28 Disember 2010

Bersemuka di KL Jan-Jun

Saya akan terima empat belas siri temujanji bersemuka bagi khidmat konsultansi psikologi keluarga dan guaman syarie di Kuala Lumpur mulai Januari hingga Jun 2011, seperti jadual berikut iaitu:
- 6 dan 7 Januari
- 20 dan 21 Januari
- 3 dan 4 Februari
- 11 Februari
- 17 dan 18 Februari
- 3 dan 4 Mac
- 17 dan 18 Mac
- 31 Mac dan 1 hg 2 April
- 14 dan 15 April
- 28 hg 30 April
- 12 dan 13 Mei
- 26 dan 27 Mei
- 9 dan 10 Jun
- 23 dan 24 Jun

Sesi temujanji bermula jam 9am dan berakhir 5pm dengan setiap sesi selama 90minit iaitu:
- sesi 1 : 9am-10.30am
- sesi 2: 10.30am-12pm
- sesi 3: 12pm-1.30pm
- sesi 4: 2pm-3.30pm
- sesi 5: 3.30pm-5pm

Untuk pengesahan temujanji, anda perlu jelaskan RM70 (bagi Ahli Kelab Eksekutif Bina Bahagia ) atau RM100 bagi bukan ahli; dan setelah selesai temujanji, bayaran tambahan akan dikenakan maksima RM50 sahaja lagi. Bererti untuk temujanji bersemuka, kos adalah antara RM120 hingga RM150 sahaja (termasuk bayaran pengesahan sebelum pertemuan).

Sila bank in ke akaun Bank Islam 120650 10035871 atas nama Bina Bahagia Services dan SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama penuh dan No. Ahli (jika ada) anda ke talian 013-2545965 dan maklumkan anda inginkan temujanji bersemuka beserta tarikh dan masa pilihan anda.

Bagi temujanji menerusi perbualan telefon, kos perkhidmatan ialah RM50 (bagi Ahli Kelab Eksekutif Bina Bahagia ) atau RM65 bagi bukan ahli dan anda boleh berkongsi kisah dengan saya selama 60 minit.

Sila bank in ke akaun Bank Islam 120650 10035871 atas nama Bina Bahagia Services kemudian SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama penuh dan No. Ahli (jika ada) ke talian 013-2545965 dan maklumkan anda inginkan temujanji menerusi panggilan telefon.

Temujanji anda akan ditetapkan berdasarkan kekosongan jadual yang terdekat dan anda akan diberikan nombor telefon untuk anda hubungi saya pada masa yang ditetapkan. Tolong maklumkan nombor yang akan anda gunakan untuk hubungi saya nanti. Nombor lain selain daripada yang diberikan, tidak akan dilayan. Atas permintaan, saya sedia terima temujanji menerusi perbualan telefon pada sebelah malam bermula jam 10.30pm.

Bagi temujanji menerusi menerusi khidmat Yahoo Messenger, kos perkhidmatan ialah kos perkhidmatan ialah RM80 (bagi Ahli Kelab Eksekutif Bina Bahagia ) atau RM100 bagi bukan ahli dan anda boleh chatting dengan saya selama 2 jam.

Sila bank in ke akaun Bank Islam 120650 10035871 atas nama Bina Bahagia Services kemudian SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama penuh dan No. Ahli (jika ada) ke talian 013-2545965 dan maklumkan anda inginkan temujanji menerusi menerusi khidmat Yahoo Messenger. Sertakan sekali ID (alamat) Yahoo Messenger anda. Temujanji anda akan ditetapkan berdasarkan kekosongan jadual yang terdekat. Saya juga terima temujanji YM pada sebelah malam.

PERINGATAN PENTING!!! Jika anda tidak dapat tunaikan temujanji yang telah ditetapkan, mohon kerjasama untuk maklumkan kepada PA saya, SMS ke talian 013-2545965 selewat-lewatnya dua jam sebelum jadual yang telah ditetapkan. Kegagalan anda berbuat demikian akan menyebabkan anda dikenakan penalti RM30.

Untuk makluman, saya tidak akan batalkan temujanji yang telah anda tangguhkan maka saya terpaksa tetapkan penalti ini bagi mengelakkan tangguhan saat-saat akhir disebabkan tangguhan anda tersebut mengganggu jadual saya dan orang lain. (Hanya tangguhan atas sebab kecemasan sahaja dibenarkan dan tidak akan dikenakan penalti- maklumkan kpd PA saya butiran kecemasan anda itu).

Saya juga akan gunakan kaedah yang sama, memaklumkan tangguhan kepada anda selewatnya dua jam sebelum temujanji, jika terdapat perkara yang tak dapat dielakkan yang menghalang temujanji daripada dilaksanakan. Terima kasih di atas segala kerjasama.

26 Disember 2010

Dilema isteri: suami lebihkan ibu sendiri


SOALAN

Awalnya, hubungan dengan ibu mertua mesra. Malah sebelum berkahwin dulu, saya berjaya merapatkan diri dengan ibu mertua. Namun, sejak akhir-akhir ini, setelah tiga tahun berkahwin, hubungan mula renggang tanpa diketahui puncanya. Ini menyebabkan saya meluahkan perasaan tidak puas hati kepada suami. Malangnya, suami menyatakan saya sebagai menantu tidak tahu diuntung dan berterusan menyokong ibunya. Saya kesal dengan sikap suami yang tidak sesekali berusaha membantu saya menjernihkan hubungan yang makin keruh ini. Saya makan hati dengan suami dan ibu mertua juga. Apa yang patut saya lakukan?

JAWAPAN:

Fenomena menantu bermasalah dengan mertua bukan satu perkara yang asing dalam sesebuah perkahwinan. Namun, bukan bererti masalah ini perlu dibiarkan. Saya ucapkan syabas kepada puan kerana segera berusaha untuk menyelesaikan masalah yang puan sendiri tak pasti puncanya. Tambahan pula, Islam memerintahkan agar seorang menantu menghormati ibu mertuanya bagaikan ibu sendiri. Bukan itu saja malah Islam menyuruh seorang mertua menjadikan menantunya bagai anaknya sendiri.

Dalam kes puan ini, perkara pertama yang perlu puan lakukan ialah jangan terasa hati atau marah dengan sikap suami yang menyokong ibu mertua puan. Berkecil hati atau marah akan menyebabkan hubungan puan dan suami akan dingin dan hambar bererti menambahkan masalah yang ada. Puan perlu ingat, mertua puan itu adalah ibunya. Suami puan terlebih dahulu kenal dengan ibunya berbanding mengenali puan maka memang selayaknya pun suami puan menyokong ibunya. Namun, ada juga pengecualiannya. Kehadiran puan sebagai isterinya juga perlu dipertimbangkan dan dihargai. Dalam perkara ini, saya bersetuju dengan puan bahawa suami puan sepatutnya bertindak sebagai orang tengah untuk menjernihkan hubungan antara puan dan ibunya.

Lantaran, perkara paling penting yang perlu puan lakukan ialah berbincang dengan suami. Seperti luahan puan, suami melabelkan puan sebagai menantu yang tidak tahu diuntung. Saya yakin, pasti ada penjelasan kenapa penyataan tersebut keluar daripada mulut suami puan. Carilah masa dan keadaan yang sesuai untuk berbincang dengan suami mengenai perkara ini. Nyatakan, puan bukan nak menegakkan kebenaran diri sendiri cuma sekadar nak jernihkan keadaan. Luahkan juga, puan hormati mertua bagaikan ibu puan sendiri. Jelaskan kekeliruan puan bila hubungan puan dan mertua tidak lagi seperti dahulu. Puan harapkan agar suami dapat membantu puan memperbaiki hubungan tersebut kerana puan yakin, suami puan lebih mengenali dan memahami ibunya sendiri berbanding puan. Luahkan semua itu secara lembut.

Sekiranya suami enggan berikan peluang atau enggan berbincang berkenaan perkara tersebut, biarkan dulu. Jangan dimarahi atau puan juga jangan menangis. Ada tikanya tangisan seorang isteri boleh menjadi duri kepada suami apabila si suami merasakan sememangnya si isteri bersalah dan tidak layak untuk menangis. Bila puan tidak diberikan kesempatan untuk berbincang, luahkan segala isi hati puan tersebut di dalam surat atau pun emel. Selepas beberapa hari, tanyakan kepada suami sama ada telah membaca surat atau emel tersebut. Jika suami masih enggan berikan kerjasama iaitu tidak berikan jawapan sama ada telah membacanya atau pun tidak, puan perlu bertindak lebih tegas.

Tegas yang saya maksudkan ialah puan perlu paksa suami mendengar luahan hati puan. Mungkin puan perlu merayu sambil memegang tangan suami atau apa saja tapi usahakan juga agar luahan hati puan diketahuinya. Cuma pastikan masa untuk ‘memaksa’ tersebut adalah masa yang sesuai. Masa yang paling sesuai ialah ketika suami ingin bersama dengan puan tapi jangan pula berterus terang masa tu. Cukuplah sekadar luahkan, puan ingin berbincang satu perkara penting bersamanya selepas selesai hubungan nanti.

Jika segala berjalan dengan baik, mohon agar suami menjadi orang tengah antara puan dan ibunya dengan matlamat utama untuk menjernihkan kembali hubungan antara puan dan mertua. Sebagai orang baru dalam keluarga tersebut (tiga tahun masih boleh dianggap baru), puan akuilah kesilapan dan kesalahan yang mungkin secara tidak sengaja dan tidak sedar telah dilakukan oleh puan. Puan mohon agar kesilapan puan dimaafkan dan berikanlah bimbingan dan tunjuk ajar kepada puan untuk menjadi yang lebih baik dan menepati kehendak mertua dan suami.

Andai suami enggan atau tidak boleh mainkan peranan, puan usahakanlah melalui bapa mertua, jika masih ada hayatnya. Mohon agar bapa mertua membantu puan muhasabah kesilapan yang puan sendiri tak pasti hingga mengeruhkan hubungan puan dengan ibu mertua. Jika bapa mertua tiada, boleh usahakan melalui ipar yang betul-betul boleh dipercayai dan diharapkan.

Andai tiada pilihan, cara paling baik ialah bersemuka dengan ibu mertua. Bersemuka yang saya maksudkan ialah cuba berbual dan bermesra dengannnya seperti sebelum berkahwin dan di awal perkahwinan dulu. Jika tiada maklumbalas serupa dengan masa-masa dulu, bersuaralah dengan lembut; tanyakan apa kesilapan dan kesalahan yang telah puan lakukan? Jangan terkejut atau marah ataupun terasa hati jika ibu mertua kembalikan soalan yang sama kepada puan! Memang lumrah jika ibu mertua bertindak sedemikian. Sebagai orang tua yang dah mula sensitif, dia merasakan puan tidak mengakui kesilapan sendiri dan bukan tidak tahu atau sedar dengan kesilapan tersebut.

Jangan berkeras dengan mertua puan. Sebaliknya bila mertua mula marah dan mempersoalkan kesalahan yang puan tak sedari, segeralah memohon maaf daripadanya. Tak salah kalau puan memeluk dan merayu agar ibu mertua memaafkan setiap kesilapan puan dan berjanjilah untuk tidak mengulangi kesilapan tersebut. Jangan fikirkan apakah kesilapan tersebut dulu! Paling penting, tambat hatinya kembali. Bila hatinya telah berjaya puan takluki semula, insyaAllah sedikit demi sedikit perkara yang menjadi kesilapan di mata ibu mertua puan akan tersingkap satu persatu sama ada secara sengaja atau tidak.

Terus terang, berkemungkinan puan tak bersalah namun sebagai orang yang lebih muda, puan perlu mengalah dan berusaha untuk merebut kembali hati ibu mertua. Seperti yang saya jelaskan di awal tadi, hati orang tua adalah sensitif. Ada tikanya ibu akan terasa dengan menantu yang berjaya menjaga keperluan anaknya sendiri dengan baik hingga si menantu dipuji oleh si anak ataupun bagi ibu mertua, si anak rasa lebih gembira dengan layanan si isteri. Bila si ibu terasa dirinya dipinggirkan atau tidak lagi berada di tangga pertama dalam hati si anak, si ibu boleh bertindak pelbagai jenis sikap dan pendirian.

Ya… saya akui memang ramai yang masih mengamalkan sikap Mak Dara di dalam filem Ibu Mertuaku tetapi secara asasnya, setiap yang berlaku itu ada hikmahnya dan setiap masalah yang dihadapi ada jalan penyelesaiannya. Pokok ceritanya, setiap ibu dan bapa inginkan kebahagiaan bagi anak-anak mereka. Kerana itulah, ada ibu bapa yang terlalu campurtangan di dalam urusan jodoh anak-anak hingga bertindak bagai memaksa. Malah ada yang asalnya bersikap manja bertukar menjadi naga apabila menantu bukan pilihan hati mereka.

Sebenarnya, sebagai menantu, mempunyai seorang ibu mertua adalah satu kelebihan kerana kita mempunyai dua orang ibu. Malah saya tidak berpeluang merasai nikmat itu. Lantas, apabila ada di kalangan rakan-rakan yang menceritakan kebaikan ibu mertua, terus terang, saya rasa amat cemburu tetapi bila ada pula yang menceritakan sikap ibu mertua yang tak sanggup dihadapi… terdetik pula, Alhamdulillah, aku tidak diuji sedemikian rupa. Persoalannya, bagaimana untuk menjadi sebagai seorang menantu kesayangan dan seorang ibu mertua yang dibanggakan?

Perlu diingat, rasa suka berkemungkinan tidak kekal selamanya, begitu juga rasa tidak suka boleh berubah menjadi suka jika kena caranya. Bagi memperolehi anugerah menantu kesayangan dan mertua kebanggaan perlulah ada pengorbanan. Apa yang penting ialah masing-masing pihak bersikap terbuka dan lebih rasional di dalam apa jua keadaan dan situasi. Seorang menantu perlu lebih bijak memainkan peranan di dalam menambat hati mertua. Ibu mertua kita adalah seperti ibu kita sendiri yang perlu kita hormati dan sanjungi.

Walaupun kita bukanlah menantu pilihan atau adalah menantu pilihan tetapi ibu masih boleh berubah pendirian, kita yang perlu lebih mendedahkan diri kita kepadanya, pikat hatinya, pujuk kasihnya walau segala macam dugaan kita terima. Memang mengambil masa dan perlu menjeruk rasa tetapi percayalah, insyaAllah… berkat segala kegigihan dan pengorbanan kita, mertua akan menerima kita dan tidak mustahil di suatu ketika nanti, kita kembali menjadi menantu kesayangannya.

Ada juga jenis mertua yang tidak percayakan menantunya untuk menguruskan segala keperluan anaknya. Malah di dalam satu kes, seorang isteri memohon cerai daripada suaminya kerana setelah lebih setahun berkahwin, ibu mertuanya masih mahu menemani tidur anaknya (suami) sedangkan isteri pula terpaksa tidur bersendirian. Di dalam kes-kes melibatkan gelagat dan kerenah mertua yang keterlaluan seperti ini, si anak iaitu suami perlu lebih tegas. Memang tanggungjawab anak untuk patuh kepada kata-kata ibu tetapi bukan sampai merungkaikan sebuah ikatan perkahwinan. Seorang lelaki sejati perlu bijak menangani kerenah isteri dan gelagat ibu sendiri.

Sebagai mertua pula, kita juga perlu lebih bersikap terbuka. Kita sebagai orang yang lebih tua, yang lebih dulu rasa masinnya garam, yang lebih dulu rasa manisnya gula, jangan terlalu mengikut rasa. Terimalah takdir dan ketentuan Ilahi bahawa itulah menantu kita walau dia bukan pilihan hati kita. Kita perlu tahu dan ingat, isteri anak kita berperanan membahagiakan kehidupan anak kita. Apabila kita campurtangan dalam urusan yang tidak sepatutnya, tentulah porak peranda hidup anak kita.

Namun begitu, bukan bererti kita hanya boleh sekadar memerhati. Sekiranya ada kelakuan dan sikap menantu yang tidak kena dengan tatasusila dan kehendak agama, dekati anak kita dan minta anak kita lebih tegas terhadap isterinya demi kerukunan rumahtangga mereka.

Paling penting, baik menantu atau mertua, jangan lupa berdoa kepada-Nya mohon agar hubungan yang terjalin terus baik dan akrab. InsyaAllah, jika setiap individu tak kira anak, menantu atau mertua berusaha memainkan peranan untuk mewujudkan kebahagiaan bersama, apa juga masalah akan berjaya ditangani.

*** Perbincangan ini disiarkan menerusi ruangan Dilema Perkahwinan, Majalah Pa&Ma bulan Mei 2010


10 Disember 2010

Sebelum dan selepas kahwin pd 18 Disember

Syukur kepada Allah kerana dengan izin-Nya, saya diberi peluang untuk berkongsi sedikit ilmu yang ada bersama orang ramai menerusi program Ceramah Kekeluargaan Islam dengan tema SEBELUM DAN SELEPAS KAHWIN anjuran Badan Amal Kami Prihatin (BAKP) dengan kerjasama Yayasan Titiwangsa.

Program bakal diadakan pada 18hb Disember, bertempat di Dewan Masjid al-Akram, Dato' Keramat, Kuala Lumpur; mulai jam 9am-1pm.

InsyaAllah; ada dua modul yang akan dibentangkan dalam siri ceramah tersebut iaitu modul berkaitan perundangan dan satu lagi berkaitan motivasi perkahwinan; dalam masa 4 jam. Modul pertama bertajuk Hak Suami Isteri Dalam Undang-undang Keluarga Islam akan disampaikan oleh Puan Marlina Amir Hamzah dan saya akan sampaikan modul kedua bertajuk Cinta Sebelum dan Selepas Kahwin.

Menariknya; pihak penganjur hanya kenakan yuran RM15 sahaja, itupun sebagai mengisi tabung bantuan projek Kembali Ke Sekolah anjuran BAKP dan Yayasan Titiwangsa. Penganjur mengalu-alukan kehadiran mereka yang cintakan ilmu dan sentiasa ingin perbaiki diri demi kerukunan dan kebahagiaan hidup berkeluarga.

Bagi mereka yang berminat, sila hubungi Pn Shamila 019-2698829 atau emel kepada hubungi.kamiprihatin@gmail.com.

JOM BERSAMA SAYA!!! :)

07 Disember 2010

Curiga suami dingin seks


Saya kongsikan soalan Dilema Perkahwinan Majalah Pa&Ma siaran bulan September. Moga bermanfaat!

------------------------------------


Kesibukan tugas di pejabat dan beban menggalas tanggung jawab menguruskan rumah tangga menjadikan saya kurang berminat untuk melakukan hubungan asmara. Sering kali ajak suami saya tolak dengan baik. Saya tahu saya bersalah tetapi kepenatan mengatasi segala-galanya. Kini, suami tidak lagi seperti dahulu yang kerap mahu mengadakan seks. Saya mula curiga pada kejujurannya. Perlukah saya berbincang dari hati ke hati dengannya?

JAWAPAN:

Sebelum persoalan puan saya jawab; saya ingin kongsikan bersama puan dan pembaca semua mengenai seks menurut syarak. Perlu difahami; seks bukan semata-mata melampiaskan kehendak nafsu sebaliknya Islam mengiktiraf seks atau berjimak termasuk di dalam perkara ibadat dan boleh mendatangkan pahala.Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dan pada hubungan kelamin kamu semua (bersama isteri) merupakan sedekah. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah jika seseorang kami mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala? Rasulullah menjawab: Bagaimana pendapat kamu semua jika dia menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (sudah tentu) dia akan mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan yang halal, pasti dia mendapat pahala.” - hadis riwayat Muslim.

Hadis ini menjelaskan lagi antara hikmah perkahwinan disyariatkan di dalam Islam. Antara hikmah perkahwinan ialah bagi memupuk perasaan kasih sayang di antara suami dan isteri, kerana fitrah manusia inginkan kasih sayang dan belaian daripada orang yang tertentu.

Fitrah berkasih sayang ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam surah ar-Rum ayat 21 yang bermaksud: “Dan antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya. Dan menjadikan antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan….”

Perkahwinan juga disyariatkan bertujuan untuk mengelakkan manusia daripada melakukan perbuatan maksiat, khususnya zina. Perkahwinan menyelamatkan seseorang daripada perbuatan zina kerana tuntutan syahwat dapat disalurkan melalui cara yang halal. Anjuran perkahwinan juga sebagai cara untuk menikmati ketenteraman dan kedamaian jiwa dan perasaan. Hidup sebagai suami isteri dalam sebuah rumahtangga yang aman bahagia dapat memberikan kedamaian kepada jiwa kerana sentiasa mendapat berkat daripada Allah SWT.

Ramai yang salah faham tentang layanan seks di dalam sesebuah perkahwinan. Rata-rata kes, kewajipan melayan keperluan seks diletakkan sepenuhnya kepada isteri. Hakikatnya, keperluan layanan seksual adalah kehendak kedua-dua pihak iaitu kehendak suami dan juga kehendak isteri. Jika suami berkehendak maka isteri perlu melayan. Sama juga jika isteri berkehendak maka suami perlu melayan.

Kembali kepada persoalan puan; ingin saya kongsikan satu hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidur, tetapi ia enggan melayani ajakan suaminya, maka suami tidur dengan marah pada waktu malam itu, nescaya malaikat mengutuknya sampai waktu subuh.” – hadis riwayat sebahagian Ahli Sunnah.

Hadis ini memberikan satu fakta: jika suami marah disebabkan ajakannya ditolak maka si isteri akan dilaknat oleh malaikat hingga ke pagi. Menjelaskan bahawa jika suami tak marah dan bersedia memahami, terlepaslah si isteri daripada dilaknat malaikat. Kalau sekali dua, mungkin suami tak marah. Kalau dah selalu ditolak? Mengikut fitrah lelaki dan wanita; kedua-duanya mempunyai kehendak seks yang berbeza. Kebanyakan wanita tak kisah sangat dengan seks tambah bila keadaan tidak menyenangkan diri, hati dan fikiran. Bagi kebanyakan lelaki pula, biar apa pun keadaan; seks menjadi pengubat menghilangkan segala keresahan dan tekanan. Maklumat berharga ini sepatutnya diketahui oleh para isteri dan suami; agar lebih memahami kehendak masing-masing.

Maaf jika kata-kata saya tidak disenangi oleh puan. Terus terang; bagi saya; penat bukan satu alasan yang wajar untuk anda menolak kemahuan suami. Ya! Faham… banyak tugas dan tanggungjawab anda, sebab itu bukan senang nak dapatkan darjat isteri solehah yang dijanjikan dengan syurga oleh Allah SWT. Penat memang ada dan pastinya ada juga penawarnya. Gunakanlah pelbagai ubatan atau makanan tambahan yang ada. Perlu berusaha untuk memulihkan tenaga jika berkehendak untuk kekalkan kebahagiaan dan keharmonian bersama dalam rumahtangga. Seperti yang saya jelaskan di awam tadi; suami mempunyai kehendak seks yang berbeza dengan isteri.

Sungguhpun berbeza, tidak semestinya perbezaan tersebut menjadi jurang yang menjarakkan hubungan suami isteri. Pakar kesihatan menyarankan agar hubungan intimasi suami isteri diadakan dua hingga tiga kali seminggu. Itu cadangan daripada pakar kesihatan yang saya yakin, boleh dijadikan sebagai panduan kekerapan anda menerima dan melayani kehendak seksual suami.

Jika kekerapan biasa hubungan puan dan suami tidak lagi berlaku; memang puan berhak curiga tetapi bukan dengan menuduh suami mempunyai orang ketiga. Ada tikanya suami telah mula malas untuk meminta sebab bimbang akan terus ditolak kehendaknya. Lantaran suami mengambil tindakan berdiam tanpa suara. Berdepan keadaan seperti ini; memang sudah tiba masanya untuk puan berbicara hati ke hati dengannya.

Seperti yang selalu saya tegaskan, dalam apa pun keadaan; suami dan isteri perlu praktikkan komunikasi unggul iaitu sentiasa berterus terang dan berbincang dengan pasangan. Jika anda mengharapkan pasangan anda memahami begitu sahaja; penyelesaian sukar diperolehi sebab pemahaman yang mungkin wujud dalam diri pasangan anda tidak semestinya bertepatan dengan kehendak dan kemahuan anda.

Puan perlu bersedia untuk mengakui kesilapan sendiri kerana gagal memberikan layanan terbaik kepada suami sebelum ini. Malah puan perlu bersikap terbuka menerima apa juga kritikan atau ngomelan suami. Puan boleh memohon agar suami turut membantu kerja-kerja rumah atau menjaga anak-anak. Jelaskan betapa bantuan suami akan dapat mengurangkan bebanan kerja puan di rumah dan puan boleh berikan yang terbaik untuknya dalam layanan seksual, insyaAllah! Ingat! Jangan mengarah sebaliknya merayu. Gunakanlah suara yang lembut dan berbincanglah ketika keadaan mengizinkan. Puan boleh ‘memikat’ suami untuk ‘bersama’ dan selepas itu, bercakaplah elok-elok dengannya.

Bersedia juga untuk menerima reaksi serupa dalam beberapa tempoh masa. Ada tikanya suami akan bersikap ego; enggan terima kesilapan isteri dan merasakan isteri masih perlu diajar. Jika puan berdepan keadaan tersebut; jangan putus asa, teruskan memikat suami. Biar terpaksa memulakan hubungan intim tersebut, teruskan lah. Dalam masa yang sama; terus juga ucapkan maaf atas kesilapan lalu dan paling penting; berdoa agar suami lembut hati dan memaafkan kesilapan puan.

Seperkara lagi; puan juga perlu bersedia menerima berita hadirnya orang ketiga antara kalian berdua. Bukan mendoakan tetapi pernah terjadi; kasih suami berpaling arah selepas acapkali keinginan ditolak menyebabkan diri rasa tidak diperlukan lagi lantas mencari kasih yang baru. Berdoa dan berserahlah kepada-Nya. Pasti ada hikmah jika benar ada orang ketiga; agar anda lebih menghargai kasih suami dan berusaha berikan yang terbaik kepadanya, insyaAllah!!!

05 Disember 2010

Nikah Sindiket vs Nikah Sempadan

Tahukah anda....?
- Apa beza nikah sindiket dengan nikah sempadan?
- Bolehkah berlaku nikah sindiket di sempadan?
- Sahkah nikah di sempadan?
- Kenapa tak sah nikah di sempadan sedangkan dah lebih dua marhalah?
- Apa kesan kalau nikah tak sah? Status anak-anak?
- Kalau tak dapat restu tapi nak kawin jg, ada pilihan tak selain nikah sindiket atau nikah sempadan?
- Kalau dah terlibat, apa tindakan selanjutnya?

Ketahui segala jawapannya bersama saya dalam Santai Ilmiah 1 pada 8hb Januari 2011 dengan topik Nikah Sindiket vs Nikah Sempadan: Perkahwinan bukan mainan. Hubungan tidak sah menurut syarak jadikan zuriat anda sebagai anak tak sah taraf. Ketahui cara untuk bersatu sebagai suami isteri biar hubungan terlarang tanpa perlu nikah di sempadan. Jika terlibat; pastikan sah mengikut syarak dan ada cara agar perkahwinan diiktiraf undang-undang Malaysia

Bagi mereka yang berminat, bolehlah daftarkan diri sebagai peserta; terhad kepada 35 peserta sahaja. Program Santai Ilmiah akan diadakan di Dewan Kuliah Masjid Negara.

Yuran penyertaan bagi setiap siri ialah RM55 bagi Ahli Kelab Eksekutif Bina Bahagia dan RM75 bagi bukan Ahli Kelab Eksekutif Bina Bahagia.

Bagi pengesahan pendaftaran, hanya sertakan bayaran RM30 sahaja (tidak akan dikembalikan tetapi boleh digantikan dengan peserta lain) dan baki yuran dijelaskan pada hari program.

Bayaran yuran boleh dibuat atas nama Bina Bahagia Services, akaun Bank Islam 120650 10035871, kemudian emelkan ke binabahagia@gmail.com; nyatakan nama penuh anda, no. kad pengenalan, no.ahli Kelab Eksekutif Bina Bahagia (jika ada), alamat surat-menyurat, nombor telefon bimbit dan nyatakan bukti bayaran RM30 untuk pendaftaran Santai ilmiah (nyatakan siri atau tarikh).

Bukti bayaran yang perlu disertakan sama ada:
1. Nombor rujukan tika transaksi atau nyatakan tarikh dan masa transaksi dibuat (nyatakan akaun pilihan anda), atau;
2. lampirkan resit bayaran (diimbas) atau ‘print screen’ resit bayaran tersebut.

Pengesahan pendaftaran akan diberikan oleh pihak kami melalui SMS dan kiriman surat rasmi (perlu dibawa pada hari program).

Jika masih ada persoalan, boleh hubungi 013-2545965. Terima kasih atas kerjasama!!