16 Julai 2013

Jawatan kosong di Bina Bahagia Services

InsyaaAllah, andai tiada masalah mendatang, Bina Bahagia Services (BBS) bakal beroperasi di Taman Wangsa Permai, Kepong mulai 2hb September yg akan datang. Sehubungan dengan itu, BBS memerlukan seorang pembantu operasi dan peguam syarie junior. Kedua-dua jawatan ini khusus untuk WANITA SAHAJA.

Jawatan Pembantu Operasi
Kelayakan:
·         Sekurang-kurangnya berpendidikan Sijil Pelajaran Malaysia
·         Calon dengan pendidikan Diploma juga dipertimbangkan
·         Mempunyai kemahiran komunikasi
·         Mampu melaksanakan kerja-kerja pengurusan
·         Mahir menggunakan komputer khususnya Word dan Excel
·         Diutamakan kepada yang masih bujang

Bidang kerja:
·         Sebagai person incaj bagi setiap perhubungan antara consultant dengan orang luar
·         Menguruskan jadual kerja Pn Suzana Ghazali
·         Melaksanakan kerja-kerja pengurusan consultant


Jawatan Peguam Syarie Junior
Kelayakan:
·         Sarjana Muda Syariah atau yg berkaitan
·         Mempunyai sijil peguam negeri (nyatakan negeri dan tahun diperolehi)
·         Sanggup bekerja sebagai ibadah dan kebajikan, bukan semata-mata pendapatan dan kemewahan
·         Diutamakan kepada yang masih bujang

Bidang kerja:
·         Mengendalikan kes-kes rundingcara kekeluargaan
·         Mewakili kes guaman syarie ke Mahkamah Syariah

Kepada yg berminat, sila emelkan maklumat diri anda ke binabahagia@gmail.com. Sila nyatakan juga SEBAB ANDA LAYAK DIPERTIMBANGKAN bagi jawatan tersebut.

Tarikh tutup permohonan ialah pada 19hb Ogos 2013. Hanya calon yg disenarai pendek akan dipanggil untuk sesi temuduga yg bakal diadakan pada 28hb Ogos 2013.

09 Julai 2013

Mendidik Si Kecil Berpuasa



Artikel Cermin Diri, akhbar Kosmo! bertarikh 5hb Julai 2013


Hanya beberapa hari saja lagi, umat Islam seluruhnya akan menyambut bulan Ramadhan yang sinonim dengan bulan puasa. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti mana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” Apa erti puasa? Ya, ramai yang dah maklum, puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum dan juga menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbitnya fajar sodiq hingga terbenamnya matahari. Tak ada lah lama sangat kan, lebih kurang 12 jam sahaja tetapi percayalah, masih ramai yang payah nak berpuasa. Persoalan iman memang tak boleh disangkal malah tidak mampu berpuasa sebenarnya juga berpunca daripada ketidakbiasaan yang wujud di dalam diri. Lantaran, sebagai ibu dan bapa, anda sewajarnya mendidik anak anda berpuasa sejak dari kecil lagi.

Mulakan secara berperingkat
Mungkin ada yang bertanya, umur berapa tahun sebaiknya si anak diajar berpuasa. Realitinya, tidak ada dalil khusus dalam syariat yang menekankan mengenai mendidik anak berpuasa, berbeza dengan sembahyang. Rasulullah SAW menekankan agar ibu bapa menyuruh anak belajar sembahyang ketika berusia tujuh tahun dan sekiranya ketika berusia 10 tahun, si anak tadi enggan sembahyang maka si anak dibenarkan diberi hukuman dengan pukulan sekadar untuk mengajar atau menakutkan. Mengambil kira syarat berpuasa pula, diwajibkan kepada yang baligh iaitu usia bermula sembilan tahun. Namun, jika tak biasa dan hanya diminta si anak berpuasa tika telah diwajibkan, pastinya akan memberikan dugaan dan cabaran besar buat si anak.

Lantas, sebaiknya si anak diajar berpuasa bermula usia seawal empat atau lima tahun iaitu ketika si anak telah mampu untuk meluahkan isi hati mengenai keadaan dirinya. Ajarkan si anak berpuasa secara bertempoh. Boleh mulakan dengan bersahur kemudian tidak mengambil sarapan dan berbuka tika waktu makan tengahari. Seterusnya biasakan dengan tempoh yang lebih lama, mungkin berbuka tika azan waktu solat Asar dan akhirnya cukup sehari dengan berbuka ketika masuknya waktu solat Maghrib. Membiasakan diri sebegini akan dapat memberikan kekuatan kepada si anak untuk berpuasa penuh dan tak terlalu ‘sakit’ tika menghadapi puasa yang sebenar. Paling penting, si anak yang telah terbiasa berpuasa akan rasa ralat jika sengaja meninggalkannya.

Janjikan ganjaran
Tidak salah jika ibu bapa menjanjikan suatu ganjaran buat si anak sekiranya berpuasa. Sebagai contoh, jikia si anak baru belajar berpuasa, boleh dijanjikan RM10 jika dapat berpuasa penuh sehari dan RM5 jika dapat berpuasa separuh hari. Jika anak telah berusia tujuh tahun, tika tempoh disiplin diri sewajibnya ditekankan menurut syariat (mengambil kira perintah solat), janjikan hanya jika si anak berpuasa penuh dan tidak akan memperolehi sebarang ganjaran jika berpuasa separuh hari.

Selain ganjaran berbentuk wang, si anak yang berpuasa boleh dijanjikan dengan ganjaran mengikut kehendak hatinya. Mungkin si anak berminat untuk menikmati hidangan tertentu atau memperolehi sesuatu maka cabarlah si anak untuk berpuasa penuh dan kehendak hatinya akan dipenuhi. Namun, ganjaran hanya sesuai untuk anak yang baru belajar berpuasa dan di bawah umur baligh. Jika si anak telah baligh, perlu bertegas menyuruh si anak berpuasa bagi melaksanakan perintah Allah dan bukan demi ganjaran semata-mata. Tika si anak berusia sembilan tahun, tak perlu dijanjikan sebarang ganjaran namun boleh diwujudkan ganjaran tersebut sebagai kejutan saat akhir iaitu diserahkan tanpa si anak maklum terlebih dahulu tika hari raya sebagai pendidikan bahawa berpuasa adalah perintah Allah yang wajib ditunaikan dan sebagai ibu bapa, ganjaran anda berikan kerana berbangga dengan prestasi si anak dalam usaha menjadi anak yang soleh atau solehah.

Wujudkan persaingan
Selain ganjaran, ibu bapa juga boleh wujudkan persaingan sihat antara anak-anak, jika memiliki lebih daripada seorang anak. Malah, andai memiliki hanya seorang anak yang boleh dilatih berpuasa, masih boleh wujudkan persaingan antara si anak dengan sepupunya dan boleh juga wujudkan persaingan dengan diri anda sendiri. Contohnya, anda boleh ceritakan kepada anak anda mengenai kisah anda belajar berpuasa tika kecil dulu tetapi pastikan si anak mendapat manfaat dan semangat, bukan menjadikan si anak lebih tidak minat berpuasa. Mungkin boleh ceritakan mengenai anda yang tidur hampir seharian kerana nak juga mempertahankan puasa dan selitkan, anda yakin anak anda akan lebih bersemangat sebab anda kenal anak anda sebagai seorang yang lebih kuat berbanding tika anda kecil dahulu. Secara tidak langsung, si anak akan rasa tercabar untuk menandingi kehebatan anda ketika kecil seterusnya akan menjadikan anda berbangga dengan dirinya.

Berikan perhatian dan pujian
Bagi seorang kanak-kanak, mainan atau wang yang diberikan sebagai ganjaran berpuasa tidaklah sehebat mana dibandingkan dengan pujian dan perhatian yang diperolehinya daripada anda sebagai ibu atau bapa. Lantas, dalam kekalutan anda bekerja juga kepenatan anda berpuasa, pastikan anda tetap memberikan perhatian kepada anak anda. Anda boleh ambil tahu mengenai perasaannya selepas berjaya berpuasa, boleh juga ambil tahu hidangan yang diidamkan untuk dinikmati tika berbuka, boleh juga tanyakan menu kegemaran untuk menambah selera ketika bersahur. Perhatian yang anda berikan akan menambah semangat si anak untuk berpuasa kerana yakin, susah payahnya berusaha untuk berpuasa dihargai oleh anda.

Ingat! Anak-anak kecil masih belum faham konsep pahala dijanjikan Allah Taala lantas sebagai ibu bapa, biasakan dengan ganjaran dunia ketika si kecil belajar berpuasa tetapi tetap masukkan dalam minda mereka, puasa mereka dinilai oleh Allah sebagai pahala untuk kehidupan abadi di syurga kerana anak-anak yang masih suci ini boleh memahami keindahan syurga dan kehidupan abadi di sana nanti, insyaAllah.

Jangan paksa
Paling penting, jangan paksa anak anda berpuasa. Jika keadaan dikenal pasti sebagai tidak menyokong usaha anak anda untuk terus berpuasa seperti keletihan yang melampau sebab tidak bersahur, pujuk si anak berbuka. Perlu pastikan anak anda sentiasa dalam keadaan yang dijamin kesihatan dan keselamatannya. Tanamkan dalam minda, anak anda baru belajar berpuasa...

20 Mei 2013

Bengkel Pengendalian Kes di Mahkamah Syariah

Ada kes di Mahkamah Syariah? Pening tak tau nak hadapinya? Sertai Bengkel Pengendalian Kes Di Mahkamah Syariah: 

Tarikh: 7 Julai 2013
Masa: 8.00am hingga 6.30pm
Tempat: Bilik Seminar, The Mind Village, Kota Damansara
(bersebelahan dengan Galeri Ilmu Sdn Bhd)
Yuran: RM280 per individu

Aturcara:
08.00am – Pengesahan Pendaftaran
08.15am – Bacaan Doa al-Ma’thurat
08.30am – Bengkel 1 – Tuntutan Cerai, Pengesahan Cerai dan Khuluk
10.00am – Minum Pagi
10.30am – Bengkel 2 – Tuntutan Takliq dan Fasakh
01.00pm – Makan tengahari dan Solat Zohor
02.00pm – Bengkel 3 – Tuntutan Hak Jagaan Anak dan Nafkah Anak
03.30pm – Bengkel 4 – Tuntutan Nafkah Eddah, Mut’ah, Harta Sepencarian dan Hutang Perkahwinan
05.00pm – Solat Asar dan Minum Petang
05.30pm – Bengkel 5 – Nusyuz dan Perintah Kembali Taat
06.30pm – Bersurai

Perbincangan menyeluruh mengenai prosedur dan tatacara pengurusan kes mal (perkahwinan) merangkumi kes tuntutan cerai, takliq, fasakh, khuluk, hak jagaan anak, tuntutan nafkah eddah, mut’ah, nafkah anak, harta sepencarian dan hutang perkahwinan. Ketahui juga mengenai nusyuz dan perintah kembali taat. Anda juga akan diajar mengenai dokumentasi dan pembuktian yang perlu dikemukakan bagi menyokong kes anda.

Cepat! Daftar segera! Tempat terhad kepada 25 peserta sahaja.

Untuk pendaftaran, bayar RM130 ke akaun akaun Bank Islam 120650 10035871 atas nama Bina Bahagia Services kemudian SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama penuh, no KP dan alamat lengkap anda ke talian 013-2545965. Baki bayaran RM150 dibayar pada hari program. Bayaran tidak akan dikembalikan tetapi boleh digantikan dengan peserta lain. Terima kasih atas sokongan dan kerjasama rakan2...(",)

21 April 2013

Suami rimas isteri obses dengan kebersihan



Soalan Dilema Perkahwinan, Pa&Ma bulan Februari 2012

"Isteri terlalu obses dengan kebersihan sehingga membuatkan saya rimas apabila berada di rumah. Setiap apa yang saya lakukan perlu dibersihkan serta-merta. Bagaimana mahu mendidik dia agar tidak terlalu memikirkan kebersihan sepanjang masa?"

JAWAPAN:

Daripada Abu Malik al-Haris ibn `Asim al-Asya'arie r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman. Ucapan zikir al-Hamdulillah memenuhi neraca timbangan. Ucapan zikir SubhaanaLlah dan al-Hamdulillah kedua-duanya memenuhi ruangan antara langit dan bumi. Sembahyang itu adalah cahaya. Sedekah itu adalah saksi. Sabar itu adalah sinaran. Al-Quran itu adalah hujah bagimu atau hujah ke atasmu. Setiap manusia keluar waktu pagi, ada yang menjual dirinya, ada yang memerdekakan dirinya dan ada pula yang mencelakakan dirinya.” - hadis riwayat lmam Muslim.

Saya ingin menarik perhatian tuan yang bertanya dan para pembaca semua kepada ayat pertama dalam terjemahan hadis yang saya kongsikan di awal jawapan ini iaitu “kebersihan itu sebahagian daripada iman...”. Saya yakin, ramai yang maklum mengenai maksud hadis ini. Hakikatnya, kebersihan mengambil banyak ruang keimanan kerana bersih itu adalah sesuatu yang mulia dan disukai bukan saja oleh Rasulullah SAW tetapi juga oleh Allah SWT. Di dalam surah at-Taubah ayat 108, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Di dalamnya ada orang-orang yang ingin membersihkan diri. Dan Allah menyukai orang-orang yang bersih.”

Saya yakin, semua individu di dunia hari ini sukakan kebersihan. Tak mungkin wujud cantik dan indah andai tidak disertai dengan bersih. Sepohon mawar yang mekar dan segar pasti takkan sedap mata memandang persekitarannya tidak bersih. Lantas, sikap isteri tuan memang boleh dipuji kerana dia menghargai kebersihan dan keindahan yang sememangnya menjadi tuntutan syariat malah disarankan juga oleh ugama lain di dunia ini.

Merujuk kepada kes; persoalan utamanya ialah ‘isteri yang terlalu obses dengan kebersihan’ dan huraian bagi maksud obses ini seperti yang dikongsikan ialah Setiap apa yang saya lakukan perlu dibersihkan serta-merta.” Jika hanya itu penjelasannya mengenai obses yang dimaksudkan, saya tak nampak ada alasan wajar untuk anda dan saya ‘mendidik isteri anda agar tidak terlalu memikirkan kebersihan sepanjang masa’ kerana jelas sekali, obses isteri anda adalah bertempat. Saya tidak tahu status sebenar isteri anda; maksud saya ialah sama ada isteri anda suri rumah sepenuh masa atau isteri dwi kerjaya. Biarpun status itu memberikan dua keadaan berbeza tetapi faktanya adalah sama. Jika isteri anda seorang isteri dwi kerjaya, sudah pastilah dia mementingkan kekemasan dan kebersihan dan meminta anda membersihkan serta-merta saki baki hasil kerja anda sebagai satu cara agar bebannya untuk mengemas dan membersihkan semula dapat dikurangkan. Andai isteri anda suri rumah sepenuh masa, alasannnya juga sama iaitu agar bebannya untuk mengemas dan membersihkan semula dapat dikurangkan juga.

Ingat! Isteri bukan tukang kemas. Isteri juga bukan tukang cuci. Ya, amalan tradisi masyarakat kita, bukan saja orang Melayu malah juga kaum-kaum lain meletakkan tanggungjawab mengemas dan membersih di bahu kaum wanita atau lebih tepat lagi para isteri. Hakikat sebenarnya, kerja mengemas dan membersih rumah dan kawasan persekitarannya adalah tanggungjawab bersama suami dan isteri bermaksud suami dan isteri perlu sama-sama menggembeling tenaga untuk melaksanakan urusan tersebut. Dalam kes dikongsikan kali ini, saya yakin penggembelingan tenaga tersebut berlaku cuma si suami merasakan isterinya terlalu mendesak.

Bagi saya pula, tiada desakan atau paksaan jika si suami benar-benar memahami maksud kemas dan bersih. Sememangnya agama malah adat dan budaya masyarakat Malaysia sejak zaman berzaman menitikberatkan agar BERSEGERA dalam melaksanakan setiap urusan apatah lagi urusan berkaitan kekemasan dan kebersihan. Andai ditangguhkan, sudah pasti saki baki kerja tadi akan nampak tidak kemas, comot, tak bersih malah tak sedap mata memandang. Jika tangguhan demi tangguhan berlaku akan menyebabkan keadaan menjadi tunggang langgang dan tidak teratur maka jadilah luahan ayat popular ‘seperti tongkang atau kapal pecah’. Keadaan ini juga akan menyebabkan proses mengemas dan membersih mengambil masa yang lama, memenatkan dan lebih merimaskan.

Buat tuan yang bertanya dan individu lain di luar sana yang mungkin mempunyai masalah serupa; bersikaplah secara terbuka dan berlapang dada. Fahami dan terima tabiat baik dan mulia yang diamalkan oleh pasangan anda. Bila dah tau sikap buruk anda (dalam perbincangan ini ialah tidak suka kemasan serta merta) tidak digemari oleh pasangan anda, usahakanlah untuk berubah. Ya! Mungkin anda telah terbiasa dengan sikap menangguhkan urusan mengemas dan membersih namun peringatan saya: Jangan hipokrit mengatakan: "aku memang macam ni!" kerana 'macam' tersebut boleh menjadi macam-macam jika berkehendak! Ingat! Hendak seribu daya! Mahu seribu cara! Sikap individu memanng dibina melalui didikan, persekitaran dan kebiasaan dalam cara hidup. Namun, seperti kuih yang dibentuk melalui acuannya; bentuk kuih masih boleh diubah kan? Sama rasa, lain bentuknya! Sama jugalah dengan kita bernama manusia; juga masih boleh mengubah sikap jika ia lebih baik untuk diri dan insan yang disayangi.
 
TETAPI andai obses yang tuan maksudkan adalah lebih buruk daripada desakan mengemas dan membersih serta merta iaitu mudah berasa jijik dan kotor walau dengan perkara yang kecil dan tidak jelas atau lebih mudah dipanggil ‘penyakit was-was’; sememangnya isteri tuan perlu dirawat. ” Firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun ayat 97-98 bermaksud: “Dan katakanlah: Ya Tuhanku, aku berlindung kepada Engkau dari bisik rayuan syaitan. Dan aku berlindung, ya Tuhan, dari kehadiran syaitan itu kepadaku..” Perlu dimaklumi, antara bisik rayuan syaitan ialah meniupkan rasa ragu atau was-was dalam urusan berkaitan kebersihan. Was-was bukanlah satu sikap normal atau biasa sebaliknya was-was adalah satu penyakit berbahaya dan perlu diatasi dengan segera.

Antara sebab boleh timbulnya penyakit was-was ialah jahil dalam agama, lalai dalam ibadah, terlalu berhati-hati, lemah iman di samping terpedaya godaan syaitan. Syaitan memang suka jika manusia sentiasa berasa ragu mengenai kebersihan kerana rasa ragu ini akan menyukarkan seseorang itu untuk melaksanakan ibadah kepada Allah. Rasa ragu juga menyebabkan seseorang terlalu obsess dengan kebersihan sesuatu yang akan membuatkannya bertindak membersih dan membersih lagi dan membersih lagi walau hakikatnya bagi pandangan manusia normal, tempat atau sesuatu itu telah sempurna bersih dan kemas. Bagi menangani penyakit was-was ini, tuan boleh ajarkan isteri untuk mengamalkan doa yang diajarkan oleh para ulama yang bermaksud: Ya Allah! Lindungilah aku daripada syaitan. Ya Allah! Jagalah aku daripada syaitan. Ya Allah!Ttolonglah aku untuk mengingati-Mu yakni sentiasa berzikir kepada-Mu, untuk bersyukur kepada-Mu dan menambahbaikkan ibadah kepada-Mu. Ya Allah! Jagalah aku daripada tipu daya musuh-Mu yakni syaitan.”

Isteri tuan juga perlu memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT, banyakkan membaca al-Quran dan sentiasa memohon bantuan Allah SWT ketika diterjah dengan penyakit was-was. Antara amalan yang boleh dolakukan ketika diterjah penyakit was-was ini ialah dengan meludah ( iaitu meniup dengan sedikit ludah sahaja) ke kiri tiga kali dan berta’awwuz daripada gangguan syaitan sebanyak tiga kali (menyebut ‘auzubillahi minassyaitonir rajim). Diriwayatkan; ketika Usman bin Abil As-Tsaqafi r.a mengeluh kepada Rasulullah SAW  tentang was-was yang dialaminya, Rasulullah SAW memerintahkannya untuk meludah ke kiri tiga kali dan berta’awwuz kepada Allah SWT. Usman pun melakukan saranan Rasulullah SAW dan dengan izin Allah SWT, rasa was-was Usman hilang.

Paling penting; perlu ada keyakinan dalam diri sendiri. Berdoa sahaja tidak cukup jika isteri tuan malah sesiapa sahaja di luar sana yang mempunyai penyakit was-was ini tidak berusaha untuk mengubah diri menjadi yang lebih baik. Ingat! Was-was itu puncanya daripada syaitan lantas jangan benarkan syaitan menguasai diri dan minda anda. Benarlah bersih itu tuntutan syariat tetapi bukan kebersihan atau kekemasan yang melampau dan luar biasa. Islam adalah agama yang syumul yakni sempurna tetapi mudah dan tidak menyusahkan dan sebaik-baik amalan menurut tuntutan syariat ialah pertengahan atau sederhana, bukannya melampau! Moga kita semua dapat hidup dengan aman sejahtera bersama kekemasan dan kebersihan yang menyedapkan pandangan dan menenangkan hati tanpa wujudnya tekanan tak perlu dan tak wajar.