28 Julai 2010

Kahwin: Jangan berlandaskan seks


Berdasarkan statistik perceraian terkini yang dilaporkan oleh JAKIM; sememangnya diakui kes perceraian makin menjadi-jadi dan statistik membuktikan juga banyak perkahwinan di bawah usia lima tahun terlibat dalam perceraian malah banyak lagi kes yang masih dalam usaha menyelamatkan perkahwinan tersebut.

Punca dan sebab yang mewujudkan fenomena sebegini ialah:


Kecenderungan dan niat untuk berkahwin tidak tepat
Ramai pasangan yang cenderung untuk berkahwin kerana cinta dan seks semata-mata. Betul, keperluan seksual adalah antara dalam hikmah sebuah perkahwinan tetapi seks bukan perkara utama. Jika menjadikan seks sebagai tujuan dan niat utama untuk berkahwin; kegagalan menerima layanan seks menjadi punca mudah rumahtangga berantakan. Ada juga yang berkahwin kerana rupa atau harta; apabila harta tiada atau rupa tidak seperti tika mula hati jatuh cinta; perkahwinan akan goyah dan goncang.

Kesilapan dalam memahami maksud status seorang suami dan seorang isteri
Perkahwinan bukan menjadikan suami seorang raja dan bukan juga menjadikan isteri seorang hamba. Prinsip perkahwinan meletakkan perkahwinan sepatutnya menjadi satu perkara yang membahagiakan bagi kedua-dua pihak; suami dan isteri. Perkahwinan juga bermaksud perkongsian dan toleransi; bukan satu kata putus tanpa perbincangan. Suami diamanahkan sebagai ketua keluarga disebabkan suami dibebankan dengan tanggungjawab yang pelbagai; bukan saja berikan keperluan nafkah, kasih sayang, perhatian malah termasuk juga mendidik isteri dan anak-anak; bukan sebagai kuasa untuk mengarah itu ini, agar isteri patuh tanpa ada ruang langsung untuk isteri memberikan pendapat dan pandangan. Islam mewajibkan isteri patuh dan taat kepada suami tetapi perlulah bertempat. Jika perintah suami berlawanan dengan kehendak syariat; tak perlu ditaati.

Kegagalan menjalankan tanggungjawab dan amanah dalam perkahwinan
Kedua-dua suami dan isteri mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Tanggungjawab suami menjadi hak isteri dan tanggungjawab isteri menjadi hak suami. Bila satu pihak gagal menjalankan tanggungjawab yang patut, maka satu pihak lagi tidak menerima hak yang sepatutnya yang memungkinkan cinta yang ada pudar dan hilang dan usaha untuk keluar daripada perkahwinan dilakukan.

Kurang ilmu rumahtangga dan perkahwinan
Hampir 75% pasangan yang bercerai dikenal pasti sebagai individu yang kurang ilmu berkaitan perkahwinan dan rumahtangga. 20% lagi ialah individu yang tahu tetapi tidak mengamalkan ilmu yang diketahui sementara bakinya ialah individu yang hanya memikirkan perkahwinan ialah layanan seks semata-mata.

Kurang atau hampir tiada iman
Rata-rata kes yang saya kendalikan; punca utama runtuhnya sesebuah perkahwinan ialah kerana kurang atau hampir tiada langsung ilmu dan iman. Tak kiralah kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri atau sebelah pihak sahaja samada suami atau isteri. Namun, 90% perkahwinan hancur apabila sebelah pihak tidak beriman kepada Allah SWT. Iman kepada Allah SWT merupakan asas kebahagiaan di dalam setiap aspek kehidupan termasuk perkahwinan. Individu yang mantap iman dan taqwanya kepada Allah akan berusaha sedaya upayanya melaksanakan segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya termasuk berusaha yang terbaik untuk perkahwinan dan rumahtangganya agar sentiasa diredhai Allah. Kurang atau tiada iman menyebabkan individu terlibat tidak kisah dan bebas melakukan perkara yang melanggar syarak dan menyakitkan hati pasangan.

Usaha penting agar perkahwinan kekal hingga ke akhir hayat ialah menjaga solat. Solat yang dilakukan dengan khusyuk dan tawaddhuk akan menghalang individu daripada terlibat dengan perkara keji yang boleh meruntuhkan institusi perkahwinan.

****Cermin Diri Kosmo! siaran 23 Julai 2010

26 Julai 2010

Temujanji bersemuka di KL setiap Khamis hg Sabtu

Setelah dipertimbangkan melalui petunjuk-Nya jua; saya bersedia memenuhi permintaan rakan2 di Kuala Lumpur dan Selangor untuk bersemuka dgn saya melalui temujanji. InsyaAllah mulai OGOS ini, saya akan menerima temujanji bersemuka di KL pada setiap hari KHAMIS, JUMAAT dan SABTU.

Terdekat, temujanji dibuka untuk tempahan ialah pada tarikh 5hb dan 6hb Ogos. Seterusnya pada 21hb Ogos, kemudian pada 26hb hingga 28hb Ogos. Minggu ke3 tiada temujanji kerana saya terlibat dgn program PLKN.

Bagi mereka yang berhajat untuk mendapatkan khidmat nasihat secara bersemuka dengan saya, boleh tetapkan temujanji segera.

Untuk pengesahan temujanji, anda perlu jelaskan RM50 dan setelah selesai temujanji, bayaran tambahan akan dikenakan antara RM10 hingga RM50 sahaja lagi. Bererti untuk temujanji bersemuka ini, kos adalah antara RM50 hingga RM100 sahaja (termasuk bayaran pengesahan sebelum pertemuan).

Bagi yang berminat, sila bank in RM50 ke akaun Maybank 162209924697 atas nama Suhaiza Ghazali dan SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama penuh anda ke talian 013-2545965 dan maklumkan anda inginkan temujanji bersemuka bersama saya pada tarikh tersebut.

Terima kasih!!

20 Julai 2010

Kenapa isteri curang?



Kalau 15 tahun dulu, isteri curang mungkin berlaku satu daripada 30 kes. Tapi kebelakangan ini; kes isteri curang boleh berlaku antara 5-6 daripada 10 kes. Perlu ada penerangan khusus tentang maksud curang. Sejauhmana curangnya pasangan? Sekadar berkawan? Bercinta? Atau dah bersama di tempat tidur? Bagi suami/lelaki, kalau sekadar berkawan atau bercinta; bagi saya masih belum boleh dikatakan curang.


Berbeza dengan isteri/wanita; syarak mengharamkan isteri menyimpan rasa suka apatah lagi rasa cinta kepada lelaki selain suami. Jika isteri bercinta dengan lelaki lain; isteri ini boleh dikategorikan sebagai curang; tak kira apa pun sebabnya termasuk kegagalan suami menunaikan tanggungjawab. Kalau suami gagal laksana tanggungjawab yang sebabkan isteri beralih kasih, isteri perlu keluar dari perkahwinan dan bukan dengan bertindak curang kepada suami. Islam tentukan, isteri perlu hormatkan suami walau dalam apa juga keadaan. Jika tak mampu hormat, keluarlah dari perkahwinan secara terhormat.

Berdasarkan kes yang berlaku; tiga punca berlakunya isu pasangan curang, tak kira isteri atau suami.

• Cuba-cuba
o Ada individu yang sekadar nak ‘test market’, nak tau samada dirinya masih berharga tinggi atau sebaliknya. Bermula hanya cuba-cuba, dah berjaya maka hati akan berbunga seterusnya hubungan kawan akan berpanjangan menjadi pasangan istimewa.

• Simpati berlebihan
o Ada yang bermula dengan simpati terutama apabila saling berkongsi ujian hidup masing-masing. Simpati bertukar kasihan hingga sanggup berkorban apa saja demi kawan dan akhirnya menjadi kasih hingga lupa status sebenar diri yang telah mempunyai insan yang wajib dikasihi dan diberikan perhatian.

• Balas dendam
o Ada juga kes berpunca daripada balas dendam. Saya pernah kendalikan satu kes awal tahun ini; seorang isteri dibelasah oleh suami dengan getah paip hingga melecur seluruh badan (bagai terkena air panas) gara-gara pecah rahsia si isteri tidur dengan lelaki lain disebabkan isteri sakit hati dengan sikap suami yang suka bertukar pasangan.

Di samping tiga faktor pendorong ini; sebab utama ialah kerana tiada niat yang ikhlas ketika mendirikan rumahtangga. Niat yang ikhlas bermaksud bersedia untuk menerima pasangan seadanya, susah senang bersama-sama dan sama-sama juga perbaiki diri demi keharmonian rumahtangga. Niat yang ikhlas ketika berkahwin perlu sebab keikhlasan yang wujud boleh mendorong seseorang menerima kelemahan pasangan dan berusaha untuk memperbaiki kelemahan tersebut bersama-sama dan bukannya dengan melakukan kesilapan yang sama.

Seorang yang ikhlas dalam hubungan perkahwinan akan redha dan percaya; kesilapan yang dilakukan oleh pasangannya adalah sebagai ujian daripada Allah dan perlu berusaha utk membetulkan kesilapan pasangan. Andai gagal dibantu setelah usaha dan doa dilakukan, jalan terbaik ialah keluar daripada perkahwinan dan bukan turut serta mengulangi kesilapan pasangan yang hakikatnya akan mendatangkan lebih banyak keburukan kepada perkahwinan malah kepada diri sendiri, pasangan dan anak-anak, jika ada.

Sebagai langkah pencegahan; perkara paling penting ialah bersikap berterus terang, berbincang dan cuba atasi segala masalah yang ada. Rata-rata isteri akan setia kepada suami kecuali apabila merasakan ada orang lain yg lebih memahami atau lebih bersikap melindungi. Sebaiknya, bila isteri rasakan ada yg kurang dalam layanan suami, isteri perlu berterus terang dan suami pula perlu bersikap terbuka. Sama juga jika suami berada dalam situasi yang sama. Jika masing-masing sayangkan perkahwinan, ikhtiarkan dan usahakan jalan penyelesaian.

Jangan sewenangnya mendabik dada bangga inilah anda, tak boleh nak ubah atau persoalkan pula kenapa nak ubah sebab itu sikap anda dan sebagainya. Tak salah ubah sikap diri jika ia baik untuk perkahwinan dan rumahtangga. Sikap pula, berubah dari yang kurang baik kepada yang lebih baik dan bukan sebaliknya. Menerima pasangan seadanya bukan bererti perlu terima kelemahan yg tak perlu dan kelemahan itu pula yg boleh dibaiki. Menerima seadanya bermaksud terima dirinya dan usahakan yang terbaik bagi membantu atasi kelemahan masing-masing.

****Disediakan untuk ruangan Cermin Diri akhbar Kosmo! siaran 16hb Julai

18 Julai 2010

Rahsia dalam keluarga

Soalan 1: Apakah wujud kerahsiaan dalam keluarga?
Jawapan: Ya dan tidak.

Soalan 2: Maksudnya?
Jawapan: Maksudnya, ada perkara yang perlu dirahsiakan dan ada juga perkara yang tak perlu dirahsiakan. Malah ada antara perkara yang mulanya adalah rahsia tetapi dalam sebahagian keadaan perlu diumumkan bila diperlukan. Paling penting, bila bercakap tentang rahsia dalam keluarga, kita perlu bahagikan kepada dua bahagian iaitu:
1) rahsia melibatkan suami isteri dan
2) rahsia melibatkan suami isteri atau ibu bapa dan anak-anak.

Soalan 3: Boleh jelaskan dengan lebih terperinci?
Jawapan: Hakikatnya, rahsia dalam keluarga melibatkan suami isteri atau lebih mudah disebut rahsia rumahtangga terbahagi kepada empat bentuk iaitu rahsia khusus, rahsia yang menyentuh keselamatan, rahsia harta benda, rahsia bilik tidur, rahsia berhubung dengan maruah diri dan rahsia tentang nafkah.

1. Rahsia khusus:
Rahsia-rahsia khusus adalah hal peribadi yang diminta secara khusus oleh suami atau isteri kepada pasangannya supaya dirahsiakan. Imam al-Ghazali ada mencatatkan di dalam kitabnya Mukasyafatu al-Qulub tentang beberapa tafsiran ulama mengenai perintah Allah kepada orang-orang mukmin supaya menjaga amanah dan antara amanah itu ialah “satu perkataan atau ayat” yang diamanahkan supaya dijaga dan dirahsiakan. Maka wajib menjaga amanah tersebut. Begitu juga sesuatu yang dibisikkan kepada pasangan dengan permintaan supaya ia menjadi rahsia antara mereka berdua, maka ia tergolong dalam amanah yang wajib dijaga.

2. Rahsia yang menyentuh keselamatan:
Jangan terlepas cakap tentang perkara yang ada kaitan dengan keselamatan kepada orang yang tidak dikenali atau baru dikenali contoh waktu pergi balik ke tempat kerja dll. Mungkin ada orang yang memusuhi pasangan kita berniat jahat dan hendak mengkhianati dan menganiayainya. Musuh itu mungkin menyamar dengan meminta daripada kita segala maklumat, latar belakang dan sebagainya. Teladani kisah isteri Sam’un al-Ghazi yang mendedahkan rahsia kekuatan suaminya kepada pihak musuh hingga menyebabkan nyawa suaminya terancam.

3. Rahsia harta benda:
Harta benda dan kewangan pasangan juga adalah rahsia yang wajib dijaga dan dipertahankan. Dalam hal ini, isteri terutamanya yang berfungsi sebagai pengurus rumah tangga tentulah orang yang paling berperanan dalam menjaga rahsia rumah tangga yang dibina.
Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik isteri adalah yang dapat menyenangkan hati suaminya apabila suami melihatnya dan apabila disuruh dia menurut perintahmu, dan ia dapat menjaga kehormatan dirinya dan harta bendamu ketika engkau tiada di rumah.” (hadis riwayat at-Thabrani)
Dalam konteks ini, rumah tangga dan segala isinya adalah dikatakan “harta” dan benteng rahsia keluarga. Menjadi tanggungjawb suami dan isteri menjaganya dengan sebaik-baiknya. Islam melarang keras orang yang mencuri-curi pandang ke dalam rumah orang lain tanpa mendapatkan keizinan daripada tuan rumah. Sabda Rasulullah SAW: “Jika ada orang yang menjenguk-jenguk rumahmu tanpa izin, lalu engkau melontarkan batu kepadanya sehingga pecah matanya, tidaklah engkau berdosa.” (hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Rahsia Bilik Tidur:
Merupakan rahsia yang paling utama, haram dan berdosa hukumnya sekiranya salah seorang dari pasangan menghebahkan hubungan mereka kepada pengetahuan, pendengaran dan penglihatan orang lain meskipun anak-anak sendiri. Islam mensyariatkan agar dipisahkan tempat tidur anak-anak sejak mereka berusia tujuh tahun serta mengajarkan kepada mereka supaya memberi salam dan meminta izin terlebih dahulu sebelum masuk ke bilik ibu bapa terutamanya pada tiga masa seperti yang disebut di dalam al-Quran iaitu sebelum Subuh, sekitar waktu Zuhur dan selepas Isyak kerana pada waktu ini kemungkinan suami isteri sedang bersama atau pun mereka sedang berehat, bersantai atau tidur.

5. Rahsia berhubung dengan maruah diri:
Firman Allah S.W.T. yang maksudnya: “Adapun wanita-wanita yang solehah itu ialah wanita-wanita yang patuh (taat) dan memelihara kehormatan dirinya semasa ketiadaan suaminya sebagaimana Allah telah memelihara mereka.” (An-Nisa: 34)Maruah yang dimaksudkan melibatkan aurat, aib dan kelemahan seseorang. Jika maruah diri tidak dipelihara akan berlakulah kepincangan di dalam rumahtangga seterusnya menggugat kesejahteraan masyarakat.

6. Rahsia berhubung nafkah:
Perkara yang pasti, suami wajib memberikan nafkah atau perbelanjaan untuk isteri dan anak-anaknya. Pemberian ini adalah mengikut kemampuan, tidak sampai dilabelkan sebagai suami yang bakhil dan kedekut atau pun suami yang terlalu boros dan bermewah-mewah. Pokok pangkalnya seseorang itu wajib memberikan nafkah menurut kemampuannya. Oleh itu permasalahan sara hidup hendaklah dibincangkan sebaiknya dengan pasangan agar tidak menganiayai diri sendiri, isteri mahu pun anak-anak. Malah elakkan daripada menjadi topik perbualan atau pun umpatan orang lain lantaran kegagalan kita menyimpan rahsia tersebut.

Soalan 4: Apakah tiada pengecualian bagi setiap kerahsiaan yang dijelaskan tadi. Sebagai contoh, rahsia berhubung nafkah. Katakan telah diadakan perbincangan tetapi suami masih enggan berikan nafkah. Apakah yang perlu dilakukan?
Jawapan: Dalam kes seperti ini, tidak menjadi kesalahan bagi isteri (atau suami) untuk membuka rahsia rumah tangganya kerana ia dibuat demi kepentingan atau kebaikan rumah tangga itu sendiri. Iaitu apabila timbul masalah dalam hubungan suami isteri yang tidak dapat diselesaikan melalui perbincangan bersama, dan pihak suami atau isteri merasakan bahawa dia sudah tidak mampu menghadapinya, maka satu jalan penyelesaian perlu diambil dengan melibatkan ‘orang luar’, dengan kata lain, rahsia rumah tangga terpaksa dibuka ke pengetahuan seseorang.

Terdapat beberapa tindakan perlu diambil:
i) Merujuk kepada orang yang sesuai
Andainya sudah nekad untuk mengadu masalah dalam rumahtangga, rujuklah kepada orang yang tepat kerana bukan sebarangan orang boleh menjadi tempat mengadu masalah apalagi jikalau ia melibatkan perkara sulit. Pastikan orang pilihan tersebut amanah, boleh dipercayai, memiliki sifat adil, tidak mudah dipengaruhi emosi, tenang dan berwatak pendamai. Jika tidak, dia mungkin menjadi penghasut dan pengusut masalah. Tidak kira sama ada ia merupakan teman rapat atau pun seorang kaunselor yang berpengalaman, yang penting dia boleh membantu dalam memberi pandangan dan nasihat, atau menjadi orang tengah dalam membetulkan hubungan dua hala antara suami isteri yang tergendala.

ii) Membuka rahsia yang sesuai
Kita harus ingat bahawa orang yang diadu itu tetap merupakan ‘orang luar’ dalam konteks sesebuah rumahtangga. Oleh itu apa jua rahsia yang mahu diceritakan kepadanya harus dibataskan kepada hal-hal yang berkaitan dengan masalah yang dihadapi sahaja. Tidak lebih daripada itu. Jangankan disebabkan pengaruh emosi, kita membuka segala rahsia pasangan.

iii) Merujuk kepada Hakam
“Hakam” adalah wakil daripada kedua-dua pihak suami dan isteri di mana pihak lelaki diwakili seorang hakam, begitu juga dengan pihak wanita. Adakalanya mahkamah sendiri yang akan melantik hakam tersebut di mana kedua-dua hakam ini berfungsi sebagai pendamai untuk membantu menyelesaikan kes yang dihadapi. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan jika kamu khuatirkan ada persengketaan antara kedua-duanya (suami isteri), maka kirimlah seorang hakam dari keluarga lelaki dan seorang hakam dari keluarga perempuan.” (An-Nisa’: 35)
Kedua-dua hakam ini akan melakukan ‘soal selidik’ ke atas suami atau isteri dalam sesi berasingan, untuk mengetahui punca dan kedudukan masalah. Di sinilah pentingnya peranan hakam yang dipilih itu yang mesti memiliki sifat sebagai orang yang boleh dipercayai, bijaksana dan adil, boleh menyimpan rahsia, bijak bertindak dan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Dalam hal ini, suami mahupun isteri harus memberi kepercayaan kepada hakam di mana sedikit sebanyak rahsia rumah tangga mereka terpaksa diluahkan. Kemudian kedua-dua hakam ini akan bertemu untuk mencari penyelesaian. Andainya didapati tidak ada lagi titik temu antara kedua-dua suami isteri, kedua-dua hakam harus sepakat untuk membuat keputusan memisahkan mereka dengan cara baik di mana ia perlu dirujuk kepada mahkamah.

iv) Merujuk kepada mahkamah
Merupakan peringkat terakhir apabila jalan penyelesaian melalui perbincangan melalui kaunselor atau orang tengah “hakam” tidak lagi membuka sebarang harapan untuk perdamaian. Mahkamah boleh membuat keputusan dan dalam keadaan ini, ada rahsia yang perlu didedahkan di hadapan hakim atau mahkamah.

Soalan 5: Bagaimana pula kerahsiaan dalam hubungan ibu bapa dan anak-anak?
Jawapan: Dalam hubungan antara ibu bapa dan anak-anak, tak sepatutnya terlalu banyak rahsia sebab kerukunan sebuah keluarga akan hadir dengan adanya sikap berterus terang dan selalu berbincang. Namun, perkara berkaitan masalah antara suami isteri tetap menjadi rahsia utama. Ibu bapa tidak dibenarkan bergaduh di hadapan anak-anak. Pergaduhan dan perselisihan faham seharusnya menjadi rahsia yang tidak boleh diketahui oleh anak-anak. Sebaliknya jika anak-anak terlibat di dalam masalah rumahtangga, rahsia rumahtangga hanya boleh didedahkan kepada ibu bapa dengan tujuan mencari jalan penyelesaian tetapi tidak digalakkan kerana naluri fitrah ibu bapa, sukar menjadi perantara yang adil. Jika rahsia melibatkan keselamatan nyawa, ia boleh didedahkan. Pengecualian lain ialah mengenai status si anak. Ada ibu bapa yang bertindak merahsiakan status sebenar si anak sama ada anak angkat atau anak tak sah taraf. Sepatutnya status ini tidak boleh dirahsiakan sebaliknya perlu dijelaskan secara berhikmah agar tidak berlaku perkara yang tidak diingini pada masa akan datang.

Soalan 6: Kesimpulan?
Jawapan: Teladanilah kisah-kisah yang pernah berlaku di zaman Rasulullah SAW seperti kebijaksanaan Sayidatina Khadijah r.a. dalam menjaga rahsia kerasulan Rasulullah iaitu selepas menerima wahyu pertama di Gua Hira’. Beliau telah bertindak bijak dengan menceritakan peristiwa itu hanya kepada orang tertentu untuk mendapatkan pandangan dan tidak merujuk kepada sebarangan orang tetapi memilih orang yang telah dikenal pasti layak menjadi tempat rujuk dan boleh menyimpan rahsia. Orang itu adalah sepupunya sendiri, Waraqah bin Naufal, seorang alim yang masih berpegang pada ajaran tauhid. Rahsia ini disimpan kemas sehinggalah Rasulullah SAW sendiri menerima perintah untuk pergi ke tengah masyarakat menyampaikan amanah wahyu yang diterimanya.
Kesimpulannya, biar apa pun masalah yang dihadapi termasuklah hal rumah tangga, selaku seorang Islam hendaklah kita sentiasa mengingati Allah dan memohon bantuan daripadanya. Kerjakanlah solat istikharah dan solat hajat sebelum membuat apa jua keputusan agar diberi hidayah dan kekuatan. Di samping itu ambillah iktibar daripada hitam putih kehidupan masyarakat sekeliling kita. Bak kata pepatah “Yang baik, jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.”

****Saya sediakan soalan cadangan dan jawapan ini bg memenuhi slot Keluarga Bahagia SalamFM 14hb Mac 2010 (dijawab oleh rakan sy yg menggantikan sy sbb sy tak dpt hadir atas sebab yg tak dpt dielakkan)

13 Julai 2010

Jom koreksi diri


Kita dah berada di bulan Julai; separuh tahun 2010 telah pun berlalu. Bagaimana dengan azam tika satu Januari 2010 disambut? Jika azam anda turut sama berada separuh jalan sama seperti separuh tahun yang telah berlalu; syabas dan tahniah! Jika sekadar sebahagian atau sesuku atau belum menampakkan apa-apa perkembangan ke arah merealisasikan azam tersebut; anda perlu koreksi diri!!

Kenapa azam tersebut gagal berhasil hingga kini? Azam bukan sekadar niat atau tekad tetapi perlukan usaha dan ikhtiar bagi merealisaikan azam tersebut. Jika telah berusaha tetapi belum berjaya; tiba masanya untuk anda bertindak. Senaraikan setiap perkara yang menjadi sebab azam anda masih di langkah mula dan usahakan jalan penyelesaiannya!

Jangan mudah gembira dan jangan cepat patah semangat
Kepada yang berjaya; bersyukurlah!! Jangan mudah gembira atau sombong diri. Kekalahan Brazil tika kemeriahan Piala Dunia yang sedang berlangsung kini bukan saja kejutan sebaliknya sebagai satu peringatan bahawa kejayaan dan kecemerlangan takkan kekal bersama kita. Usah mendabik dada berbangga diri atau memperlekehkan orang lain kerana hidup kita umpama roda yang berputar. Bersyukur kepada-Nya bila kita di atas dan jangan lupa memandang ke bawah kerana nikmat-Nya hanya sementara dan boleh ditarik bila-bila masa.

Buat yang belum berjaya; jangan mudah mengalah atau melatah! Anda bukan gagal cuma belum berjaya. Teruskan berusaha tanpa kenal erti jemu dan penat. Meminjam kata-kata Napoleon Bonaparte: Kejayaan di hujung seribu kegagalan itu lebih bermakna!

Pasti ada rahsia besar yang tersembunyi
Paling penting; anda perlu percaya segala yang berlaku adalah ketentuan-Nya. Allah SWT lebih tahu yang terbaik untuk anda dan yang terbaik itu hanya akan tiba tepat pada masanya. Seperti bidalan hikmah: kita mengharapkan sekuntum bunga yang cantik tetapi yang kita perolehi ialah sepohon kaktus. Namun, tiba masanya, kaktus tadi akan berbunga cantik sama seperti yang kita harapkan! Ada tikanya bunga yang cantik itu akan hadir seminggu, sebulan, setahun atau mungkin bertahun-tahun. Berusahalah sedaya upaya untuk terus mencapai misi dan visi yang ditetapkan. Yang penting; ia akan hadir kerana janji Allah pasti; tak ada yang sia-sia dalam segala takdir dan kehendak-Nya!

Jangan lupa SOLAT dan DOA
Di samping usaha; sebagai Muslim, perkara paling penting ialah solat dan doa. Ada yang usaha dan doa tapi tak solat. Ada yang usaha dan solat tapi tak doa. Ingat! Hamba Allah yang tidak berdoa kepada-Nya merupakan hamba yang sombong bodoh! Tak perlu hafaz doa yang panjang dan tidak difahami. Cukuplah luahkan segala isi hati, hasrat dan kehendak anda kerana DIA Maha Mendengar, Maha Memahami walau menggunakan bahasa ibunda sendiri. Solatlah dan berdoalah! Kepada kaum wanita; tidak boleh solat sebab uzur syarie bukan halangan untuk anda berdoa. Berdoalah setiap masa!
****Bahan ini disiarkan menerusi ruangan Cermin Diri akhbar Kosmo! bertarikh 9hb Julai 2010.

12 Julai 2010

Harta sepencarian

Apakah definisi Harta Sepencarian?
• Dari istilah ‘sama-sama sepencarian’ iaitu amalan lazim masyarakat Melayu dulu kala
o Tiada nas al-Quran atau al-Hadis
o Adat yang baik diterima menjadi undang-undang Islam

• Harta Sepencarian ditafsirkan dalam undang-undang keluarga Islam di negeri-negeri kecuali di Kelantan (dalam undang-undang Pentadbiran Mahkamah Syariah)
o Umumnya, terdapat sedikit perbezaan tafsiran meskipun tidak terdapat perbezaan dari segi amalan pembahagian.
o Di Johor, Melaka, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Terengganu dan Wilayah-wilayah Persekutuan, harta sepencarian ditafsirkan sebagai “harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak”.
o Sementara di Pahang dan Perak, ia ditafsirkan sebagai “pendapatan atau harta yang didapati daripada usaha bersama di antara suami dan isteri dan termasuklah pendapatan yang didapati daripada modal yang diperolehi daripada usaha mereka bersama”.
o Tetapi di Perak, tafsiran ini kemudiannya dipinda dengan mengambilkira “apa-apa bentuk sumbangan lain semasa perkahwinan” hampir sama sebagaimana di Selangor dan Negeri Sembilan.
o Di Selangor dan Negeri Sembilan, ia ditafsirkan sebagai “harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri, sama ada secara langsung atau tidak langsung, semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak”.
o Di Kelantan pula, ia ditafsirkan sebagai “harta yang diperoleh oleh suami isteri dari usaha modal bersama”.
o Di Kedah, harta Sepencarian tidak ditafsirkan sama ada dalam “Enakmen Keluarga Islam 1979” maupun dalam “Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam 1962

• Harta sepencarian bolehlah diertikan sebagai suatu harta sama ada harta alih atau tak alih yang diperolehi bersama oleh suami dan isteri hasil daripada usaha dan sumbangan bersama dalam tempoh perkahwinan mereka dan termasuklah juga nilai harta yang diperolehi sebelum mereka berkahwin (harta asal) yang telah dimajukan atau ditingkatkan nilainya dalam masa perkahwinan melalui hasil usaha bersama.


Apakah syarat bagi menjadikan suatu harta itu sebagai Harta Sepencarian?
• Harta diperolehi sepanjang tempoh perkahwinan
• Harta adalah sumbangan bersama kedua-dua pihak
o Samada sumbangan secara langsung atau tidak langsung
o Sumbangan perlu dibuktikan
• Bukan suatu amanah


Siapakah yang berhak menuntut Harta Sepencarian?
• Isteri (termasuk suri rumah)
o Termasuk yang diceraikan secara takliq, fasak atau khuluk
o Termasuk isteri yang disabitkan nusyuz
• Suami
o Sedikit sahaja kes


Berapakah jumlah tuntutan yang boleh dilakukan?
• Sama-sama bekerja
o Pembahagian hampir sama rata atau mengikut sumbangan
• Satu pihak bekerja (isteri suri rumah)
o 1/3 daripada jumlah harta
o Mengambil kira sumbangan memberikan kemudahan kepada pihak yang satu lagi untuk bekerja mengumpul harta


Bagaimanakah tuntutan Harta Sepencarian dilakukan?
• Mengemukakan permohonan di Mahkamah Syariah (Rendah dan Tinggi)
o Bergantung kepada jumlah tuntutan


Apakah masalah-masalah yang sering dihadapi ketika tuntutan?
• Pembuktian harta
o Dokumen bukti pembelian dan hak milik
- Harta tak alih: Melalui Perakuan Carian Rasmi di Pejabat Tanah berasaskan kepada Jadual 4 Kanun Tanah Negara atau Cabutan Hak Milik berasaskan Jadual 9 (Kaedah 42) Kanun Tanah Negara dan taksiran nilaian harta-harta yang dipertikaikan itu melalui penilai berdaftar atau taksiran dari Pejabat Tanah (Pembahagian Pesaka).
- Harta alih: Dokumen pembelian/ hak milik
- Wang simpanan: Penyata akaun bank
- KWSP: Wang tunai bukan harta sepencarian tetapi rumah yang dibina menggunakan wang KWSP termasuk kiraan sebagai harta sepencarian
- Saham: Dokumen berkaitan

• Pelupusan harta
o Permohonan dan kebenaran kaveat
- Mahkamah, boleh atas permohonan mana-mana pihak isteri atau suami (mengikut mana-mana yang berkenaan) membuat suatu perintah melarang daripada melupuskan apa-apa harta yang diperoleh dalam perkahwinan jika mana-mana prosiding hal ehwal suami isteri masih belum selesai atau dalam prosiding itu mahkamah boleh membuat suatu perintah berkenaan.
- Kegagalan pihak-pihak itu mematuhi perintah berkenaan boleh dikenakan hukuman sebagai suatu penghinaan kepada mahkamah

• Kes poligami : harta dipindah milik kepada isteri baru
• Perebutan sebagai harta pusaka
- selesaikan tuntutan harta sepencarian dahulu


Apakah penyelesaian terbaik bagi memperolehi hak terhadap Harta Sepencarian?
• Menyimpan semua dokumen/salinan dokumen harta terkumpul
• Membuat pindah milik harta sejak awal belian (hibah)
• Membuat perjanjian pembahagian harta sejak awal belian

****Perkongsian ringkas, moga bermanfaat! Wallahua'lam!

02 Julai 2010

Mata siapa yang tidak pernah menangis

Saya terima emel ini hari ini, menarik minat saya untuk dikongsikan dengan pembaca semua sbb akhir bacaan, air mata saya juga bergenang....

-----------------------------------------------------------------

Pada setiap Jumaat, selepas selesai menunaikan solat Jumaat, seorang Imam dan anaknya yang berumur 7 tahun akan berjalan menyusuri jalan di kota itu dan menyebarkan risalah bertajuk "Jalan-jalan Syurga" dan beberapa karya Islamik yang lain.

Pada satu Jumaat yang indah, pada ketika Imam dan anaknya itu hendak keluar seperti biasa meghulurkan risalah-risalah Islam itu, hari itu menjadi amat dingin dan hujan mulai turun.

Anak kecil itu mula membetulkan jubahnya yang masih kering dan panas dan seraya berkata "Ayah! Saya dah bersedia"

Ayahnya terkejut dan berkata "Bersedia untuk apa?".

"Ayah bukankah ini masanya kita akan keluar menyampaikan risalah Allah"

"Anakku! Bukankah sejuk keadaan di luar tu dan hujan juga agak lebat"

"Ayah bukankah masih ada manusia yang akan masuk neraka walaupun ketika hujan turun"

Ayahnya menambah "Ayah tidak bersedia hendak keluar dalam keadaan cuaca sebegini"

Dengan merintih anaknya merayu "Benarkan saya pergi ayah?"

Ayahnya berasa agak ragu-ragu namun menyerahkan risalah-risalah itu kepada anaknya. "Pergilah nak dan berhati-hatilah. Allah bersama-sama kamu!"

"Terima kasih Ayah"

Dengan wajah bersinar-sinar anaknya itu pergi meredah hujan dan susuk tubuh kecil itu hilang dalam kelebatan hujan itu. Anak kecil itu pun menyerahkan risalah-risalah tersebut kepada sesiapa pun yang dijumpainya. Begitu juga dia akan mengetuk setiap rumah dan memberikan risalah itu kepada penghuninya. Setelah dua jam, hanya tinggal satu saja risalah "Jalan-jalan Syurga" ada pada tangannya. Dia berasakan tanggungjawabnya tidak akan selesai jika masih ada risalah di tangannya.

Dia berpusing-pusing ke sana dan ke mari mencari siapa yang akan diserahkan risalah terakhirnya itu namun gagal. Akhirnya dia ternampak satu rumah yang agak terperosok di jalan itu dan mula mengatur langkah menghampiri rumah itu. Apabila sampai sahaja anak itu di rumah itu, lantas ditekannya loceng rumah itu sekali. Ditunggunya sebentar dan ditekan sekali lagi namun tiada jawapan.

Diketuk pula pintu itu namun sekali lagi tiada jawapan. Ada sesuatu yang memegangnya daripada pergi, mungkin rumah inilah harapannya agar risalah ini diserahkan. Dia mengambil keputusan menekan loceng sekali lagi.

Akhirnya pintu rumah itu dibuka. Berdiri di depan pintu adalah seorang perempuan dalam lingkungan 50an. Mukanya suram dan sedih.

"Nak, apa yang makcik boleh bantu?"

Wajahnya bersinar-sinar seolah-olah malaikat yang turun dari langit.

"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik. Saya datang ini hanya hendak menyerahkan risalah akhir ini dan makcik adalah orang yang paling bertuah".

Dia senyum dan tunduk hormat sebelum melangkah pergi.

"Terima kasih nak dan Tuhan akan melindungi kamu" dalam nada yang lembut.

Minggu berikutnya sebelum waktu solat Jumaat bermula, seperti biasa Imam memberikan ceramahnya. Sebelum selesai dia bertanya "Ada sesiapa nak menyatakan sesuatu."

Tiba-tiba sekujur tubuh bangun dengan perlahan dan berdiri. Dia adalah perempuan separuh umur itu. "Saya rasa tiada sesiapa dalam perhimpunan ini yang kenal saya. Saya tak pernah hadir ke majlis ini walaupun sekali. Untuk pengetahuan anda, sebelum Jumaat minggu lepas saya bukan seorang Muslim. Suami saya meninggal beberapa tahun lepas dan meninggalkan saya keseorangan dalam dunia ini."

Air mata mulai bergenang di kelopak matanya.

"Pada Jumaat minggu lepas saya mengambil keputusan untuk membunuh diri. Jadi saya ambil kerusi dan tali. Saya letakkan kerusi di atas tangga menghadap anak tangga menuruni. Saya ikat hujung tali di galang atas dan hujung satu lagi diketatkan di leher. Apabila tiba saat saya untuk terjun, tiba-tiba loceng rumah saya berbunyi. Saya tunggu sebentar, pada anggapan saya, siapa pun yang menekan itu akan pergi jika tidak dijawab. Kemudian ia berbunyi lagi. Kemudian saya mendengar ketukan dan loceng ditekan sekali lagi".

"Saya bertanya sekali lagi. Belum pernah pun ada orang yang tekan loceng ini setelah sekian lama. Lantas saya melonggarkan tali di leher dan terus pergi ke pintu"

"Seumur hidup saya belum pernah saya melihat anak yang comel itu. Senyumannya benar-benar ikhlas dan suaranya seperti malaikat".

"Makcik, maaf saya mengganggu, saya hanya ingin menyatakan yang ALLAH amat sayangkan makcik dan sentiasa memelihara makcik" itulah kata-kata yang paling indah yang saya dengar".

"Saya melihatnya pergi kembali menyusuri hujan. Saya kemudian menutup pintu dan terus baca risalah itu setiap muka surat. Akhirnya kerusi dan tali yang hampir-hampir menyentap nyawa saya diletakkan semula ditempat asal mereka. Aku tak perlukan itu lagi".

"Lihatlah, sekarang saya sudah menjadi seorang yang bahagia, yang menjadi hamba kepada Tuhan yang satu ALLAH. Di belakang risalah terdapat alamat ini dan itulah sebabnya saya di sini hari ini. Jika tidak disebabkan malaikat kecil yang datang pada hari itu tentunya roh saya ini akan berada selama-lamanya di dalam neraka"

Tiada satu pun anak mata di masjid itu yang masih kering. Ramai pula yang berteriak dan bertakbir ALLAHUAKBAR! Imam lantas turun dengan pantas dari mimbar lantas terus memeluk anaknya yang berada di kaki mimbar dan menangis sesungguh-sungguh hatinya. Jumaat ini dikira Jumaat yang paling indah dalam hidupnya.

Tiada anugerah yang amat besar dari apa yang dia ada pada hari ini. Iaitu anugerah yang sekarang berada di dalam pelukannya. Seorang anak yang seumpama malaikat. Biarkanlah air mata itu menitis. Air mata itu anugerah ALLAH kepada makhlukNya yang penyayang...

****Tak pasti samada ceretan ini sebuah kisah benar atau tidak cuma terdetik di hati: Ya Allah!! Jadikanlah anak-anakku sehebat kanak-kanak mulia ini, amiiiinnnnn!!