DILEMA PERKAHWINAN PA&MA FEBRUARI 2011
Saya dan suami tidak lagi sehaluan. Saya syak suami ada perempuan lain memandangkan dia tidak lagi ambil tahu tentang kami sekeluarga terutama anak tunggal kami. Anak kami memang manja dengan dia. Sekarang saya tidak tahu sama ada mahu memohon cerai ataupun tidak kerana bimbangkan anak kami yang sangat rapat dengannya. Apa-apa pun saya memang tak ada hati lagi padanya. Yang buat saya bertahan adalah kerana anak. Saya rasa saya boleh hidup tanpa lelaki sebab itu belum memohon cerai.
JAWAPAN:
Sebelum saya berikan jawapan kepada persoalan puan, saya nak kongsikan satu maksud firman Allah SWT dalam ayat 12 surah al-Hujurat: "Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”
Maaf jika puan terasa hati tetapi saya perlu nyatakan juga; puan terlalu mudah cemburu dan mudah bersangka buruk terhadap suami. Sikap seperti ini bukan saja tidak baik untuk rumahtangga malah tidak baik untuk kehidupan puan sendiri. Kenapa saya labelkan puan sedemikian? Pertama: puan dengan senang menuduh suami mempunyai perempuan lain disebabkan suami tidak lagi mengambil berat mengenai puan dan anak. Kedua: puan dengan senang membuang suami daripada hati puan hanya kerana sangkaan yang masih belum pasti kebenarannya.
Puan dan para pembaca yang dihormati; hidup kita adalah ujian. Bahagia, derita, berjaya, gagal, miskin atau kaya; semua itu adalah ujian untuk kita hadapi dengan tenang dan sabar di samping usaha dan doa serta tawakkal kepada-NYA. Puan sedang diuji oleh Allah dengan sikap suami yang tidak lagi pedulikan hal keluarga; tidak endahkan isteri dan anak. Namun tidak bererti ketidakpedulian tersebut adalah tanda cinta suami beralih arah.
Sepatutnya puan berusaha dapatkan penjelasan mengenai perubahan sikap tersebut. Soal dan berbincanglah dengan suami secara baik; apakah yang mengganggunya hingga dia berubah sikap? Tak semestinya wanita yang jadikan dia sebegitu. Mungkin ada gangguan kerjaya atau mungkin juga ada penyakit bahaya yang dialaminya lantas bagi mengelakkan rasa kehilangan, dia ‘hilangkan’ diri terlebih dahulu. Sebaiknya dapatkan kepastian; bukannya hanya dengan syak dan sangkaan.
Jika benar suami punya wanita lain; kenapa perlu mengalah begitu sahaja? Puan adalah isterinya. Puan ada anak bersamanya. Sepatutnya puan berusaha untuk terus memenangi hati suami puan. Koreksi diri apakah punca dan sebabnya suami berpusing arah? Tak semestinya 100% salah suami atau wanita kekasih baru suami. Kita manusia yang tak sunyi daripada kesilapan dan kelemahan. Muhasabah diri dan usahakan untuk menjadi yang lebih baik. Jika masih belum temui jawapannya; mohon kerjasama suami untuk berterus terang dengan puan.
Puan boleh praktikkan amalan menulis pengakuan ikhlas. Mohon suami luahkan segala isi hatinya berkaitan puan termasuk sikap yang dia tak senang dengan puan dan perubahan sikap yang dia inginkan daripada puan. Puan juga lakukan perkara yang sama; luahkan segala ketidakpuasan hati puan dengan sikap suami dan jelaskan kehendak dan impian puan berkaitan suami. Perlu usahakan untuk menyelamatkan hubungan perkahwinan yang ada. Bukan hanya kerana anak tetapi kerana akad nikah dan persetujuan puan untuk hidup bersama suami sebagai isterinya dulu adalah satu perjanjian dan amanah yang perlu dipelihara dan dipertahankan.
Bukan dengan terus mengibarkan bendera putih. Mudah sungguh puan memadam cinta. Terus terang; sikap terlalu ambil mudah puan ini menimbulkan keraguan saya terhadap pengakuan puan ini. Fitrah wanita atau isteri; takkan mudah melepaskan hak miliknya kepada orang lain begitu saja. Hanya dengan syak wasangka, puan mengambil keputusan untuk berpisah. Boleh berikan saya pengakuan ikhlas; bukan suami yang punya cinta baru sebaliknya puan yang ada cinta baru, betul??!
Saya mohon maaf andai telahan saya ini salah. Seperti yang saya jelaskan; puan bersikap tidak seperti fitrah seorang wanita yang akan berjuang pertahankan haknya yang selalunya dirasakan hak mutlak. Mungkin pengakuan puan menerusi soalan ini tidak lengkap namun seperti yang saya terangkan pada awal jawapan ini tadi; puan sedang diuji dan ujian Allah pasti mempunyai alasan dan hikmah yang tersendiri. Hikmah bukan musibah sebaliknya anugerah dengan syarat usahakan dengan sedaya upaya tanpa menyerah kalah dengan mudah atau putus asa.
Namun; andai benar telahan saya ini; saya mohon agar puan usahakan untuk membersihkan hati puan. Saya faham kita adalah manusia biasa; tak kira lelaki atau wanita; suami atau isteri pasti akan ada kasih yang hilang bila kasih tersebut tidak lagi dibaja dan disiram. Namun sebagai isteri; kita tidak sama dengan suami. Syariat tentukan haram bagi isteri untuk menyimpan rasa kasih atau suka kepada lelaki lain selain suami walaupun si suami bersikap setanding syaitan. Jika suami memang jenis jahat; usahakan untuk mengubah dirinya. Betullah ada ayat yang jelaskan lelaki baik untuk wanita yang baik, begitu juga sebaliknya. Namun, bila Allah tentukan dia adalah jodoh kita, bererti Allah punya perancangannya yang tersendiri. Mungkin hanya kita yang boleh mengubah suami dengan izin Allah. Yang penting; usaha dan doa!!
Saya faham puan boleh hidup sendiri tanpa suami. Memang kita tak perlu harapkan orang lain di dalam hidup sebab kita ada Allah untuk diharapkan tetapi kita masih perlukan insan lain untuk kehidupan normal seorang manusia. Jika suami bukan seperti yang puan sangkakan, puan bakal menyesal di belakang hari nanti. Tika lelaki yang baik semakin kurang sekarang ini, puan pasti akan dihantui rasa bersalah kerana memohon cerai atas alasan dan sebab yang tidak pasti dan lebih malang, bila dipastikan; telahan puan adalah tidak benar. Lantas, pastikan dulu dan jika benar; usahakan jalan penyelesaian.
Tika berusaha untuk selamatkan hubungan perkahwinan, jangan simpan niat berusaha demi untuk anak semata. Sebaliknya perlu niatkan untuk kebahagiaan dan kesejahteraan puan, suami dan anak bersama. Jika niatkan kerana anak, insyaAllah, DIA akan izinkan perkahwinan puan kekal tetapi puan tetap takkan bahagia. Apa guna kekal dalam perkahwinan sebegitu? Sebab itulah, ikhlaskan hati dan niatkan untuk mencapai kebahagiaan bersama.
Di samping berusaha; pastikan puan mendirikan solat dan berdoa mohon yang terbaik daripada-NYA!! Ingat! Jangan pertikai kerja Allah! Terus berdoa tanpa putus asa kerana itu kerja kita. Kalau doa cepat dimakbulkan, tanda DIA sayang. Bila doa lambat dimakbulkan, tanda DIA rindu dan kasihkan kita dan inginkan agar kita sentiasa berdoa penuh rayuan kepada-NYA. Bila doa kita tidak dimakbulkan, tandanya DIA punya perancangan yang lebih baik utk kita. Percaya dan yakinlah!!
Hidup bukan satu perhitungan; bagi tentukan siapa kalah atau menang. Hidup juga bukan satu perjudian; sekadar menunggu dan menanti apa pula yang akan terjadi. Sebaliknya hidup adalah satu perjuangan. Perjuangan pertahankan hak sendiri; perjuangan laksanakan hak orang lain; perjuangan mencipta bahagia diri dan paling penting, perjuangan jalankan segala amanah dan tanggungjawab yang telah ditetapkan; tak kira siapa pun kita kerana kita semua adalah hamba-Nya. Moga DIA mudahkan segala yang terbaik untuk kehidupan puan, suami dan anak di dunia dan di akhirat, amiiiinnnn!!