07 Februari 2014

Wanita Dirimu Berharga

Anda wanita?
- bakal isteri?
- seorang isteri?
- bekas isteri?

Biar apa jua status yg anda pegang, anda adalah wanita yg mempunyai harga diri dan hak yg dikurniakan Ilahi.

Lantaran, sempena Hari Wanita yg bakal diraikan pada 8 Mac nanti, juga bersempena ulangtahun ke-7 saya 'dimerdekakan' dari tanggungjawab seorang isteri, saya akan ada program motivasi istimewa - WANITA: DIRIMU BERHARGA! Dalam program istimewa ini, anda akan didedahkan dengan hak2 anda sebagai bakal isteri, seorang isteri dan bekas isteri. Anda juga akan diberikan informasi berguna mengenai cara menjadi usahanita yg berjaya bagi menambah pendapatan sendiri dan membantu keluarga. 

Bukan hanya pengisian yg istimewa, yuran penyertaan juga istimewa. Bagi segala pengisian mengenai hak anda sebagai bakal isteri, seorang isteri, bekas isteri dan panduan niaga dan menambah pendapatan, anda hanya perlu bayar RM30.00 (Ringgit Malaysia Tiga Puluh Sahaja).

Daftar segera! Terhad kepada 100 peserta sahaja! Maklumat program seperti berikut:
Tarikh: 9hb Mac 2014 (Ahad)
Masa: 8.30am hingga 1pm
Tempat: Dewan Besar, Masjid Negara, Kuala Lumpur.

Tentatif program:

08.30am - Pengesahan pendaftaran dan sarapan pagi
09.00am - Perkongsian Tips Usahanita Jaya 1: Pn Nur Adila, surirumah berpendapatan RM5000 sebulan   menjadi ejen jualan produk kesihatan
09.30am - Perkongsian Tips Usahanita Jaya2: Pn Ain Nadia, wanita muda berusia 26 tahun kini mempunyai cawangan spa dan produk kesihatan sendiri
10.00am - Pembentangan Hak Seorang Bakal Isteri, Seorang Isteri dan Bekas Isteri serta prosedur untuk memperolehi hak berkaitan oleh saya sendiri beserta soal jawab
01.00pm - Bersurai

Untuk pendaftaran, sila bank in RM30 ke akaun Bank Islam 120650 10035871 atas nama Bina Bahagia Services kemudian SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama penuh, no kad pengenalan dan alamat anda ke talian 013-2545965. 

Tolong hebahkan kepada rakan2 yg memerlukan. Peluang julung2 kali! Hanya RM30 untuk pelbagai informasi berguna keranamu rakan2 wanitaku, dirimu berharga! (",)

03 Februari 2014

Tegurlah secara berhemah


Soalan DILEMA PERKAHWINAN, Majalah Pa&Ma bulan September 2012

"Saya akui banyak kelemahan dan boleh terima jika suami menegur secara baik. Sejak awal perkahwinan, cara suami menegur adalah kasar dan selalu mengungkit keburukan saya. Bahkan, dia suka menceritakan keburukan saya kepada keluarganya. Ini membuatkan saya malu dengan kelakuannya itu."

JAWAPAN:
Fitrah seorang manusia mahu dilayan sebaiknya sebagai manusia - difahami, diterima, dihormati, disayangi, diberi perhatian, diberi sokongan dan dipercayai. Fitrah ini sama saja buat semua individu, tak kira seseorang itu lelaki atau perempuan, muda atau tua, kaya atau miskin malah termasuk juga suami dan isteri. Dihormati termasuklah dilayan dengan baik. Islam menentukan tanggungjawab seorang suami yang paling utama ialah melayan isteri dengan penuh kebaikan. Seorang suami wajib melayani isterinya dengan tingkah laku yang baik dan menuruti kehendak isteri dalam perkara yang sesuai dan munasabah mengikut syarak.

Terdapat banyak arahan dan suruhan di dalam ayat al-Quran dan hadis Rasulullah SAW mengenai kewajipan ini. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” – surah al-Nisa’ ayat 19. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku.” - hadis riwayat al-Tirmizi.

Setiap suami juga dituntut agar berlaku adil terhadap isterinya dengan menunaikan segala haknya dalam setiap perkara selari dengan kehendak syarak sesuai dengan kedudukan suami seperti firman Allah SWT lagi yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin terhadap kaum perempuan.” – surah al-Nisa’ayat 34. Saya yakin ramai yang arif dan maklum dengan maksud ayat ini. Ya! Lelaki merupakan pemimpin bagi wanita. Namun begitu, perlu diingat!! Allah SWT menetapkan suami sebagai pemimpin bukan sebagai tiket atau lesen bagi para suami untuk bersikap seperti seorang diktator, zalim, sombong serta berkeras terhadap isteri.

Hakikat sebenarnya, kekuasaan yang diberi oleh Allah SWT itu menuntut agar seorang suami bersikap bertanggungjawab, bijaksana, adil, sabar dan mampu untuk mengendali segala permasalahan atau bebanan yang timbul di dalam rumahtangga. Dalam erti kata lain, status kepimpinan suami itu adalah dalam rangka untuk merealisasikan perintah Allah SWT bagi melayan isteri dengan sebaik mungkin. Maksud layanan yang baik bukan sekadar tidak memukul atau menampar tetapi layanan yang baik seperti yang dikehendaki di dalam Islam malah undang-undang perkahwinan agama lain juga ialah suami perlu menjaga hati dan perasaan isteri agar tidak dilukai dan disakiti. Isteri berhak dilayan dengan penuh kemesraan, kelembutan dan dengan penuh kasih sayang. Suami juga perlu berusaha memupuk kasih sayang isteri seperti di dalam kes perkahwinan paksa.

Layanan yang baik juga bermakna isteri perlu diperlakukan seperti seorang manusia merdeka, bukannya hamba yang menurut segala arahan tuannya yang membabi buta. Seorang isteri perlu dipanggil dengan ucapan yang menunjukkan kasih sayang seperti nama manja isteri ataupun apa jua panggilan yang menggambarkan betapa suami menyintai dan menghargai isteri. Seorang isteri tidak berhak menerima kata-kata seperti bodoh, otak singkat atau apa juga panggilan yang menyakitkan hati. Fikirkan, sekiranya kata-kata tersebut dikembalikan kepada suami, apa pulak yang suami akan rasa? Bukan sahaja isteri atau suami malahan tidak ada seorang pun yang bernama manusia yang waras di dunia ini, suka dipanggil sebegitu.

Sebenarnya, panggilan di dalam sesebuah perkahwinan juga merupakan faktor penyumbang ke arah kebahagiaan atau sebaliknya. Sekiranya kita memanggil isteri atau suami dengan panggilan yang elok maka baiklah jadinya. Begitu juga sekiranya kita menggunakan panggilan yang tak elok maka buruklah jadinya. Berdasarkan kes, sikap suami yang menegur isteri secara kasar malah menceritakan kelemahan isteri kepada orang lain adalah sikap yang tak elok dan tidak baik untuk rumahtangga. Sebagai ketua keluarga, seorang suami sepatutnya menegur kesilapan dan kekurangan isterinya dengan baik, memberi panduan agar kesilapan tak berulang dan membantu isteri menjadi lebih baik. Mencaci, mencela, memaki hamun isteri dan memalukan isteri di depan orang lain tidak akan menjadikan keadaan lebih baik sebaliknya akan menjadi lebih buruk.

Bagi menangani masalah ini, puan perlu berusaha untuk memahami sikap dan kehendak suami. Jangan ulangi kesilapan yang tidak disukainya. Ambil berat setiap luahan dan kata-katanya. Berusaha untuk memberikan yang terbaik buat suami. Boleh bertanya andai puan tak faham atau tidak jelas dengan kehendak suami. Bila segalanya telah dilakukan tetapi suami masih bersikap serupa, luahkan kekecewaan puan kerana suami gagal menghargai. Mohon penjelasan atas kekurangan atau kelemahan puan yang perlu diperbaiki. Nyatakan puan mengharapkan teguran yang baik dan nasihat yang membina agar puan dapat usahakan yang lebih baik dalam usaha menjadi isteri yang solehah kepadanya.

Jika suami sukar dibawa berbincang atau sukar untuk berterus terang secara bersemuka, luahkan isi hati puan menggunakan emel atau surat. Yang penting, isi hati puan perlu diterjemahkan agar difahami oleh suami. Puan juga boleh berikan artikel-artikel berkaitan tanggungjawab suami melayan isteri dengan baik kepada suami. Atau boleh bacakannya kepada suami atau perdengarkan ceramah-ceramah agama yang berkaitan. Dengan izin-Nya, insyaAllah hati suami akan terusik dan mengerti. Jika suami dari jenis yang payah untuk solat, dorongkan agar dia mengerjakan solat. Semestinya puan sendiri perlu mengerjakan solat. Andai puan juga jenis yang payah nak solat, percayalah, ujian puan berhadapan suami sebegini adalah tanda Allah sayangkan puan, agar puan merayu memohon daripada-Nya agar diberikan kebahagiaan yang puan inginkan.

Dalam masa yang sama, jangan lupakan Dia. Panjatkan doa kepada-Nya, mohon agar dilembutkan hati suami, agar suami melayan puan dengan baik dan hormat. Jangan putus harapan dan jangan putus doa. Hati puan, hati suami malah hati saya juga dikuasai oleh-Nya. Bukan suami, bukan puan juga. InsyaAllah, dengan izin-Nya, suami boleh berubah sikap dan melayan puan dengan baik.

Sebenarnya, cinta dan kasih sayang bukan sesuatu yang tegar dan keras seperti batu malah batu juga boleh pecah dan hancur hanya oleh titisan air yang berulang kali. Sama juga dengan cinta dan kasih sayang. Seorang lelaki dan seorang perempuan perlukan cinta untuk bersama sebagai suami isteri. Untuk terus kekal sebagai suami isteri juga perlukan cinta.

Cinta bukan sekadar perasaan yang disimpan lama tetapi cinta perlu dihangatkan setiap masa dan ketika. Jika hanya mengharapkan luahan cinta sejati di awal percintaan atau di awal perkahwinan, memang tidak memadai. Kerana itulah tidak pelik atau hairan kenapa pasangan yang berkahwin atas dasar cinta atau suka sama suka boleh berpisah akhirnya. Puncanya, cinta yang ada dibiarkan membeku dengan pendirian cinta tersebut akan tetap hangat dan mekar walau tanpa siraman kasih dan belaian sayang. Apatah lagi jika dicampur pula dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Cinta itu boleh pergi dan tak muncul lagi.

Masalah utama komunikasi sesama setiap insan ialah memahami dan difahami. Sukarnya memahami sama saja dgn sukarnya untuk difahami. Jalan terbaik, berikan peluang kepada diri sendiri untuk memahami dan difahami. Jika anda sukar memahami; bertanya dan berbincanglah. Jika anda sukar difahami; jelaskan dan berterus teranglah. InsyaAllah! Sama-sama memahami akan dikecapi. Kebahagiaan hidup berpasangan hanya akan diperolehi apabila wujud sikap toleransi dan sedia memperbaiki kelemahan diri. Fokuskan kepada kelebihan dan kebaikan pasangan dan bersama-sama berusaha atasi kelemahan! Setiap manusia tak sempurna. Pasangan 'diberikan' untuk saling menyempurnakan!