02 September 2012

Suami melenting bila suarakan tentang anak


Dilema Perkahwinan Ogos 2011:

"Saya dan suami berkahwin pada usia yang agak lewat. Kini saya sudah 32 tahun. Saya tahu tahap kesuburan wanita akan mula menurun setelah mencecah usia 35 tahun. Ini membimbangkan saya kerana suami masih tidak mahu menimang cahaya kerana mahu mengejar kerjayanya. Saya bingung kerana setiap kali membicarakan hal ini suami akan melenting. Bagi saya kalau sekadar dapat seorang anak pun sudah mencukupi asalkan kami ada penyambung zuriat."

JAWAPAN:

Anak biasanya dinobatkan sebagai permata hati atau cahayamata; membuktikan kehadiran seorang anak di dalam sesebuah perkahwinan adalah amat bererti dan bermakna. Tidak cukup syarat jika sesebuah perkahwinan tidak mempunyai cahayamata. Malah ada kes perkahwinan berakhir semata-mata kerana pasangan, sama ada isteri atau suami, tidak mampu memberikan anak kepada perkahwinan tersebut. Bukan sekadar kehendak masyarakat sebaliknya kehadiran cahayamata adalah antara hikmah perkahwinan disyariatkan.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa’ ayat 1 yang bermaksud: “Wahai manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu daripada asalnya seorang diri (Adam) dan daripadanya pula diciptakan seorang isteri (pasangan) dan daripada kedua-duanya melahirkan keturunan yang banyak, yang terdiri daripada pasangan lelaki dan wanita.” Ayat ini menjelaskan, perkahwinan antara seorang lelaki dan wanita menjadi satu wadah atau jalan untuk meneruskan keturunan keluarga.

Berbalik kepada kes puan, sebenarnya bukan kes luar biasa walaupun kes sebegini hanya satu daripada 25 atau 30 kes. Saya pernah berdepan dengan kes serupa; suami enggan mempunyai anak dan setelah bersabar hampir enam tahun, si isteri melawan dalam diam. Dia ditakdirkan mengandung dan melahirkan kembar lelaki seiras. Dengan harapan suami akan berubah setelah kehadiran anak, malangnya dirinya diceraikan.

Saya kongsikan kes ini bukan untuk menakutkan puan tetapi sebagai satu pengajaran dan peringatan. Hakikatnya, tindakan isteri dalam kes tadi tidak salah atau dalam erti kata mudah; tidak boleh disabitkan nusyuz sebab tidak mematuhi kehendak suami untuk tidak mempunyai anak. Perlu difahami, seorang isteri boleh disabitkan sebagai nusyuz dengan dua alasan. Bagi Prof. Dr. Wahbah al-Zuhaili, nusyuz isteri ialah kederhakaan wanita terhadap suami dalam perkara yang diwajibkan ke atasnya, sikap saling membenci antara keduanya termasuklah keluar rumah tanpa izin suami. (al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu). Isteri juga dianggap nusyuz jika meninggalkan rumah dengan tiada sebab syarie atau enggan mengikut suami berpindah ke rumah lain.

Di dalam kitab Nizam al-Usrah fil Islam menjelaskan perempuan nusyuz ialah perempuan yang meninggi diri daripada suaminya, meninggalkan perintahnya, menjauhkan diri daripadanya, mengelak diri dari suaminya atau menyebabkan suaminya marah. Prof. Dr Wahbah menjelaskan dua tanda isteri dianggap nusyuz. Pertama; melalui perbuatan dengan menjauhkan diri, bermasam muka dan bersikap degil atau enggan ketika dipanggil. Semua ini berlaku setelah sebelumnya dia bersikap mesra. Kedua; melalui perkataan seperti berinteraksi dengan suami dengan perkataan yang kasar, ia berlaku setelah sebelumnya dia bercakap lembut.

Dalam kes tadi termasuklah kes puan jika puan mempunyai hasrat untuk bertindak membiarkan diri puan hamil secara diam-diam; tindakan tersebut tidak termasuk dalam kategori nusyuz seperti dijelaskan. Kenapa bukan nusyuz sedangkan suami melarang daripada hamil? Kita kembali kepada kaedah asas, hamil atau tidak bukan kehendak kita sebaliknya kehendak Allah SWT. Ada pasangan yang melakukan pelbagai ikhtiar dan usaha agar dapat hamil tapi masih tidak berjaya hamil. Malah ada pasangan yang berusaha keras untuk tidak hamil tetapi kerap juga terjadi kehamilan yang biasanya dilabelkan sebagai “accident”.

Namun; biarpun perbuatan tersebut bukan nusyuz, saya nasihatkan agar puan tidak berusaha untuk hamil secara diam-diam. Jalan terbaik ialah puan berbincang dengan suami; berapa lama masa yang suami perlukan untuk membina kerjayanya? Jika sukar berbincang kerana suami cepat melenting, tak perlu bercakap sebaliknya tulislah surat atau kirimkan emel. Gunakan bahasa yang mudah tetapi dengan antonasi mendayu dan merayu. Luahkan hasrat puan untuk menjadi seorang ibu. Ceritakan keseronokan yang bakal diperolehi bila memiliki anak. Sebagai contoh, kepenatan seharian bekerja akan hilang bila balik kerja disambut keletah si kecil. Puan boleh juga ceritakan mengenai kepayahan hidup masa depan andai tiada anak walau mempunyai pekerjaan yang baik. Tapi pastikan, penjelasan berhikmah. Kalau ada kes terdekat yang berkaitan dan boleh dikongsikan, ceritakalah dengan suami dalam surat atau emel tersebut.

Andai tidak mendapat maklumbalas positif daripada suami, puan sendiri berterus terang dengan suami; berikan suami tempoh masa setahun untuk melaksanakan sebahagian impian kerjayanya dan selepas tempoh tersebut, puan mohon ihsan suami untuk benarkan puan hamil dan mempunyai anak. Puan luahkan kesanggupan untuk menguruskan anak tersebut nanti tanpa mengganggu suami puan. Pengakuan tersebut memang seolah perangkap makan diri tetapi ia sebagai satu umpan. Biar suami benarkan puan hamil dulu dan nanti puan boleh usahakan pula untuk menarik hati suami mendekati, menyayangi dan turut serta menguruskan anak tersebut, insyaAllah.

Ingat! Kita merancang tetapi segala keputusan bergantung kepada Allah. Puan masih belum terlalu terdesak sebenarnya jadi saya mohon, jangan terlalu stress atau tertekan dengan masalah dihadapi. Tekanan akan mengganggu hormon dan pembentukan kualiti telur. Saya akui, mengikut ilmu perubatan, risiko bagi wanita yang berumur lebih dari 35 tahun untuk hamil adalah tinggi terutamanya bagi mereka yang baru pertama kali hamil.

Antara risiko seperti yang ditemui dari kajian perubatan ialah :
  1. Kualiti telur yang dihasilkan oleh ovari adalah rendah – menyebabkan risiko yang tinggi untuk mempunyai zuriat yang lemah dan mudah sakit.
  2. Wanita yang hamil di usia yang lanjut selalunya mudah terkena diabetes (kencing manis) sewaktu hamil kerana kesukaran untuk mengawal kandungan gula dalam darah melalui diet, senaman dan gaya hidup.
  3. Kemungkinan untuk bersalin normal adalah rendah kerana faktor usia menyebabkan puan tidak kuat untuk meneran sewaktu proses bersalin. Oleh itu kemungkinan untuk puan bersalin cesarean adalah tinggi
  4. Risiko keguguran juga adalah tinggi apabila mengandung di usia melebihi 35 tahun
  5. Kemungkinan besar akan berlaku masalah risiko chromosome yang tidak normal iaitu bayi yang dikandung boleh mengalami Down Syndrome.

Namun, kemajuan teknologi moden kini banyak membantu mereka yang beurmur lebih dari 35 tahun untuk hamil. Terdapat hospital yang menyediakan rawatan dan pemeriksaan diawal kehamilan bagi menentukan sama ada janin yang dikandung adalah sihat dan normal atau sebaliknya. Jika janin yang dikandung tidak normal, doktor akan menasihatkan pesakitnya untuk menggugurkan kandungan tersebut. Tetapi jika sebaliknya, maka kandungan tersebut boleh diteruskan.

Perlu difahami, setiap yang berlaku itu mempunyai sebab dan hikmah. Cara terbaik, berusaha dapatkan persetujuan suami. Saya bimbang, andai tiada persetujuan suami dan ditakdirkan berlaku sesuatu yang tidak dijangka dan tidak dikehendaki oleh puan, suami akan berterusan menyalahkan puan dan kesan jangka panjang akan lebih buruk berbanding risiko hamil di usia lewat. Panjatkan doa kepada-Nya, jika mempunyai anak itu terbaik untuk masa depan perkahwinan kalian, lembutkan hati suami untuk menerima cadangan puan mempunyai anak dan jika sebaliknya, tabahkan hati puan untuk terus redha dan bersabar hingga tiba waktu dan ketika yang sesuai. Segala rahsia hidup ini dalam ketentuan-Nya, percayalah!!

16 Ogos 2012

Diskaun diteruskan hingga 30 Ogos 2012

DISKAUN ISTIMEWA DILANJUTKAN: Untuk makluman, semua sesi konsultansi sebelum cuti sempena Aidil Fitri dah penuh ye! Namun, bagi memberi peluang buat rakan2, saya akan meneruskan DISKAUN ISTIMEWA untuk setiap sesi konsultansi:
1) sesi bersemuka - anda perlu jelaskan RM100 sahaja untuk tempahan sesi anda;
2) sesi melalui telefon - anda perlu jelaskan RM50 sahaja untuk tempahan sesi anda; dan
3) sesi

chat Yahoo Messenger - anda perlu jelaskan RM70 sahaja untuk tempahan sesi anda.
Bagi setiap sesi, TIADA BAYARAN TAMBAHAN dan tempoh sesi masih sama, maksima 90 minit.

DISKAUN ISTIMEWA ini dipanjangkan BAGI SETIAP TEMPAHAN YG DIBUAT BERMULA 13 OGOS HINGGA 30 OGOS NANTI dan ANDA BERHAK MEMILIH TARIKH TEMUJANJI YG SESUAI dan BAKAL DISESUAIKAN PULA DENGAN JADUAL saya termasuk bagi sesi2 selepas tarikh tersebut. Bermaksud, jika anda berhajat untuk bertemu saya pada awal September nanti tetapi anda telah membuat tempahan (bayaran) dalam tempoh antara 13hb hingga 30 Ogos, maka anda berhak menerima tawaran DISKAUN ISTIMEWA ini.

Untuk tempahan, sila bank in bayaran disebut ke akaun Bank Islam 120650 10035871 atas nama Bina Bahagia Services kemudian SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama anda ke talian 013-2545965 dan nyatakan anda sama ada inginkan temujanji bersemuka, menerusi telefon atau chat YM. Maklumkan cadangan tarikh anda sekali ye. Terima kasih! (",)

13 Julai 2012

Diskaun istimewa untuk konsultansi sepanjang Ramadhan

Sempena Ramadhan yang akan bertamu dalam tempoh seminggu lagi, saya akan berikan diskaun istimewa untuk setiap sesi konsultansi bersama saya sama ada bersemuka, bercakap melalui telefon atau chat YM, bermula 20hb Julai ini hingga 15hb Ogos nanti.

Berikut caj untuk sesi konsultansi sepanjang tarikh tersebut:
1) sesi bersemuka - anda perlu jelaskan RM100 sahaja untuk tempahan sesi anda;
2) sesi melalui telefon - anda perlu jelaskan RM50 sahaja untuk tempahan sesi anda; dan
3) sesi chat Yahoo Messenger - anda perlu jelaskan RM70 sahaja untuk tempahan sesi anda.

Bagi setiap sesi, TIADA BAYARAN TAMBAHAN dan tempoh sesi masih sama, maksima 90 minit.

Untuk tempahan, sila bank in bayaran disebut ke akaun Bank Islam 120650 10035871 atas nama Bina Bahagia Services kemudian SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama anda ke talian 013-2545965 dan nyatakan anda sama ada inginkan temujanji bersemuka, menerusi telefon atau chat YM. Jadual akan ditetapkan berdasarkan kekosongan jadual terdekat. 

Untuk makluman; tiada sesi temujanji untuk waktu malam sepanjang Ramadhan ya.

Saya akan terima temujanji bersemuka di Sungai Petani pada 20hb dan 21hb Julai ini dan untuk sesi ini, bayaran diskaun telah mula diguna pakai. Terima kasih atas kerjasama dan kepercayaan anda kepada saya... (",)

Suami rahsiakan wujudnya telefon bimbit kedua


SOALAN: "Sebelum ini suami suka menceritakan apa sahaja yang berlaku sepanjang hari kepada saya, seolah-olah memberi laporan harian. Malah dia tidak kisah jika saya memeriksa telefon bimbitnya. Akhir-akhir ini, saya dapati dia mula tidak “melaporkan” aktiviti harian. Telefon bimbit pun sering disorok dan saya dimaklumkan anak, suami ada dua telefon bimbit. Hal ini menimbulkan syak. Apa yang harus saya lakukan bagi memastikan suami tidak bermain kayu tiga?"

JAWAPAN:

Hubungan perkahwinan dan jawatan sebagai suami atau isteri bukanlah satu perkara yang semata-mata menggembirakan sebaliknya satu amanah daripada Allah SWT. Bila disebut sebagai amanah, jelas sekali terdapat perkara-perkara tertentu yang perlu diambil berat dan diambil peduli bagi merealisasikan antara hikmah perkahwinan ditetapkan syariat iaitu untuk kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri merasai tenang dan bahagia dan agar kedua-dua pihak melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing. Untuk merasai ketenangan dan kebahagiaan, pasangan suami isteri perlu mewujudkan komunikasi unggul antaranya berterus terang, berbincang, bergurau senda dan saling berkongsi cerita suka dan duka. Tahniah kerana puan dan suami temasuk golongan yang melaksanakan komunikasi unggul. Namun, kisah terkini puan menunjukkan komunikasi unggul yang wujud sebelum ini kian malap. Jangan berdukacita! Mendung tak selalunya hujan dan jika benar hujan, takkan terus hujan selamanya kerana hari yang cerah pasti tiba jua!

Bila berdepan situasi seperti ini, perkara yang perlu dijauhi ialah syak yang melampau! Mempunyai dua telefon bimbit tidak semestinya bermaksud suami puan mempunyai orang ketiga. Dahulu, sebelum mempunyai pembantu, saya sendiri pernah mempunyai dua telefon bimbit, bagi membezakan urusan kerja dan keluarga. Bila keadaan mendesak, telefon untuk urusan kerja saya ‘matikan’. Malah, dua telefon bimbit bukanlah perkara luar biasa tika ini. Ramai yang mempunyai dua malah lebih daripada itu bagi menyesuaikan diri dengan rakan-rakan yang mempunyai pelbagai rangkaian telefon mudah alih.

Keterlaluan meragui suami akan membataskan kemesraan puan bersama suami termasuk akan menghambarkan suasana ceria sedia ada. Bila mendapat maklumat mengenai telefon bimbit baru suami, jalan terbaik ialah puan perlu berdepan dengan suami dan minta suami berterus terang mengenai sebab dan alasan wujudkanya telefon bimbit kedua tersebut. Berhati-hati dengan ayat puan, jangan sampai suami merasakan puan meraguinya ketulusannya. Puan boleh mulakan dengan menyatakan puan mendapat tahu daripada anak puan, suami puan memiliki satu lagi telefon bimbit, benar atau tidak? Jika suami mengakui, mohon suami jelaskan alasan dan sebab memerlukan telefon bimbit yang baru dan dapatkan juga nombor telefon bimbit tersebut untuk makluman puan. Jika nombor sedia ada tidak dapat dihubungi, puan boleh hubungi talian satu lagi. Sebaliknya jika suami menafikan, mungkin jelaskan itu telefon bimbit rakan atau apa juga alasannya, jangan cepat meradang. Berikan masa dan carilah jalan untuk membuktikan kata-kata anak puan itu benar dan kata-kata suami juga benar. Mungkin betul telefon yang dilihat oleh anak puan itu adalah telefon rakannya atau sesiapa saja seperti kata suami.

Dalam masa yang sama, puan perlu ‘memaksa’ suami untuk kembali seperti keadaan seperti sebelum ini. Jika suami tidak lagi bercerita, puan sendiri mulakan bertanya agar suami bercerita. Jika suami memberi alasan penat atau tiada cerita menarik, puan sendiri tanyakan satu persatu sebagai jalan untuk suami mula berbicara semula. Usahakan berulang kali. Jika hari pertama tidak menjadi, cuba lagi esoknya. Selepas beberapa hari dan suami masih serupa, cari masa yang sesuai dan paling penting, bukan di hadapan anak-anak, luahkan rasa pelik dan kesal puan dengan perubahan sikap suami yang tidak lagi berkongsi seperti sebelum ini. Tanyakan, apakah perkara yang mengganggu dirinya hinggakan suami berubah sikap dan tawarkan bantuan puan jika diperlukan. Ingat!! Jangan sesekali sentuh mengenai telefon bimbit kedua atau pun wujudnya orang ketiga!!

Jika suami memberi respons positif, usahakan untuk membantu suami keluar daripada belenggu masalah yang mengganggunya. Sebaliknya, jika suami memberikan reaksi negatif atau kebanyakan lelaki menafikan atau mendiamkan diri, jangan cepat mengalah. Berikan masa dan peluang kepada suami. Teruskan memberikan layanan yang baik dan adalah lebih baik juga jika puan dapat ‘upgrade’ atau menambahbaikkan lagi layanan puan kepada suami.

Lebih luangkan masa bersama suami biar hanya puan saja berbicara. Ada tikanya puan masih boleh luangkan masa bersama suami walau dengan keadaan diam membisu. Terlalu banyak bicara dalam keadaan suami asyik mendiamkan diri bukan saja memanaskan hati puan sendiri malah dibimbangi akan menimbulkan rasa bosan di hati suami. Tak perlu bersuara tetapi biarkan tangan-tangan anda melaksanakan peranannya. Jika suami menonton televisyen atau melakukan kerjanya hingga lewat malam, temani suami dengan menyedikan secawan kopi bersama jemput-jemput atau kuih atau apa sahaja. Kemudian picit-picit bahunya. Suami mungkin melarang jika ia sesuatu yang baru tapi percayalah, halangan tersebut hanya sebagai ‘berbahasa’ dan bukan larangan yang nyata. Terus lalukan!! Jika suami tidak mempunyai ‘agenda’ lain, layanan kelas pertama puan akan menjadi suatu yang istimewa buatnya. Jika suami tetap berkeras menghalang puan bertindak sedemikian, puan ada asas untuk meragui.

Tunggu! Jangan ragu dalam tangisan tetapi puan perlu bertindak! Awasi tingkah laku suami. Siasat kebenaran cerita telefon kedua dan ambil tahu aktiviti suami menggunakan telefon bimbit tersebut. Jika ada panggilan masuk yang disembunyikan daripada puan menggunakan telefon bimbit tersebut, puan berhak untuk bersuara tetapi secara berhikmah! Puan masih boleh minta izin suami untuk membelek telefon bimbit tersebut seperti sebelum ini. Tiada larangan bererti suami masih boleh dipercayai! Jika dihalang, puan berhak mempersoalkannya. Bila soalan demi soalan tidak memberikan sebarang petunjuk malah pembayang kepada persoalan puan, tiba masanya untuk berterus terang dengan suami mengenai perkara yang menyesakkan emosi puan iaitu orang ketiga! Puan boleh mengajak suami makan malam sama-sama di luar dan dalam suasana paling ceria, puan tanyakan, apakah hati suami puan kini dikongsi oleh wanita lain? Penting! Puan perlu rasional dan dapat mengawal emosi. Jika benar suami kini punya teman baru, mohon suami berterus terang sejauh mana hubungan tersebut. Percayalah!! Jika puan boleh bersikap professional, terbuka dan bersedia berbincang sebagai kawan, suami akan berterus terang!

Bila realiti diketahui, jangan layan kesedihan. Ingat!! Suami puan masih hak milik puan yang mutlak. Puan perlu kekalkan senyuman puan. Kenapa perlu senyum dan tak boleh marah atau menangis? Kerana  puan sebenarnya sedang berada dalam pemerhatian Allah SWT. ‘Pengkhianatan’ yang suami puan lakukan itu merupakan satu ujian di dalam rumahtangga puan. Firman Allah yang bermaksud: Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. - surah Al-Ankabut ayat 2-3. Ujian itu adalah tanda kasih sayang-Nya. DIA berikan ujian tersebut dan hanya DIA yang mempunyai jalan keluarnya. Jangan gentar dan jangan risau! Allah pasti puan mampu hadapi dan lepasi ujian tersebut. Janji Allah adalah pasti. Firman-Nya yang bermaksud: "Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." - surah Al-Baqarah ayat 286.

Berusahalah untuk memperbaiki diri. Jangan putus asa kerana anda masih di hatinya lantaran itu anda diberikan pesaing dan bukan ditinggalkan. Berusaha untuk berikan yang terbaik. Jika selama ini anda telah berikan yang terbaik; usahakan untuk berikan yang lebih baik. Saya akui, ada juga kesilapan suami; jangan mengherdik sebaliknya cakap dengan elok agar suami boleh sedar diri. Kata-kata nista dan caci maki, walau bukan kepada suami tetapi kepada kekasih hatinya, tidak akan berikan keputusan yang baik malah anda akan dicap sebagai keras kepala dan enggan memahami.

Sebaiknya; tunjukkan pemahaman anda dan minta agar suami kenalkan anda dengan teman barunya. Berjumpa dan berbuallah dengan baik. Luahkan perasaan anda dan dengar juga luahan teman wanita suami anda. Tiada salahnya bermadu jika suami anda layak dan wanita itu juga baik. Sebab itulah perlunya anda berdepan dan berkawan dengan wanita tadi; agar wanita tadi lebih tahu banyak kebenaran tentang suami anda dan anda serta keluarga sebelum masuk ke dalam keluarga anda. Dalam masa yang sama berdoalah: Kalaulah wanita ini baik untuk masa depan dan agama suami puan, masa depan dan agama puan serta masa depan dan agama anak-anak puan; lapangkan hati puan untuk terima dirinya sebagai madu. Lapangkan juga hati wanita itu untuk menerima puan dan anak-anak sebagai ahli keluarga. Kekalkan kasih sayang suami puan kepada puan. Sebaliknya jika dia tak baik untuk puan sekeluarga; padamkan cinta suami puan kepadanya dan jauhkan dia daripada keluarga puan.

Bertindak dan berdoalah, DIA pasti akan berikan yang terbaik untuk puan sekeluarga, insyaAllah!

**** Dilema Perkahwinan Pa&Ma bulan Julai 2011.
**** Diskaun istimewa untuk khidmat konsultansi sepanjang Ramadhan akan datang (bermula 20hb Julai hingga 15hb Ogos). SMS ke 013-2545965.