28 April 2008

Isteri adalah amanah dari ALLAH

Mat tidak pernah membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah. Malah dia sering bersungut sendirian kerana telah merasa bosan setiap hari pergi kerja, sedangkan Nab isterinya hanya tinggal di rumah. Kalau boleh, dia mahu isterinya tahu betapa penat dan letihnya dia bekerja setiap hari untuk menanggung keluarga.

Satu malam ~~~~ Mat berdoa,'Ya Tuhanku. Aku bekerja 8 jam sehari sedangkan isteriku hanya tinggal di rumah bersama anak-anak. Aku mahu supaya dia tahu betapa letihnya aku bekerja setiap hari. Tolonglah ya Tuhan, tukarkanlah aku dan isteriku. Biar aku yang menjadi isteri untuk sehari sahaja supaya dia pula dapat merasakan betapa letihnya aku bekerja. Biar aku pula yang berehat di rumah.

Tuhan Yang Maha Mengetahui telah mengkabulkan permintaan Mat. Pagi besoknya, ia bangun dari tidur, dan pastinya sebagai seorang isteri. Bangun saja dari tidur, dia ber gegas ke bilik air, cuci gigi dan terus ke dapur menyediakan sarapan untuk suami dan anak-anak. Pastu bangunkan anak-anak dan melayan mereka bersarapan, pada masa yang sama melayan suami bersarapan. Pastu menghantar suami yang nak pergi kerja ke pintu, kembali membetulkan baju anak-anak yang nak ke sekolah dan menyediakan air yang anak-anak nak bawa ke sekolah. Pastu panaskan injin kereta dan bergegas hantar anak-anak ke sekolah. Balik dari sekolah terus ke pasar untuk membeli ikan dan keperluan dapur yang lain. Dekat dua jam baru sampai balik ke rumah. Simpan barang-barang dapur ke dalam almari dapur dan ikan simpan dulu dalam peti ais.

Kemudian kutip kain busuk untuk dicuci dengan mesin sehingga selesai dan dijemur. Pastu baru mula memasak untuk anak-anak yang akan balik sekolah nanti. Selesai masak, jam dah pukul 12.45 tengahari. Terpaksa pula bergegas ambil anak dari sekolah. Selesai ambil anak, beri pula mereka makan sebelum mengatur anak-anak supaya membuat kerja sekolah. Pastu terpaksa pula kemas rumah supaya jangan bersepah sangat. Komdian angkat kain di jemuran. Tiba-tiba anak bongsu menangis kerana terjatuh. Dah nak kena beri rawatan dan pujuk supaya tangisan tidak berlarutan. Dah selesai, kain-kain yang baru diangkat perlu pula dilipat dan disusun dalam almari. Sedar tak sedar, waktu Zohor dah tinggal tak berapa minit saja lagi. Terpaksa bergegas pulak tunaikan Zohor sebelum tertinggal. Selesai salam, azan Asar kedengaran. Selesaikan pulak solat Asar sebelum menyambung apa-apa kerja yang belum siap.

Belum sempat rehat, terpaksa pula balik ke dapur untuk menyiapakan makan malam. Lepas Maghrib, terpaksa layan suami dan anak-anak makan, pastu cuci pinggan mangkuk, pastu mandikan anak yang masih kecil, pastu uruskan supaya anak-anak masuk tidur.... dan macam-macam pastu lagi. Dekat pukul 11.00 malam barulah semua kerja rumahtangga selesai. Badan pun dah longlai... Bolehlah rasanya nak berehat sikit.

Opps.... belum boleh rehat rupanya.. Suami juga mahukan layanan. Berdosa isteri kalau tak melayani kemahuan suami. Tambahan pulak malam ni malam Jumaat. Maka suami dilayani dengan sewajarnya sehinggalah dia terkulai dua kali lohe dan langsung tertidur.... ... tak pasti pukul berapa.

Setelah terjaga sebelum dinihari, Mat segera bangun dan berdoa semula, 'Ya Tuhanku. Barulah kini aku tahu.... Aku dah tak sanggup lagi jadi isteri. Aku keluar bekerja seharian pun tak penat macam ni. Ada juga masa berehat, minum kopi dan berbual dengan kawan-kawan. Tolonglah kembalikan aku sebagai suami semula. Tobat aku tak sanggup dah jadi isteri. Salah sangkaanku selama ini bahawa kerja-kerja isteriku di rumah begitu mudah. Biarlah isteriku terus di rumah dan aku keluar bekerja.

Sekonyong-konyong Mat terdengar satu suara ghaib berkata,'Wahai Mat, kamu belum boleh kembali menjadi suami sebab persetubuhanmu malam tadi telah menjadi benih. Kamu kenalah tunggu 9 bulan 10 hari lagi untuk melahirkan anak sebelum kamu dapat menjadi suami kembali....

Whatttt???.. . 9 bulan 10 hari??? ....Beranaaak? ??....... Waaaaaa.. tak nak, tak nak, tak naaaaaaaaaaaaaaaaak kkkk...!! !

~~~~~ 'Bang, bang... Abangggg... apasal niii.....??' Sergah satu suara di sisinya. Mat melompat bangun dari katilnya dan terus memegang isterinya sambil bertanya, 'Nab, Nab kah yang jadi suami atau abang yang jadi suami?? 'Laaaaa... tebiat apa pulak abang ni. Kan Nab ni pompuan. Tentulah abang yang jadi suami..... Appa punya lawak pagi-pagi rabun ni.....'

Hari tu Mat mengambil cuti emergency dan sehari suntuk membantu isterinya membuat kerja-kerja rumah..... Nab terkedu , terlopong dan jadi bisu seharian melihat gelagat suaminya.... .....

Moral cerita : Isteri perlu disayangi dan lindungi kerana ia adalah anugerah Tuhan yang tidak ternilai.

***Sumber: Forward Email. Menarik untuk dibaca. Tinggi nilai pengajarannya.

23 April 2008

Ibuku Seorang Pembohong ???

Memang sukar untuk orang lain percaya, tapi itulah yang berlaku. Ibu saya memang seorang pembohong!! Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi saya. Saya perlu catatkan segala pembohongan itu untuk dijadikan renungan anda sekalian.

Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga. Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata : ""Makanlah nak ibu tak lapar." – PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.

Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan watu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik. Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi. Saya sedih melihat ibu seperti itu.. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : "Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan." – PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.

Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan kakak. Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih dengan beremankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata : "Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula." Ibu tersenyum dan berkata : "Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi." – PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.

Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang. Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental. Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata : "Minumlah nak, ibu tak haus!!" – PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan. Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu. Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : "Saya tidak perlukan cinta dan saya tidak perlukan lelaki." – PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.

Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya. Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata : "Jangan susah-susah, ibu ada duit." – PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.

Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar Negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar negara. Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula. Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ; "Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara orang." – PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.

Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser. Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh diseberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta. Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat dengan jelas betapa seksanya penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus. Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata : "Jangan menangis nak, ibu tak sakit." – PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.

Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali.

Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata, 'Ibu,saya sayangkan ibu.' Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu…

Renungilah:
Orang kata aku lahir dari perut ibu..
Bila dahaga, yang susukan aku.. ibu
Bila lapar, yang suapkan aku..ibu
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. ibu
Kata ibu, perkataan pertama yang aku sebut.. Bu!
Bila bangun tidur, aku cari.. ibu
Bila nangis, orang pertama yang datang ..ibu
Bila nak bermanja... aku dekati ibu
Bila nak bergesel... aku duduk sebelah ibu
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya ibu
Bila nakal, yang memarahi aku... ibu
Bila merajuk... yang memujukku cuma..ibu
Bila melakukan kesalahan... yang paling cepat marah..ibu
Bila takut... yang tenangkan aku.. ibu
Bila nak peluk... yang aku suka peluk..ibu
Aku selalu teringatkan ..Ibu
Bila sedih, aku mesti talipon... Ibu
Bila seronok... orang pertama aku nak beritahu... Ibu
Bila bengang.. aku suka luah pada ..Ibu
Bila takut, aku selalu panggil.. "ibuuuuuuuuuuuuu! "
Bila sakit, orang paling risau adalah ..Ibu
Bila nak exam, orang paling sibuk juga Ibu
Bila buat hal, yang marah aku dulu..Ibu
Bila ada masalah, yang paling risau.. Ibu
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. Ibu
Yang selalu masak makanan kegemaranku. . Ibu
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku, Ibu
Yang selalu berleter kat aku.. Ibu
Yang selalu puji aku.. Ibu
Yang selalu nasihat aku.. Ibu
Bila nak kahwin..
Orang pertama aku tunjuk dan rujuk... Ibu
Aku ada pasangan hidup sendiri
Bila seronok... aku cari pasanganku
Bila sedih... aku cari Ibu
Bila berjaya... aku ceritakan pada pasanganku
Bila gagal... aku ceritakan pada Ibu
Bila bahagia, aku peluk erat pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat Ibuku
Bila nak bercuti... aku bawa pasanganku
Bila sibuk... aku hantar anak ke rumah Ibu
Bila sambut valentine... Aku hadiahi bunga pada pasanganku
Bila sambut hari ibu... aku cuma dapat ucapkan Selamat Hari Ibu
Selalu... aku ingat pasanganku
Selalu... Ibu ingat kat aku
Bila..bila.. . aku akan talipon pasanganku
Entah bila.. aku nak talipon Ibu
Selalu... aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila.... aku nak belikan hadiah untuk Ibuku

Renungkan - Dulu Ibu kata: "Kalau kamu sudah habis belajar dan bekerja... bolehkah kamu kirim wang untuk Ibu? Ibu bukan nak banyak... lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah". Berderai air mata. Hari ini kalau Ibu mahu lima ratus sebulan pun aku mampu. Aku boleh kirimkan. Tapi Ibu sudah tiada. Ingatlah pengorbanan ibuuuuu....

***Sumber: Forwarding Email
*** Bersyukurlah jika anda masih punya ibu, mak, mama atau apa juga panggilan anda. Tunaikanlah tanggungjawab anda selagi anda masih punya waktu untuk melakukannya..

C.I.N.T.A

Adakah tapak tanganmu berkeringat, hatimu berdebar kencang dan suaramu tersekat di dadamu? Itu bukan Cinta, itu SUKA.


Adakah kamu tidak dapat melepaskan pandangan mata darinya? Itu bukan Cinta, itu NAFSU.

Adakah kamu menginginkannya kerana kamu tahu ia ada di sana? Itu bukan Cinta, itu KESEPIAN.

Adakah kamu mencintainya kerana itulah yang diinginkan semua orang? Itu bukan Cinta, itu KESETIAAN.

Adakah kamu tetap mengatakan kamu menyintainya kerana kamu tidak ingin melukai hatinya?Itu bukan Cinta, itu BELAS KASIHAN.

Adakah kamu menjadi miliknya kerana pandangan matanya membuat hatimu melompat? Itu bukan Cinta, itu TERGILA-GILA.

Adakah kamu memaafkan kesalahannya kerana kamu mengambil berat tentangnya? Itu bukan Cinta, itu PERSAHABATAN.

Adakah kamu mengatakan padanya bahawa setiap hari hanya dia yang kamu fikirkan? Itu bukan Cinta, itu DUSTA.

Adakah kamu rela memberikan semua perkara yang kamu senangi untuk kepentingan dirinya?Itu bukan Cinta, itu KEMURAHAN HATI.

Tetapi, adakah kamu tetap bertahan kerana campuran antara kesakitan dan kegembiraan yang membutakan dan tak terfahami ... menarikmu mendekati dan tetap bersamanya? ITULAH CINTA.

Apakah kamu menerima kesalahannya kerna itu bahagian dirinya dan siapa dirinya? Jika demikian, ITULAH CINTA.

Adakah kamu tertarik dengan orang lain tapi setia dengannya tanpa penyesalan? Jika demikian, ITULAH CINTA.

Adakah kamu menangis kerana kesakitannya walaupun saat itu dia kuat? ITULAH CINTA.

Adakah hatimu sakit dan hancur ketika dia bersedih? ITULAH CINTA.

Adakah hatimu gembira ketika dia berbahagia? ITULAH CINTA.

Adakah matanya melihat hatimu dan menyentuh jiwamu begitu mendalam sehingga menusuk?Yang demikian itulah namanya CINTA

*** Pandangan di atas ini saya terima melalui forwading e-mail drpd seseorang. Terpulanglah kpd anda utk menilainya. Cuma satu nasihat saya, JANGAN BUTA KERANA CINTA kerana cinta adalah satu kasih sayang suci. Tak guna hanya anda yg merasai cinta sebaliknya yg anda terima hanyalah nafsu, pendustaan dan kesepian....

21 April 2008

Ujian setanding iman dan ilmu

Sabtu baru ni, seorang klien saya meluahkan rasa terkejut kenapa suaminya, seorang yg dikenali sbg Ustaz, sanggup menipu dirinya. Tidak mengaku beristeri (konon dah bercerai) dan hanya selepas setahun berkahwin, barulah klien saya ini tahu dia adalah isteri ketiga, itupun setelah isteri pertama dan kedua berjumpa dgnnya. Yg tak boleh diterima oleh klien sy ini ialah, suaminya seorang yg berpendidikan agama, pegawai JAWI dan dikenali dgn Ustaz. Kenapa seorang Ustaz sanggup beperwatakan sebegitu?

Bukan kes sabtu baru ni ja. Dah byk kes-kes yg melibatkan org2 berlatar belakangkan pendidikan agama yg terlibat dlm mslh keruntuhan akhlak dan musnahnya rumahtangga. Ada seorang isteri mengadu, suaminya seorang Ustaz, gemar sgt menonton filem lucah. Ada Ustaz yg membelasah isteri. Mcm2 kes.

Jawapan saya mudah: Ustaz ker imam ker atau siapa juga, semuanya adalah manusia yg tak dapat lari drpd melakukan kesilapan. Teringat kata-kata Ustaz saya semasa sekolah dulu: "Kalau iman dan ilmu seseorang tu pangkat koperal, iblis yg dtg menguji pun pangkat koperal. Kalau iman dan ilmu seseorang pangkat jeneral, maka jeneral syaitan jugak lah yg akan mengganggu." Sungguh, ujian adalah setanding dgn ilmu dan iman seseorang.

Kaau cam tuh, camana nak dptkn jodoh terbaik kalau ustaz2 yg menduduki takhta pertama juga tak boleh dipercayai? Jgn gelabah, bukan semua ustaz tak baik. Yang bukan ustaz pun bukannya tak baik. Kita manusia. Ikhtiar, berusaha, berdoa dan bertawakkal adalah tugas kita. Lain2, serahkan pada-Nya. Percayalah, setiap yg berlaku ada hikmahnya....

19 April 2008

Ke mana perginya jiwa wanita anda?

Saya baru selesai menjalankan 2 sesi rundingan. Kes pertama, kisah kawin poligami yg hanya diketahui isteri statusnya sbg isteri ketiga selepas setahun perkahwinan. Antara kes biasa. Yang saya nak kongsi ialah kes kedua yg bagi saya, amat munasabah untuk sy lontarkan persoalan seperti di atas.

Sepasang suami isteri berjumpa saya, meminta pandangan berkaitan isu nama suami yg digunakan utk membintikan anak luar nikah bekas isterinya dahulu. Tunggu kisah selanjutnya dalam artikel saya di ruangan Resipi Hidup nanti. Yang saya nak kongsi di sini ialah, sejak akhir-akhir ini terlalu kerap sangat saya berdepan dgn kes isteri yang main kayu tiga. Bukan sekadar kawan atau bercinta tetapi sanggup tidur bersama hingga membenihkan hasil, nauzubillah.

Jika dulu, hampir setiap kesilapan rumahtangga terletak di bahu suami. Paling popular ialah kes suami main kayu tiga, suami ada orang ketiga... itu suami ini suami tetapi sekarang ini, kes-kes serupa telah banyak juga dimonopoli oleh wanita.

Astaghfirullah, malunya saya. Ke mana hilangnya kelembutan, kejujuran dan sikap lemah lembut serta kasih sayang yg amat sinonim dgn wanita?? Apakah ini persamaan hak yg anda inginkan drpd kaum lelaki? Nauzubillah....

Saya merayu.... bangunlah kaum wanita. Kembalikan maruah dan jiwa sebenar seorang wanita...

18 April 2008

Bertemu semula

Assalamualaikum

Dah lama sgt saya berhasrat nak wujudkan blog ni bg menggantikan binabahagia-bravehost yg dah hampir 2 thn tidak saya kemas kini. Mulanya memang kerana agak sibuk dgn rutin harian sbg perunding keluarga, isteri, ummi, anak dan kakak. Satu hari, tika ada sedikit masa terluang, baru saya perasan, saya dah tak ingat lagi katakunci utk saya masuk ke blog bravehost tersebut. Nak mulakan yg baru, bukan mudah bg saya... bertangguh dari satu masa ke satu dan akhirnya, hari ini, saya berjaya jugak mewujudkan satu blog baru...

Ada yg mencadangkan saya membina satu laman web khas. Mmm cdgn yg menarik cuma saya belum bersedia sepenuhnya. InsyaAllah, mgkin satu hari nanti. Yg penting bg saya ialah saya boleh berkomunikasi terus dgn anda semua, dpt berkongsi rasa kerana matlamat saya tetap satu, membina bahagia di dalam diri setiap daripada kita kerana kebahagiaan itu, walau apa juga maksudnya, adalah milik kita.

Saya tak berhasrat nak buat 'comeback' dgn panjang lebar. InsyaAllah, saya akan cuba jadikan berblog ini sbg satu menu harian tetap saya.

Sebarang komen dan cadangan membina, sila kemukakan kpd saya. Sebagai manusia, saya tak lepas drpd melakukan kesilapan. Sebagai manusia juga, kita tak mungkin mampu hidup sendirian kerana kita saling memerlukan, demi satu kebahagiaan....