02 April 2012

Suami cerewet

Dilema Perkahwinan Pa&Ma, Mei 2011:

Suami saya yang dikahwini sejak 5 tahun dahulu tergolong sebagai seorang yang cerewet. Tidak terkecuali, dia turut cerewet dalam soal makan. Dia selalu melenting jika masakan saya tidak kena dengan seleranya. Saya sudah sedaya upaya berusaha memenuhi seleranya termasuk mengikuti kelas masakan tetapi sikapnya masih sama. Apa lagi yang harus saya lakukan?

JAWAPAN:

Mempunyai suami yang cerewet bukan takdir semua isteri tetapi hanya kepada sebahagian kecil sahaja. Sebabnya, makhluk Allah bernama lelaki ini sinonim dengan tidak bercakap banyak kerana lebih suka memendam rasa. Biarpun itu fitrahnya, sudah namanya manusia yang mempunyai satu persamaan besar iaitu berbeza dengan orang lain, sikap cerewet seorang suami bukanlah perkara yang luar biasa malah bukan juga bebanan yang berat, insyaAllah!!

Pertama sekali, puan masih perlu rasa bersyukur kerana mempunyai suami yang cerewet. Kenapa perlu bersyukur? Sebabnya puan berpeluang mengetahui segala isi hatinya yang tidak puas hati dengan tindakan puan. Ramai isteri yang mempunyai suami yang diam dan tidak memberi sebarang maklumbalas dalam apa juga tindakan malah masakan isteri hinggakan isteri tidak tahu kesilapan atau kelemahan sendiri. Isteri hanya tahu ada yang tidak kena selepas cinta suami beralih arah kerana kononnya ada orang lain yang lebih memahami kehendak dan selera si suami.

Saya juga ucapkan tahniah kerana puan telah berusaha untuk memenuhi kehendak suami. Jangan putus asa biarpun usaha nampak seperti tidak berbaloi kerana sikap suami masih masa. Bagi menangani situasi yang masih sama ini, puan perlu kembali ke titik mula. Puan perlu tahu kehendak dan selera suami. Makanan kegemarannya, jenis hidangan kesukaannya dan bentuk hidangan tersebut. Sebagai contoh, jika suami gemarkan bihun goreng, mungkin dia tak suka yang terlalu pedas atau terlalu basah. Puan perlu dalami ilmu selera suami dengan lebih mendalam lagi sebagai usaha pertama untuk menyediakan hidangan mengikut kehendaknya.

Dalam tempoh perkahwinan telah mencapai usia lima tahun, mungkin puan akan menghadapi masalah untuk bertanyakan kepada suami sendiri berkaitan seleranya. Ya lah! Selalunya suami akan bising; sudah lebih lima tahun berkahwin takkan tak boleh nak faham suami lagi! Selalunya itulah komentarnya. Jangan putus asa! Jangan patah semangat. Amalkan untuk berbincang dengan suami apabila merancang untuk menyediakan hidangan. Sebagai contoh, rancang menu masakan anda sepanjang seminggu pada tiap-tiap hujung minggu. Ajak suami dan anak-anak berbincang sama-sama. Minta suami cadangkan menu kegemarannya dan tika suami meluahkan seleranya itu, soallah dengan lebih lanjut lagi mengenai masakan tersebut secara berhikmah.

Katakanlah suami minta anda masakkan ayam masak lemak. Tanyalah, abang (atau apa saja panggilan anda) nak lebih cili tak? Atau nak campur dengan rebung ke? Atau apa saja soalan yang boleh dikaitkan untuk memancing selera suami. bertanya dalam keadaan yang tenang dan muka yang ceria. Jangan bertanya seperti sedang menyoal siasat kes jenayah. Saya akui memang perlukan banyak proses dan kerja tetapi ini adalah sebagai satu cara untuk puan lebih memahami kehendak dan selera suami. Jangan terkejut jika seleranya berubah. Kalau biasanya suami sukakan ayam masak lemak dicampur dengan rebung, tidak mustahil untuk masa akan datang, suami sukakan masak lemak ayam semata tanpa dicampur dengan rebung. Sebab itulah, jalan terbaik, minta suami merancang sendiri untuk menu pilihannya.

Bagi memahami selera suami yang sebenarnya juga, puan perlu berguru dengan ibunya iaitu ibu mertua puan. Puan perlu ingat, suami dibesarkan oleh ibunya. Sejak kecil, suami diberi makan daripada air tangan ibunya maka ibunya lah guru terbaik untuk puan mengetahui dan memahami kehendak dan selera si suami. Lantas, berjumpa dan bertanyalah kepada ibu mertua puan. Puan bukan saja perlu tahu selera suami tetapi puan perlu belajar cara ibu mertua puan menyediakan hidangan. Bukan saja suami puan tetapi hampir setiap insan tak kiralah lelaki atau perempuan, hidangan mula menyentuh tekaknya bermula daripada air tangan ibunya sendiri dan dengan air tangan yang sama jugalah individu tersebut membesar maka jangan terasa atau berkecil hati jika masakan si ibu lebih menjadi pilihan.

Belajarlah dengan ibu mertua mengenai setiap hidangan yang biasanya ibu mertua puan sediakan. Jangan bimbang puan diperlekehkan dengan kata-kata tidak pandai memasak. Tidak mustahil kata-kata tersebut akan singgah ke telinga puan tetapi bersabarlah!!! Ingat matlamat puan; cuba memenuhi selera suami agar kasih sayang suami isteri lebih harmoni. Jika ibu mertua tiada lagi, bertanyalah kepada saudara kandungnya atau sesiapa sahaja yang boleh berikan info serupa.

Satu perkara yang perlu puan maklumi juga, hidangan yang puan sediakan untuk memenuhi selera suami perlulah berasal daripada suami puan. Maksud saya, suami perlu sediakan setiap barangan yang akan digunakan bagi menyediakan hidangan bagi memenuhi seleranya ataupun memadai dengan memberikan wang yang cukup bagi membeli barangan tersebut. Jika suami hanya pandai mengkritik tetapi gagal menyediakan peruntukan bagi memenuhi setiap seleranya itu, puan tidak diwajibkan untuk memasak atau menyediakan hidangan untuk suami.

Perlu diingat! Kalau dilihat kepada tanggungjawab seorang isteri yang disenaraikan menurut tuntutan syariat, tidak tertulis pun bahawa seorang isteri perlu memasak untuk suami. Tanggungjawab dan kewajipan seorang isteri adalah untuk melayan suami pada setiap masa dan ketika. Diriwayatkan di dalam satu kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w: seorang wanita menunggu kepulangan suaminya ke rumah dalam keadaan dirinya berpakaian yang boleh menimbulkan keinginan suami untuk melakukan hubungan kelamin. Dijelaskan juga bahawa Rasulullah berpesan kepada para suami yang keluar dari rumah dan berjumpa dengan mana-mana wanita agar segera pulang untuk ‘bersama’ dengan isteri. Kenapa? Kerana lelaki mempunyai keinginan yang satu dan kuat dan menjadi tugas serta tanggungjawab isteri untuk melayani keinginan suami.

Ulamak juga pernah menjelaskan bahawa menjadi kewajipan seorang suami yang berkemampuan untuk menyediakan pembantu rumah kepada isterinya bagi membantu menguruskan kerja-kerja rumahtangga malah menjadi WAJIB jika isterinya itu memang berasal daripada keluarga yang sememangnya mempunyai pembantu rumah. Diriwayatkan juga bahawa Rasulullah s.a.w bertindak menjahit pakaiannya sendiri malah baginda juga turut menyusun kasut. Semua huraian dan penerangan ini menjelaskan bahawa memasak atau mengemas rumah bukanlah tugasan dan tanggungjawab isteri. Dalam erti kata lain, seorang isteri tidak boleh dimarahi atau dicaci maki sesuka hati jika gagal memenuhi kehendak dan selera si suami.

Namun, seperti yang selalu saya jelaskan: peranan, tugas dan tanggungjawab seorang isteri adalah untuk menjaga kebajikan suaminya. Maka adalah menjadi SATU BONUS JIKA ISTERI SENDIRI YANG MEMASAK atau mengemas rumah sendiri. Saya pernah jelaskan, tangan wanita mempunyai rahsia yang tersendiri dan yang paling penting, air tangan wanita mampu menambat kasih sayang seorang lelaki. Saya teringat pesanan Mak saya, walau sesibuk mana pun, usahakanlah juga untuk menyediakan sendiri hidangan untuk suami kerana kasih suami akan bertambah dan ‘melekat’ jika perutnya sentiasa di isi dengan hasil air tangan isteri. Secara logiknya juga, kasih suami akan bertambah jika isteri bijak menguruskan rumahtangga, menghias persekitaran dan mampu menyediakan hidangan yang lazat dan menyelerakan. Saya pernah mengendalikan kes seorang lelaki yang kembali mencari isteri pertama yang telah diceraikan gara-gara mengikut kehendak isteri kedua yang lebih muda dan cantik, dengan alasan isteri pertamanya bijak membaca selera makannya dan pandai menyediakan hidangan yang lazat untuk dirinya.

Namun, perlu diingat! Walaupun memasak dan mengemas rumah menjadi bonus kepada isteri untuk terus menawan hati suami bukan bererti isteri perlu melakukan segalanya bagai hamba. Penat di pejabat belum habis, dah perlu mengadap urusan di rumah sedangkan suami memanjakan diri di depan televisyen atau menghitung huruf di muka akhbar. Perkara sebegini TIDAK WAJAR BERLAKU. Kerja-kerja rumah PERLU DILAKUKAN BERSAMA-SAMA ataupun lakukanlah pembahagian tugas.

Paling penting juga; jika suami telah menyediakan segala keperluan untuk memasak kemudian mengarahkan isteri memasak, isteri wajib memasak dan tika ini, keengganan isteri memasak boleh disabitkan sebagai nusyuz. Nauzubillah!!