27 Mei 2012

Dilema suami berkehendakkan cahayamata

"Saya dan isteri mendirikan rumah tangga sejak 8 tahun yang lalu. 3 tahun pertama, kami berusaha mendapatkan cahaya mata. Malangnya, isteri disahkan tidak mampu hamil seperti wanita normal lain. Kini, kami kesunyian tanpa hilai tawa si kecil. Saya begitu menginginkan zuriat sendiri dan bukannya anak angkat. Apa harus saya lakukan agar tidak melukakan perasaan isteri yang amat saya cintai?"

JAWAPAN:

Antara hikmah disyariatkan perkahwinan ialah untuk mengembangkan keturunan melalui kelahiran zuriat daripada hasil perkahwinan. Jarang sangat pasangan yang mendirikan rumahtangga tidak punyai hasrat untuk mempunyai zuriat. Hampir semua pasangan inginkan cahayamata di dalam perkahwinan mereka. Saya percaya, bukan sahaja tuan yang merasa sepi dan sunyi tanpa tangisan dan ketawa si kecil. Isteri tuan juga pasti mempunyai rasa yang sama.

Perkara paling penting untuk tuan lakukan ialah fahami emosi isteri terlebih dahulu. Tidak boleh mengandung dan melahirkan adalah satu musibah paling besar bagi seorang wanita. Emosinya pasti terluka dengan kehendak-Nya tapi terpaksa terima dan redha. Sebagai seorang wanita, isteri tuan pasti ingin berikan tuan anak yang dikandung dan dilahirkannya sendiri. Takdir mengatasi segala dan sebagai hamba, mana mungkin isteri tuan melawan ketentuan-Nya. Cara paling baik, tunjukkan keinginan tuan untuk mempunyai anak secara perlahan-lahan. Sebagai contoh, jika tuan dan isteri keluar bersama-sama dan terserempak dengan pasangan yang berjalan bersama bayi mereka, tuan berlakon seolah-oleh teruja memerhatikan pasangan tersebut. Ambil sedikit masa hingga isteri perasan sikap tuan dan segera tersedar atau jika isteri yang sedarkan, cepat-cepat pegang erat atau peluklah isteri tuan. Sama juga jika tuan menyaksikan drama atau foto bayi. Tuan boleh tunjukkan minat yang mendalam dan bila isteri tersedar, segera tonjolkan sikap romantik tanda kasih tidak belah bahagi tuan kepada isteri.  

Sikap tuan tersebut akan difahami oleh isteri sebagai keinginan dan hasrat tuan yang tinggi untuk mempunyai anak. Isteri akan simpati dan rasa serba salah. Simpati sebab memahami keinginan tuan dan serba salah sebab tidak berupaya tunaikan hasrat tuan tetapi tuan masih tetap menyayanginya sepenuh hati. InsyaAllah, tiba satu masa isteri tuan sendiri akan luahkan keizinan untuk tuan berkahwin lagi bagi menunaikan impian tuan memiliki zuriat sendiri. Jika perkara tersebut berlaku, jangan segera bersetuju tetapi jangan pula menolak. Sebaiknya ajukan kepada isteri sama ada dia benar-benar memaksudkan kata-katanya itu. Bila isteri mengaku, peluklah isteri tuan dan luahkan kasih sayang tuan yang tidak berbelah bahagi kepadanya. Ucapkan juga terima kasih atas sikapnya yang memahami dan berjanjilah dengan ikhlas (bukan lakonan ye) untuk sentiasa menyayangi dan menyintainya hingga ke akhir hayat.

Nampak seakan sebuah cerekarama kan? Jangan ketawa! Tidak mustahil perkara sebegini boleh berlaku. Skrip drama sendiri sebenarnya banyak berpandukan kisah-kisah benar yang berlaku. Andai jalan cerita tuan tidak seperti olahan skrip yang saya kemukakan di awal tadi, maksud saya isteri tuan tidak ambil kisah dengan keterujaan tuan itu, tuan sendiri perlu bertindak selepas memberikan satu tempoh peluang kepada isteri. Bawalah isteri tuan bercuti atau paling tidak, keluar makan ke tempat istimewa kemudian luahkan hasrat sebenar tuan secara baik dan berhikmah. Pokok utama perbincangan ialah isu keinginan tuan untuk memiliki zuriat sendiri bagi meneruskan kelangsungan warisan keturunan tuan.

Dalam jalan cerita seperti ini, isteri tuan pasti akan bangkitkan isu ketidak upayaannya yang bukan pilihan atau kehendaknya dan pastinya juga isteri tuan akan meminta tuan memahaminya. Tika ini, tuan perlu jadi suami yang paling romantik dan luahkanlah pemahaman tuan tetapi luahkan juga, tuan turut mengharapkan agar isteri tuan memahami kehendak tuan. Cakaplah penuh hikmah! Jangan utamakan perkara kahwin lagi sebaliknya fokus adalah untuk dapatkan zuriat daripada darah daging sendiri. Saya cadangkan, berikan peluang kepada isteri untuk menentukan bakal madunya sendiri. Jika isteri diberikan tugasan tersebut, dia akan lebih percaya niat tuan bukan berkahwin lagi tetapi demi cahayamata. Jika kata sepakat telah dibuat, tuan perlu fahamkan bakal isteri baru, dia dipilih demi satu hasrat iaitu untuk kelangsungan keturunan dan jika dia mampu memberikan zuriat kepada tuan, bukan bererti dia lebih istimewa. Perlu fahamkan perkara tersebut agar isteri tuan sekarang tidak rasa rendah diri dan terus makan hati.

Tuan juga perlu bersedia dari segi emosi, fizikal dan kewangan untuk mempunyai seorang lagi isteri. Bermadu tidak manis dan tidak pula pahit andai tuan sebagai ketua keluarga mampu mengemudi kedua-dua bahtera rumahtangga dengan baik. Kedua-dua isteri mempunyai kedudukan yang sama, langsung tiada beza biarpun yang pertama tidak berupaya memberikan anak kepada tuan. Tidak mampu mengandung dan melahirkan adalah kelemahan yang tidak mampu dibaikpulih oleh isteri lantas itu bukan kesilapannya yang boleh dijadikan sebagai senjata untuk menjatuhkan nilai dirinya di sisi tuan. Pastinya isteri tuan kini mempunyai keistimewaan yang tersendiri yang hanya tuan tahu dan fahami. Perlu akui hakikat tersebut.

Seperkara; segala yang berlaku dan bakal berlaku adalah dengan ketentuan Allah belaka. Sebagai manusia, keupayaan seorang doktor juga terhad sebaliknya kuasa Allah mengatasi segala. Tidak mustahil, biar disahkan tidak mampu hamil tetapi dengan kehendak-Nya isteri tuan masih boleh hamil. Keajaiban itu bukan sesuatu yang mustahil bagi-Nya. Malah, tiada jaminan bakal isteri tuan nanti mampu untuk berikan zuriat kepada tuan. Buatnya bakal isteri hadapi masalah serupa dengan isteri kini? Nak kawin lagi dan lagi? Saya bukan menghalang poligami tetapi saya mohon agar dalam melaksanakan sesuatu keputusan, jangan letakkan emosi di takhta teratas. Berfikirlah secara waras dan matang dan paling penting, berserah sepenuhnya kepada Allah dalam menentukan sesuatu keputusan yang terbaik untuk masa depan tuan dan isteri. Percayalah! Pasti ada hikmahnya hingga kini tuan masih belum menjadi bapa dan isteri belum menjadi ibu. Berdoalah! Andai mempunyai anak adalah yang terbaik untuk masa depan tuan dan isteri, izinkanlah isteri tuan hamil atau jika bukan takdir-Nya zuriat tuan daripada isteri kini, lapangkanlah hati isteri untuk berikan izin tuan berkahwin lagi dan kurniakanlah zuriat daripada isteri yang baru nanti.

Sentiasa mendoakan untuk dapatkan yang terbaik daripada-Nya. Bila Dia belum makbulkan, pasti ada ketentuan-Nya yang lebih baik untuk tuan dan isteri. Percayalah!! Jangan sangka kelahiran anak semuanya menjadi penyeri rumahtangga kerana ada kes saya, perkahwinan bahagia 12 tahun berakhir setelah anak lahir. Setiap perkara bersebab dan berhikmah! Percayalah!!!

**** Soalan Dilema Perkahwinan, Pa&Ma, Jun 2011.
**** Boleh amalkan doa Nabi Zakaria: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan aku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat); dan Engkau jua sebaik-baik yang mewarisi.” – surah al-Anbiya’ ayat 89."