05 Januari 2012

Corakkan masa depan anak kita


Anak adalah AMANAH

Hadis Rasulullah SAW: “Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah (suci). Kedua ibu bapanyalah yang membuatnya menjadi seorang Yahudi, seorang Nasrani maupun seorang Majusi.” – riwayat Bukhari dan Muslim.

Pilihan di tangan kita untuk mencorakkan mereka...

"Jika anak hidup dalam kesabaran, dia belajar jadi penyabar.

Jika anak hidup dalam pujian, dia belajar menghargai.

Jika anak hidup dalam penerimaan, dia belajar untuk menyayangi.

Jika anak hidup dalam persetujuan, dia belajar menyayangi diri.

Jika anak hidup dalam galakan, dia belajar jadi yakin.

Jika anak hidup dengan ilmu, dia belajar memahami pesekitaran.

Jika anak hidup dalam pengiktirafan, dia belajar membina matlamat hidup.

Jika anak hidup dengan kata-kata yang baik, dia belajar berfikir dengan baik.

Jika anak hidup dengan kemahiran, dia belajar berdikari.

Jika anak hidup dengan adab, dia belajar sopan santun.

Jika anak hidup dengan keyakinan, dia belajar membina jati diri.

Jika anak hidup dengan penghargaan, dia belajar membina maruah diri.

Jika anak hidup dengan kebersihan, dia belajar peka terhadap penyakit.

Jika anak hidup dengan kejayaan, dia belajar erti kebenaran.

Jika anak hidup dalam keselamatan, dia yakin pada diri dan orang lain.

Jika anak hidup dalam kemesraan, dia belajar dunia tempat memberangsangkan.

Jika anak hidup dengan doa, dia belajar apa erti hidup sebenarnya.

Jika anak hidup dengan al-Quran, dia belajar mengenali Tuhan.

Jika anak faham Al-Quran dan Hadis, dia faham apa itu akhirat.

Jika anak hidup dalam kritikan, dia belajar menyalahkan orang lain.

Jika anak hidup dalam kekerasan, dia belajar melawan.

Jika anak hidup dalam caci maki, dia belajar jadi pembenci.

Jika anak hidup dalam iri hati, dia akan belajar salahkan orang lain.

Jika anak hidup dalam menderita, dia akan belajar putus asa.

Jika anak hidup dengan hukuman, dia akan jadi pendendam.

Jika anak hidup dalam penghinaan, dia akan membina maruah diri yang rendah

Jika anak hidup dengan sumpahan, dia hanya faham maksud kegagalan.

Jika anak hidup dengan air mata, dia belajar dunia hanya ada derita...."

Ya Allah!! Jadikan hamba-Mu ini anak yg soleh dan solehah buat kedua ibu bapa kami dan jadikan anak2 kami hamba-Mu yg soleh dan solehah, penyejuk hati dan pembantu kami di akhirat nanti, amiiinn!!

Suami berat tulang

Persoalan DILEMA PERKAHWINAN, Majalah Pa&Ma, Mac 2011.

"Suami saya sejak awal berkahwin sememangnya sangat berat tulang dalam membantu saya menguruskan rumah tangga. Saya tertekan dengan sikapnya itu. Apakah bernas kata orang, sikap pemalas yang dimiliki suami saya berasal daripada didikan ibunya sewaktu kecil?"

JAWAPAN:

Pepatah Melayu ada menyatakan; bagaimana acuan begitulah juga bentuk kuihnya. Tapi ramai yang terlupa, ada tikanya kuih yang dibentuk oleh acuan tak kekal bentuknya disebabkan adunan bahan yang ada tidak tepat menyebabkan bentuk berubah terus berbeza daripada acuan. Sama jugalah dengan sikap dan tingkah seseorang. Bererti; tidak semestinya sikap malas suami yang enggan membantu kerja-kerja seorang isteri di rumah bermula dari sikap si ibu yang tidak membentuk anaknya agar rajin membantu.

Satu perkara yang ingin saya kongsikan, cara hidup masyarakat Melayu sebenarnya membentuk situasi sebegini; bukan semata-mata asuhan ibu. Masyarakat Melayu mendidik agar anak perempuan bertumpu di dapur sementara anak lelaki dengan kerja-kerja luar rumah. Amalan tradisi ini diperjuangkan tanpa sedar turun temurun dan kini tika anak perempuan mula menjejak luar rumah, kebanyakan anak lelaki masih tidak disuruh malah tidak dibenarkan ke dapur.

Biar pun itu tradisi dan adatnya; bukan menjadi sebab untuk seorang suami enggan atau malas membantu isteri melaksanakan kerja-kerja di rumah. Setiap individu yang menjejakkan kaki ke dunia perkahwinan perlu faham dan maklum mengenai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan di dalam perkahwinan. Mengemas rumah, memasak dan mencuci pakaian yang menjadi tugas rutin seorang wanita sebenarnya bukanlah tanggungjawab seorang isteri. Ulama menjelaskan; seandainya seorang lelaki mengambil gadis atau wanita dari rumah yang mempunyai pembantu rumah maka si suami bertanggungjawab menyediakan pembantu rumah bagi membantu isterinya yang biasa dibantu dalam melaksanakan kerja-kerja rumah.

Bezanya; segala kerja yang sinonim dengan wanita yang sebelum ini dikhususkan untuk tinggal dan menetap di rumah sahaja – jika dilakukan akan menjadi bonus kepada suami malah isteri sendiri kerana mampu menambah kasih sayang suami kepada isteri. Satu perkara yang menukarkan bonus ini kepada wajib dilakukan ialah apabila pekerjaan ini disuruh oleh suami setelah segala kelengkapan bagi menyelesaikan tugasan tersebut disediakan oleh si suami. Sebagai contoh; jika suami belikan beras, ikan, sayur dan kelengkapan memasak yang lain kemudian suami perintahkan agar isteri memasak maka tika ini, isteri wajib memasak dan jika engkar, isteri boleh disabitkan sebagai nusyuz.

Kembali kepada permasalahan kali ini; ada benarnya pendapat tersebut tetapi tidak tepat. Seperti huraian saya di awal jawapan; sikap sebenar seseorang bergantung kepada individu itu sendiri. Biarpun terdidik dengan cara ibu yang tidak biasakan anak lelakinya ke dapur tetapi jika si lelaki tersebut sedar tentang peranan dan tanggungjawab yang perlu dipikul selepas memasuki gerbang perkahwinan, tiada alasan wajar yang boleh dipegang lagi.

Setiap individu perlu sedar, di dalam sesebuah perkahwinan terdapat tiga siri tanggungjawab iaitu tanggungjawab tersendiri seorang suami, tanggungjawab tersendiri seorang isteri dan tanggungjawab bersama suami dan isteri. Tanggung tersendiri seorang suami ialah melayani isteri dengan baik, memberi nafkah zahir yang sempurna mengikut kemampuan, menyediakan rumah dan keperluan berkaitan, melayani keperluan seks isteri, bersikap romantik terhadap isteri, bergurau dengan isteri, meluangkan masa bersama isteri, mewujudkan suasana ibadah di dalam rumahtangga, sentiasa tunjukkan wajah ceria, menjaga penampilan diri dan bersabar melayani kerenah isteri.

Tanggungjawab tersendiri seorang isteri pula ialah taat kepada suami selagi tidak bercanggah dengan syariat, melayani kehendak seks suami, menjaga harga diri, suami dan keluarga, hormatkan suami dan menyenangkan hati suami. Tanggungjawab bersama suami isteri pula ialah menjaga, membesarkan dan mendidik anak-anak serta bersama-sama menguruskan rumahtangga.

Dalam perkahwinan yang hanya melibatkan suami sahaja bekerja sementara isteri pula suri rumah sepenuh masa, wajarlah si isteri mengambil tugas menguruskan rumahtangga ketika si suami pula keluar mencari pendapatan keluarga. Tika waktu hujung minggu pula; sama-samalah bekerjasama menguruskan rumah. Bagi pasangan yang kedua-duanya bekerja; wajarlah jika sama-sama mengembeling tenaga untuk menguruskan rumahtangga tika sama-sama kembali ke rumah atau cuti di hujung minggu.

Sebenarnya, perkara paling utama ialah minta bantuan suami daripada awal perkahwinan. InsyaAllah jika sejak mula anda telah biasakan suami anda membantu anda, takkan ada masalah lagi di belakang hari. Masalahnya, ramai isteri yang nak tunjuk hebat pada awal perkahwinan. Semua dia nak buat, suami nak tolong tak dibenarkan. Bila dah lama, dah ada anak atau anak-anak, suami yang dah terbiasa ‘order saja’, sukarlah nak ubah perangai. Saya faham dan tahu niat baik anda, nak jadi seorang isteri yang solehah. Jadilah, saya tak larang malah saya sokong tapi kenalah bijak mengatur cara.

Lantas, kepada isteri yang masih baru memasuki gerbang rumahtangga, jangan manjakan suami anda dalam kerja-kerja rumah. Terus terang, saya sendiri tika awal perkahwinan, jarang sangat nak hidangkan minuman untuk suami kecuali jika kami minum bersama. Kebiasaannya, saya hanya akan sediakan minuman dan tinggalkan di dapur. Saya akan beritahu suami, nanti kalau nak minum, dia akan ambil sendiri. Tika awal perkahwinan pula, kami belum ada mesin basuh baju. Jadi, kami sepakat untuk cuci baju sendiri. Memasak pula, ada gilirannya hinggakan suami yang hanya tahu goreng telur dadar, dah pandai masak kari dan sambal.

Saya bukan ‘queen control’ tapi sebagai seorang isteri yang bekerja, saya perlu lakukan semua itu. Alhamdulillah, agaknya sebab suami pun dah biasa daripada awal, dah tak banyak la kerenahnya. Ye lah, awal-awal kahwin masih tinggi cintanya, takkan nak melenting dek kerana kena buat kerja-kerja rumah. Padahal semua kerja-kerja tu adalah kerja-kerja biasa yang juga dilakukan oleh seorang lelaki bujang kan? Ingat!! Mempunyai isteri bukan bermaksud anda mempunyai pembantu rumah.

Cara paling baik nak minta suami tolong anda ialah dengan meminta suami menemankan anda melakukan kerja-kerja tersebut. Sebagai contoh, ketika sama-sama penat sampai ke rumah daripada tempat kerja, ajaklah suami temankan anda di dapur untuk memasak. Mungkin suami anda akan mengelak sebab nak rehat sambil membaca akhbar atau menonton televisyen. Jangan marah dulu. Pujuk dengan lembut. Anda boleh cakapkan ada cerita menarik yang anda nak kongsi dengannya ketika itu juga. Jika itu alasan anda, pastikan anda benar-benar mempunyai cerita menarik.

Jika anda nak lipat baju, bawa baju-baju tersebut ke tempat di mana suami anda berada, selalunya sebelah malam di depan televisyen lah kan. Dalam anda melakukan kerja-kerja tersebut, luahkan rasa penat anda dan luahkan juga keseronokan anda jika suami anda dapat membantu. Jika suami masih pura-pura tak dengar, tika inilah anda perlu cakap terus terang, minta suami anda membantu anda. Nak minta suami bantu anda pula, kenalah secara berhikmah. Ingat!! Jangan mendesak atau mengarah!! Suami memang pantang menerima arahan isteri. Sebaliknya mulakan dengan perkataan “tolong” dan ucapan dalam nada yang lembut, seakan-akan merayu. Kalau guna perkataan tolong tapi dengan nada yang keras, takkan berkesan. Bimbang nanti anda pula ditempiknya.

Kepada isteri yang telah terbiasa melakukan segalanya seorang diri, jangan bimbang. Anda boleh mulakan daripada sekarang. Cara paling baik, luahkan hasrat hati anda yang pasti seronok jika suami dapat bantu anda uruskan rumahtangga seperti pasangan lain yang dah bersama melakukannya. Bila nak luah? Kata orang, masa paling baik ialah selepas sama-sama menyelesaikan hajat batin. Belai rambutnya, mainkan jari-jari di badannya dan cakaplah dalam nada suara yang lembut, mendayu dan merayu. Gunakan kuasa memikat anda sepenuhnya sampailah suami mengaku ‘YA’ akan tolong anda. Jika malam pertama gagal, cuba lagi malam esoknya dan jangan putus asa. Dalam masa yang sama, berdoa minta Allah lembutkan hati suami. Isteri suri rumah sepenuh masa pun boleh cuba lakukan yang sama, sekurang-kurangnya suami membantu anda waktu hujung minggu, dapat juga lah sesekali anda beristirehat.

Kepada para suami, tugas menguruskan rumahtangga dan anak-anak bukanlah tugas dan tanggungjawab isteri anda sahaja. Lakukanlah bersama-sama, insyaAllah akan bertambah semarak cinta.

15 Disember 2011

Syak bila suami berubah sikap

DILEMA PERKAHWINAN PA&MA FEBRUARI 2011

Saya dan suami tidak lagi sehaluan. Saya syak suami ada perempuan lain memandangkan dia tidak lagi ambil tahu tentang kami sekeluarga terutama anak tunggal kami. Anak kami memang manja dengan dia. Sekarang saya tidak tahu sama ada mahu memohon cerai ataupun tidak kerana bimbangkan anak kami yang sangat rapat dengannya. Apa-apa pun saya memang tak ada hati lagi padanya. Yang buat saya bertahan adalah kerana anak. Saya rasa saya boleh hidup tanpa lelaki sebab itu belum memohon cerai.

JAWAPAN:

Sebelum saya berikan jawapan kepada persoalan puan, saya nak kongsikan satu maksud firman Allah SWT dalam ayat 12 surah al-Hujurat: "Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.”

Maaf jika puan terasa hati tetapi saya perlu nyatakan juga; puan terlalu mudah cemburu dan mudah bersangka buruk terhadap suami. Sikap seperti ini bukan saja tidak baik untuk rumahtangga malah tidak baik untuk kehidupan puan sendiri. Kenapa saya labelkan puan sedemikian? Pertama: puan dengan senang menuduh suami mempunyai perempuan lain disebabkan suami tidak lagi mengambil berat mengenai puan dan anak. Kedua: puan dengan senang membuang suami daripada hati puan hanya kerana sangkaan yang masih belum pasti kebenarannya.

Puan dan para pembaca yang dihormati; hidup kita adalah ujian. Bahagia, derita, berjaya, gagal, miskin atau kaya; semua itu adalah ujian untuk kita hadapi dengan tenang dan sabar di samping usaha dan doa serta tawakkal kepada-NYA. Puan sedang diuji oleh Allah dengan sikap suami yang tidak lagi pedulikan hal keluarga; tidak endahkan isteri dan anak. Namun tidak bererti ketidakpedulian tersebut adalah tanda cinta suami beralih arah.

Sepatutnya puan berusaha dapatkan penjelasan mengenai perubahan sikap tersebut. Soal dan berbincanglah dengan suami secara baik; apakah yang mengganggunya hingga dia berubah sikap? Tak semestinya wanita yang jadikan dia sebegitu. Mungkin ada gangguan kerjaya atau mungkin juga ada penyakit bahaya yang dialaminya lantas bagi mengelakkan rasa kehilangan, dia ‘hilangkan’ diri terlebih dahulu. Sebaiknya dapatkan kepastian; bukannya hanya dengan syak dan sangkaan.

Jika benar suami punya wanita lain; kenapa perlu mengalah begitu sahaja? Puan adalah isterinya. Puan ada anak bersamanya. Sepatutnya puan berusaha untuk terus memenangi hati suami puan. Koreksi diri apakah punca dan sebabnya suami berpusing arah? Tak semestinya 100% salah suami atau wanita kekasih baru suami. Kita manusia yang tak sunyi daripada kesilapan dan kelemahan. Muhasabah diri dan usahakan untuk menjadi yang lebih baik. Jika masih belum temui jawapannya; mohon kerjasama suami untuk berterus terang dengan puan.

Puan boleh praktikkan amalan menulis pengakuan ikhlas. Mohon suami luahkan segala isi hatinya berkaitan puan termasuk sikap yang dia tak senang dengan puan dan perubahan sikap yang dia inginkan daripada puan. Puan juga lakukan perkara yang sama; luahkan segala ketidakpuasan hati puan dengan sikap suami dan jelaskan kehendak dan impian puan berkaitan suami. Perlu usahakan untuk menyelamatkan hubungan perkahwinan yang ada. Bukan hanya kerana anak tetapi kerana akad nikah dan persetujuan puan untuk hidup bersama suami sebagai isterinya dulu adalah satu perjanjian dan amanah yang perlu dipelihara dan dipertahankan.

Bukan dengan terus mengibarkan bendera putih. Mudah sungguh puan memadam cinta. Terus terang; sikap terlalu ambil mudah puan ini menimbulkan keraguan saya terhadap pengakuan puan ini. Fitrah wanita atau isteri; takkan mudah melepaskan hak miliknya kepada orang lain begitu saja. Hanya dengan syak wasangka, puan mengambil keputusan untuk berpisah. Boleh berikan saya pengakuan ikhlas; bukan suami yang punya cinta baru sebaliknya puan yang ada cinta baru, betul??!

Saya mohon maaf andai telahan saya ini salah. Seperti yang saya jelaskan; puan bersikap tidak seperti fitrah seorang wanita yang akan berjuang pertahankan haknya yang selalunya dirasakan hak mutlak. Mungkin pengakuan puan menerusi soalan ini tidak lengkap namun seperti yang saya terangkan pada awal jawapan ini tadi; puan sedang diuji dan ujian Allah pasti mempunyai alasan dan hikmah yang tersendiri. Hikmah bukan musibah sebaliknya anugerah dengan syarat usahakan dengan sedaya upaya tanpa menyerah kalah dengan mudah atau putus asa.

Namun; andai benar telahan saya ini; saya mohon agar puan usahakan untuk membersihkan hati puan. Saya faham kita adalah manusia biasa; tak kira lelaki atau wanita; suami atau isteri pasti akan ada kasih yang hilang bila kasih tersebut tidak lagi dibaja dan disiram. Namun sebagai isteri; kita tidak sama dengan suami. Syariat tentukan haram bagi isteri untuk menyimpan rasa kasih atau suka kepada lelaki lain selain suami walaupun si suami bersikap setanding syaitan. Jika suami memang jenis jahat; usahakan untuk mengubah dirinya. Betullah ada ayat yang jelaskan lelaki baik untuk wanita yang baik, begitu juga sebaliknya. Namun, bila Allah tentukan dia adalah jodoh kita, bererti Allah punya perancangannya yang tersendiri. Mungkin hanya kita yang boleh mengubah suami dengan izin Allah. Yang penting; usaha dan doa!!

Saya faham puan boleh hidup sendiri tanpa suami. Memang kita tak perlu harapkan orang lain di dalam hidup sebab kita ada Allah untuk diharapkan tetapi kita masih perlukan insan lain untuk kehidupan normal seorang manusia. Jika suami bukan seperti yang puan sangkakan, puan bakal menyesal di belakang hari nanti. Tika lelaki yang baik semakin kurang sekarang ini, puan pasti akan dihantui rasa bersalah kerana memohon cerai atas alasan dan sebab yang tidak pasti dan lebih malang, bila dipastikan; telahan puan adalah tidak benar. Lantas, pastikan dulu dan jika benar; usahakan jalan penyelesaian.

Tika berusaha untuk selamatkan hubungan perkahwinan, jangan simpan niat berusaha demi untuk anak semata. Sebaliknya perlu niatkan untuk kebahagiaan dan kesejahteraan puan, suami dan anak bersama. Jika niatkan kerana anak, insyaAllah, DIA akan izinkan perkahwinan puan kekal tetapi puan tetap takkan bahagia. Apa guna kekal dalam perkahwinan sebegitu? Sebab itulah, ikhlaskan hati dan niatkan untuk mencapai kebahagiaan bersama.

Di samping berusaha; pastikan puan mendirikan solat dan berdoa mohon yang terbaik daripada-NYA!! Ingat! Jangan pertikai kerja Allah! Terus berdoa tanpa putus asa kerana itu kerja kita. Kalau doa cepat dimakbulkan, tanda DIA sayang. Bila doa lambat dimakbulkan, tanda DIA rindu dan kasihkan kita dan inginkan agar kita sentiasa berdoa penuh rayuan kepada-NYA. Bila doa kita tidak dimakbulkan, tandanya DIA punya perancangan yang lebih baik utk kita. Percaya dan yakinlah!!

Hidup bukan satu perhitungan; bagi tentukan siapa kalah atau menang. Hidup juga bukan satu perjudian; sekadar menunggu dan menanti apa pula yang akan terjadi. Sebaliknya hidup adalah satu perjuangan. Perjuangan pertahankan hak sendiri; perjuangan laksanakan hak orang lain; perjuangan mencipta bahagia diri dan paling penting, perjuangan jalankan segala amanah dan tanggungjawab yang telah ditetapkan; tak kira siapa pun kita kerana kita semua adalah hamba-Nya. Moga DIA mudahkan segala yang terbaik untuk kehidupan puan, suami dan anak di dunia dan di akhirat, amiiiinnnn!!