiat berdengkur yang teruk boleh mengganggu pernafasan dan menyebabkan lemas di dalam tidur.

Saya faham mengenai keengganan suami untuk berjumpa pakar. Suami tidak menganggap dengkurannya ketika tidur sebagai satu penyakit. Mungkin bagi suami, puan sengaja enggan belajar menerima kekurangan yang bukan kehendaknya dan tindakan puan mencadangkan suami berjumpa pakar difahaminya sebagai satu penghinaan, seolah-oleh dia sedang menghadapi penyakit yang tenat. Jalan terbaik ialah puan membantu suami memahami hakikat sebenar berkaitan dengkuran ketika tidur; mengenai punca, kesan dan cara atasinya. Bila suami faham dengan jelas segala maklumat berkaitan berdengkur ini, suami akan lebih mudah untuk memahami kerisauan puan dan akan berusaha untuk mengatasi masalah tersebut insyaAllah.

Puan sendiri boleh membantu suami mengatasi masalah berdengkur dengan mencadangkan agar suami melaksanakan cara-cara seperti berikut iaitu mengubah posisi tidur, menurunkan 10% berat badan, menghindari alcohol atau ubat penenang, menyedut wap air sebelum tidur dan menggunakan ubat semburan hidung.

  • Mengubah posisi tidur - Berdengkur terjadi ketika langit-langit, tekak, lidah, tonsil atau otot di belakang tenggorok saling bersentuhan satu sama lain sehingga menimbulkan suara getar semasa tidur. Bunyi dengkuran muncul ketika posisi tidur terlentang sehingga lidah tertarik ke belakang dan aliran udara mengalami penyempitan. Lantas, cuba ubah posisi tidur dengan cara mengiring agar terhindar dari berdengkur.
  • Turunkan 10% berat badan- Orang yang overweight atau berat badan berlebihan memiliki jaringan leher yang tebal yang memungkinkan munculnya risiko berdengkur. Jikasuami puan termasuk di dalam kategori ini, usahakan untuk menurunkan berat badan lebih kurang 10% daripada berat sedia ada sekarang, insyaAllah akan dapat membantu menghentikan kebiasaan berdengkur tersebut.
  • Hindari alkohol dan ubat penenang - Jangan salah faham. Saya tidak mengatakan suami puan mengambil alkohol. Kajian tunjukkan alkohol juga punca berdengkur dan perlu dielakkan. Malah,  jika suami puan menggunakan sebarang ubat penenang seperti pil tidur juga dapat menjadi penyebab berdengkur kerana kecenderungan menekan pernafasan. Lantaran itu, hentikan atau kurangkan kebiasaan menggunakan ubat-ubat penenang, jika ada.
  • Sedut wap air sebelum tidur - Antara sebab berdengkur ialah hidung tersumbat. Bagi membebaskan hidung tersumbat, boleh gunakan kaedah menyedut dalam-dalam wap air melalui hidung sebelum tidur atau meletakkan tuala yang telah direndam dalam air panas dan menyedut wapnya untuk menghilangkan lendir penyebab hidung tersumbat.
  • Cubalah ubat semburan hidung- Kajian juga menujukkan ubat semburan hidung dapat menyembuhkan hidung tersumbat sehingga dapat terhindar dari risiko berdengkur kerana memungkinkan lubang hidung terbuka luas. Puan juga boleh gunakan sejenis ubat pengekang lubang hidung yang ada dijual di pasaran sekarang bagi membantu suami puan tidur lebih selesa malah agar tidak mengganggu tidur puan lagi.
Puan boleh bercerita mengenai cara-cara menghindari dengkuran ini kepada suami tika masa yang sesuai. Jelaskan secara berhikmah, bukan mengajar. Paling penting, jangan sampai suami merasakan puan membenci tabiat dengkurnya dan paling tragis, bimbang jika dia merasakan puan membencinya kerana tabiat dengkur tersebut. Di samping berusaha memahamkan suami dan mengubah sifat dengkurnya itu, puan perlu panjatkan doa kepada Allah agar hati suami dilembutkan untuk menerima segala usaha puan membantunya mengatasi masalah berdengkur tersebut.

Puan juga perlu lebih banyak bersabar kerana tidak mustahil, suami puan berkeras untuk tidak berusaha mengubah tabiat dengkurnya itu. Jangan putus asa! Hingga tiba detik tersebut, puan boleh pekakkan telinga dengan menyumbat lubang telinga puan dengan kapas untuk seketika. Ingat! Masalah dengkuran suami juga termasuk di dalam ujian perkahwinan. Jika tidak berwaspada dan usahakan dengan baik, boleh menyebabkan kehancuran rumahtangga, nauzubillah!!