30 Jun 2010

Doa Munajat

Berjaya melalui disiplin berfikir



Sedar atau tidak, kita melalui kehidupan dengan harapan hari ini adalah lebih baik daripada semalam. Harapan ini memang berasas. Sifat manusia tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki. Inilah sebenarnya menjadi pemacu manusia mencapai kebaikan berbanding sebelumnya. Untuk merealisasikan harapan itu sebenarnya memerlukan disiplin diri. Ada yang berjaya dan ramai juga berdepan dengan kegagalan. Kita seharusnya memahami bahawa kejayaan dan kegagalan bukan satu takdir. Kejayaan milik orang komited yang sentiasa berfikir dan berusaha secara konsisten terhadap matlamat yang ditetapkan.

Sebenarnya tidak ada alasan untuk berkata tidak bila ada peluang untuk berjaya. Setiap orang mempunyai peluang yang sama, asalkan sanggup berusaha untuk mencapainya. Tentu tidak ada orang yang inginkan hidup yang statik, yang tidak menunjukkan perubahan ke arah kebaikan dan kebahagiaan. Kejayaan sebenarnya dicipta bergantung kepada bagaimana cara kita berfikir dan melakukan apa yang terbaik. Minda (akal) perlu dibuka untuk perkara baru dan bersedia melakukan perkara luar biasa untuk kejayaan luar biasa. Kita adalah apa yang kita fikirkan tentang diri kita.

Kata seorang pujangga: “Orang yang berminda kecil membicarakan mengenai orang lain, orang yang berminda sederhana membicarakan mengenai peristiwa dan kejadian, dan orang yang berminda besar membicarakan mengenai idea dan keilmuan.” Orang yang berminda kecil sebenarnya kurang menggunakan minda. Dia lebih kerap melakukan perkara rutin dan menerima apa sahaja yang dikatakan orang lain. Mereka tidak mahu berfikir lebih daripada itu dengan alasan tidak mahu ‘penat’ berfikir. Biarlah orang lain fikirkan. Sikap berminda kecil menjadi punca kepada kegagalan. Mereka tidak menggunakan potensi diri yang ada pada setiap orang. Mereka tidak memahami 'modal diri' yang dimiliki untuk meraih keuntungan hidup.
Sesungguhnya, harga kehidupan tidak akan berubah lebih baik jika tidak mahu menggunakan minda. Keinginan melakukan sesuatu lebih baik tercetus sekiranya minda digunakan.

Kelebihan manusia berbanding haiwan ialah kerana manusia mempunyai minda. Manusia yang tidak menggunakan minda akan mempersia-siakan anugerah paling besar itu. Mereka tidak layak untuk menikmati kejayaan dan kebahagiaan hidup sebenar. Minda yang jumud dan beku mengurangkan fungsi minda. Hal itu samalah seperti kita menentukan had sempadan penggunaan minda. Sedangkan minda sebenarnya mampu berfikir tanpa had sempadan. Pergerakan berfikir berbentuk rawak yang tidak ada satu garisan khusus.

Kemampuan minda seseorang berbeza antara satu sama lain. Ini memberi kelebihan apabila dilakukan percambahan minda melibatkan banyak individu. Gagasan minda yang digabungkan membawa kepada satu kekuatan minda yang terbaik. Belajarlah berfikir secara minda terbuka. Minda yang terbuka dapat membezakan antara yang betul dan salah, mencipta kemajuan dan bergerak ke arah lebih baik. Dengan cara itu juga seseorang itu mampu membudayakan pemikiran yang kritis.

Umumnya semua orang mahu meni’mati kehidupan lebih baik, meneroka bakat dan potensi diri. Tetapi, disebabkan mengamalkan cara berfikir yang negatif, menyebabkan banyak sempadan diri wujud. Kita sendiri mengatakan ini tidak boleh dan itu tidak mungkin.

Sesungguhnya, permulaan kejayaan ialah apabila kita berfikir tentang kejayaan. Permulaan untuk berubah ialah berubahnya cara berfikir. Sebab itu pentingnya mengamalkan pemikiran berasaskan intelektual.

Sekiranya berdepan dengan kegagalan, mengapa perlu marah dan kecewa?. Kegagalan perlukan kesabaran dan kebijaksanaan berfikir untuk mencipta kejayaan. Berfikir memungkinkan kejayaan lebih baik pada masa hadapan. Anggaplah kegagalan adalah satu peluang. Ambillah masa untuk berfikir apakah punca kegagalan. Kemudian fikirkan pula cara untuk mengatasinya. Sahutlah seruan kehidupan yang memerlukan kita berfikir. Tegasnya, setiap orang perlu sentiasa berfikir. Minda manusia perlu diaktifkan selalu supaya keupayaannya sentiasa berada dalam keadaan baik. Minda diumpamakan seperti logam yang perlu digilapkan.

Latihan berfikir perlu dilakukan setiap masa supaya menjadi satu amalan atau budaya hidup kita. Masyarakat di negara maju sentiasa mengamalkan budaya berfikir. Mereka sentiasa berfikir untuk mendapatkan dan melakukan sesuatu yang lebih baik. Berfikir ialah setiap perkembangan dalam idea, pengetahuan dan pengalaman yang tercetus dalam fikiran. Kebolehan berfikir terbaik ialah dapat menyelesaikan masalah, menemui kaedah, mendapat petunjuk, memperoleh kebenaran atau melahirkan perkara baru.

Berfikir memerlukan gerakan minda untuk mencetuskan sesuatu dalam fikiran. Sebab itu dipanggil daya berfikir, iaitu satu kekuatan diperlukan untuk menghasilkan keputusan hasil berfikir itu. Untuk melahirkan minda yang kuat memerlukan latihan berterusan. Kekuatan minda tidak lahir secara semulajadi. Seperti melahirkan seorang atlet sukan, latihan minda perlu dilakukan untuk melahirkan minda yang unggul.

Paling penting, apabila telah mencapai satu tahap, latihan minda terus dilakukan. Jangan berhenti berfikir, sebaliknya usaha melatih minda perlu dilakukan sepanjang masa. Orang berhenti berfikir, bermakna hidupnya telah mati.

Berfikir lain dengan ingatan, walaupun kedua-duanya berpunca daripada otak. Ingatan lahir dari apa yang disimpan di otak. Manakala berfikir pula bertujuan mencetuskan hasil baru.

Tahap pemikiran seseorang bergantung kepada cara bagaimana dia berfikir. Manusia dikurniakan dengan minda yang mampu berfikir ke arah kreatif atau kepelbagaian corak. Bagaimanapun, minda yang tertutup dan telah diorentasi berfikir satu arah tidak dapat menerima perkara baru, melainkan apa yang telah disediakan untuknya. Apabila minda telah tertutup, seseorang menjadi sukar untuk menerima sesuatu yang lain daripada apa yang telah diterapkan di dalam mindanya.

Berfikir dengan bijak dapat memajukan diri dan mengelak daripada keburukan. Sebaliknya kelemahan minda dan tidak mahu berfikir menyebabkan kemunduran serta kemusnahan tamadun manusia. Banyak tamadun sebelum ini musnah apabila masyarakatnya leka dengan kemewahan dan lahir sindrom malas berfikir.

Kita berbangga semakin ramai pelajar memperoleh kejayaan cemerlang dalam pelajaran. Bilangan lepasan pusat pengajian tinggi bertambah berkali-kali ganda berbanding sedekad lalu. Malang sekali kita berdepan pula dengan masalah pengangguran yang antara lain berpunca daripada sikap siswazah itu sendiri.

Kebijaksanaan minda bukan sekadar bergantung kepada banyak mana ilmu yang dimiliki sahaja, tetapi turut melibatkan keupayaan bagaimana mengembangkan ilmu yang dimiliki dengan penuh inovasi dan kreativiti. Banyak mana sekalipun ilmu, jika tidak dimanfaatkan dan dikembangkan, tidak mendatangkan keuntungan kepada pemiliknya.

Hal ini berpunca daripada lemahnya daya kreativiti, inovasi dan mengolah ilmu yang dipelajari untuk dimanfaatkan kepada realiti semasa. Individu berkenaan gagal mencambahkan idea dan memperkayakan daya cipta. Penggunaan ilmu pada tahap maksimum amat penting. Tambahan pula, ilmu yang dimiliki jika tidak digunakan akan susut. Ilmu yang digabungkan dengan cara berfikir yang betul akan membentuk individu sempurna yang menggunakan sepenuhnya potensi dan modal diri yang dimiliki.

****Editor : PRO JAKIM (Majalah Cahaya Julai-Ogos 2007)

26 Jun 2010

Konsep memukul isteri dalam Islam

Saya sedang mengemaskini fail-fail bahan rujukan, terjumpa fakta menarik yg pernah dikongsikan dgn saya melalui satu emel tidak lama dulu. Tak pasti siapa penulisnya tetapi faktanya menarik. Saya kongsikan bersama anda....

--------------------------------------------------------------
AL-QURAN TIDAK MENYURUH MENZALIMI PARA ISTERI

"As for those from whom ye fear rebellion, admonish them and banish them to beds apart, and scourge them." An-Nisa 4:34.

Yang dipersoalkan, sekiranya Islam adalah agama keamanan mengapa seorang Isteri boleh didera kerana "scourge" di situ adalah bermaksud to inflict with severe suffering, to beat the wife really hard."

Perkara ini bukan sahaja menjadi salah faham kepada bukan Islam tetapi juga sering digunakan pejuang-pejuang feminisme sebagai modal mereka memperlekahkan syariat Islam. Maka dengan ini saya mengambil sedikit inisiatif yang tidak seberapa menyusun kembali secara ringkas untuk melihat bernarkah Islam agama yang menggalakkan keganasan rumahtangga.

Terjemahan perkataan وَاضْرِبُو kepada bahasa Inggeris yang menggunakan perkataan scourge adalah terjemahan al-Quran versi Picktall. Scourge bermaksud:

• verb
1. whip with a scourge.
2. cause great suffering to. [http://www.askoxford.com/dictionaries/]

Terjemahan Inggeris lain yang tidak kurang popular seperti terjemahan Yusuf Ali dan M Asad menterjemahkan perkataan وَاضْرِبُو sebagai beat. Sekalipun pada pandangan saya beat masih lagi tidak tepat namun gambarannya mungkin tidak seteruk perkataan scourge.

Perlu diingat perkataan-perkataan yang diterjemah itu adalah pilihan penterjemah sendiri. Untuk benar-benar memahami konteks perkataan tersebut dengan ayat perlulah dilihat pada bahasa asli al-Quran iaitu bahasa arab kerana terjemahan mungkin tidak mampu memberikan makna yang betul-betul tepat. Oleh itu mari kita lihat teks arab dan keseluruhan ayat.

الرِّجَالُ قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاء بِمَا فَضَّلَ اللّهُ بَعْضَهُمْ عَلَى بَعْضٍ وَبِمَا أَنفَقُواْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ فَالصَّالِحَاتُ قَانِتَاتٌ حَافِظَاتٌ لِّلْغَيْبِ بِمَا حَفِظَ اللّهُ وَاللاَّتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلاَ تَبْغُواْ عَلَيْهِنَّ سَبِيلاً إِنَّ اللّهَ كَانَ عَلِيًّا كَبِيرًا

Kaum laki-laki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh karena Allah telah melebihkan sebahagian mereka (laki-laki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan karena mereka (laki-laki) telah menafkahkan sebagian dari harta mereka. Sebab itu maka wanita yang saleh, ialah yang taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh karena Allah telah memelihara (mereka). Wanita-wanita yang kamu khawatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka dan pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka, dan pukullah mereka. Kemudian jika mereka menaatimu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi lagi Maha Besar. [an-Nisa 4:34]

وَاضْرِبُو berasal daripada perkataan ﺿﺮﺏ yang bermaksud pukul. Namun pukul itu adalah sesuatu yang relatif baik dari segi kekuatan atau bentuknya. Masyarakat pada zaman diturunkan al-Quran tentunya lebih arif dengan bahasa al-Quran. Terdapat sebuah hadis yang saya percaya dapat menjelaskan makna ﺿtidaklah seteruk yang digambarkan.

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: 'Hai Abu Mundzir, ayat apakah yang paling agung dari Kitabullah menurut engkau?' Ubay menjawab: ' Aku berkata, "Allah dan Rasul-Nya yang lebih mengetahui.'" Baginda bersabda, ' Hai Abu Mundzir! ayat apakah yang paling agung dari Kitabullah menurut engkau?' Katanya, ' Aku jawab, "Allahu laa ilaaha illaa huwal hayyul qayyumu...'" (surah al-Baqarah 2:255). Kata Ubay, 'Lalu baginda menepuk dadaku seraya bersabda: 'Hai Abu Mundzir, semoga ilmu tetap menyayangimu'" [Hadis dari Ubay bin Kaab r.a. Diriwayatkan Muslim, Abu Daud dalam Sunannya dan Disahihkan oleh Sheikh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abu Daud, Kitab Solat (Bab Tentang Solat Witir: Ayat Kursi), hadis no. 1460]

"...lalu baginda menepuk dadaku seraya bersabda" dalam teks arabnya adalah:
ﻓﻀﺮﺏ ﰲ ﻭ
Sekiranya ﺿﺮbermaksud scourge adakah itu bermakna Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam "scourge" dada Ubay bin Kaab sebagai tanda gembira dan tahniah? Sudah tentu tidak. Selain itu juga mendera isteri juga adalah bertentangan dengan perincian atau penjelasan kepada al-Quran yang Allah turunkan iaitu Rasul-Nya Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam (akan dibincangkan lebih lanjut). Firman Allah yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmat-Nya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Ia mengutuskan di kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah dan membersihkan mereka, serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran). [Ali Imran 3:164]

Dalam isu memukul isteri kita perlu jelas akan tiga perkara:

[1] Islam bukan menggalakkan memukul isteri, tetapi sebagai satu penyelesaian berhadapan dengan isteri yang menderhaka setelah melalui pelbagai peringkat.

[2] Pukul yang dimaksudkan bukanlah seperti pukulan ahli gusti dan sebagainya tetapi pukulan yang lembut, tidak bersangatan atau pukulan isyarat.

[3] Untuk tidak memukul adalah lebih hampir kepada sifat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Memukul Sebagai Pengajaran

Ayat al-Quran diatas sendiri telah menerangkan bahawa hanya dibenarkan memukul isteri yang nusyuz (derhaka) setelah melalui bebrapa peringkat mengajar. Peringkat-peringkat yang dinyatakan di dalam ayat tersebut adalah seperti berikut:

1. Memberi Nasihat.

Firman Allah tersebut (Surah an-Nisa, ayat 34) menerangkan:

"Perempuan-perempuan yang kamu khawatirkan nusyuznya, maka nasihatilah mereka".

Suami seharusnya mula dengan menasihati isterinya yang derhaka dengan kata-kata yang lembut seperti " Jadilah perempuan yang saleh dan taat pada Allah Subhanahu wa Ta'ala" atau " Takutlah kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala" dan pelbagai nasihat yang sesuai.


2. Pulaukan atau pisahkan tempat tidur.

Jika mereka masih berdegil maka peringkat yang berikutnya adalah dengan memulaukan atau memisahkan tempat tidur berdasarkan firman Allah (Surah an-Nisa, ayat 34):

"…dan (jika mereka masih berdegil) pisahkanlah mereka di tempat tidur mereka."

Berkata Ibn 'Abbas:

Jangan kamu (suami) tidur bersama di atas satu hamparan dan sesungguhnya Nabi shallallahu 'alaihi wasallam memulaukan isteri-isterinya, Baginda tidak masuk tidur bersama mereka selama sebulan. [al-Bada'I, JIL 2, ms 334; al-Qawanin al-Fiqiyyah, ms. 212 dan seterusnya; Mughni al-Muhtaj, JIL 3, ms. 257-261; al-Muhadhdhab, JIL 2 ms. 69; Kashshaf al-Qina', JIL 4, ms. 233-236. Dinukil daripada Fiqh dan Perundangan Islam (al-fiqh al-Islami wa Adilatuhu), Dr. Wahbah al-Zuhaili, DBP, 2001]


3. Pukulan yang tidak bersangatan.

Setelah melalui dua peringkat tersebut sekiranya isteri terus menderhaka maka suami boleh memukulnya dengan pukulan yang tidak bersangatan berdasarkan firman Allah (Surah an-Nisa, ayat 34):

"…dan pukulah mereka"

Sekali lagi ingin dijelaskan memukul di sini bukanlah seperti pukulan ahli gusti atau menyebat hamba abdi yang lebih kepada mendera. Tetapi pukulan disini adalah yang tidak bersangatan atas tujuan mengajar. Sesuatu pukulan yang tidak mencederakan tubuh tetapi memberi impak pada hati isteri yang degil dan derhaka.

Menurut zahir ayat meskipu huruf wau pertama adalah untuk kata jamak mutlak, namun maksudnya ialah kata jamak menurut susunan dan wau tersebut membawa makna itu. [Fiqh dan Perundangan Islam (al-fiqh al-Islami wa Adilatuhu), Dr. Wahbah al-Zuhaili, JIL 7, DBP, 2001]

Ibn Abbas dalam menjelaskan maksud ayat berkenaan menyatakan yang pukul di sini bermaksud bukanlah pukulan yang ganas. [Tafsir Ibn Kathir, bab Berdepan Dengan Perbuatan Buruk Isteri]

Berkata Ibn Hajar al-Asqolani pukulannya hendaklah ringan sekali, yang lebih utama ialah dengan ugutan dan bentakan sahaja atau memadai pukulan dgn isyarat sahaja (acahan). [Fathul Bari 11/215]

Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Apabila seseorang kamu bergaduh dengan saudaranya, hendaklah dia menjauhi dari memukul muka kerana sesungguhnya Allah mencipta Adam atas imejnya. [Hadis daripada Abu Hurairah r.a, dikeluarkan oleh Ahmad, Muslim dan lain-lain, lihat Sahih Muslim – no: 2612-4 (Kitab al-Birr…, Bab Larang daripada memukul muka).]

Bagaimakah Islam yang melarang memukul muka sesama manusia boleh menggalakkan pemukulan berbentuk mendera? Sebagai contoh, andaikata hukuman berat dikenakan kepada seorang perogol bersiri adakah itu bermakna kita masyarakat yang tidak cintakan keamanan dan sukakan keganasan? Maka salah faham bahawa Islam menggalakkan penderaan Isteri adalah tidak lain akibat gagal menganalisa secara keseluruhan Islam itu sendiri menyebabkan tafsiran dan gambaran salah terhadap suruhan memukul di dalam ayat Quran tersebut.

Untuk tidak memukul adalah lebih hampir kepada sifat Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam.

Diriwayatkan daripada isteri baginda sendiri Aisyah:

Rasulullah tidak pernah memukul isteri dan khadam baginda. Tangannya tidak memukul kecuali pada jalan Allah atau orang yang memceroboh perkara yang diharamkan Allah. [Muttafaqun 'alaih dalam Sahih Bukhari dan Sahih Muslim.(Nayl al-Awtar. JIL 6, ms. 212]

Ketika Muawiyah bin al-Qusyairi bertanyakan kepada Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tentang hak-hak isteri. Baginda menjelaskan hak-hak tersebut dan antaranya:

Dan janganlah engkau memukulnya. [Diriwayatkan Abu Daud dan dinilai Hasan Sahih oleh Sheikh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abu Daud (bab Tentang Hak Isteri Terhadap Suami) hadis no. 2143]

Apabila banyak wanita yang mendatangi keluarga Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengadukan perilaku suami-suami mereka (yang memukul mereka), Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Banyak wanita yang datang kepada keluarga Muhammad shallallahu 'alaihi wasallam mengadukan perihal suami-suami mereka. Mereka bukanlah oreng yang terbaik di antara kamu. [Hadis dari Iyas biun Abdullah bin Abu Dzubab. Diriwayatkan Abu Daud. Disahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abu Daud (bab Memukul Isteri) hadis no. 2146 ]

Rasulullah shallallahu alaihi wasallam juga bersabda:

Tidak harus bagi seseorang daripada kamu menyebat isterinya seperti menyebat hamba, kemudian ia menidurinya pada akhir hari. [Disepakati antara Ahmad dan Syaukani serta empat pengarang sunan yang berempat daripada Abu Bardah Bin Nayyar bahawa hadis ini Sahih. Dinukil dari Fiqh dan Perundangan Islam (al-fiqh al-Islami wa Adilatuhu), Dr. Wahbah al-Zuhaili, DBP, 2001]

Perkara ini bukanlah bermaksud berlakunya kontradiksi antara ayat al-Quran dan sunnah Nabi shallallahu 'alaihi wasallam tapi perlu kita ingat bahawa sunnah Rasululullah shallallahu 'alaihi wasallam adalah perincian kepada al-Quran. Maka di sini jelas bahawa al-Quran bukannya menggalakkan penderaan terhadap isteri cuma sekadar memberi penyelesaian dalam menghadapi isteri yang derhaka dengan memukul (dengan cara lembut) sebagai cara penghabisan atau 'last resort' atas tujuan memberi impak pada hati si isteri (agar sedar kedegilan dan kederhakaannya) bukannya mencederakan tubuhnya.

Segala yang baik daripada Allah dan sebarang kesilapan adalah natijah daripada kelemahan diri saya sendiri sebagai ciptaan-Nya yang tidak sempurna.

****Terima kasih kepada penulis dan pengirim emel yang panjangkan info ini. Moga bermanfaat buat semua....

23 Jun 2010

Temujanji bersemuka di KL pada 8 hingga 12 Julai

Bagi mereka yang berada di Lembah Klang dan berhajat untuk mendapatkan khidmat nasihat secara bersemuka dengan saya, boleh tetapkan temujanji segera.

InsyaAllah, saya akan terima 12 sesi temujanji bersemuka mulai Khamis 9hb hingga Isnin 12hb Julai.

Untuk pengesahan temujanji, anda perlu jelaskan RM50 dan setelah selesai temujanji, bayaran tambahan akan dikenakan antara RM10 hingga RM50 sahaja lagi. Bererti untuk temujanji bersemuka ini, kos adalah antara RM50 hingga RM100 sahaja (termasuk bayaran pengesahan sebelum pertemuan).

Bagi yang berminat, sila bank in RM50 ke akaun Maybank 162209924697 atas nama Suhaiza Ghazali dan SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama penuh anda ke talian 013-2545965 dan maklumkan anda inginkan temujanji bersemuka bersama saya pada tarikh tersebut.

Terima kasih!!

11 Jun 2010

Jenayah seks suami terhadap isteri

1- Boleh puan berikan pandangan mengenai kepincangan dalam hubungan kekeluargaan khususnya dalam kalangan suami isteri hingga ada suami yang sanggup menyimbah asid ke atas isterinya atas sebab menolak ajakan mengadakan hubungan kelamin. Mengapakah kejadian sebegini boleh berlaku dan apakah faktornya?
Jawapan:

Berdasarkan statistik kes keganasan dalam rumahtangga yang terkini daripada Jab. Kebajikan Masyarakat malah statistik perceraian terkini yang dilaporkan oleh JAKIM; sememangnya diakui institusi kekeluargaan khususnya hubungan suami isteri berada di tahap kritikal.

Punca dan sebab yang mewujudkan fenomena sebegini ialah:
1. Kecenderungan dan niat untuk berkahwin tidak tepat
a. Ramai pasangan yang cenderung untuk berkahwin kerana cinta dan seks semata-mata. Bila seks menjadi keutamaan, kegagalan menerima layanan seks menjadikan individu mampu bertindak ganas; seperti mencari nikmat seks di luar, menceraikan pasangan atau memukul malah membunuh.
b. Betul, keperluan seksual adalah antara dalam hikmah sebuah perkahwinan tetapi seks bukan perkara utama. Jika menjadikan seks sebagai tujuan dan niat utama untuk berkahwin; kegagalan menerima layanan seks menjadi punca mudah rumahtangga berantakan.
c. Ada juga yang berkahwin kerana rupa atau harta; apabila harta tiada atau rupa tidak seperti tika mula hati jatuh cinta; perkahwinan akan goyah dan goncang.

2. Kesilapan dalam memahami maksud status seorang suami dan seorang isteri
a. Perkahwinan bukan menjadikan suami seorang raja dan bukan juga menjadikan isteri seorang hamba. Prinsip perkahwinan meletakkan perkahwinan sepatutnya menjadi satu perkara yang membahagiakan bagi kedua-dua pihak; suami dan isteri.
b. Perkahwinan juga bermaksud perkongsian dan toleransi; bukan satu kata putus tanpa perbincangan. Suami diamanahkan sebagai ketua keluarga disebabkan suami dibebankan dengan tanggungjawab yang pelbagai; bukan saja berikan keperluan nafkah, kasih sayang, perhatian malah termasuk juga mendidik isteri dan anak-anak; bukan sebagai kuasa untuk mengarah itu ini, agar isteri patuh tanpa ada ruang langsung untuk isteri memberikan pendapat dan pandangan.
c. Islam mewajibkan isteri patuh dan taat kepada suami tetapi perlulah bertempat. Jika perintah suami berlawanan dengan kehendak syariat; tak perlu ditaati.
3. Kegagalan menjalankan tanggungjawab dan amanah dalam perkahwinan
a. Kedua-dua suami dan isteri mempunyai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Tanggungjawab suami menjadi hak isteri dan tanggungjawab isteri menjadi hak suami. Bila satu pihak gagal menjalankan tanggungjawab yang patut, maka satu pihak lagi tidak menerima hak yang sepatutnya.
b. Berdasarkan kes yang saya pernah kendalikan; keengganan isteri melayani kehendak seks suami adalah berpunca daripada sikap suami sendiri yang gagal dalam menjalankan tanggungjawan yang perlu sebagai seorang suami; gagal dalam pemberian nafkah zahir; gagal dalam menjaga dan membelai hati dan perasaan isteri; bersikap kasar, bengis malah memukul isteri. Seorang isteri yang terluka atau mengalami bebanan perasaan, akan hilang keinginan untuk layanan seks.
4. Kesilapan memahami konsep hubungan seksual suami isteri
a. Ramai yang maklum tentang keperluan dan tanggungjawab isteri untuk melayani kehendak seks seorang suami dan ramai yang lupa bahawa tanggungjawab suami juga untuk memberikan layanan seks kepada isterinya.
b. Pokok asasnya, wanita dan lelaki memang ditakdirkan mempunyai kehendak nafsu syahwat. Lelaki perlukan wanita untuk melampiaskan nafsunya, wanita pula perlukan lelaki untuk melampiaskan nafsunya. Malah, hubungan sejenis adalah diharamkan sama sekali.
c. Bererti, jika benarpun kajian bezanya kehendak nafsu syahwat wanita berbanding lelaki, ia bukan menafikan kehendak para isteri atau menafikan hak isteri untuk mendapatkan kepuasan sepenuhnya daripada suami sendiri.
d. Menurut Anas bin Malik r.a, Rasulullah SAW telah bersabda: “Jika seseseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula.” - hadis riwayat al-Suyuthi.
e. Hadis ini terlalu jarang diketengahkan kepada masyarakat kerana masyarakat lebih maklum dan arif dengan hadis yang meletakkan bebanan tanggungjawab kepada wanita atau isteri semata-mata. Isteri diingatkan; kena layan suami tak kira bila dan di mana sebab hadis cakap, kalau suami minta, atas bonggol unta pun kena layan. Ada hadis cakap, kalau isteri tak layan suami, malaikat akan melaknat si isteri hingga ke pagi. Dua mafhum hadis yang cukup popular dan sering digunapakai. Tapi hadis yang saya nyatakan di atas tadi? Beberapa hadis lain termasuk kisah hidup Rasulullah SAW melayan para isteri, cara menggauli isteri yang sepatutnya dan lain-lain lagi? Kenapa tak nak hazamkan bersama?
f. Matlamat perkahwinan adalah untuk kebahagiaan kedua-dua pihak. Sekiranya hanya satu pihak merasa bahagia sedang satu pihak lagi tertekan menderita, tidak ada gunanya perkahwinan yang dianjurkan oleh Islam. Sama juga di dalam hubungan suami isteri. Ianya untuk kepuasan kedua-dua pihak. Sekiranya si isteri melakukan di dalam keadaan terpaksa, di mana nikmatnya yang Allah janjikan untuk pasangan suami isteri tersebut? Sebab itulah, suami perlu lebih bertolak ansur dan cuba memahami keadaan isteri.
g. Satu persoalan lagi, apakah isteri tetap wajib melayani kehendak batin suami yang sengaja gagal menunaikan tanggungjawab? Hakikatnya, terdapat dua jawapan bagi soalan ini iaitu ya dan tidak!
# Ya - jika suami anda daripada kalangan yang sukar menahan nafsunya dan jika anda tidak melayaninya, membolehkan dia terjebak ke lembah maksiat.
# Tidak - jika anda tahu dan yakin dengan penolakan anda itu tidak menyebabkan suami anda mencari kepuasan di luar.
h. Ingatlah! Jika suami mengarahkan isteri melakukan sesuatu yang bertentangan dengan kehendak syarak, maka tika itu, isteri tidak wajar mentaati suami. Sama juga dengan kehendak batin suami yang sengaja gagal dan tidak bersungguh-sungguh menunaikan tanggungjawab, kehendak suami ini boleh ditolak dan isteri tidak akan berdosa sekiranya menolak permintaan suami. Kenapa? Kerana suami sengaja mengabaikan tanggungjawab. Hadis menyuruh isteri mentaati suami yang betul-betul seorang suami.
Apa maksud betul-betul seorang suami?
Seorang suami yang betul-betul seorang suami ialah seorang suami yang berusaha menunaikan tanggungjawab nafkah zahir dan batin seorang isteri, bukan menunaikan nafkah batin sahaja. Masalahnya, menunaikan kehendak batin tu, bukan memenuhi kehendak isteri sangat sebenarnya tetapi lebih kepada memenuhi kehendak sendiri.
2- Pernahkah puan berdepan kes serupa dan boleh puan kongsikan beberapa insiden yang pernah puan kendalikan sepanjang menjadi perunding psikologi dan peguam syarie?
Jawapan:
Hari ni (10 April 2010) genap 12 tahun saya terlibat dalam mengendalikan kes-kes berkaitan kekeluargaan. Memang banyak kes serupa yang saya terima; antaranya:
1. suami simbah minyak tanah kepada isteri dan bersedia untuk menyalakan api disebabkan suami tak dapat layanan seks daripada isteri yang sedang sarat mengandung dan sedang menunggu hari;
2. suami memaksa dan memukul isteri hingga lebam-lebam semata-mata kerana isteri enggan melayani kehendak seks luar tabie;
3. isteri benarkan suami tidur dengan anak sendiri asalkan diri tidak diceraikan kerana terlalu malu untuk memegang status ibu tunggal buat kali ketiga;
4. kes minggu lepas; suami berikan pilihan kepada isteri sama ada benarkan dia tidur dengan anak tiri (anak isteri dengan isteri pertama) atau cukup benarkannya melihat dan memegang alat sulit anak perempuan berusia 11 tahun tersebut; dan isteri berikan kebenaran untuk melihat dan memegang alat sulit si anak hingga sanggup memaksa anak tersebut;
3- Apakah langkah-langkah yang perlu diambil bagi memulihkan kepincangan dalam sistem kekeluargaan?
Jawapan:
1. Perbetulkan niat tika memasuki gerbang perkahwinana.
Niatkan ikhlas kerana Allah, untuk menjadi seorang suami atau isteri yang bertanggungjawab dalam perkahwinan;

2. Berusaha sedaya upaya untuk menjalankan segala tanggungjawab dalam perkahwinan dan rumahtangga;
Perlu ada tekad, semangat dan usaha serta doa untuk menjalankan segala tanggungjawab tersebut
3. Bersikap toleransi, bekerjasama, amalkan sikap berterus-terang, selalu berbincang dengan pasangan;
Jadikan pasangan sebagai kawan dan juga sahabat di samping seorang pasangan yang ideal dan romantik
4. Pelajari ilmu-ilmu yang berkaitan;
Hubungan suami isteri, komunikasi dan juga keibubapaan
5. Jangan tinggal solat
Kebanyakan kes yang saya kendalikan, punca utama kepincangan berlaku ialah kerana pasangan suami isteri gagal menjalankan tanggungjawab dan amanah kepada Allah; tidak solat, melakukan perkara yang ditegah oleh Allah;b. solat punya rukun dan syarat, perlu pelihara solat beserta rukun dan syaratnya, insyaAllah solat tadi mampu mencegah daripada individu terlibat dalam perkara keji dan tak baik yang memungkinkan wujudkanya masalah dalam rumahtangga.
6. Jangan putus doa
Penting untuk sentiasa berdoa agar rumahtangga sentiasa dalam rahmat dan barakah-Nya, supaya hubungan suami isteri kekal bahagia, supaya rasa kasih dan cinta kekal di hati sendiri dan hati pasangan, supaya masing-masing dapat menjalankan tanggungjawab yang patut dan perlub. Berdoa tak kira masa, bukan saja masa solat dan berdoalah dalam ayat sendiri yang difahami.
****Jawapan di atas disediakan bagi menjawab soalan wartawan akhbar Sinar Harian. Perbincangan ini disiarkan di dalam Laporan Khas akhbar Sinar Harian pada 12hb April 2010

09 Jun 2010

Cinta berbeza usia

1) Kini sudah menjadi trend lelaki berusia berkahwin dengan pasangan muda dan wanita berusia berkahwin dengan lelaki muda. Adakah trend seperti ini boleh menjamin kebahagiaan yang berkekalan atau sebaliknya?
Jawapan:
Wujudnya trend baru ni mungkin disebabkan fobia dengan kes-kes rumahtangga yang berantakan bila perkahwinan libatkan pasangan seusia. Hakikatnya, bukan umur penentu kebahagiaan. Sebaya atau lebih tua atau lebih muda tak penting.

Yang penting ialah mempunyai pengetahuan dalam ilmu-ilmu perkahwinan, rumahtangga, suami isteri dan berusaha untuk mengamalkan ilmu-ilmu yang dipelajari. Kalau masing-masing sedar, faham dan berusaha menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya, perkahwinan akan bahagia walaupun mempunyai umur yang berbeza.

2) Boleh puan berikan beberapa tips bagaimana hubungan sebegini dapat diteruskan dengan jayanya?
Jawapan:
Tips utama; jalankan tanggungjawab yang sepatutnya. Suami ada tanggungjawab yang menjadi hak isteri. Isteri pula mempunyai tanggungjawab yang menjadi hak suami. Bila setiap individu jalankan peranan dan tanggungjawab yang perlu, keserasian akan wujud dan kebahagiaan akan dicapai.

Tips kedua; sedar siapa anda? Maksudnya, kalau anda suami, bersikap dan berperananlah sebagai suami walaupun usia anda lebih muda. Kalau anda sebagai isteri, bersikap dan berperananlah sebagai isteri walaupun anda lebih tua daripada suami.

Tips ketiga; simpan kemas dalam minda, pasangan anda adalah isteri atau suami anda, bukan adik atau abang atau kakak atau anak. Bermaksud, anda perlu layan pasangan anda selayaknya sebagai pasangan. Berkongsi suka, duka, masalah, cerita dan lain-lain. Anda boleh berkawan dengan pasangan tetapi tak boleh jadikan pasangan anda sebagai saudara atau anak anda.

Tips keempat; terima kelebihan dan kelemahan pasangan. Jika pasangan anda lebih muda atau lebih tua, selalunya tabiat dan minat berbeza. Anda perlu terima perbezaan tersebut sebagai kelebihan atau kelemahan yang tersendiri. Kecuali tabiat dan minat yang negatif, berusahalah untuk mengubahnya secara perlahan-lahan. Jangan bandingkan diri anda dan dia untuk mencari perbezaan sebaliknya usahakan untuk mencari keserasian dalam minat yang berbeza tersebut. Kebahagiaan bukan terletak pada persamaan tetapi keserasian.

Tips kelima; jangan jadikan umur sebagai alasan walau dalam apa juga perkara. Mungkin pasangan anda terlupa dan lupa itu tak boleh dikaitkan dengan usianya yang lebih tua atau menyindir usianya yang muda tetapi mudah lupa. Usia cuma angka yang tak berikan apa-apa manfaat dalam hubungan anda. Biar usia muda tetapi jika bertindak matang, itu lebih baik daripada usia tua tetapi bersikap sebaliknya.

3) Apa kriteria yang perlu ada dalam diri mereka yang terlibat dalam hubungan cinta sebegini?
Jawapan:
Kriteria paling penting ialah ikhlas. Perlu ikhlas tika menerimanya sebagai pasangan, bukan terima sebab rupa atau harta atau lain-lain. Ikhlas terima dia seadanya, terima kelebihan dan kelemahannya juga. Perlu juga bersikap sabar. Beza usia memungkinkan pelbagai perbezaan lain yang berkaitan. Maka, sabar penting bagi memastikan setiap perbezaan yang wujud dapat diatasi sebaiknya.

Perlu juga bersikap sentiasa bersemangat untuk terus belajar sebab anda perlu lebih banyak belajar untuk mengenali pasangan anda dan tidak boleh mudah putus asa. Anda tak perlu jadikan pasangan anda seperti anda tetapi anda boleh sebatikan diri anda bersamanya agar lebih mudah untuk berkomunikasi.

Tak boleh cepat melenting atau marah walaupun anda lebih berusia. Berapa pun usia anda, anda tetap seorang suami atau isteri yang perlu berbincang dan mencari jalan keluar bagi setiap masalah yang berlaku. Jangan mencari siapa yang salah sebaliknya carilah kesilapan dan kesalahan kemudian usahakan jalan penyelesaian bersama-sama.

Paling utama; sentiasa berdoa agar kasih sayang pasangan kekal di hati dan hubungan diberkati.

****Persoalan ini saya jawab bagi memenuhi kehendak wartawan akhbar Kosmo! siaran pada April 2010.

06 Jun 2010

Semanis Kurma 3 Jun


Kenangan bersama Azizah (Penerbit Semanis Kurma), hos tetap rancangan Semanis Kurma; Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood & Ustaz Wan Akashah; juga Iron Lady Datuk Maznah Abdul Hamid...

Tanda lelaki tak mahu komitmen

Komitmen merupakan satu perkara penting dalam hubungan; sama ada sebelum perkahwinan apatah lagi semasa dalam tempoh perkahwinan. Malah, ada tikanya komitmen masih perlu selepas berlakunya pembubaran perkahwinan terutamanya bagi perkara yang berkaitan dengan kemaslahatan dan kebajikan anak-anak. Masalah yang berlaku ialah sukarnya bagi seorang gadis (bagi yang belum berkahwin) atau isteri juga bekas isteri menentukan sama ada pasangannya atau bekas pasangannya itu memberikan komitmen yang sewajarnya atau sebaliknya.

Terdapat enam tanda utama seseorang itu enggan memberikan komitmen iaitu:
1. Suka mengelak
2. Memberi alasan
3. Mencari salah pasangan
4. Tidak berikan kerjasama
5. Sukar dihubungi
6. Tiada komunikasi

Suka mengelak
Jika pasangan anda suka mengelak; sama ada daripada memperkatakan tentang hubungan anda atau tentang halatuju perkahwinan anda atau tentang apa jua perkara yang berkaitan dengan hubungan kalian, itu tandanya dia tidak berminat lagi untuk meneruskan komitmen terhadap hubungan anda berdua.

Mengelak boleh berlaku dalam banyak keadaan; dia boleh tidak berterus terang; juga mencari jalan agar membincangkan perkara lain yang tidak berkaitan dengan hubungan anda atau menukar tajuk perbincangan tentang hubungan anda yang telah anda mulakan malah dia juga boleh mendiamkan diri.

Memberi alasan
Individu yang tidak mahu berikan komitmen juga akan mudah memberi alasan bila diajukan persoalan atau perbincangan mengenai hubungan anda bersamanya. Sebagai contoh; jika anda merancang untuk berkahwin; si dia akan memberi alasan demi alasan untuk tidak mengusahakan rancangan perkahwinan anda itu. Sekiranya anda telah berkahwin pula dan si dia berusaha memberikan pelbagai alasan untuk tidak meluangkan masa bersama anda.

Mencari salah pasangan
Ada tikanya pula; individu yang enggan berikan komitmen akan sengaja mencari malah mereka-reka salah pasangan. Mereka akan bersikap agresif; menyalahkan pasangan walau hanya atas alasan yang remeh dan dalam sesetengah keadaan akan memanipulasi keadaan persekitaran hingga mewujudkan rasa bersalah yang tinggi kepada pasangan dan pengakuan bersalah pasangan menjadi batu loncatan buat mereka bagi menamatkan perhubungan.

Tidak berikan kerjasama
Individu yang tidak mahukan komitmen juga akan bersikap tidak bekerjasama. Mereka mungkin mengaku akan lakukan sesuatu yang dihajati oleh pasangan tetapi akhirnya pengakuan hanya tinggal pengakuan dan hajat pasangan akan dibiarkan tanpa sebarang pelaksanaan. Individu ini juga akan bersikap tidak peduli dengan kehendak pasangan; biar dipujuk atau dirayu; mereka akan membatukan diri, bersikap selamba malah bersikap memekakkan telinga.

Sukar dihubungi
Individu yang tidak mahukan komitmen juga sukar untuk dihubungi. Malah selalunya mereka akan bersikap mendiamkan diri, tidak akan menghubungi anda kecuali dihubungi dan ada tikanya tidak melayani panggilan anda. Dalam perkahwinan pula, mereka akan bersikap menyendiri dan membiarkan pasangan bercakap sendiri.

Tiada komunikasi
Mereka yang tidak mahukan komitmen juga bersikap menafikan sebarang bentuk komunikasi dengan anda. Komunikasi bukan saja wujud dalam perbualan sebaliknya juga melalui bahasa tubuh iaitu sikap, perlakuan malah memek muka. Penampilan wajah yang tidak ceria atau masam tika bersama pasangan, tanpa apa-apa penjelasan atau alasan yang wajar; menjadi tanda dia tidak mahukan komitmen bersama anda.

****Perbincangan saya di dalam akhbar Kosmo! bertarikh 21hb Mei 2010

02 Jun 2010

Khamis 3 Jun di TV1 dan TV9

Bersama dengan saya esok, Khamis 3hb Jun:

1. Jam 9am:
Rancangan: Selamat Pagi Malaysia TV1
Topik: Manfaat Cuti Bersama Anak-anak

2. Jam 10pm:
Rancangan: Semanis Kurma TV9
Topik: Isteri Over Power

Terima kasih!