10 Februari 2013

Dilema suami diabaikan isteri

Soalan Dilema Perkahwinan, majalah Pa&Ma, Januari 2012:

"Sebulan selepas bernikah, isteri saya hamil. Kemudian kami menimang cahaya mata. Sejak bergelar suami, saya tidak pernah dilayan seperti yang selayaknya. Sejak hamil, isteri sibuk dengan kehamilannya. Kini, dia sentiasa sibuk melayan anak. Ini membuatkan saya lama-kelamaan menjadi bosan dengan sikapnya yang lupa pada tanggung jawab sebagai isteri."

JAWAPAN:

Fitrah seorang manusia mahu dilayan sebaiknya sebagai manusia iaitu difahami, diterima, dihormati, disayangi, diberi perhatian, diberi sokongan dan dipercayai. Fitrah ini sama sahaja kepada semua tak kira dia lelaki atau wanita. Meneliti hikmah perkahwinan pula, isteri bertanggungjawab untuk membahagiakan si suami malah si suami juga bertanggungjawab untuk membahagiakan si isteri. Biarpun akad perkahwinan di dalam Islam tidak memperincikan mengenai kesanggupan untuk meneruskan hidup dalam susah senang bersama-sama seperti lafaz ijab dan qabul bagi perkahwinan Mat Saleh, hakikatnya lafaz ijab dan qabul dalam perkahwinan Muslim adalah lebih besar dan bermakna.

Merujuk kepada kes, jelas tuan tidak menerima hak yang sepatutnya daripada seorang isteri. Menurut hukum syarak, seorang isteri berkewajipan untuk melayan suaminya dengan baik dalam erti kata melayani kehendak seks suami dan menyenangkan hati si suami. Saya yakin, si isteri sedar dan faham mengenai tanggungjawab ini cuma menghadapi beberapa kekangan untuk melaksanakannya.  Kita perhatikan kronologi kes. Tuan menyatakan perubahan berlaku terhadap layanan isteri kepada tuan selepas isteri disahkan hamil. Saya tidak pasti bagaimana isteri tuan melalui proses kehamilannya namun kebiasaannya, pengalaman pertama kehamilan adalah satu perkara amat bermakna malah berbeza.

Ada wanita yang mengalami alahan yang teruk hingga tidak berupaya untuk dekat dengan suami. Maksud saya, kepenatan yang dialami kesan alahan melampau menyebabkan si isteri tidak mampu untuk melayan kehendak batin si suami lantas si isteri cuba menjauhkan diri. Keadaan alahan tersebut juga membuatkan si isteri lebih menumpukan kepada urusan menjaga kehamilannya. Selepas bersalin pula, isteri mempunyai tambahan tanggungjawab sebagai seorang ibu pula. Bayi anda perlu diberikan perhatian sepenuhnya, bukan sekadar menyusukan dan membiarkan begitu sahaja. Biarpun begitu, bukan bermaksud si isteri yang telah menjadi ibu tidak lagi berpeluang atau mempunyai masa untuk melayan kehendak suami.

Berpandukan kes-kes yang pernah saya kendalikan, seorang isteri yang baru bersalin terutama bersalin secara normal akan mengalami satu fobia; bimbang alami kesakitan jika melakukan hubungan seksual bersama suami. Ada kes, isteri perlukan masa hampir satu tahun untuk kembali melakukan hubungan seksual dengan suami. Jangan ambil mudah! Isteri bersalin ibarat seperti menyabung nyawa. Setiap bayi yang lahir atau keluar melalui saluran yang sepatutnya bukan melalui satu jalan yang lurus dan kosong. Alat kelamin wanita mempunyai lapisan yang unik dan sekiranya ia terhiris atau luka, memang mengambil masa yang lama untuk sembuh.

Lantaran, hukum syarak menetapkan adanya tempoh nifas, bukan sekadar untuk mengeluarkan darah kotor kesan daripada kehamilan tetapi sebagai peluang untuk menyembuhkan semula saluran faraj wanita. Adat masyarakat kita juga menentukan tempoh berpantang 44 hari minima dan 100 hari maksima sebagai memberi peluang agar wanita membina semula keyakinan dan kekuatan diri. Wanita pula mempunyai semangat dan kekuatan yang berbeza. Jika ada yang berupaya untuk pulih segera, hari ke 45 suami dah boleh bersamanya semula. Bagi yang lambat, isteri ini perlukan bimbingan dan sokongan.

Berdasarkan luahan tuan, saya tak nampak wujudnya perbincangan antara tuan dan isteri dalam menangani permasalahan ini. Untuk makluman tuan, masalah utama komunikasi sesama setiap insan termasuk suami dan isteri ialah memahami dan difahami. Sukarnya memahami sama saja dengan sukarnya untuk difahami. Jalan terbaik, berikan peluang kepada diri sendiri untuk memahami dan difahami. Jika anda sukar memahami; bertanya dan berbincanglah. Jika anda sukar difahami; jelaskan dan berterus teranglah. InsyaAllah! Sama2 memahami akan dikecapi.

Seperti kes tuan, jalan terbaik ialah tuan perlu luahkan kegelisahan dan keinginan tuan. Mohon pertimbangan isteri untuk memberi tuan peluang agar hajat dan kehendak batin tuan dapat dilangsaikan. Jangan luahkan dengan kasar dan keras tetapi luahkan dengan berhikmah. Tuan boleh mulakan dengan bersama isteri ketika isteri melayan anak tuan bermain. Sama-sama melayani kerenah si kecil bukan saja dapat merapatkan kembali hubungan tuan bersama isteri sebaliknya layanan dan perhatian tersebut juga merupakan hak seorang anak.

Ya! Tuan kini bukan lagi hanya seorang suami tetapi juga adalah seorang ayah. Tuan wajib melayan anak tuan, memberinya perhatian, kasih sayang dan belaian. Jika tuan usahakan untuk bersama melayani si anak, pasti isteri punya masa lebih untuk melakukan kerja rumah yang pastinya juga dipertanggungjawabkan oleh tuan kepadanya. Kesan daripada itu akan memberikan isteri tuan luang masa yang lebih dan insyaAllah dia akan mampu untuk melayani tuan.

Tuan juga perlu berbincang dengan isteri mengenai kepuasan tuan dan dirinya dalam melaksanakan hajat batin masing-masing. Perlu difahami, terdapat perbezaan yang ketara antara kehendak batin suami dan kehendak batin isteri. Kebanyakan suami mempunyai kehendak batin yang tinggi dan selalu inginkan kehendak batinnya dipenuhi. Berbeza dengan isteri, kehendak batin isteri boleh ditoleransi. Jika penat, sedih atau mood yang tak menentu, isteri tak mengharapkan layanan untuk kehendak batin mereka.

Namun begitu, isteri juga berhak untuk merasa puas dan menikmati hubungan kelamin tersebut. Saya bimbang, isteri tidak berminat untuk melayan kehendak batin tuan kerana dirinya tidak merasai nikmat ketika berhubungan. Oppss! Jangan cepat melatah! Mampu hamil dan melahirkan bukan bukti kehendak seksual isteri telah dipenuhi sebaiknya. Jangan lupa, wanita yang dirogol juga boleh hamil. Kepuasan seorang isteri dalam menjalinkan hubungan seksual bersama suami diambil berat oleh syarak. Rasulullah SAW mengingatkan para suami dalam sabdanya yang bermaksud: “Jika seseseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula.” - hadis riwayat al-Suyuthi.

Kenapa? Kerana seorang isteri hanya mempunyai suaminya sahaja untuk menyempurnakan kehendak batinnya. Berbeza dengan suami, jika tak lagi ‘berselera’ dengan isteri yang ada, suami diberikan pilihan untuk mempunyai isteri baru yang dapat memenuhi hajatnya. Tuan perlu dapatkan penjelasan daripada isteri mengenai masalah ini. Andai isteri tidak mempunyai masalah berkaitan kepuasan cuma mohon lebih masa untuk kembali yakin dan percaya tentang seronoknya berhubungan biar selepas melahirkan; jangan putus asa!

Tika inilah tuan perlu mainkan peranan. Jangan biarkan isteri begitu sahaja. Rapat dengannya, bermesra macam biasa cuma jangan memaksanya untuk ‘bersama’. Lakukanlah aksi-aksi pra hubungan agar isteri rasa teruja dan timbul keinginan untuk bersama. Belajarlah teknik-teknik merangsang syahwat isteri. Usahakan beserta doa, insyaAllah akan ada penyelesaiannya.

Ingat! Rom tidak dibina dalam satu hari. Sama juga dengan bahagia hidup berumahtangga, perlukan masa berhari-hari, mungkin berbulan, mungkin juga bertahun. Terus berusaha dan bersabarlah melayani kerenah isteri. Ingat! Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya antara mereka dan yang paling baik adalah yang paling baik akhlaknya terhadap isteri-isterinya.” - hadis riwayat al-Tirmizi.