18 Disember 2009

Tiga sesi khidmat rundingcara

Bagi mereka yang ingin mendapatkan khidmat nasihat dan rundingcara daripada saya boleh menggunakan tiga cara iaitu:
1. jumpa bersemuka
2. perbualan telefon
3. chatting menggunakan Yahoo Messenger

JUMPA BERSEMUKA:

- diadakan di Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani
- bermula Ogos 2010, saya akan terima temujanji bersemuka di KL setiap Khamis hingga Sabtu
- enam hari seminggu iaitu Isnin hingga Sabtu mengikut jadual yang ditetapkan
- selama satu jam tiga puluh minit hingga dua jam bagi setiap sesi

Untuk pengesahan temujanji, anda perlu jelaskan RM50 dan setelah selesai temujanji, bayaran tambahan akan dikenakan antara RM10 hingga RM50 sahaja lagi. Bererti untuk temujanji bersemuka, kos adalah antara RM50 hingga RM100 sahaja (termasuk bayaran pengesahan sebelum pertemuan).

Sila bank in RM50 ke akaun Maybank 162209924697 atas nama Suhaiza Ghazali dan SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama penuh anda ke talian 013-2545965 dan maklumkan anda inginkan temujanji bersemuka.

Temujanji anda akan ditetapkan berdasarkan kekosongan jadual yang terdekat.


PERBUALAN TELEFON

- enam hari seminggu iaitu Isnin hingga Sabtu mengikut jadual yang ditetapkan (berjalan serentak dengan jadual temujanji bersemuka). Atas permintaan, saya sedia terima temujanji menerusi perbualan telefon pada sebelah malam bermula jam 10.30pm.

Bagi temujanji menerusi perbualan telefon, kos perkhidmatan ialah RM50 sahaja dan anda boleh berkongsi kisah dengan saya selama 60 minit.

Sila bank in RM50 ke akaun Maybank 162209924697 atas nama Suhaiza Ghazali kemudian SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama penuh ke talian 013-2545965 dan maklumkan anda inginkan temujanji menerusi panggilan telefon.

Temujanji anda akan ditetapkan berdasarkan kekosongan jadual yang terdekat dan anda akan diberikan nombor telefon untuk anda hubungi saya pada masa yang ditetapkan. Tolong maklumkan nombor yang akan anda gunakan untuk hubungi saya nanti. Nombor lain selain daripada yang diberikan, tidak akan dilayan.


CHATTING TRU YAHOO MESSENGER

- enam hari seminggu iaitu Isnin hingga Sabtu mengikut jadual yang ditetapkan (berjalan serentak dengan jadual temujanji bersemuka, panggilan telefon dan ada jadual khusus pada sebelah malam bermula 10.30pm)

Bagi temujanji menerusi menerusi khidmat Yahoo Messenger, kos perkhidmatan ialah RM50 sahaja dan anda boleh chatting dengan saya selama 2 jam.

Sila bank in RM50 ke akaun Maybank 162209924697 atas nama Suhaiza Ghazali kemudian SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama penuh ke talian 013-2545965 dan maklumkan anda inginkan temujanji menerusi menerusi khidmat Yahoo Messenger. Sertakan sekali ID (alamat) Yahoo Messenger anda.

Temujanji anda akan ditetapkan berdasarkan kekosongan jadual yang terdekat.

PERINGATAN PENTING!!! Jika anda tidak dapat tunaikan temujanji yang telah ditetapkan, mohon kerjasama untuk maklumkan kepada PA saya, SMS ke talian 013-2545965 selewat-lewatnya empat jam sebelum jadual yang telah ditetapkan.

Kegagalan anda berbuat demikian akan menyebabkan anda dikenakan penalti RM10 atau masa temujanji anda yang ditangguhkan ke masa lain akan dikurangkan. Untuk makluman, saya tidak akan batalkan temujanji yang telah anda tangguhkan maka saya terpaksa tetapkan penalti ini bagi mengelakkan tangguhan saat-saat akhir disebabkan tangguhan anda tersebut mengganggu jadual saya dan orang lain.

Saya juga akan gunakan kaedah yang sama, memaklumkan tangguhan kepada anda selewatnya empat jam sebelum temujanji, jika terdapat perkara yang tak dapat dielakkan yang menghalang temujanji daripada dilaksanakan.

Terima kasih di atas segala kerjasama.

07 Disember 2009

Cerai dalam poligami

Semasa menyampaikan ceramah mengenai keganasan terhadap wanita di Pekan, Pahang pada 29hb Oktober yg lalu, saya berhutang satu soalan yg ditulis kemudian diserahkan kpd saya oleh pihak urusetia. Memandangkan tika itu masa terlalu suntuk, saya berjanji akan bincangkan persoalan tersebut menerusi blog. Kepada yang bertanya, maaf sebab agak lewat memberikan jawapan.


Persoalan yg dikemukakan kepada saya: Kes tentang si suami yg berkahwin lagi di luar negara tanpa pengetahuan si isteri tetapi selepas 2 tahun dan mempunyai anak, barulah si suami memberitahu si isteri yg dia telah berkahwin lg. Si isteri tak boleh menerima poligami ini kerana madunya berusia sebaya anak gadis mereka dan ingin meminta si suami bercerai dgn isteri baru. Jadi, bagaimanakah menghadapi klien seperti ini?


JAWAPAN:

Syarak menetapkan, kelayakan bagi seorang lelaki utk berpoligami ialah mampu berlaku adil.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 3 yang bermaksud: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah (dengan) perempuan-perempuan lain yang kamu berkena;, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau memadailah dengan hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman ”.

Undang-undang Keluarga Islam pula memperuntukkan empat syarat kelayakan bg membolehkan seorang suami berpoligami:

1. perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu memandang kepada keadaan isteri dari segi kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja engkar mematuhi untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila;
2. pemohon mempunyai kemampuan mengikut kehendak syarak untuk menanggung semua isteri dan tanggunggannya termasuk orang yang bakal ditanggungnya berikutan dari perkahwinan yang baru;
3. pemohon berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isteri mengikut kehendak hukum syarak;
4. perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri.

Secara mudah, alasan isteri pertama tidak mahu menerima perkahwinan kedua si suami dengan sebab usia madu yg sebaya dgn anak sendiri, bukanlah satu alasan yg wajar. Malah, sekiranya si suami berkelayakan dan mampu, isteri pertama perlu terima hakikat berkongsi kasih tersebut.

Perlu diingat, poligami bukan berebutkan suami sebaliknya berkongsi dengan syarat, suami betul-betul layak dan berkemampuan. Mampu bukan sahaja dari segi tenaga batin atau seks ataupun kemampuan harta, sebaliknya kemampuan anda untuk memberikan sepenuh perhatian dan kasih sayang kepada para isteri dan anak-anak. Paling penting, mampu mengawal emosi isteri-isteri anda.

Sepatutnya dalam kes di atas, suami lebih bertegas. Mungkin disebabkan rasa bersalah menipu isteri pertama, menyebabkan suami serba tak kena. Sebab itu lah, saya selalu tegaskan kpd bakal isteri kedua, ketiga atau keempat, tak der salahnya anda nak berkongsi tetapi pastikan betul2 berkongsi dan jgn izinkan bakal suami anda menipu dan bersikap curang. Jika dia boleh menipu isteri pertama kononnya kerana anda, tak mustahil dia akan menipu lg demi org lain pula, mgkin tak semua tpi lebih baik beringat. Letakkan diri anda di tempat isteri pertama, rasai emosinya.

Namun, hukum bukan berkaitan emosi sebaliknya ketentuan Ilahi. Desakan isteri pertama supaya si suami menceraikan isteri kedua boleh disamakan dgn cubaan meruntuhkan masjid dan hukumnya adalah haram. Jika keadaan ini berterusan, isteri pertama boleh didakwa sebagai mengganggu kebahagiaan perkahwinan.

Merujuk kepada Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan), seksyen 37 dan seksyen 38 adalah berkaitan dan boleh digunakan untuk membawa kes ini ke muka pengadilan. Peruntukan tersebut menyebut:

Seksyen 37. Menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.”- Mana-mana orang yang menghalang sesuatu pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri yang sudah bernikah dengan sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi dua ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan Mahkamah hendaklah memerintahkan pasangan itu supaya hidup sebagai pasangan suami isteri yang sudah bernikah dengan sah.”

Seksyen 38. Menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.”- Mana-mana orang yang menghasut, memaksa atau memujuk mana-mana orang lelaki atau orang perempuan supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan dan tanggungjawabnya sebagai suami atau isteri adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”

Berdasarkan peruntukan ini, isteri kedua boleh mendakwa isteri pertama, kes akan disiasat dan boleh dibicarakan.

Ada jg yg bertanya, apakah hukum memohon cerai kerana tidak sanggup berkongsi kasih walaupun suami layak dan mampu? Hukumnya adalah haram, bermaksud perceraian boleh dituntut di mahkamah, jika suami setuju maka talak boleh dijatuhkan tetapi hukum perceraian yg anda mohon tersebut adalah haram dan berdosa. Saya faham, tak ada siapa pun yang sanggup berkongsi cuma satu perkara yg perlu diingat, hukum dan ketentuan Allah bersebab dan berhikmah. Ia tak boleh diketepikan hanya kerana emosi anda sebab emosi bukanlah sesuatu yg pasti. Berserah kpd-Nya, Dia Maha Mengetahui.

01 Disember 2009

Perkongsian paling bermakna

InsyaAllah, jika diizinkan oleh-Nya, beberapa jam saja lagi, saya bakal berusia 35 tahun. Alhamdulillah, saya masih diberi kesempatan utk terus bernafas dan hidup bersama insan-insan tersayang. 35 tahun, bukan satu usia yang pendek. Dalam tempoh tersebut, saya yakin sangat, saya masih ingat dgn jelas pelbagai kisah yang berlaku dlm hidup saya bermula umur saya enam atau tujuh tahun. Terlalu banyak perkara yang masih jelas di ingatan saya. Bukan mimpi tapi realiti sebab detik2 itu turut diakui oleh mereka yang masih bersama saya. Mungkin bukan sesuatu yang istimewa sebab tak mustahil ramai lagi mereka yang mampu ingati kisah2 sewaktu kecil...

Tak kisah lah. Bukan bertujuan mengungkit kenangan lagi pun, setiap yang bernama kenangan adalah sesuatu yang manis walau tika kenangan tersebut sebagai realiti, ia adalah satu peristiwa yang amat pahit. Kembali mengimbas detik2 yang pernah saya lalui hanya untuk lebih menyedarkan saya bagaimana saya bermula, agar saya lebih bersyukur dan menghargai setiap pemberian-Nya. Malah, mengingati kisah2 lampau, bukan juga nak menghina dan memalukan diri sendiri sebab sebagai manusia biasa saya juga tak lepas drpd ujian dan saya yakin, Dia uji saya sekadar kemampuan saya sendiri dan untuk saya kongsi bersama orang lain agar saya lebih memahami.

Jika anda pernah membaca perbincangan Ujian dan dugaan itu asam garam kehidupan
, saya pernah kongsi beberapa ujian yang saya hadapi. Bukan satu cerita rekaan tapi sebuah kisah nyata. Zaman kanak-kanak, remaja, anak dara, berkahwin dan kini dalam usaha menjadi seorang ibu yang baik, saya masih berdepan dengan ujian. Sebab? Seperti topik yang pernah saya kongsikan tadi, sememangnya ujian dan dugaan itu adalah rempah ratus kehidupan kita. Setiap detik dan setiap saat, kita berkemungkinan berdepan dengan pelbagai ujian. Bezanya, ada tikanya kita terlupa, kita sedang diuji.

Saya sendiri, bersyukur sangat2 sebab dalam usia sekarang, diizinkan oleh-Nya untuk bergelar seorang ibu, mempunyai tiga cahayamata penyejuk hati walau ada tikanya membuatkan darah saya membuak :)

Ada rakan2 yang belum diizinkan merasai bahagia bergelar ibu, sepatutnya saya bersyukur kan walau saya sudah tidak berpeluang memegang status isteri. Ya!! Kepada yang belum tau (klien2 saya ramai dah tau dan rakan2 rapat juga), awal Mac nanti, genaplah dua tahun saya bergelar ibu tunggal setelah usaha saya mempertahankan perkahwinan tidak diizinkan lagi oleh-Nya dan Dia menetapkan, saya diceraikan oleh suami dengan talak satu. Hampir empat tahun (usia anak kedua) saya berusaha tapi, seperti yang pernah saya kongsikan dalam perbincangan saya, suami isteri dan perkahwinan ibarat mengemudi sebuah kapal. Jika seorang asyik menebuk dan hanya seorang berusaha menampal, kapal takkan sampai ke arah tujuan.

Perkahwinan bukan hanya kasih sayang tetapi amanah dan tanggungjawab. Tanggungjawab suami menjadi hak isteri, tanggungjawab isteri adalah hak suami. Namun jika isteri yang perlu menjalankan kedua-dua tanggungjawab? Memang benarlah pengorbanan tetapi bukan sampai membenarkan yang tak benar. Jenayah dan dosa bukan boleh dipandang sebelah mata atau dengan kedua-dua mata tertutup. Dalam proses memberikan pengajaran kepadanya buat kali yang ketiga, saya memohon petunjuk-Nya: "Jika perkahwinan ini masih yang terbaik untukku, untuk suamiku dan anak-anakku, Kau ubahkanlah sikap suamiku dan kembalikanlah dia kepadaku dan anak-anak sebagai seorang yang bertanggungjawab tetapi jika sebaliknya, Kau mudahkanlah urusan jodohku ini dengan cara dia melepaskan aku atau aku diberikan kekuatan untuk menyelesaikan kes ini di Mahkamah." Itu doa saya bermula 21hb Februari 2008 dan Dia tentukan, pada 9hb Mac 2008, saya diceraikan dan pengesahan cerai disahkan oleh Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Kenapa saya ceritakan kisah ini tika saat2 gembira menyambut ulangtahun kelahiran saya? Sebab saya yakin, sudah tiba masanya dan saya bersedia. Bimbang maklumbalas? Saya tak bimbang, terpulanglah kepada anda untuk menilai saya. Tak perlulah saya ceritakan secara terperinci, cukup sekadar cerita pendek di atas dan satu penyataan yang keluar daripada mulut puteri tunggal saya, diucapkan kepada adik merangkap PA saya, Haiza, setelah beberapa kali mengikut saya dalam siri ceramah Menangani Keganasan Terhadap Wanita: Anjang, kiranya Abi Kak Yang (Ayuni sebut dirinya sbg Kak Yang, saya panggil Ayang) bukan Abi yang bertanggungjawab lah yer...

Walau itu kata-kata yang lahir daripada mulutnya, alhamdulillah saya masih mampu mengajar Ayuni dan adik-adiknya untuk menghormati Abi walau Abi seakan lupa dia punya anak2. Seperti pesan saya kepad setiap klien, berdoa mohon yang terbaik untuk diri sendiri, pasangan dan anak-anak, Dia akan tentukan. Alhamdulillah, hampir dua tahun anak-anak bersama saya, anak-anak ceria, dapat mengikuti pelajaran dengan baik dan saya masih terus berdoa, agar bekas suami akan menjadi seorang manusia yang bertanggungjawab, bukan untuk saya, bukan untuk bekas suami tetapi untuk anak-anak...

Itu tentang perkahwinan, saya juga diuji dengan kerjaya. Saya bermula sebagai peguam syarie kemudian setelah melahirkan anak kedua, saya memulakan kerjaya sebagai seorang Instructional Designer di sebuah syarikat multimedia dan tika itulah juga, episod ujian perkahwinan bermula. Bekerja dengan syarikat swasta tak semudah bekerja dengan pihak kerajaan, masalah gaji lewat saya rasai hampir setiap bulan. Malah pernah dua tiga bulan tak der pendapatan. Saya menyara diri, suami dan anak-anak dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan: jualan nasi lemak, bihun goreng dan sandwich. Bukan setahun tapi hampir empat tahun dan masalah kerjaya ini juga pemangkin kepada berakhirnya perkahwinan saya sebab hanya saya berusaha sedang suami.... tak perlulah saya ceritakan lagi.

Hinggalah penghujung 2008, saya mendapat khabar, syarikat akan bermasalah minima enam bulan, takkan mampu berikan gaji, mana mungkin saya bertahan. Sekali lagi saya bermunajat, berikan petunjuk, jika bukan di situ lagi punca pendapatan saya, tunjukkanlah. Awal April tahun ni, saya nekad keluar dari zon selesa yang dah tak selesa masa tu (dikatakan selesa sebab makan gaji kan), saya terlibat sepenuhnya dalam bidang konsultansi. Alhamdulillah, hikmah masalah gaji tersebut saya alami kini, saya bekerja sendiri, tak mewah tapi alhamdulillah, keperluan anak2 mencukupi.

Hikmah drpd kes cerai pulak, buatkan saya lebih kuat, lebih yakin untuk berkongsi masalah dengan wanita-wanita di luar sana sebab kebanyakan yang saya kongsikan adalah segala apa yang pernah saya rasai dan saya praktikkan.

Kepada mereka yang sedang sakit dengan ujian, berusahalah mencari jalan penyelesaian dan paling penting, jangan lupa berdoa mintak yang terbaik drpd-Nya. Ujian bukan untuk melemahkan kita sebaliknya untuk kita terima sesuatu yang lebih berharga. Paling penting, jangan patah semangat atau putus asa. Kembali kepada kisah saya sendiri, saya nekad dan berazam, tika ulangtahun pertama saya bergelar ibu tunggal, saya mesti menempa sesuatu yang boleh dibanggakan dan alhamdulillah, Allah izinkan, tika ulangtahun tersebut, buku saya Buatmu Wanita dilancarkan.

Kelahiran Afkar Sulaim, juga ujian untuk saya dan saya dah rasai hikmahnya kini. Tika saya dapat tau saya hamil lagi, saya betul-betul terkejut sebab dengan ujian perkahwinan dan kerjaya saya, saya tak rasa saya bersedia untuk ada anak lagi. Saya berdoa, jika anak ini baik untuk masa depan saya, kekalkan dia dan izinkan dia lahir dan terus hidup untuk saya tetapi jika sebaliknya, ambillah dia tika masih janin atau apa2 jua ketentuan-Nya dan saya redha. Allah takdirkan, tika usia kandungan hampir enam bulan, saya dilanggar oleh sebuah Kenari tika saya dalam perjalanan ke klinik untuk pemeriksaan kandungan buat kali pertama. Macam tak percaya, kemalangan yang menyebabkan lengan saya luka, kaki saya calar dan sepatutnya kandungan saya boleh gugur sebab saya jatuh terhempas (saya menunggang motosikal), tak memberikan apa-apa kesan kepada kandungan saya. Saya yakin, itu petunjuk-Nya, bayi itu baik untuk masa depan saya dan betul, dialah penawar hati saya kini di samping telatah kakak dan abang yang dah pelbagai :)

Hari ini, tika menjejak usia 35 tahun, sekali lagi saya terpaksa memilih. Seperti status saya di Facebook: "Kita tk mgkin dpt selamatkn 2 insan trsyg dlm 1 msa. Tk dpt tdk, kita trpksa pilih. Jln trbaik, selamatkn yg plg hmpir dgn kita. Jika Dia izinkn, tk mustahil kita brpluang utk slmtkn seorg lg yg lbh jauh. Sama jg dgn hidup, kita prlu memilih & prcayalah kpd-Nya, jka yg trpksa kita lpskn adlh jg hak kita, Dia akn tetap brikn hak trsbut kpd kita satu msa nnt...", saya baru saja berikan notis menarik diri drpd menjadi panel slot Famili Bahagia di Awani Pagi yang sebelum ini, disiarkan setiap Jumaat. Sebab? Saya perlu pilih, sebahagian kerjaya atau anak2 sebab saya menghadapi masalah ketiadaan orang yang boleh saya harapkan untuk menjaga anak2 tika saya ke KL setiap ujung minggu. Bukan calang2 sebab anak2 bermalam dengan orang tersebut.

Sebelum ini saya mintak tolong adik tapi adik pun ada tanggungjawab sendiri yang perlu diutamakan. Mak? Saya tak sanggup sebab Mak kurang sihat sekarang ni. Saya pasrah!! Saya dah usaha mencari pembantu tapi Dia tentukan yang lebih baik. Saya yakin, jika masih ada rezeki saya untuk bersama Awani, saya akan dapat lagi nanti. Yang penting sekarang, saya masih mampu bekerja menyara anak-anak, masih mampu berkongsi sedikit ilmu yang ada dengan orang lain dan dalam masa yang sama, masih mampu memberikan perhatian, didikan dan bimbingan yang amat diperlukan oleh anak-anak.

Ini lah hidup. 35 tahun, pelbagai cerita yang insyaAllah mematangkan saya dan pelbagai pengorbanan yang insyaAllah, berbaloi dan diredhai-Nya.

Perkongsian ikhlas daripada saya, bukan untuk menjatuhkan harga diri sendiri tetapi sebagai penyuntik semangat, buat diri sendiri agar terus tabah, juga buat orang lain. Bersyukurlah dengan ujian yang perlu kita hadapi sebab ada orang lain yang lebih teruk ujiannya berbanding yang terpaksa kita tempuhi...

Buat Mak, terima kasih kerana melahirkan saya, memberikan saya didikan dan bimbingan. Buat Bapa, satu-satunya sumber inspirasi saya, tak pernah berikan keputusan walau terhadap apa pun juga ujian yang saya hadapi, sekadar satu kata semangat: Berdoa dan berserah... dan tetap menyokong apa juga keputusan yang saya ambil, terima kasih yang tak terhingga!! Mak dan Bapa, saya mohon doakan yang terbaik untuk saya dan anak-anak...

Buat Syikin dan Zarin, dua sahabat yang betul2 berkongsi, terima kasih yang tak terhingga. Kepada mereka yang pernah berkongsi rahsia hidup dengan saya, jika kebenaran tentang saya ini menghilangkan rasa percaya anda kepada saya, saya takkan marah atau berkecil hati. Saya bersuara hanya untuk berkongsi rasa dan untuk buktikan, kita takkan derita dalam hidup hanya kerana ujian-Nya sebab ujian demi ujian adalah untuk kita lebih bahagia...

Moga baki hayat yang ada (aku masih mendoakan agar aku diberikan peluang untuk terus bernafas Ya Allah), mampu untuk saya penuhi dengan berkongsi sedikit ilmu yang ada, paling penting ya Allah, berikan aku masa, waktu dan ruang untuk membesarkan dan mendidik anak2ku, paling tidak, hingga mereka mampu berdikari... amiinnn amiiinnn amiiinnnn!!!

26 November 2009

Literasi Undang-undang

Bersama saya dalam program Literasi Undang-undang anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Wil. Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya:

Tarikh: 12hb Disember 2009
Hari: Sabtu
Tempat: The Zon Hotel, Jalan Ampang, KL
Masa: 8.00am hg 2.00pm

Modul dibincangkan:
1. Wanita dan Undang-undang
2. Wanita dan Undang-undang Perkahwinan
3. Prosiding Kes di Mahkamah

Penyertaan terbuka dan percuma. Berminat, hubungi Pej. Pemb. Wanita di talian 03-26922004.

18 November 2009

Tiga belas aurat wanita

Saya terima melalui emel. Menarik untuk perkongsian bersama:
--------------------------------------------------------------------

Tiga belas aurat wanita iaitu:

1. Bulu kening - Menurut Bukhari, Rasullulah melaknati perempuan yang mencukuratau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening - Petikandari Hadis Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki memakai gelang berloceng - Dan janganlah mereka (perempuan)menghentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang merekasembunyikan - Petikan dari S ura h An-Nur Ayat 31. Keterangan : Menampakkan kakidan menghayunkan/ melenggokkan badan mengikut hentakan kaki terutamanya padamereka yang mengikatnya dengan loceng sama juga seperti pelacur dizamanjahiliyah.

3. Wangian - Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewatisuatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggapmelakukan zina dan tiap-tiap mata ada zinanya terutamanya hidung yangberserombong kapal kata orang sekarang hidong belang - Petikan dari HadisRiwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban.

4. Dada - Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupibahagian hadapan dada-dada mereka - Petikan dari S ura h An-Nur Ayat 31.

5. Gigi - Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supayadikikirkan giginya - Petikan dari Hadis Riwayat At-Thabrani, Dilaknat perempuanyang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah -Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

6. Muka dan leher - Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlahkamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu. Keterangan :Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung yangmenampakkan leher seperti orang Jahilliyah.

7. Muka dan Tangan - Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah denganmemakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seoranggadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecualipergelangan tangan dan wajah saja - Petikan dari Hadis Riwayat Muslim danBukhari.

8. Tangan - Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripadamenyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya - Petikan dari HadisRiwayat At Tabrani dan Baihaqi.

9. Mata - Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya - Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Sabda Nabi Muhamad SAW, Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandanganlainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama sahaja manakala pandanganseterusnya tidak dibenarkan hukumnya haram - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad,Abu Daud dan Tirmidzi.

10. Mulut (suara) - Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalamberbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya,tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik - Petikan dari S ura h Al AhzabAyat 32.

Sabda SAW, Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakandengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) danpenyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi - Petikandari Hadis Riwayat Ibn Majah.

11. Kemaluan - Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklahmereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka - Petikan dari Surah An Nur Ayat 31.

Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadan, menjagakehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga daripadapintu-pintu yang ia kehendakinya - Hadis Riwayat Riwayat Al Bazzar.

Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya,melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah - Petikan dariHadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah.

12. Pakaian - Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan terutama yangmenjolok mata , maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhiratnanti - Petikan dari Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah.

Petikan dari S ura h Al Ahzab Ayat 59. Bermaksud : Hai nabi-nabi katakanlahkepada isteri-isterimu, anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin,hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itusupaya mereka mudah diken ali . Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah mahapengampun lagi maha penyayang.

Sesungguhnya sebilangan ahli Neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaiantetapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untukmelakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk Syurga dan tidak akan mencium baunya-Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim. Keterangan : Wanita yangberpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagiantertentu.

13. Rambut - Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akandigantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam Neraka adalah mereka itu didunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukanmahramnya - Petikan dari Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.

Wanita-wanita yang dikasihi sekelian..tunggu apa lagi, tutuplah auratmu, kerana ianya perintah dari Allah, Allah yang menciptakan kamu, Rabb yang memberikankita kehidupan kekal abadi diakhirat kelak, baik atau buruk diatas rahmat Diadan bagaimana buku amal kita diterima kelak. Jangan tunggu apa lagi, kita tidakpasti bila ajal maut kita atau bila Allah pilih kita untuk diberi hidayah..para isteri, tidak sayangkah anda pada suami2 anda? suami2 anda akan ditanya,dipersoalkan kelak dihadapan Allah..kasihan pada mereka..suami-suami? tidakcintakah lagi pada isteri? isteri anda akan menerima azab yang berat diakhirat..Na'uzubillahhimin zaliq..bersama-samalah kita berpesan untuk kebaikanbersama dan berdoa ke hadrat Allah atas kesilapan-kesilapan dan dosa-dosa yangtelah kita lakukan, sentiasa bermuhasabah dan menginsafi diri sendiri sertatidak putus asa daripada meminta rahmat Allah s.w.t kerana ia adalah sifatkaum-kaum yang beriman..

Rabbana aatina fiddunya hasanah wafil aakhirati hasanah waqina 'azabannar. Amin.

17 November 2009

Pelbagai persoalan

Soalan 1:

Adakah jatuh talak..apabila isteri sedang marah..dan meminta si suami menceraikannya dan mengajaknya berpisah dan mahu keluar dari rumah yg didiami dan si suami menjawab "suka hati la" dan "ok"? secara bertulis..(text ym)

sy berharap mendapat penerangan dari puan.terima kasih

JAWAPAN:

Saya tak dapat berikan jawapan yg tepat sbb jawapan yg suami berikan tu, tak pasti utk soalan isteri yg mana satu. Kalau jawapan 'ok' suami merupakan jawapan kpd minta cerai, ia boleh jadi lafaz kinayah bermaksud perlukan niat suami tika menaip 'ok' itu. Jika dia bersetuju untuk ceraikan isteri dan ada niat, talak boleh berlaku. Jalan terbaik, dapatkan pengesahan daripada pihak Mahkamah dan berikan penjelasan dgn terang.



Soalan 2:

Assalamualaikum,
Ustazah,
Saya ada kemusykilan dan ingin bertanya. . Suami pernah menyebut, "jika you cakap lagi sekali, kita takde ape2 dah". (minta berpisah/ bercerai). Pada suatu hari, dalam keadaan bertengkar, si isteri berkata, "kalau u dah tak suka i, kita berpisah aja." Suami sekarang dalam keadaan cuak, dan ingin tahu adakah jatuh talak tersebut. Isteri tidak pasti, apakah niat dihati suami ketika itu, adakah mahu ceraikan (ketika sedang marah waktu itu) atau tidak. Isteri telah bertanya suami, tetapi dia tidak mahu bagitau, sebaliknya mahu kepastian dari pejabat Agama.

Soalan saya:
1) adakah jatuh talak?
2) waktu itu isteri dalam keadaan haid, adakah jatuh talak?

Harap ustazah dapat membantu. Berbanyak2 terima kasih.

JAWAPAN:

Ayat yg disebut oleh suami seakan-akan lafaz takliq cuma lafaz tersebut kurang jelas. Perkataan 'cakap lagi sekali' tidak berikan maksud yg jelas, apakah yg dimaksudkan? Jalan terbaik, adukan ke pejabat agama dan dapatkan kepastian tentang niat suami tika itu.


Soalan 3:

saya seorang wanita yang menghadapi masalah dengan pasangan saya..kami bakal berkahwin...pasangan saya selalu berbalah dengan saya tentang kedudukan dia dan dibandingkan dengan ayah saya..dia selalu kata " antara aku dengan ayah kau mana lebih penting? kalau aku lebih penting, ko mesti dengar cakap aku...tapi kalau ayah kau lebih penting, ko tinggalkan aku..aku kalau nak cari perempuan yang boleh ikut cakap aku, senang je..." malah kadang-kadang dia cakap.."ko takut aku atau ayah kau...kalau aku, ko dengar cakap aku...aku tak nak dah kawin nanti ko tak nak dengar cakap aku.."

puan, perlu ke ada perasaan takut berbanding dengan perasaan hormat?
puan tolong la saya...saya bakal mendirikan masjid dengannya...saya jadi keliru..kadang saya ada terpikir nak tinggalkan aje orang macam tu...tapi saya sayang dia...macam mana saya nak jelaskan kedudukan saya sebagai seorang anak yang belum berkahwin dan kekdudukan anak selepas bersuami?

JAWAPAN:

Seorang anak wajib taat dan patuh kepada ibu bapanya selagi segala kehendak dan arahan ibu bapa tidak menyalahi tuntutan syarak. Terus terang, saya tidak cadangkan saudari meneruskan hubungan saudari dgn lelaki tersebut. Jika sebelum kahwin, dia dah tunjuk sikap meminggirkan ibu bapa saudari drpd saudari, bayangkan apa yg dia boleh buat bila saudari dah jadi isterinya. Ya! isteri wajib taatkan suami tapi bkn sampai menyisihkan atau membuang ibu bapa terus. Seorang bakal suami yg baik akan berusaha merapatkan hubungan bakal isteri dgn ibu bapanya dan bkn memisahkan atau menafikannya. Sayang?? Tolonglah sayangkan diri saudari dan ibu bapa saudari lebih sbb tanpa ibu bapa, siapalah saudari?? Fikirkanlah!!

Soalan 4:

Puan, saya dan suami telah bertengkar dan suami saya telah menyebut; jika saya melawan cakapnya lagi, jatuh talak tiga. Tak lama, kami berbaik semula dan suami menyesal sebab melafazkan begitu. Puan, bolehkah takliq tersebut ditarik balik?

JAWAPAN:

Takliq tidak boleh ditarik balik. Jika lafaz takliq disebut oleh suami tanpa apa-apa paksaan yg boleh membahayakan nyawa, ia adalah takliq yg sah walaupun disebut oleh suami dalam keadaan marah atau mabuk. Takliq itu berkuatkuasa terus hinggalah syarat takliq dilanggar atau berlaku perceraian yg bukan disebabkan takliq tersebut.

Soalan 5:

Assalamualaikum...
Puan, Saya berumur 34 tahun dan mempunyai empat orang cahayamata. Saya runsing tentang masalah lafaz taklik. Baru2 ini saya mendapat tahu suami saya rapat dengan seorang perempuan (H), teman sekerjanya. Mereka sering menaiki kereta bersama pergi dan pulang bekerja. Apabila perkara ini diajukan kepadanya, dia mengaku tidak mempunyai hubungan yang istimewa dengan H. Oleh kerana tidak percaya, saya menyuruh suami saya melafazkan taklik seperti ini.."Kalau saya (nama suami) ada hubungan dengan mana-mana perempuan, maka jatuh talak ke atas isteri saya". Selepas sehari suami saya tersedar dan berasa was-was dengan taklik itu..katanya hubungan yang macam mana sebab tidak jelas sedangkan di tempat kerjanya keraninya perempuan dan sering juga bersembang dan berurusan soal kerja dan katanya itu pun hubungan juga. Saya berasa sangat bersalah dan menyesal tetapi taklik itu tidak boleh ditarik balik. Permasalahan saya Puan, adakah taklik itu sah atau tidak sebab lafaznya tidak jelas peristiwanya dan suami saya melakukan sekadar untuk menjaga hati saya sahaja. Kalau taklik itu sah adakah selepas rujuk taklik itu masih wujud atau sudah terbatal? Bantuan Puan amatlah saya harapkan dan saya akhiri ini dengan ucapan terima kasih.

JAWAPAN:

Takliq yg disebut oleh suami perlu merujuk jg kpd niat suami tika itu dan apakah pemahamannya tntng perkara yg disebut. Jika suami sendiri tak jelas, maka perkara talak dalam takliq juga tidak jelas namun takliq tersebut tetap dikira berlaku sebab suami tidak dipaksa melakukannya. Jika takliq wujud dan syarat telah berlaku maka talak dikira telah jatuh dan jika rujuk, takliq tadi telah tamat. Bagi pengesahan jelas, dapatkan pengesahan drpd pihak mahkamah.

****Saya usahakan menjawab persoalan2 ringkas yg lain melalui emel dan mesej FB. Bagi soalan2 yg panjang, mohon hubungi PA saya dan tetapkan temujanji. Maaf sbb sy tak mampu nak huraikan dgn panjang bg permasalahan yg besar...

13 November 2009

Harum segar mewangi

Bukan gula2, bkn agar2 tpi sabun wangi yg sesuai utk dijadikan cenderahati. Layari http://giftnsouvenir4u.blogspot.com/ untuk maklumat lanjut - tolong adik :)




10 November 2009

Jawatan Kosong sebagai Pembantu Peribadi

Saya mencari sesiapa yang berminat untuk bekerja sebagai Pembantu Peribadi saya, khusus untuk wanita shj:
- bertindak sebagai pengurus jadual kerja, kerani dll kerja yg berkaitan (bimbingan akan diberikan)
- termasuk membantu mengawasi anak saya (2 thn) tika sesi rundingan bersama klien berjalan
- kelayakan minima SPM
- tempat kerja di Sg Petani, Kedah
- Ahad cuti
- gaji boleh runding
- penginapan boleh disediakan (jika berkenaan)
- ibu tunggal yg mempunyai anak sebaya, boleh memohon dan jika dipilih, boleh bekerja sambil menjaga anak sendiri juga (kes istimewa- dipertimbangkan)
- KELEBIHAN: mempunyai lesen memandu kelas D dan biasa memandu (bukan lesen peram)

Berminat, kirimkan maklumat diri ke binabahagia@gmail.com. Dikehendaki segera!!

Terima kasih!!

09 November 2009

Nafkah yang adil dalam poligami

assalamualaikum puan suzana,nama sy **** bt hus****. sy ada sedikit kemusykilan ttg poligami. sy skrg bermadu dan sy merupakan isteri pertama dan mempunyai 4 org anak hasil perkongsiaan sy bersama dgn suami.dan sy merupakan seorang suri rumah sepenuh masa.manakala madu sy dh 3 thn berkahwin dan blm mempunyai anak.dan dia bekerjaya dgn pendapatan yg tinggi.yg memusykilkan sy adalah berkenaan nafkah yg sepatutnya suami berikan pd sy?adakah nafkah sy dan madu sy harus di bagi sama rata?pocket money sy dan madu sy harus di bagi sama rata?tolong jawab puan krn soalan ini memusykilkan sy.dan sy jugak inginkan keadilan terhadap diri sy..terima kasih..wassalam

---------------------------------------------------------------------------

Di atas adalah satu emel yg dikirimkan kpd sy. Buat pengirim emel dan mereka yg mempunyai masalah serupa, berikut ialah jawapannya:

Adil merupakan syarat wajib dalam keharusan berpoligami. Menurut Abu al-‘Aynayn, keadilan bermaksud penyamarataan terhadap semua isteri tanpa wujud pilih kasih di antara mereka. Ia termasuk interaksi yang baik di antara suami isteri yang meliputi perbuatan, tutur kata dan akhlak. Keadilan ini wajib dijelmakan di dalam perkara-perkara ikhtiari dan lahiriah yang melibatkan beberapa aspek iaitu nafkah, pakaian, penempatan, giliran bermalam dan musafir.

Perasaan dan kasih sayang pula tidak termasuk di dalam tuntutan keadilan kerana ianya di luar kawalan manusia dan bersifat relatif. Walaupun begitu suami tetap dilarang daripada menzahirkan secara jelas tentang perbezaan ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Nisak ayat 129 yang bermaksud: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya). Oleh itu janganlah kamu cenderung (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti tergantung (di awang-awangan). Jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.)

Menyentuh tentang nafkah, seorang suami wajib menyediakan keperluan setiap isterinya dan anak-anaknya. Adil dlm konteks ini dikira apabila si suami memberikan yang wajib dan perlu kepada setiap isteri dan anak-anaknya dan BUKAN BERIKAN SAMA BANYAK.

Sebagai contoh, isteri pertama ada lima anak dan isteri kedua hanya ada dua anak, sudah tentulah keperluan isteri pertama lebih berbanding isteri kedua. Maka si suami wajib berikan wang yang lebih kepada isteri pertama bagi menampung keperluan tersebut.

Tentang wang poket pula, suami sekadar wajib berikan kepada isteri bagi tujuan kecemasan sahaja dengan syarat, segala keperluan rumahtangga telah disediakan termasuk untuk tabungan dan lain-lain keperluan isteri sahaja. Kalau duit poket untuk berpoya-poya dan bersenang-senang hingga mengabaikan tanggungjawab sbg seorang isteri dan ibu, itu bukanlah tanggungjawab suami.

Tanggungjawab suami ini takkan terbatal hanya kerana si isteri bekerja bermaksud kalau pun isteri kedua bekerja dan isteri pertama tidak bekerja, tanggungjawab suami kepada kedua-dua isteri adalah sama sahaja iaitu menyediakan segala keperluan untuk isteri-isteri dan anak-anaknya.

Sama seperti pemberian nafkah, suami juga perlu menyediakan tempat tinggal kepada setiap isteri-isterinya malah apabila berpoligami, kediaman isteri seboleh-bolehnya hendaklah diasingkan sebagai suatu inisiatif untuk mengelakkan perselisihan keluarga dan perasaan cemburu menular di kalangan isteri.

Menurut Abd al-Nasir Tawfiq al-‘Attar dalam bukunya Ta’addud al-Zawjat min al-Nawahi al-Diniyyah wa al-Ijtima’iyyah wa al-Qanuniyyah: “pengasingan ini bergantung kepada kemampuan seseorang suami yang mana tidak semestinya disediakan sebuah rumah untuk setiap isteri bahkan dibolehkan juga disediakan bilik-bilik berasingan dalam satu rumah yang sama.” Walau bagaimanapun, dari segi psikologi, menempatkan ister-isteri dalam rumah yang sama akan memudahkan mereka berselisih faham yang boleh melukakan perasaan. Maka sebaiknya diasingkan.

Keperluan tempat tinggal juga serupa dengan pemberian nafkah zahir iaitu sebagai satu keperluan semata-mata dan bukan kemewahan. Jika isteri pertama tinggal di rumah yang ada lima bilik sebab mempunyai empat anak, tidak wajib isteri kedua yang ada dua anak diberikan rumah yg ada empat bilik juga.

Paling penting, fahami konsep adil tersebut, bukannya sama rata tapi kena pada tempatnya. Wallahua'lam...

06 November 2009

Kecantikan lelaki dan kegagahan wanita

Saya terima menerusi fwd email, menarik untuk direnungkan bersama:
--------------------------------------------------------------------------

Kecantikan Lelaki
Kecantikan seorang lelaki bukan kepada rupa fizikal tetapi pada murni rohani. Lelaki yang cantik, adalah:-
1) Lelaki yang mampu mengalirkan airmata untuk ingatan
2) Lelaki yang sedia menerima segala teguran
3) Lelaki yang memberi madu, setelah menerima racun
4) Lelaki yang tenang dan lapang dada
5) Lelaki yang baik sangka
6) Lelaki yang tak pernah putus asa

Kecantikan lelaki berdiri di atas kemuliaan hati. Seluruh kecantikan yangada pada Nabi Muhammad adalah kecantikan yang sempurna seorang lelaki.

Kegagahan Wanita
Kegagahan seorang wanita bukan kepada pejal otot badan, tetapi pada kekuatan perasaan. Perempuan yang gagah, adalah:-
1) Perempuan yang tahan menerima sebuah kehilangan
2) Perempuan yang tidak takut pada kemiskinan
3) Perempuan yang tabah menanggung kerinduan setelah ditinggalkan
4) Perempuan yang tidak meminta-minta agar dipenuhi segala keinginan

Kegagahan perempuan berdiri di atas teguh iman. Seluruh kegagahan yang adapada Khadijah adalah kegagahan sempurna bagi seorang perempuan ...

02 November 2009

Ayatul Kursi sebelum tidur

Saya terima mesej bermanfaat ini menerusi satu emel yang dipanjangkan oleh Maswa (wartawan Mguan Wanita):
-----------------------------------------------------------------
Abu Hurairah r.a. pernah ditugaskan oleh Rasulullah S.A.W untuk menjaga gudang zakat di bulan Ramadhan. Tiba-tiba muncullah seseorang, lalu mencuri segenggam makanan.Namun kepintaran Hurairah memang patut dipuji, kemudian pencuri itu kemudian berhasil ditangkapnya."Akan aku adukan kamu kepada Rasulullah S.A.W," gertak Abu Hurairah.Bukan main takutnya pencuri itu mendengar ancaman Abu Hurairah, hingga kemudian ia pun merengek-rengek : "Saya ini orang miskin, keluarga tanggungan saya banyak, sementara saya sangat memerlukan makanan."Maka pencuri itu pun dilepaskan. Bukankah zakat itu pada akhirnya akan diberikan kepada fakir miskin ? Hanya saja, cara memang keliru. Mestinya jangan keliru.

Keesokan harinya, Abu Hurairah melaporkan kepada Rasulullah S.A.W. Maka bertanyalah beliau : "Apa yang dilakukan kepada tawananmu semalam, ya Abu Hurairah?"Ia mengeluh, "Ya Rasulullah, bahawa ia orang miskin, keluarganya banyak dan sangat memerlukan makanan," jawab Abu Hurairah. Lalu diterangkan pula olehnya, bahawa ia kasihan kepada pencuri itu,, lalu dilepaskannya."Bohong dia," kata Nabi : "Pada hal nanti malam ia akan datang lagi."

Kerana Rasulullah S.A.W berkata begitu, maka penjagaannya diperketat, dan kewaspadaan punditingkatkan. Dan, benar juga, pencuri itu kembali lagi, lalu mengambil makanan seperti kelmarin. Dan kali ini ia pun tertangkap."Akan aku adukan kamu kepada Rasulullah S.A.W," ancam Abu Hurairah, sama seperti kelmarin. Dan pencuri itu pun sekali lagi meminta ampun : "Saya orang miskin, keluarga saya banyak. Saya berjanji esok tidak akan kembali lagi."Kasihan juga rupanya Abu Hurairah mendengar keluhan orang itu, dan kali ini pun ia kembali dilepaskan.

Pada paginya, kejadian itu dilaporkan kepada Rasulullah S.A.W,dan beliau pun bertanya seperti kelmarin. Dan setelah mendapat jawapan yang sama, sekali lagi Rasulullah menegaskan : "Pencuri itu bohong, dan nanti malam ia akan kembali lagi."Malam itu Abu Hurairah berjaga-jaga dengan kewaspadaan dan kepintaran penuh. Mata, telinga dan perasaannya dipasang baik-baik. Diperhatikannya dengan teliti setiap gerak-geri disekelilingnya sudah dua kali ia dibohongi oleh pencuri. Jika pencuri itu benar-benar datang seperti diperkatakan oleh Rasulullah dan ia berhasil menangkapnya, ia telah bertekad tidak akan melepaskannya sekali lagi.

Hatinya sudah tidak sabar lagi menunggu-nunggu datangnya pencuri jahanam itu. Ia kesal. Kenapa pencuri kelmarin itu dilepaskan begitu sahaja sebelum diseret ke hadapanRasulullah S.A.W ? Kenapa mahu saja ia ditipu olehnya ?"Awas!" katanya dalam hati. "Kali ini tidak akan kuberikan ampun."Malam semakin larut, jalanan sudah sepi, ketika tiba-tiba muncul sesosok bayangan yang datang menghampiri longgokan makanan yang dia jaga. "Nah, benar juga, ia datang lagi," katanya dalam hati. Dan tidak lama kemudian pencuri itu telah bertekuk lutut di hadapannya dengan wajah ketakutan. Diperhatikannya benar-benar wajah pencuri itu. Ada semacam kepura-puraan pada gerak-gerinya."Kali ini kau pastinya kuadukan kepada Rasulullah. Sudah dua kali kau berjanji tidak akan datang lagi ke mari, tapi ternyata kau kembali juga.

Lepaskan saya," pencuri itu memohon. Tapi, dari tangan Abu Hurairah yang menggenggam erat-erat dapat difahami, bahawa kali ini iatidak akan dilepaskan lagi. Maka dengan rasa putus asa akhirnya pencuri itu berkata : "Lepaskan saya, akan saya ajari tuan beberapa kalimat yang sangat berguna.""Kalimat-kalimat apakah itu?" Tanya Abu Hurairah dengan rasa ingin tahu. "Bila tuan hendak tidur, bacalah ayat Kursi :Allaahu laa Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu….. Dan seterusnya sampai akhir ayat. Maka tuan akan selalu dipelihara oleh Allah, dan tidak akan ada syaitan yang berani mendekati tuan sampai pagi."Maka pencuri itu pun dilepaskan oleh Abu Hurairah. Agaknya naluri keilmuannya lebih menguasai jiwanya sebagai penjaga gudang.

Dan keesokan harinya, ia kembali menghadap Rasulullah S.A.W untuk melaporkan pengalamannya yang luar biasa tadi malam. Ada seorangpencuri yang mengajarinya kegunaan ayat Kursi."Apa yang dilakukan oleh tawananmu semalam?" tanya Rasul sebelum Abu Hurairah sempat menceritakan segalanya."Ia mengajariku beberapa kalimat yang katanya sangat berguna, lalu ia saya lepaskan," jawab Abu Hurairah. "Kalimat apakah itu?" tanya Nabi.

Katanya : "Kalau kamu tidur, bacalah ayat Kursi : Allaahu laa Ilaaha illaa Huwal-Hayyul Qayyuuumu….. Dan seterusnya sampai akhir ayat. Dan ia katakan pula : "Jika engkau membaca itu, maka engkau akan selalu dijaga oleh Allah, dan tidak akan didekati syaitan hingga pagi hari."Menanggapi cerita Abu Hurairah, Nabi S.A.W berkata, "Pencuri itu telah berkata benar, sekalipun sebenarnya ia tetap pendusta." Kemudian Nabi S.A.W bertanya pula :"Tahukah kamu, siapa sebenarnya pencuri yang bertemu denganmu tiap malam itu?""Entahlah." Jawab Abu Hurairah."Itulah syaitan."

24 Oktober 2009

Persoalan tentang mut'ah

"Assalamualaikum puan, Terlebih dahulu saya mengucapkan selamat hari raya aidil fitri semoga kita semua mendapat rahmat dari yang Maha Esa jua... amin..

Saya adalah peminat ruangan puan dalam majalah mingguan wanita dan saya berasal dari Brunei ingin mengajukan beberapa soalan berkaitan dengan hal rumahtangga.

Persoalan saya seperti berikut:-

1) Adakah seorang isteri yang mencadangkan perceraian sulh kerana tidak sanggup berpoligami dan mengakui tidak lagi dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri, masih berhak menuntut nafkah muta'ah sedangkan perceraian itu adalah kehendak dan kemahuan isteri?

2) Saya pernah terbaca di dalam internet ( tetapi saya lupa laman web nya ) bahawa tuntutan nafkah muta'ah itu hanya wajib di tuntut sekiranya perceraian itu bukan disebabkan isteri? Dalam kefahaman saya jika isteri yang menuntut dan mencadangkan perceraian beerti tidak berhak menuntut muta'ah, Adakah hal ini benar, tolong penjelasan.

3) Sekiranya suami mempersetujui cadangan perceraian sulh dari pihak isteri adakah suami masih boleh menggunakan cerai secara khuluq?

4) Apakah pandangan puan mengenai isteri yang menuntut cerai daripada suami dengan alasan tidak sanggup berpoligami.

Saya benar-benar berharap segala persoalan saya ini mendapat maklum balas dari pihak puan dengan seberapa segera , saya tidak lupa mengucapkan ribuan terima kasih. Wassalam.."

-----------------------------------------------------------------------------------

Di atas adalah petikan satu emel yang dikirimkan kepada saya tika awal Aidilfitri dulu. Seperti yang pernah saya maklumkan, saya tidak mempunyai masa khusus untuk menjawab persoalan anda melalui emel. Lantaran, ada emel (sekarang ni dah penuh dengan mesej peribadi tru Facebook plak) yang ambil masa yang lama untuk saya balas atau saya beri maklumbalas melalui blog atau ruangan Resipi Hidup. Malah, saya akui, ada emel-emel yang tak dibalas atau diberi maklumbalas disebabkan kes-kes serupa dah banyak yang saya bincangkan. Jalan terbaik, hubungilah PA saya di talian 013-2545965 (call or SMS) dan tetapkan temujanji. Anda boleh berjumpa terus dengan saya atau bercakap melalui telefon TAPI PERLUKAN TEMUJANJI TERLEBIH DAHULU.

Kes dikemukakan melalui emel di atas mendapat perhatian saya untuk diberikan maklumbalas melalui blog ini memandangkan kes yang diutarakan adalah persoalan yang boleh dikongsi dengan ramai orang di luar sana. Kepada Puan pengirim emel, berikut jawapan saya berdasarkan persoalan yang Puan kemukakan:

1) Adakah seorang isteri yang mencadangkan perceraian sulh kerana tidak sanggup berpoligami dan mengakui tidak lagi dapat menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri, masih berhak menuntut nafkah muta'ah sedangkan perceraian itu adalah kehendak dan kemahuan isteri?

JAWAPAN: Perkara yang perlu dibetulkan di dalam soalan di atas ialah 'nafkah mut'ah'. Untuk makluman, nafkah dan mut'ah adalah dua perkataan dan perkara yang berbeza. Nafkah adalah perkara yang wajib diberikan oleh suami dalam tempoh perkahwinan dan selepas diceraikan, nafkah dalam tempoh eddah juga wajib diberikan oleh suami kepada isteri kecuali bagi kes isteri yang disabitkan nusyuz. Mut'ah pula bukan nafkah sebaliknya pemberian saguhati daripada suami kepada isteri yang diceraikan tanpa sebab yang munasabah berdasarkan syarak. Jika isteri yang tuntut cerai dan diceraikan oleh isteri tetapi alasan dan punca perceraian adalah daripada pihak suami, isteri tetap berhak menuntut untuk dapatkan mut'ah dan terpulang kepada budi bicara mahkamah untuk menentukannya. Selain faktor penyebab perceraian, mut'ah juga diambil berdasarkan susah payah yang dihadapi oleh isteri ketika hidup bersama dengan suami dalam tempoh perkahwinan. Dalam kes Puan, jika Puan mempunyai sejarah menghadapi kepayahan hidup bersama suami, berkorban demi kerukunan hidup bersama suami dan mungkin dengan pengorbanan tersebut memungkinkan suami Puan bersedia untuk berkahwin lagi, Puan boleh menuntut hak mut'ah tersebut walaupun bercerai secara baik dan atas kehendak Puan. Tuntut adalah satu usaha, lampirkan bukti-bukti yang menyokong dakwaan Puan dan selebihnya berdoa dan serahkan kepada-Nya...

2) Saya pernah terbaca di dalam internet ( tetapi saya lupa laman web nya ) bahawa tuntutan nafkah muta'ah itu hanya wajib di tuntut sekiranya perceraian itu bukan disebabkan isteri? Dalam kefahaman saya jika isteri yang menuntut dan mencadangkan perceraian beerti tidak berhak menuntut muta'ah, Adakah hal ini benar, tolong penjelasan.

JAWAPAN: Telah dijawab bersama dengan soalan pertama.

3) Sekiranya suami mempersetujui cadangan perceraian sulh dari pihak isteri adakah suami masih boleh menggunakan cerai secara khuluq?

JAWAPAN: Jika kes perceraian sulh telah didaftarkan, suami Puan perlu berikan alasan yang kukuh untuk membatalkan kes dan memulakan kes baru (khuluq). Walaupun begitu, Puan berhak untuk menentang tuntutan khuluq yang dikemukakan oleh suami dengan alasan-alasan yang kukuh.


4) Apakah pandangan puan mengenai isteri yang menuntut cerai daripada suami dengan alasan tidak sanggup berpoligami?

JAWAPAN: Jawapan yang saya berikan ini bukanlah berdasarkan pandangan saya sebaliknya berdasarkan hukum syarak. Secara jelas, poligami diharuskan oleh syarak dengan hikmahn yang tersendiri, bukan sahaja kepada suami sebaliknya kepada isteri juga. Namun, tidak semua lelaki layak berpoligami. Jika suami Puan tergolong dalam kategori lelaki yang layak, mampu serta boleh berlaku adil, Puan tidak boleh mengenepikan kelayakan suami Puan hanya dengan alasan Puan tidak sanggup berpoligami.

Hukum talak sama ada suami memberi atau isteri menuntut, pada asalnya adalah harus, tetapi hukum harus ini boleh berubah mengikut keadaan kes. Talak boleh menjadi wajib sekiranya perkahwinan gagal mencapai hikmah dan tidak boleh dpulihkan lagi atau tidak ada tanda-tanda boleh diperbaiki atau diselamatkan. Talak juga menjadi wajib jika suami telah bersumpah untuk menceraikan isterinya.

Hukum talak adalah haram jika menceraikan isteri semasa isteri di dalam waktu haid atau hamil atau ketika suci tetapi baru disetubuhi. Walaupun haram tetapi talak tetap jatuh. Hukum talak adalah sunat jika suami tidak dapat menyempurnakan nafkah batin. Hukum talak adalah makruh dan boleh membawa kepada haram jika menceraikan isteri atau isteri menuntut cerai tanpa sebab yang munasabah menurut syarak.

Tidak sanggup berkongsi kasih bukan alasan yang munasabah berdasarkan syarak sebaliknya berdasarkan emosi dan hukum menuntut cerai dalam keadaan tersebut adalah haram berdasarkan satu hadis: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mana-mana perempuan yang memohon cerai daripada suaminya tanpa sebab yang munasabah maka haram ke atasnya bau syurga.” -riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad.

Lantas, mohonlah petunjuk-Nya dan sentiasa berdoa mohon yang terbaik dan percayalah, Allah SWT tidak akan menganiayai hamba-Nya. Wallahua'lam....

30 September 2009

Penjelasan lanjut dari topik Isteri Bertakliq

Daripada satu emel yang dikirimkan kepada saya:

"Assalamulaikum w.b.r. Puan,

Saya telah membaca artikel bertajuk di atas, dan alhamdulillah faham dengan penjelasan yang diberi.

Sebagai seorang isteri yang menghadapi masalah yang lebih kurang serupa seperti yang dihadapi oleh wanita di dalam artikel tersebut, saya juga pernah bertaklik dengan perjanjian yang hampir sama dengan wanita itu. Suami juga bersetuju dengan mengatakan "saya setuju". Dan alhamdulillah, suami masih mengotakan janjinya dan tiada sebarang bukti yang dia masih curang atau melanggar perjanjian.

Yang menjadi persoalannya sekarang, selepas kejadian lafaz taklik tersebut, suami memberi saya satu artikel kemusykilan dari keratan akhbar mengenai lafaz taklik. Di dalam artikel itu, ustazah yang memberi penjelasan mengenai lafaz taklik seperti berikut:-

Taklik cerai selain yang termaktub dalam surat nikah mestilah syarat diketahui suami dan isteri serta didaftarkan dengan saksi kepada pendaftar perkahwinan. Hairan juga bagaimana isteri boleh mengingati taklik yang pihak suami sendiri meraguinya atau melupainya kerana taklik adalah syarat dipersetujui kedua-dua pihak.Taklik selain yang standard ditulis mestilah dibuat secara bertulis barulah sah. Jika mahkamah sudah mensabitkan cerai talak satu jatuh, maka jatuhlah talak berkenaan. Dalam waktu edah, jika berlaku persetubuhan, maka dikira rujuk tuan dan isteri. Jadi sekarang ini tuan masih ada dua kali cerai bersama isteri. Jagalah hubungan ini dengan baik semoga tidak lagi berlaku cerai.

Dari penjelasan di atas, saya ingin bertanya, perlukah taklik yang saya ucapkan itu dibuat bertulis dan didftarkan kepada pendaftar perkahwinan seperti disebut. Jika berlaku perlanggaran adakah sah lafaz tersebut walaupun ia tidak dibuat secara bertulis?

Andai kata suami melanggar perjanjian tanpa pengetahuan isteri (contoh: masih berhubung dengan wanita lain yang tidak dibenarkan isteri tanpa pengetahuan isteri) dan suami masih bersama isteri seperti tiada apa berlaku yang membawa kepada hubungan suami isteri, bagaimana hukumnya. Boleh ke Puan memberi penjelasan mengenai persetubuhan dalam waktu edah yang dikira rujuk itu?

Mohon jasa baik Puan untuk memberi penjelasan persoalan di atas. Terima kasih banyak-banyak."


---------------------------------------------------------------------------

Saya tak pasti Ustazah mana yang memberikan jawapan seperti tertera. Sepengetahuan saya, dengan sedikit ilmu yang ada, takliq dikira sah dan sabit apabila diucapkan oleh suami walaupun tika lafaz dibuat, isteri tidak mendengarnya. Sebagai contoh, seorang suami lafazkan di kedai kopi di depan kawan-kawannya: "Kalau isteri aku balik kampung, jatuh talak satu." Apabila lafaz tersebut diucapkan dan walau tanpa pengetahuan tentang lafaz takliq tersebut, apabila si isteri balik ke kampung maka takliq diucap tadi dikira telah berlaku dan talak satu telah jatuh.

Takliq tidak perlukan persetujuan isteri sebaliknya jika takliq dilafaz oleh isteri, lafaz tersebut perlukan persetujuan atau pengakuan suami, barulah menjadi takliq yang sah dan boleh disabitkan. Sebagai contoh: isteri melarang suami keluar lewat malam dan menyebut: "Kalau Abang keluar lewat malam lagi, jatuh talak satu kat saya", lafaz tersebut kemudiannya disambut oleh suami, memadai dengan sebutan: ok la.. ye la.. atau haa... malah jika suami mendiamkan diri juga, boleh dikira sebagai tanda setuju dengan lafaz takliq yang disebut oleh si isteri tadi. Apabila syarat lafaz takliq tadi dilanggar, maka takliq dikira sabit dan talak satu jatuh terhadap isteri tadi.

Perkara paling penting, LAFAZ TAKLIQ TAK DISYARATKAN PERLU DITULIS ATAU DITAIP ATAU DIDAFTARKAN DI HADAPAN PENDAFTAR. Lafaz takliq adalah sama dengan lafaz talak biasa, boleh disebut dan berlaku bila-bila masa. Takliq boleh berlaku walau lafaz diucap tika suami dalam keadaan marah atau bergurau dengan syarat, lafaz yang disebut adalah lafaz yang soreh. Contoh: kalau jatuh pinggan tu, jatuh talak satu...

Tapi kalau lafaz yang digunakan bukan lafaz soreh sebaliknya lafaz kinayah iaitu lafaz yang membawa pelbagai maksud maka niat suami ketika melafazkan takliq tersebut diambil kira. Contoh: kalau kau tak masak malam ni, hubungan kita putus... terma 'hubungan kita putus' dikira sebagai lafaz kinayah dan perlukan niat suami sama ada berniat untuk cerai atau tidak.

Tak kiralah lafaz soreh atau kinayah, apabila syarat diletakkan melibatkan hubungan dalam perkahwinan, jalan terbaik ialah dengan mendapatkan pengesahan daripada pihak Mahkamah.

Bagi lafaz takliq yang diucap selepas akad nikah, disyaratkan si isteri mengadu kepada pihak berkuasa dan jika disabitkan, barulah jatuh talak berdasarkan takliq tersebut. Jika si isteri tak mengadu, biarpun suami keluar atau tinggalkan isteri bertahun-tahun lamanya (syarat biasa takliq di semua negeri), takliq tersebut tetap tidak berlaku dan si isteri masih isteri yang sah kepada suaminya.

Bagaimana jika suami melanggar takliq tanpa pengetahuan si isteri? Kembali kepada asal, hukum terpakai dengan syarat seseorang itu mengetahuinya. Dalam kes seperti ini, jika suami melanggar takliq yang diucap dan si isteri tidak tahu kemudian berterusan melayani suami seperti biasa, isteri tidak menanggung apa-apa dosa.

Konsep asas tentang rujuk selepas cerai menyebut, ada persetujuan kedua-dua pihak. Syarak mensyaratkan memadai dengan suami senyum kemudian isteri pun senyum, maka dah boleh dikira sebagai rujuk. Ulama membahagikan rujuk kepada dua: dengan lafaz atau perkataan dan boleh juga berlaku dengan perbuatan.

Dalam keadaan tidak tahu tersebut, jika suami berniatkan dia merujuk kepada isterinya, hukum rujuk boleh digunapakai. Isteri tak tahu? Jangan risau, suami akan menanggung segalanya sebab isteri diperintahkan taat kepada suami dan jika suami libatkan isteri dalam dosa tanpa disedari oleh isteri, isteri terkecuali daripada hukum tersebut. Sama seperti hukum jimak tika puasa Ramadhan, isteri tak perlu bayar dengan ganti puasa dua bulan berturut-turut, hanya suami perlu berbuat demikian. Serahkan segalanya kepada Allah, Dia takkan biarkan hamba-Nya teraniaya...

Jika anda pasti berlaku takliq kemudian sepakat untuk rujuk, daftarkan juga takliq dan rujuk anda di Mahkamah bagi memudahkan kes anda di belakang hari. Jangan tunggu sampai dah tak boleh nak rujuk, baru nak daftar kes di Mahkamah. Paling penting, PASTIKAN KESAHIHAN HUBUNGAN PERKAHWINAN ANDA, jangan sampai berterusan di dalam zina, nauzubillah!!

Hukum bersetubuh dalam tempoh eddah telah saya bincangkan melalui ruangan Resipi Hidup, insyaAllah akan disiarkan dalam majalah Mingguan Wanita awal November nanti. Tunggu keluarannya nanti....
----------------------------------------------------
*Tambahan* Maklumbalas dari Facebook:

Arnie Hamzah
Salam kak su Dlm kes nih si suami tak tau (atau dia tak pasti) bila dia lafazkan taklik....makanya adakah ujud taklik tu?

Suzana Ghazali
Salam Arnie. Kalau suami tak tau, lupa atau tak pasti tpi isteri tau atau percaya wujud lafaz takliq tu, maka isteri kena buktikan termasuk dgn bersumpah. Jika isteri gagal buktikan atau enggan bersumpah, mahkamah memberi hukum berdasarkan perkara zahir, tidak berlaku takliq lah. Jika suami nafikan, dia juga perlu bersumpah. Kita manusia memberikan hukuman berdasarkan keterangan sahih dan terang sahaja. Selebihnya terserah kpd Allah :)

28 September 2009

Salam Syawal

Harapnya masih belum terlambat untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin buat semua pelayar weblog saya ini. Maaf sebab tidak berpeluang mengucapkan eid mubarak ini lebih awal. Almaklum, balik awal ke kampung, bercuti sakan dua minggu, terus lupa segala kerja, terasa bagai kembali ke zaman remaja tika riuh mengadakan persiapan menyambut raya dengan macam-macam agenda :)

Hari ini, buat pertama kali saya menjenguk blog saya ini, buat kali kedua menjenguk emel (yang terlalu banyak, maaf awal-awal kepada pengirim, tak pasti bila berpeluang membalasnya) dan kali pertama juga menjenguk Facebook, tapi sekadar menjenguk je lah. Pengisian untuk weblog lebih perlu diutamakan.

Ada beberapa isu yang ingin saya ketengahkan dan untuk isu sulung selepas seronok menyambut Aidilfitri ini, saya nak sentuh tentang sikap sebahagian ahli masyarakat kita, khususnya yang beragama Islam, yang masih lagi dengan sikap lama... seolah menjadi badi, yang tak lapuk dek panas dan tak lekang dek hujan: sikap mengumpat dan mengata.

Jika anda membaca perbincangan Resipi Hidup minggu nak sambut raya bertarikh 18hb September atau anda menonton slot Awani Pagi di Astro Awani pada tarikh yang sama, saya dah bincangkan tentang isu ini, tentang adab berkunjung di hari lebaran, bukan saja pada hari lebaran tapi pada bila-bila masa. Islam menetapkan, jika ingin berkunjung, sikakanlah tapi jangan sambil-sambil membuat dosa dengan mengumpat atau mencaci orang lain. Jika nak bersembang, silakanlah tapi jangan duk mengata orang itu orang ini, menceritakan kisah itu kisah ini.

Perlu diingat, bila kisah anda adalah kisah yang benar tetapi diceritakan tanpa kehadiran orang tersebut bererti anda telah mengumpat. Bila kisah yang dikatakan itu bukan kisah benar, bererti anda telah melakukan fitnah. Perlu diingat juga, hukum mengumpat dan fitnah adalah berdosa besar. Kesilapan dan kemaafan anda takkan diampunkan oleh Allah SWT jika anda tidak diampunkan terlebih dahulu oleh orang yang anda umpat dan fitnah tersebut.

Apa sakitnya anda jika tau ada sepupu anda bergaduh dengan suami? Apa masalah anda jika ada saudara anda bercerai? Apa yang mengacau anda jika jiran anda berkahwin lebih dari satu? Semua tu kisah peribadi mereka, tak perlu nak heboh dan nak kecoh. Anda bising satu Malaysia pun, sepupu anda tetap bergaduh dengan suaminya, saudara anda yang bercerai tetap dah bercerai, jiran anda tetap juga dah kahwin lagi. Jangan sibuk duk bercakap tentang rumahtangga orang dan paling tak berguna, jika apa yang anda cakap itu membuatkan cerita yang sepatutnya boleh dijadikan iktibar untuk diri sendiri bertukar menjadi cerita sensasi yang ditokok tambah. Bayangkan jika anda di tempat mereka itu, sukakah cerita anda dijaja ke sana sini?

Yang paling menyedihkan ialah yang duk mengata mengumpat tu kebanyakannya ialah wanita. Kenapa tak cuba fahami hati wanita yang terlibat? Mereka yang anda umpat, keji dan fitnah itu tak pernah minta rumahtangga mereka bermasalah. Koreksi diri... rumahtangga anda tu, elok sangat ker?

Seperkara lagi, tolonglah dalami ilmu agama. Dah tua-tua pun tak rugi belajar. Sedih sangat bila saya berpeluang solat berjemaah baru-baru ni, ramai lagi Muslimah yang belum tau cara solat jemaah yang sebetulnya. Saya akui, saya sendiri dah lama tak berpeluang berjemaah di surau atau masjid dan alhamdulillah, peluang tersebut bertamu juga baru-baru ini dan syukur beberapa kali. Bukan saja jemaah di kampung tapi juga di bandar malah bandaraya KL. Adab solat berjemaah, perlu rapatkan saf, bahu menyentuh bahu, bukannya duduk jauh sebatu mempertahankan sejadah sendiri. Dah tu pula, bila ditegur, tak dengar cakap pula. Alahai... tau la saya ni lebih muda tapi tak semestinya yang lebih muda tu tak tau segala dan jangan ingat yang tua tau semuanya...

Sedih... sungguh sedih... lebih sedih bila melihat perubahan yang berlaku tika Ramadhan dulu, kini berubah sekali lagi ke penampilan yang lama!! Apakah hukum Allah hanya valid dan relevan tika Ramadhan sahaja??

Ya Allah!! Ampunkanlah dosa hamba-hamba-Mu dan berikanlah hidayah-Mu kepada kami semua ya Allah!! Moga kita berpeluang mengutip ganjaran pahala berganda sekali lagi pada Ramadhan yang akan datang, amiinnn!!!

14 September 2009

Makluman terkini

Diumumkan, mulai hari ini 14hb September hingga 27hb September, talian 013-2545965 akan ditutup sementara.

Talian akan beroperasi semula seperti biasa mulai 28hb September 2009 dan mulai tarikh tersebut juga, temujanji bersemuka mula diterima untuk tarikh temujanji pertama bermula 5hb Oktober 2009.

Mulai 5hb Oktober, temujanji bersemuka ditetapkan menurut jadual berikut:
- Isnin hingga Khamis di Sungai Petani, Kedah.
- Jumaat dan Sabtu di Pusat Bandaraya Kuala Lumpur

Hingga tarikh temujanji bersemuka diterima semula, temujanji melalui panggilan telefon masih diterima dan temujanji berkaitan akan diterima kembali bermula selepas cuti panjang sempena Aidil Fitri ini.

Maklumat lanjut berkaitan temujanji, sila emel ke binabahagia@gmail.com atau hubungi talian 013-2545965 (hanya pada 28hb September dan selepasnya).

11 September 2009

Insentif pembakar semangat

Semalam, sedang saya bersiap untuk ke KL, rutin biasa setiap Jumaat pagi di Astro Awani, Ayuni dan Suhail sibuk mengira jumlah hari berpuasa dan jumlah wang yang bakal diperolehi nanti. Ya, semalam hari ke-20 puasa, puteri dan putera saya tu masih kekal bertahan, langsung belum pecah periuk walau sehari. Saya juga teruja dengan prestasi anak-anak terutamanya Suhail sebab Suhail baru berusia lima tahun, Ayuni dah mula puasa tahun lepas walau tak penuh sebulan dan tahun ni, dalam usia enam tahun, dia masih bertahan, alhamdulillah!!

Mak saya juga teruja, malah rakan-rakan saya juga. Petua? Bagaimana saya pujuk? Saya taklah merayu cuma tahun lepas, Ayuni berusia lima tahun, saya ajak dia berpuasa, sebagai latihan. Tapi bertahan puasa penuh lima hari sahaja, (masa ni kat rumah Mak saya, so tak banyak dugaan dari adik-adik) hari-hari lain dah tak dapat bertahan bila melihat Suhail dan Sulaim menjamah makanan.

Anak-anak saya ni penggemar Upin dan Ipin. Bila dapat tau Upin dan Ipin berpuasa cukup sebulan, Ayuni dan Suhail bertekad, akan puasa cukup sebulan juga tahun akan datang, tahun ni lah. Maka, untuk menambahkan semangat anak-anak, saya tawarkan insentif, kalau puasa penuh sehari, saya akan berikan RM2. Jika genap sebulan, ada insentif tambahan, anak-anak akan dapat kasut roda - dah lama juga anak-anak minta tapi biasa lah, ada syaratnya dulu :)

Alhamdulillah, setakat semalam, hari ke-20 puasa, Ayuni dan Suhail masih mampu bertahan. Yang paling buatkan saya teruja, anak-anak saya aktif seperti biasa, sama macam hari-hari tak berpuasa sebelum ni. Tidur siang hari? Jangan haraplah... ada saja aktiviti yang nak dilakukan oleh mereka. Sampaikan saya sendiri (yang sebelum ni penat mengemas sebab baru pindah rumah kan), plan nak baring sekejap pun terpaksa batalkan sebab takkan nak lelap dengan keadaan anak-anak bergerak aktif. Secara tak langsung, Ummi pun kena aktif sama :)

Alhamdulillah juga, anak-anak saya nak bangun waktu sahur. Mula-mula memanglah liat nak bangun tapi saya 'paksa' juga: kalau nak puasa, kena bangun sahur. Saya ikut petua Mak saya, kejutkan anak-anak lebih awal, bukan tika makanan dah terhidang. Bila dah kejut awal, pastikan muka anak-anak dicuci betul-betul dan berkumur hingga anak-anak rasa segar. Bila mata dah segar, sempat borak-borak lagi sebelum makan, barulah anak-anak betul-betul berselera nak makan waktu sahur tu. Saya juga amalkan menyuapkan makanan kepada kedua-dua anak-anak saya tu, jadi saya boleh tahu anak-anak betul-betul menikmati hidangan atau pun tak.

Waktu berbuka pula, saya akan ambil tahu selera anak-anak tapi bersyaratlah juga, bukan semua kehendak diikut, nanti Ummi juga yang makin bertambah berat badan. Hanya itu petua dan cara saya melatih anak-anak saya berpuasa dan paling seronok dan buatkan air mata Mak saya bergenang, bila Ayuni mengimamkan solat Maghrib bersama Suhail dan sepupu-sepupunya - anak Angah - Syimir dan Khairi. Memang terbalik sebab Ayuni kan perempuan tapi tak mengapa, untuk belajar kebetulan anak Angah belum cekap bacaan-bacaan sunat dalam solat.

Sungguh, insentif yang diberikan kepada anak-anak boleh membakar semangat mereka. Bukan saja untuk berpuasa tapi dalam apa juga perkara. Tapi kena tekankan, sebagai pemberi semangat sahaja, dah besar nanti, jangan mintak insentif lagi. Dah besar nanti, dah jadi satu perkara wajib dan sebagai tanggungjawab, bukan lagi satu latihan.

Latihlah sejak awal sebab bila anak-anak dah terbiasa, anak-anak akan mudah untuk melakukannya bila besar nanti walau jauh dari mata ibu bapa. Paling penting juga, sentiasa doakan agar anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh dan solehah...hamba yang sentiasa abid kepada-Nya.... amiinn!!!

21 Ogos 2009

Ramadhan datang lagi

Alhamdulillah, Ramadhan al-Mubarak, bulan yang mulia dipertemukan lagi kepada kita mulai awal Maghrib tadi. Kepada yang telah berjaya menunaikan solat sunat terawih pada malam pertama Ramadhan ini, insyaAllah dijanjikan dengan pahala: keluar dosa-dosa orang mukmin sepertimana dia baru dilahirkan dan mendapat keampunan Allah....

Kepada para isteri dan ibu, sudah pasti menu untuk hidangan sahur dah mula berlegar di ruang kepala, mungkin sejak awal pagi tadi lagi. Ya lah, hidangan bukan boleh sebarangan, kena fikir tekak orang lain terutamanya anak-anak sementelah lagi bagi anak-anak yang baru nak belajar berpuasa. Teringat kisah pertama Ramadhan tahun lepas, tika menghadapi hidangan sahur, Ayuni bersuara: Kata nak makan sahur, naper makan nasi jugak? Sebentar tadi pula, Suhail bertanya: naper kena bangun awal pagi untuk sahur? tak boleh ke sahur siang esok jer?

Keletah anak-anak memang membahagiakan. Ayuni dan Suhail berazam untuk puasa penuh sebulan pada tahun ini. Nak ikut jejak Upin dan Ipin. Tak kisah lah apa sebab pun, yang penting, keazaman anak-anak ada dan memadailah sebagai latihan untuk mereka berpuasa. Moga azam anak-anak berjaya...

Kepada semua, saya ucapkan selamat berpuasa dan selamat menambahkan amal ibadah kita dalam mencari redha-Nya di bulan yang mulia ini. Moga Ramadhan ini juga memberikan rahmah, barakah dan maghfirah-Nya kepada kita semua.

Sungguh... Ramadhan bulan penuh barakah, penuh rahmah, penuh maghfirah... hanya kepada metreka yang berusaha untuk mendapatkanya. Ramadhan juga bulan terbaik untuk mereka yang sedang dalam dilema dalam menentukan keputusan hidup, memohon doa meminta petunjuk daripada-Nya.

Saya nak kongsi dua kisah, kisah saya sendiri dan kisah seorang klien saya. Kepada yang pernah bertemu dengan saya atau pernah membaca buku saya Buatmu Wanita, anda pasti tahu tentang hubungan terlarang sebelum perkahwinan saya dulu. Bapa dan bersetuju dengan pilihan saya tetapi Mak tetap tidak bersetuju. Mengambil barakah bulan Ramadhan tahun 1423, saya memohon doa dan petunjuk, jika dia (bakal suami masa tu) adalah yang terbaik untuk saya dan keluarga saya, mudahkanlah urusan jodoh kami dan bukalah pintu hati Mak untuk menerimanya. Hari ke15 puasa, setelah dua minggu juga saya berdoa mohon petunjuk, Mak mula berubah hati, tunjukkan sikap mula menerima pilihan saya dan akhirnya kami disatukan dan kini, saya punya tiga cahayamata.

Kisah klien saya: 16 tahun perkahwinan, tidak pernah rasa bahagia. Sejak mula perkahwinan, saban hari setiap kali suami keluar dari rumah, si isteri akan mendoakan agar si suami mati dilanggar lori. Semuanya gara-gara sikap suami yang gagal menjalankan tanggungjawab memberi nafkah, tidak ambil peduli tentang isteri dan anak-anak walau sakit atau demam. Tika bertemu saya, si isteri mohon saya bantu untuk dia bercerai kali ketiga. Cerai kali pertama, mereka rujuk semula selepas suami berjanji untuk berubah malah sepanjang tempoh eddah, si suami berubah 100% drpd sikap asal. Namun, selepas rujuk semula, sekali lagi suami berubah 100%, kembali ke sikap asal.

Bercerai kali kedua, si suami memujuk lama, juga berubah 100%. Hampir setahun lamanya akhirnya si isteri cair hati. Bila nikah semula, suami sekali lagi bertukar, kembali ke perangai lama. Tak tahan, si isteri berjumpa saya untuk perceraian kali ketiga. Namun, kali ini permohonan cerai si isteri tidak dipersetujui oleh si suami. Kes dibubarkan ke Jawatankuasa Pendamai. Bakal menunggu minima tiga bulan juga bermula tarikh pembubaran kes.

Kebetulan, hari tersebut jatuh sehari sebelum puasa (macam hari ni la), saya mohon klien saya berdoa sungguh-sungguh minta petunjuk-Nya: jika perkahwinan mereka masih baik untuk masa depannya, suami dan anak-anak, mohon agar suami berubah sikap dan mohon agar dibukakan pintu hatinya untuk menerima dan menyayangi suami dan berikan peluang lagi kepada suami. Jika sebaliknya, mohon agar suami berlembut hati untuk membebaskan si isteri dan mohon agar segala urusan berkaitan dimudahkan.

Hari kelima raya, saya baru saja sampai ke rumah bujang saya (tahun 1998, belum kahwin lagi), saya terima panggilan drpd klien tadi. Katanya: Hari ini, pertama kali dalam sejarah perkahwinannya, dia mendoakan agar suaminya selamat dalam perjalanannya, selamat juga dalam setiap apa yang dilakukannya..

Soalan saya: suami akak dah berubah? Jawapannya: belum sepenuhnya tapi akak dah mula rasa sayang dan sanggup bagi peluang. Dua minggu kemudian, tika pertemuan dengan J/kuasa Pendamai, mereka sepakat tak jadi bercerai. Empat bulan selepas tu, sekali lagi klien tadi menghubungi saya: alhamdulillah, suaminya dah tunjukkan perubahan...

Ada beberapa kes lain tapi kalau nak cerita, boleh siapkan buku baru pulak. Yang penting, ambillah peluang Ramadhan ini untuk keluar dari ujian hidup anda. Ujian daripada Allah SWT tapi bukan bererti kita perlu tunduk dan angguk saja. Kita perlu cari jalan keluar, barulah betul kita menghargai dan mensyukuri nikmat-Nya...

Selamat berpuasa... moga puasa kita tak berikan kita 'letih saja' :)

17 Ogos 2009

Perancangan-Nya yang terbaik

"Kenapa nak pindah ke Kedah?"

Ramai yang bertanyakan saya soalan di atas, bila dapat tau saya akan berpindah untuk menetap dan beroperasi dari Kedah mulai September ini. Malah, ramai yang terkejut termasuklah rakan-rakan rapat saya. Kenapa? Jawapan yang tak sukar malah tak terlalu mudah untuk saya berikan.

Ya!! Sejak mula bekerja pada awal April 1998, saya tak pernah terfikir untuk kembali menetap di Kedah. Tak pernah terlintas langsung. Bukan tak suka menetap di Kedah atau dah lupa tempat tumpah darah sendiri. Entah lah, mungkin keseronokan jiwa muda yang nak merantau menimba pengalaman di tempat orang.

Hanya Dia yang tahu dan Dia juga yang menentukan segalanya termasuklah Dia juga yang membuka pintu hati saya untuk kembali menetap di Kedah. Seperti yang saya nyatakan dalam entri saya sebelum ini, bermula daripada kerinduan terhadap anak sendiri, saya cuba memahami kerinduan Mak dan Bapa saya.

Kebetulan, sehari selepas saya kembali ke kampung mengambil Sulaim hari tu, saya, Mak Bapa dan adik-adik balik menziarah Tok dan Wan (Mak dan Bapa kepada Mak saya). Ketika kami nak balik, Tok dan Wan yang hanya tinggal berdua dan kedua-duanya dah bertongkat, berjalan pun lemah, sanggup bangun menuju ke pintu, menghantar kami balik dengan pandangan mata yang sayu. Agaknya terfikir, bila lagi nak meriah semula dengan anak cucu?

Tika itulah, minda saya tiba-tiba terdetik, apakah saya perlu tunggu hingga Mak dan Bapa saya juga begitu? Saban hari menunggu dan menanti anak-anak kembali ke sisi? Sakit pening terpaksa diharungi sendiri sebab anak-anak yang ramai sibuk dengan urusan keluarga masing-masing. Yang jauh satu perkara, yang dekat pun susah nak jumpa...

Terimbas semula di ingatan saya, tahun 2004, saya tak sempat 'berjumpa' dengan jenazah Tok (Mak kepada Bapa saya) sebab aruah meninggal pagi dan saya hanya dapat bertolak balik ke Kedah selepas Zohor, ditambah dengan kesesakan lalu lintas dek kerana runtuhan di Gua Tempurung tika itu... Kami sampai di Sg Petani awal pagi, jenazah dah pun dikebumikan sebab itu yg terbaik memandangkan jenazah dah sakit lama sebelum tu...

Semua itu bermain-main di minda saya. Ditambah dengan ujian yang saya lalui sebelum ini- jika anda pernah baca entri saya tentang ujian tanda kasih sayang-Nya- ujian yang mulanya dah jumpa jalan penyelesaian tapi diuji dengan masalah lain pula. Sampai akhirnya saya mohon petunjuk daripada Allah, berikan saya petunjuk dan jalan, apa yang perlu saya lakukan?

Alhamdulillah, segalanya di dalam perancangan-Nya. Dia berikan saya petunjuk, dah tiba masanya saya kembali ke tanah tumpah darah saya. Mak dan Bapa saya menetap di Sik, saya akan berpindah dan menetap di Sg Petani, tidaklah jauh sangat...

Ada yang tanya, senang ke nak dapat klien? Ya lah, kerja saya melibatkan orang ramai kan! Wallahua'lam... saya tak tahu. Yang saya tahu dan pasti, rezeki kita ditentukan oleh Allah SWT, bukan orang ramai, bukan tempat operasi. Dia yang tentukan segalanya dan Dia dah janji, jika kita nakkan sesuatu, mintalah daripada-Nya...

Harapan dan doa saya, Dia akan memudahkan lagi semua urusan saya selepas ini... amiinnn!!

15 Ogos 2009

Empat lelaki ke neraka disebabkan wanita

Saya terima maklumat berharga ini drpd fwd emel. Terima kasih kpd pencetus idea asal sebab maklumat ini memang menarik dan berguna:

--------------------------------------------------------------------------

Di akhirat nanti ada 4 golongan lelaki yg akan ditarik masuk ke neraka oleh wanita. Lelaki itu adalah mereka yg tidak memberikan hak kpd wanita dan tidak menjaga amanah itu. Mereka ialah:

1. Ayahnya

Apabila seseorang yg bergelar ayah tidak mempedulikan anak2 perempuannya di dunia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat,mengaji dan sebagainya. Dia membiarkan anak2 perempuannya tidak menutup aurat. Tidak cukup kalau dgn hanya memberi kemewahan dunia sahaja. Maka dia akan ditarik ke neraka oleh anaknya.

(p/s: Duhai lelaki yg bergelar ayah, bagaimanakah hal keadaan anak perempuanmu sekarang? Adakah kau mengajarnya bersolat & puasa?..menutup aurat?..pengetahuan agama?.. Jika tidak cukup salah satunya, maka bersedialah utk menjadi bahan bakar neraka jahannam.)


2. Suaminya

Apabila sang suami tidak mempedulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan utk suami tapi utk pandangan kaum lelaki yg bukan mahram. Apabila suami mendiam diri walaupun seorang yg alim, solatnya tidak pernah bertangguh, puasanya tidak tinggal, maka dia akan turut ditarik oleh isterinya bersama-sama ke dlm neraka.

(p/s; Duhai lelaki yg bergelar suami, bagaimanakah hal keadaan isteri tercintamu sekarang?Dimanakah dia? Bagaimana akhlaknya? Jika tidak kau menjaganya mengikut ketetapan syari'at, maka terimalah hakikat yg kau akan sehidup semati bersamanya di 'taman' neraka sana .)


3. Abang-abangnya

Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke bahu abang-abangnya dan saudara lelakinya. Jikalau mereka hanya mementingkan keluarganya sahaja dan adiknya dibiar melencong dari ajaran Islam, tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.

(p/s; Duhai lelaki yg mempunyai adik perempuan, jgn hanya menjaga amalmu, dan jgn ingat kau terlepas... kau juga akan dipertanggungjawabkan diakhirat kelak...jika membiarkan adikmu bergelumang dgn maksiat... dan tidak menutup aurat.)


4. Anak2 lelakinya

Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yg haram di sisi Islam. Bila ibu membuat kemungkaran mengumpat, memfitnah, mengata dan sebagainya...maka anak itu akan disoal dan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak....dan nantikan tarikan ibunya ke neraka.

(p/s; Duhai anak2 lelaki.... sayangilah ibumu.... nasihatilah dia jika tersalah atau terlupa.... krn ibu juga insan biasa... tak lepas dr melakukan dosa... selamatkanlah dia dr menjadi 'kayu api' neraka.....jika tidak, kau juga akan ditarik menjadi penemannya.)

Lihatlah.....betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah diakhirat pun tarikannya begitu hebat.

Maka kaum lelaki yg bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan mereka. Firman Allah SWT; "Hai anak Adam, peliharalah diri kamu serta ahlimu dari api neraka dimana bahan bakarnya ialah manusia, jin dan batu-batu...."

----------------------------------------------------------------------

Moga sama-sama mendapat iktibar dan pengajaran....

13 Ogos 2009

Wabak H1N1 (Nauzubillah)

Saya terima info ini drpd sepupu saya, mgkin fwd emel dr seseorang sblmnya. Tak kisahlah, yg penting, maklumat ini amat berguna utk kita semua....

--------------------------------------------------------------------------

Apa itu H1N1?
viral novel influenza type A H1N1. ianya berasal dr virus avian flu (selsema burung H5N1) yang telah menjangkiti babi @ khinzir dan telah bergabung dengan swine flu (yg sepatutnya hanya menjangkit ternakan babi sahaja) dan telah evaluasi (mutasi) untuk penyesuaian diri di dalam ‘host’ yg lebih tinggi di dlm rantaian makanan @ manusia. dan semasa di dlm badan manusia, sekali lagi ia berevolusi supaya ia menjadi ‘air born’ dan menjangkit dr manusia kpd manusia.
jangka hayat virus

Oleh kerana ia adalah viurs yg air born, ia hanya boleh bertahan di udara selama 2 hingga 8 jam sahaja. jika selepas tempoh tersebut ia idak mendapat perumah @ host( badan manusia) ia akan mati.

Maka bilik yang dibiarkan selama 24 jam dengan air ventilation yg baik….akan ‘bersih’ dr virus tersebut.

Apa yg perlu tahu ?

Asal virus ini
Sebenarnya telah terdapat outbrake di US sebelum terjadi outbrake di mexico tp tidak dilaporkan kpd WHO. kemungkinan outbrake ini telah dikesan dan US mahu ‘baling batu sembunyi tangan’ lalu tercetus la outbrake di mexico. virologi virus H1N1
incubation period yg singkat pada purata 2 hari dgn julat 1 – 4 hari ini bermakna ia cepat menyerang badan manusia setelah ia menjangkit pesakit, pesakit akan menunjukkan simptom selepas 1 hari dijangkit paling cepat dan selewat2nya hari ke-4

H1N1 sebenarnya adalah selsema biasa namun kpd pesakit yg berisiko, ia dapat membunuh. jika pesakit adalah seorang yg normal, ia hanya akan memberi kesan seperti demam selsema biasa dan batuk.

cara serangan
virus ini boleh disebarkan melalui batuk, bersin dan percakapan. virus ini akan menyerang sistem pernafasan ( seperti selsema burung dan SARS)

peringkat awal, ia hanya pada ‘trakea’ jika tidak mendapat rawatan awal, ia akan menyerang paru2 dan boleh menyebabkan kematian akibat ‘lung collapse’. ia amat merbahaya kpd golongan yg berisiko tinggi


siapa yang berisiko
1.orang yg ada masaalah ‘obesiti’ @ gemok
2. perempuan yg mengandung
3 .orang yg ada astmatic
4 . orang2 yg bermasalah dgn sistem imunisasi ( menjalani ‘operation yg besar’, kanak2 yg belum cukup suntikan imunisasi, golongan2 yg rendah tahap imuniti eg. HIV ext.)
* kematian yg telah dilaporkan terdiri drpd golongan2 di atas

simptom2
day 1 – rasa kurang sihat, tak bermaya
day 2 – selsema, batuk dan demam yg kekal ( demam tidak turun walaupun telah mkn ubt demam)
day 3 – rasa kurang selesa di bahagian dada dan sesak nafas
day 4 – sakit dada yg teruk……..jumpa doktor dengan segera…….
day 5 and above lung collapse @ koma

langkah2 kawalan
1 – golongan2 yg berisiko, elakakn drpd kesesakan ( kawasan yg padat dgn orang ramai)
2 – menjaga kebersihan diri, basuh tangan selalu dan dgn betul, jaga kebersihan rumah dan persekitaran
3 – elakkan diri jika terdapat ‘orang batuk, bersin dan kurang sihat’
4 – jika kurang sihat, elakan diri dr beraktiviti (sosial dan berkumpulan)
5 – jika kurang sihat dan ada ILI ( influenza light illness @ selsema biasa) jgn hadirkan diri di kawasan orang ramai. jika terpaksa, pakai ‘mask’ (sekurang2 nya 3 ply mask)
6 – utk org yg sihat, elakkan dr kawasan yg padat.
7 – jika ada tanda2 simptom diatas, segera ke hospital untuk pemeriksaan dan rawatan
8 – jika sihat, jgn ke hospital atau klinik utk ‘checkup’ kerana di kawasan tersebut mengandungi bnyk virus.
9 – tak perlu ambil anti-viral @ apa2 ubt influenza!!!!!!!!!!. jika sihat dan mengambilnya, akn mengakibatkan resistan kpd vaksin @ ubt2 untuk merawat jika terkena jangkitan. ini adalah kerana berlakunya resistansi virus terhadap persekitaran badan yg telah mengambil ubt2 tersebut terlebih awal.
10 – vaksin hanya akan ‘wujud’ seawal2nya pada oktober dan hanya utk ‘frontliner’ shj. dan utk awam selewat2nya pada 2010.
11 utk makluman, influenza test hanya dijalankan di 2 makmal shj di malaysia. mengambil masa 6 jam utk run test kpd 1 batch sample. jika klinik menyatakan mereka boleh jlnkan ujian, itu tidak betul. tak perlu ambil suntikan seasonal influenza kerana ia tidak berkaitan.
12 – tahap kesedaran dan pengetahuan yg tinggi amat perlu utk kita sama2 menghadapi outbreak ini.

sama2lah kita berdoa kpd ALLAH s.w.t agar bala ini cepat berlalu. Amin...

(Ini adalah sumber dr taklimat H1N1 oleh pengarah kawalan penyakit berjangkit dr kem. kesihatan m’sia di Pan Pacific KLIA pada 01.08.2009.)

10 Ogos 2009

Poligami dan payung emas

Alhamdulillah, dapat juga saya menjenguk blog malam ini. Mula tadi, cuba mengerah idea untuk menyelesaikan satu papancerita yang diberikan oleh majikan lama, tapi dek kerana tak tercapai akalku untuk meng'interaktiviti'kan frame2 berkaitan, so saya ambil langkah, masuk ke blog...

Melihat kepada topik saya, rasanya ramai kaum wanita dah mula berkerut dahi. Yang lelaki pula, dah mula senyum lebar hingga ke telinga. Saya terpanggil untuk bincangkan isu yang sentiasa panas ini setelah menerima satu komen di dalam satu entri siaran blog Resipi Hidup... seorang wanita meluahkan tentang beratnya hati nak benarkan suami berpoligami walau dijanjikan dengan payung emas di syurga...

Ingin saya tegaskan di sini.... pendapat yang mengatakan ada hadis yang menyebut tentang wanita yang membenarkan suaminya berpoligami akan mendapat payung emas di syurga adalah pendapat yang salah dan tidak benar. Tidak ada satu hadis pun yang menyebut sedemikian.

Perlu diingat, hadis ialah sebarang perkataan atau perbuatan atau pengakuan yang datangnya daripada Rasulullah SAW, disampaikan kepada kita hari ini melalui riwayat demi riwayat bermula dgn sahabat, tabien, tabi' tabien dan seterusnya. Masalahnya matan hadis yang menyebut wanita yang membenarkan suaminya berpoligami akan mendapat payung emas di syurga bukanlah bermula daripada Rasulullah SAW dan tidak ada kena mengena langsung dgn baginda Rasul atau sahabat atau tabien atau tabi' tabien.

Asas pensyariatan yang menjadi dalil utama di dalam keharusan berpoligami ialah firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 3 yang bermaksud: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah (dengan) perempuan-perempuan lain yang kamu berkena;, dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau memadailah dengan hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman ”.

Menurut Dr. Muhammad al-Bahi dalam bukunya yang diterjemahkan ke bahasa Melayu oleh Fathurrahman (1988): “poligami bukanlah suatu prinsip yang wajib dilaksanakan di dalam syariah Islam sehingga boleh menyebabkan berdosa jika tidak mengamalkannya. Poligami hanya merupakan perkara harus dan satu rukhsah (keringanan) dalam keadaan darurat.”

Fakta sebenar tentang poligami seperti yang ditetapkan oleh undang-undang keluarga Islam di Malaysia pula ialah:
1. poligami dibenarkan dengan syarat suami hendaklah mendapat kebenaran bertulis daripada Mahkamah Syariah terlebih dahulu;
2. permohonan suami hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah mengikut cara yang ditetapkan dan hendaklah disertai dengan suatu akuan;
3. akuan tersebut hendaklah mengandungi alasan-alasan mengapa perkahwinan poligami ini patut dan perlu, laporan tentang keadaan kewangan suami dengan memberikan butiran lengkap mengenai segala komitmennya dan tanggungan kewangannya yang patut serta bilangan tanggungan termasuk orang yang akan ditanggungnya berikutan dengan perkahwinan baru yang dicadangkan.
4. pemohon perlu menyatakan sama ada telah mendapat atau tidak, izin atau pandangan isteri atau isteri-isteri mengenai cadangan perkahwinan tersebut.

Saya tidak menentang poligami sebab poligami diharuskan oleh syarak dan mempunyai hikmah yang tersendiri. Walaupun Islam mengharuskan dan ada hikmah yang tersendiri, perlu diingat... TIDAK SEMUA LELAKI LAYAK BERPOLIGAMI dan MEMPUNYAI JANTINA SEBAGAI LELAKI BUKAN SATU SYARAT KELAYAKAN UNTUK BERPOLIGAMI.

Dalam memberikan pertimbangan terhadap sesuatu permohonan poligami pula, Mahkamah akan mengambil kira empat syarat kebenaran untuk berpoligami sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang iaitu:
1. perkahwinan yang dicadangkan itu adalah patut dan perlu memandang kepada keadaan isteri dari segi kemandulan, keuzuran jasmani, tidak layak dari segi jasmani untuk persetubuhan, sengaja engkar mematuhi untuk pemulihan hak-hak persetubuhan, atau gila;
2. pemohon mempunyai kemampuan mengikut kehendak syarak untuk menanggung semua isteri dan tanggunggannya termasuk orang yang bakal ditanggungnya berikutan dari perkahwinan yang baru;
3. pemohon berupaya memberi layanan sama rata kepada semua isteri mengikut kehendak hukum syarak;
4. perkahwinan yang dicadangkan tidak akan menyebabkan darar syarie kepada isteri.

Saya faham, antara hikmah poligami ialah bagi membantu golongan ibu tunggal atau wanita berumur yang belum bertemu jodoh namun hikmah tersebut perlu selari juga dgn kelayakan si lelaki.

Kepada mereka yang terjebak dgn cinta suami orang, tak salah jika anda benar-benar ingin berkongsi tetapi nasihat saya, perlu jujur dan telus dan pastikan suami orang tersebut memang layak untuk menguruskan dua atau lebih isteri dan keluarga. Bukan sekadar menguruskan kehendak seksualnya sendiri tetapi menunaikan tanggungjawab yg wajar dan patut sbg seorang suami dan bapa.

Paling penting saudara sejenisku sekelian... jangan gadai hak anda sendiri semata-mata atas nama cinta. Cinta untuk kebahagiaan dan bukan untuk menikmati penderitaan....

04 Ogos 2009

Pindah ke Kedah: Temujanji bersemuka dibekukan sementara

Seperti makluman saya dalam entri Rindu seorang ibu... saya telah mengambil keputusan untuk berpindah ke Sungai Petani, Kedah.

Sehubungan dengan itu, sesi temujanji bersemuka hanya akan berjalan hingga 14hb Ogos ini sahaja.

Bermula 17hb Ogos hingga hujung September, temujanji bersemuka dibekukan sementara tetapi anda boleh bertemujanji dengan saya menerusi panggilan telefon. Caranya masih sama, hubungi PA saya di talian 013-2545965 untuk tetapkan temujanji.

Kepada peserta Kem Jati Diri Wanita pada 23hb Ogos, jangan bimbang... program akan berjalan seperti biasa. Saya hanya akan berpindah ke Kedah pada hujung bulan Ogos ini, usai segala program yang telah dijadualkan. Saya perlu bekukan sementara temujanji bersemuka bagi memberi ruang kepada saya untuk mengemas pejabat yang bakal ditinggalkan dan mengemas barang-barang rumah. Bukan senang nak pindah, banyak perkara perlu diselesaikan.

Temujanji menerusi panggilan telefon pula hanya akan diterima maksima dua panggilan sehari.

InsyaAllah, saya akan usahakan untuk mengadakan semula temujanji bersemuka bermula Oktober 2009, di Sungai Petani, Kedah.

Justeru, kepada mereka yang berada di utara, insyaAllah anda akan lebih mudah untuk berjumpa dengan saya dan bagi mereka yang berada di tengah-tengah atau selatan tanahair, anda boleh juga berjumpa dengan saya di Sungai Petani atau pun anda boleh berjumpa saya pada hari Jumaat dan Sabtu di Kuala Lumpur. InsyaAllah, maklumat terperinci tentang jadual baru ini, akan saya umumkan nanti.

InsyaAllah juga, saya akan gunakan segala kemudahan teknologi yang ada untuk memudahkan anda bertemujanji dengan saya bagi menyelesaikan masalah anda. Berikan saya masa, saya akan usahakan yang terbaik untuk anda kerana saya yakin, Allah dah tunjukkan jalan, dah tiba masanya saya kembali ke tanah tumpah darah saya sendiri....

Rindu seorang ibu

Jumaat 30hb Julai, usai tugasan saya di Astro Awani, saya bergegas pulang ke rumah, berkemas mana yang perlu untuk balik ke kampung, selepas Ayuni dan Suhail balik dari sekolah. Sibuk itu ini, selepas zohor barulah kami bertolak meninggalkan bumi Selangor menuju ke utara. Dalam hati, hanya satu hasrat saya, tak sabar nak jumpa dengan Sulaim.

Lebih kurang jam 6.07pm, kereta saya berhenti di depan rumah Bapa. Adik saya Suzalina dah menjenguk di muka pintu, bersama dengan Sulaim. Segera saya dapatkan Sulaim. Saya peluk Sulaim. Saya sayang Sulaim. Sulaim juga sama, memeluk saya erat, kedua-dua kakinya melingkar di pinggang saya, kemas seolah-olah tak nak lepaskan saya. Pelukannya juga erat dan kemas, tak pernah saya rasa pelukannya yang sebegitu. Dia cium saya di pipi berulang kali. Mengalir air mata saya...

Itulah kerinduan seorang anak.... dan juga kerinduan seorang ibu.... Pertama kali saya berpisah dengan Sulaim dalam tempoh masa yang lama, 2 minggu. Sebelum ini, tak pernah saya berpisah dengan anak-anak sebegitu lama kecuali penghujung 2006, juga lebih kurang 2 minggu bila Ayuni mengikut Mak dan Bapa saya kembali ke kampung. Walaupun Ayuni dah pun hampir 4 tahun masa tu dan saya ada Suhail bersama saya, kerinduan kepada Ayuni tetap ada. Sama seperti kerinduan kepada Sulaim baru-baru ini. Saya luahkan kepada Mak. Jawab Mak mudah: dah jadi Mak, macam tu la....

Saya faham maksud Mak. Dulu, saya selalu bising bila Mak risaukan tentang saya atau tentang adik-adik yang jauh di mata. Tika dah bekerja dan berkeluarga sendiri, baru ja sampai balik ke rumah sendiri, Mak dah tanya lagi, bila nak balik kampung pulak? Ya!! Mak rindu. Rindu pada anak-anak. Bapa juga. Kata Mak, kalau nak tengok Bapa makan bertambah, bila Mak dan Bapa datang ke rumah saya atau adik-adik ataupun kami balik ke kampung.

Hati ibu, hati bapa... biar usia makin lanjut, biar anak-anak makin dewasa, kasih sayang dan kerinduan kepada anak-anak tetap sama dan tak pernah berubah. Sedih bila ada ibu bapa yang ditinggalkan kesepian oleh anak-anak. Berpeluang berjumpa dengan anak-anak setahun sekali. Ada kes, 2,3 tahun sekali baru boleh jumpa dengan anak-anak. Bayangkan betapa seksanya hati si ibu dan si bapa menanggung rasa rindu yang tak terhingga kepada anak-anak.

Kerinduan mendalam yang saya lalui baru-baru ini membuatkan saya mengambil satu keputusan yang tak pernah saya terfikir untuk melakukannya sebelum ini... saya akan meninggalkan bumi KL dan Selangor, tempat saya menimba ilmu dan mencari rezeki sejak tahun 1992. Saya akan kembali untuk menetap di Kedah (insyaAllah di Sungai Petani), agar lebih dekat dengan Mak dan Bapa saya.

Kebetulan, Mak dan Bapa tinggal sendiri sekarang, adik-adik sedang mencari impian dan cita-cita masing-masing dan sebagai anak sulung dan bekerja sendiri, saya yakin, keputusan yang saya ambil adalah yang terbaik untuk saya sekeluarga dan untuk Mak dan Bapa saya juga.

Ya Allah.... Kau mudahkan segala urusanku... amiinnnn!!!