09 November 2011

Seminar Wanita Perkasa 1 Feb 2012

SEMINAR WANITA PERKASA:
PERKASA DIRI, PERKASA MINDA, PERKASA KEWANGAN

ANJURAN

Panel Guaman dan Perundingan Syariah

dengan kerjasama

Bina Bahagia Services


PENGENALAN

Statistik yang dikeluarkan oleh JAKIM menyatakan kadar perceraian meningkat tahun demi tahun. Kajian menunjukkan bila berlakunya perceraian, ramai wanita yang kehilangan arah hidup. Bukan saja mereka yang diceraikan malah para isteri yang menghadapi ujian hidup berumahtangga juga gagal mengambil langkah positif bagi menghadapi kemelut tersebut. Lantaran; seminar ini diharapkan mampu memberi sinar dan harapan buat wanita-wanita sedemikian.


OBJEKTIF

  1. Menegaskan wanita mungkin lembut tetapi bukan insan yang lemah
  2. Membina kekuatan dan keyakinan diri untuk mendepani hari muka
  3. Membentuk jati diri wanita berteraskan ilmu dan bimbingan
  4. Membekalkan panduan menjana kewangan diri


TARIKH

1hb Februari 2012


TEMPAT

Balai Ilmu, Akademi Pengajian Islam, UM.


PEMBENTANG DAN TOPIK

  1. Ustaz Pahrol Mohd Juoi – Wanita bagaikan permata
    • Ceramah motivasi khusus untuk memberikan penerangan bahawa wanita mempunyai hak untuk hidup bahagia dan bahagia setiap individu itu adalah tersendiri. Wanita bukan insan lemah sebaliknya adalah makhluk dicipta oleh Allah dengan kekuatan dan kegagahan yang unik yang tidak ada dalam diri lelaki.

  1. Dr Raihanah Abdullah - Wanita sebagai isteri: hak vs tanggungjawab
    • Isteri bukan sekadar teman tidur suami sebaliknya mempunyai hak lain yang disenaraikan oleh hukum syarak dan undang-undang. Isteri juga mempunyai tanggungjawab yang patut dilaksanakan dan tidak perlu mengambil alih tanggungjawab suami.

  1. Hjh Rohani Dato’ Mohd Shahir – Wang dicipta bukan dicari
    • Isu yang menghantui wanita ialah kewangan sama ada wanita tersebut bekerja atau hanya sebagai suri rumah. Hakikatnya, wang bukan dari tangan suami, bukan juga dari majikan. Wang bukan dicari tapi dicipta. Bagaimana? Langkah untuk menguruskan wang anda?

  1. Suzana bt Ghazali – Tangani Keganasan Nikmati Kebahagiaan
    • Keganasan dalam rumahtangga bukan hanya sepak terajang atau penampar sebaliknya terdapat lima konsep keganasan yang boleh dialami oleh kaum wanita. Atasi setiap keganasan ini menggunakan undang-undang dan psikologi kerana ia bukan penghalang wanita untuk mencapai bahagia dalam hidup di dunia malah akhirat sana.


AGENDA

8.00am - Pengesahan Peserta

8.30am - Pembentangan Pertama

10.00am - Perasmian + Minum pagi

11.30am - Pembentangan Kedua

01.00pm - Rehat + Makan tengahari + solat

02.15pm - Pembentangan Ketiga

03.45pm - Pembentangan Keempat

05.15pm - Penyerahan Sijil dan Penutup

05.30pm - Majlis bersurai



YURAN PENYERTAAN

Individu: RM250

Berkumpulan: Minima 5 peserta RM230 per individu




PENDAFTARAN

Untuk pendaftaran, sila bank in RM100 (per individu - tidak dikembalikan tetapi boleh ditukar peserta) ke akaun
Bank Islam 120650 10035871 atas nama Bina Bahagia Services kemudian SMSkan PERKASA beserta nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama anda, no kad pengenalan dan alamat lengkap ke talian 013-2545965. Anda akan dikirimkan surat pengesahan yang perlu anda bawa untuk pengesahan peserta pada hari program nanti. Baki yuran perlu dijelaskan semasa pengesahan peserta.

PENYERTAAN TERHAD! DAFTAR SEGERA!!

03 November 2011

Bersemuka di Sungai Petani 8-11 Nov

Sempena cuti Eidil Adha akan datang ini, saya akan menerima temujanji bersemuka di Sungai Petani mulai 8hb hingga 11hb November.

Bagi rakan2 di sebelah utara, bolehlah bersemuka dengan saya pada tarikh2 tersebut. Untuk booking, sila bank in RM100 ke akaun
Bank Islam 120650 10035871 atas nama Bina Bahagia Services kemudian SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama anda ke talian 013-2545965 dan nyatakan anda sama ada inginkan temujanji bersemuka di SP. Bayaran tambahan RM50 akan dikenakan usai temujanji selama 90 minit. Tempat tepat akan diberitahu selepas sah temujanji (bayaran dibuat).

Buat rakan2 di Lembah Klang, temujanji bersemuka di Pejabat Panel Guaman dan Perundingan Syariah, APIUM akan diterima semula bermula 14hb November.

Temujanji menerusi panggilan telefon atau chat Yahoo Messenger berjalan mengikut jadual biasa. Sila bank in RM100 ke akaun
Bank Islam 120650 10035871 atas nama Bina Bahagia Services kemudian SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama anda ke talian 013-2545965 dan nyatakan anda sama ada inginkan temujanji menerusi telefon atau chat YM.

Sempena Eidil Adha, talian 013-2545965 akan bercuti pada 7hb sahaja. Anda boleh menghubungi talian tersebut mulai 8hb November.

Salam Eidul Adha buat semua....

12 Oktober 2011

Dilema isteri bila suami dibuang kerja

Soalan Dilema Perkahwinan majalah Pa&Ma Januari 2011.

"Usia perkahwinan atas dasar cinta saya baru masuk 6 tahun. Dua tahun kebelakangan ini, suami mula mengabaikan tanggung jawabnya sebagai suami lantaran tidak mencari nafkah selepas dibuang kerja. Hal ini merungsingkan saya apatah kami ada dua orang anak yang sedang membesar. Apa yang patut saya lakukan agar dia kembali rajin bekerja dan melunaskan tanggung jawab yang patut dipikulnya? Setakat ini, saya masih bertahan dan jika boleh tidak mahu menuntut cerai daripadanya."

JAWAPAN:

Puan yang bertanya serta sidang pembaca yang dihormati. Saya yakin, ramai yang maklum dengan maksud firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 34: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka.”

Diceritakan pula, seorang sahabat bernama Hakim bin Muawiyyah bin Hidah al-Qusyairi r.a pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami? Rasulullah SAW bersabda: Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian.” - hadis riwayat Abu Daud.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang yang mampu memberi nafkah hendaklah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka dia hendaklah memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu).” – surah al-Talaq ayat 7.

Dalil-dalil ayat al-Quran dan al-Hadis yang saya kemukakan pada awal jawapan kali ini adalah antara bukti seorang suami WAJIB dan MESTI bekerja dan berusaha untuk menyediakan segala keperluan isteri dan anak-anaknya, tidak kira si suami berada dalam apa jua keadaan sekalipun. Malah jika suami seorang yang cacat anggota, tanggungjawab mencari nafkah keluarga tetap wajib dan mesti, bezanya memadai diusahakan menurut dayanya.

Secara jelas, antara sebab para isteri perlu menghormati suami ialah kerana suami dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT untuk membelanjakan wangnya bagi menampung segala keperluan isteri dan anak-anak. Sememangnya seorang suami bertanggungjawab menyediakan segala keperluan harian isteri dan anak-anak merangkumi makan minum, pakaian, tempat tinggal, ilmu dan pendidikan, perubatan dan kesihatan serta segala jenis keperluan seorang isteri dan anak-anak menurut kemampuan si suami. Saya tegaskan; KEPERLUAN dan bukan kemewahan.

Kadar pemberian nafkah mengikut kemampuan seorang suami bermaksud suami tidak wajar membebankan dirinya melebihi dari kemampuannya yang sebenar. Maksud membebankan diri di sini ialah melakukan sesuatu yang melebihi kemampuan atau di luar upaya suami. Sebagai contoh berhutang dengan mana-mana pihak bagi merealisasikan kehendak isteri yang melampau. Bermaksud juga; ketidakupayaan disebabkan tidak bekerja selepas dibuang kerja tidak termasuk di dalam kadar kemampuan yang dibenarkan syarak. Kembali kepada persoalan kes kali ini; suami puan adalah termasuk golongan suami yang dengan sengaja telah cuai dan mengabaikan tanggungjawab yang wajib dalam hal memberi nafkah zahir.

Berdepan kes seperti ini, perkara yang paling penting untuk para isteri lakukan ialah sentiasa sedarkan suami mengenai tanggungjawabnya. Adakan perbincangan hati ke hati, luahkan ketidakselesaan anda mengenai pengabaian tanggungjawab yang sedang dilakukan suami. Jelaskan mengenai keperluan anda dan anak-anak yang sepatutnya menjadi tanggungannya. Jika anda berkemampuan sekali pun, tanggungjawab suami tetap tidak berubah; masih tetap wajib dan perlu membiayai segala keperluan isteri dan anak-anak.

Suami sukar berbincang? Boleh luahkan suara hati dan emosi anda melalui surat dan serahkan kepadanya. Boleh juga melalui emel cuma perlu pastikan, sama ada surat atau emel, luahan hati anda dibaca dengan meletakkan satu jaminan di penghujung luahan hati anda itu. Jaminan tersebut boleh berupa satu masa tertentu untuk anda berbincang semula mengenai luahan hati anda itu. Berikan masa maksima tiga hari, jika suami berdiam, tanyalah mengenai masa yang sesuai tersebut. Jika suami faham dan mengerti, bererti dia membaca sepenuhnya luahan anda. Jika sebaliknya, bermaksud dia tak endahkan luahan hati anda dan sudah tiba masanya untuk anda merayu.

Carilah masa yang sesuai untuk anda meluahkan segala isi hati anda dalam nada rayuan dan memohon belas kasihan. Luahkan kesedihan anda kerana suami tidak berusaha jalankan tanggungjawabnya yang wajib seperti yang telah dijanjikan tika sama-sama menjejak mahligai bahagia selepas akad nikah disahkan. Merayu, bukan marah-marah atau berkeras. Ada jenis suami yang kalah dengan rayuan dna tangisan si isteri. Namun, jika suami anda bukan jenis yang boleh dibawa berbincang, bukan juga jenis yang nak baca luahan atau dengar rayuan isteri, usahakan untuk temukan suami dengan pihak ketiga bermula dengan pegawai penasihat di pejabat agama berkaitan.

Ingat ya! Pejabat agama melalui Unit Aduan dan Kaunseling bertanggungjawab untuk memberikan khidmat nasihat agar hubungan perkahwinan yang bermasalah dapat dipulihkan, bukan untuk perceraian. Jika suami masih enggan mendengar nasihat pegawai berkaitan, dapatkan pula bantuan ahli keluarga suami. Elakkan menceritakan masalah rumahtangga anda terus kepada keluarga, tak kira keluarga anda atau keluarga suami. Biarlah keluarga menjadi tempat rujukan terakhir sebab risikonya lebih besar jika keluarga tahu kekalutan rumahtangga anda dengan lebih cepat.

Anda perlu ingatkan keluarga suami; jika suami masih tetap gagal menjalankan tanggungjawabnya, mereka bertanggungjawab mengambil alih tanggungjawab suami anda. Peringatan ini perlu agar keluarga suami berusaha keras untuk mengubah sikap suami. Setelah suami diberikan peringatan oleh keluarganya, anda sudah boleh berikan tempoh masa untuk suami berubah. Tak perlu tunggu lama, memadai tempoh maksima tiga bulan agar suami berubah pendirian dan sikap serta berusaha untuk tunaikan tanggungjawabnya yang wajib.

Ingat ya!! Pastikan suami berusaha sedaya upaya untuk tunaikan tanggungjawab. Jangan berikan kadar minima tertentu untuk dia buktikan perubahannya tetapi boleh diterima perubahan sedikit demi sedikit tetapi pastikan ke arah yang lebih baik. Sebagai contoh; anda boleh tetapkan, dalam tempoh tiga bulan bermula hari ini, suami perlu usahakan untuk bekerja dan tunaikan tanggungjawabnya sebagai suami sepenuhnya. Jika suami bekerja tetapi pendapatan hanya dapat menampung sebahagian kecil keperluan keluarga, berikan sokongan agar suami terus berusaha! Jika suami layak dapatkan pekerjaan yang lebih baik, bertahan dengan pekerjaan sedia ada tetapi dalam masa yang sama, usahakan untuk dapatkan pekerjaan yang lebih baik.

Hingga tempoh itu, suami boleh usahakan kerja-kerja sampingan lain di luar waktu kerja. Penting!! Pastikan berapakah pendapatan sebenar kerja tetap suami, apakah pekerjaan sampingannya dan berapakah pula pendapatan sampingannya itu? Maklumat ini penting agar hak anda dan anak-anak terbela, agar suami tidak tersasar daripada peranannya yang sebenar sebagai suami dan bapa. Daripada jumlah tersebut, tetapkan berapa yang perlu diberikan kepada anda dan anak-anak. Jika anda masih perlu membantu, catatkan ia sebagai hutang yang perlu dibayar bila suami berkemampuan. Ini bukan hal berkira tetapi ia adalah kehendak syarak. Isteri boleh membantu tapi jangan sampai suami lupa diri.

Sekiranya nasihat keluarga sendiri juga tidak dipeduli oleh suami, jalan terakhir ialah dengan mendapatkan perintah daripada Mahkamah Syariah, bukan untuk bercerai tetapi perintah agar suami dan mereka yang bertanggungjawab (ahli keluarga suami) memberikan jumlah nafkah yang perlu dan patut kepada anda dan anak-anak. Jika suami anda masih mempunyai bapa, maka bapa suami anda bertanggungjawab mengambil alih tanggungjawab suami anda. Jika bapa suami anda tidak berdaya, tanggungjawab boleh dibebankan pula kepada saudara lelaki suami – abang atau adik- mereka tak mungkin dapat menafikan tanggungjawab tersebut kerana mereka adalah waris keras dan turut bertanggungjawab ke atas anda dan anak-anak.

Di samping segala ikhtiar, panjatkan doa kepada Allah mohon bantuan agar segala usaha dan ikhtiar anda dimudahkan. Berdoalah, jika suami anda masih baik untuk perkahwinan anda, untuk anda dan anak-anak anda, ubahkan sikap suami anda menjadi suami yang soleh dan bertanggungjawab. Jika sebaliknya, berikan anda petunjuk dan kekuatan untuk hadapi apa jua keputusan yang terbaik yang ditentukan-Nya untuk anda.

Buat para suami; ingatlah!! Malaikat akan melaknat para suami yang tidak menafkahkan hartanya kepada ahli keluarganya. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidaklah para hamba berada di waktu pagi melainkan ada dua malaikat yang turun. Salah satu dari mereka berdoa: Ya Allah! Berikanlah kepada orang yang menafkahkan hartanya balasan yang lebih baik. Sedangkan malaikat yang lain berdoa: Ya Allah! Berikanlah kebinasaan kepada orang yang menahan hartanya (tidak mahu menafkahkannya).” - hadis riwayat al-Bukhari.

Sabda Rasulullah SAW lagi: “Cukuplah seseorang itu dianggap berdosa apabila suami mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya.” – hadis riwayat Abu Daud.