10 Februari 2013

Dilema suami diabaikan isteri

Soalan Dilema Perkahwinan, majalah Pa&Ma, Januari 2012:

"Sebulan selepas bernikah, isteri saya hamil. Kemudian kami menimang cahaya mata. Sejak bergelar suami, saya tidak pernah dilayan seperti yang selayaknya. Sejak hamil, isteri sibuk dengan kehamilannya. Kini, dia sentiasa sibuk melayan anak. Ini membuatkan saya lama-kelamaan menjadi bosan dengan sikapnya yang lupa pada tanggung jawab sebagai isteri."

JAWAPAN:

Fitrah seorang manusia mahu dilayan sebaiknya sebagai manusia iaitu difahami, diterima, dihormati, disayangi, diberi perhatian, diberi sokongan dan dipercayai. Fitrah ini sama sahaja kepada semua tak kira dia lelaki atau wanita. Meneliti hikmah perkahwinan pula, isteri bertanggungjawab untuk membahagiakan si suami malah si suami juga bertanggungjawab untuk membahagiakan si isteri. Biarpun akad perkahwinan di dalam Islam tidak memperincikan mengenai kesanggupan untuk meneruskan hidup dalam susah senang bersama-sama seperti lafaz ijab dan qabul bagi perkahwinan Mat Saleh, hakikatnya lafaz ijab dan qabul dalam perkahwinan Muslim adalah lebih besar dan bermakna.

Merujuk kepada kes, jelas tuan tidak menerima hak yang sepatutnya daripada seorang isteri. Menurut hukum syarak, seorang isteri berkewajipan untuk melayan suaminya dengan baik dalam erti kata melayani kehendak seks suami dan menyenangkan hati si suami. Saya yakin, si isteri sedar dan faham mengenai tanggungjawab ini cuma menghadapi beberapa kekangan untuk melaksanakannya.  Kita perhatikan kronologi kes. Tuan menyatakan perubahan berlaku terhadap layanan isteri kepada tuan selepas isteri disahkan hamil. Saya tidak pasti bagaimana isteri tuan melalui proses kehamilannya namun kebiasaannya, pengalaman pertama kehamilan adalah satu perkara amat bermakna malah berbeza.

Ada wanita yang mengalami alahan yang teruk hingga tidak berupaya untuk dekat dengan suami. Maksud saya, kepenatan yang dialami kesan alahan melampau menyebabkan si isteri tidak mampu untuk melayan kehendak batin si suami lantas si isteri cuba menjauhkan diri. Keadaan alahan tersebut juga membuatkan si isteri lebih menumpukan kepada urusan menjaga kehamilannya. Selepas bersalin pula, isteri mempunyai tambahan tanggungjawab sebagai seorang ibu pula. Bayi anda perlu diberikan perhatian sepenuhnya, bukan sekadar menyusukan dan membiarkan begitu sahaja. Biarpun begitu, bukan bermaksud si isteri yang telah menjadi ibu tidak lagi berpeluang atau mempunyai masa untuk melayan kehendak suami.

Berpandukan kes-kes yang pernah saya kendalikan, seorang isteri yang baru bersalin terutama bersalin secara normal akan mengalami satu fobia; bimbang alami kesakitan jika melakukan hubungan seksual bersama suami. Ada kes, isteri perlukan masa hampir satu tahun untuk kembali melakukan hubungan seksual dengan suami. Jangan ambil mudah! Isteri bersalin ibarat seperti menyabung nyawa. Setiap bayi yang lahir atau keluar melalui saluran yang sepatutnya bukan melalui satu jalan yang lurus dan kosong. Alat kelamin wanita mempunyai lapisan yang unik dan sekiranya ia terhiris atau luka, memang mengambil masa yang lama untuk sembuh.

Lantaran, hukum syarak menetapkan adanya tempoh nifas, bukan sekadar untuk mengeluarkan darah kotor kesan daripada kehamilan tetapi sebagai peluang untuk menyembuhkan semula saluran faraj wanita. Adat masyarakat kita juga menentukan tempoh berpantang 44 hari minima dan 100 hari maksima sebagai memberi peluang agar wanita membina semula keyakinan dan kekuatan diri. Wanita pula mempunyai semangat dan kekuatan yang berbeza. Jika ada yang berupaya untuk pulih segera, hari ke 45 suami dah boleh bersamanya semula. Bagi yang lambat, isteri ini perlukan bimbingan dan sokongan.

Berdasarkan luahan tuan, saya tak nampak wujudnya perbincangan antara tuan dan isteri dalam menangani permasalahan ini. Untuk makluman tuan, masalah utama komunikasi sesama setiap insan termasuk suami dan isteri ialah memahami dan difahami. Sukarnya memahami sama saja dengan sukarnya untuk difahami. Jalan terbaik, berikan peluang kepada diri sendiri untuk memahami dan difahami. Jika anda sukar memahami; bertanya dan berbincanglah. Jika anda sukar difahami; jelaskan dan berterus teranglah. InsyaAllah! Sama2 memahami akan dikecapi.

Seperti kes tuan, jalan terbaik ialah tuan perlu luahkan kegelisahan dan keinginan tuan. Mohon pertimbangan isteri untuk memberi tuan peluang agar hajat dan kehendak batin tuan dapat dilangsaikan. Jangan luahkan dengan kasar dan keras tetapi luahkan dengan berhikmah. Tuan boleh mulakan dengan bersama isteri ketika isteri melayan anak tuan bermain. Sama-sama melayani kerenah si kecil bukan saja dapat merapatkan kembali hubungan tuan bersama isteri sebaliknya layanan dan perhatian tersebut juga merupakan hak seorang anak.

Ya! Tuan kini bukan lagi hanya seorang suami tetapi juga adalah seorang ayah. Tuan wajib melayan anak tuan, memberinya perhatian, kasih sayang dan belaian. Jika tuan usahakan untuk bersama melayani si anak, pasti isteri punya masa lebih untuk melakukan kerja rumah yang pastinya juga dipertanggungjawabkan oleh tuan kepadanya. Kesan daripada itu akan memberikan isteri tuan luang masa yang lebih dan insyaAllah dia akan mampu untuk melayani tuan.

Tuan juga perlu berbincang dengan isteri mengenai kepuasan tuan dan dirinya dalam melaksanakan hajat batin masing-masing. Perlu difahami, terdapat perbezaan yang ketara antara kehendak batin suami dan kehendak batin isteri. Kebanyakan suami mempunyai kehendak batin yang tinggi dan selalu inginkan kehendak batinnya dipenuhi. Berbeza dengan isteri, kehendak batin isteri boleh ditoleransi. Jika penat, sedih atau mood yang tak menentu, isteri tak mengharapkan layanan untuk kehendak batin mereka.

Namun begitu, isteri juga berhak untuk merasa puas dan menikmati hubungan kelamin tersebut. Saya bimbang, isteri tidak berminat untuk melayan kehendak batin tuan kerana dirinya tidak merasai nikmat ketika berhubungan. Oppss! Jangan cepat melatah! Mampu hamil dan melahirkan bukan bukti kehendak seksual isteri telah dipenuhi sebaiknya. Jangan lupa, wanita yang dirogol juga boleh hamil. Kepuasan seorang isteri dalam menjalinkan hubungan seksual bersama suami diambil berat oleh syarak. Rasulullah SAW mengingatkan para suami dalam sabdanya yang bermaksud: “Jika seseseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula.” - hadis riwayat al-Suyuthi.

Kenapa? Kerana seorang isteri hanya mempunyai suaminya sahaja untuk menyempurnakan kehendak batinnya. Berbeza dengan suami, jika tak lagi ‘berselera’ dengan isteri yang ada, suami diberikan pilihan untuk mempunyai isteri baru yang dapat memenuhi hajatnya. Tuan perlu dapatkan penjelasan daripada isteri mengenai masalah ini. Andai isteri tidak mempunyai masalah berkaitan kepuasan cuma mohon lebih masa untuk kembali yakin dan percaya tentang seronoknya berhubungan biar selepas melahirkan; jangan putus asa!

Tika inilah tuan perlu mainkan peranan. Jangan biarkan isteri begitu sahaja. Rapat dengannya, bermesra macam biasa cuma jangan memaksanya untuk ‘bersama’. Lakukanlah aksi-aksi pra hubungan agar isteri rasa teruja dan timbul keinginan untuk bersama. Belajarlah teknik-teknik merangsang syahwat isteri. Usahakan beserta doa, insyaAllah akan ada penyelesaiannya.

Ingat! Rom tidak dibina dalam satu hari. Sama juga dengan bahagia hidup berumahtangga, perlukan masa berhari-hari, mungkin berbulan, mungkin juga bertahun. Terus berusaha dan bersabarlah melayani kerenah isteri. Ingat! Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya antara mereka dan yang paling baik adalah yang paling baik akhlaknya terhadap isteri-isterinya.” - hadis riwayat al-Tirmizi.

05 Januari 2013

Kembali percaya


Soalan Dilema Perkahwinan, Disember 2011

Bagaimana caranya untuk saya yakinkan hati untuk mempercayai kembali suami yang pernah curang? Saya telah memaafkan segala perbuatan curangnya terhadap saya tetapi masih tidak berjaya untuk melupakannya terus. Saya sedaya upaya cuba untuk mempercayainya semula tetapi perasaan curiga itu tetap ada.

JAWAPAN:

Sebelum saya kupas persoalan kali ini, ingin saya menarik perhatian para pembaca semua untuk memahami satu perkara: Minda atau daya ingatan kita sebagai manusia tak sama seperti memori komputer – bila tak nak boleh delete masuk recycle bin kemudian delete terus langsung payah nak dicari semula. Sebaliknya memori kita tak mungkin dapat bertindak seperti itu. Saya akui, memang sukar melupakan setiap detik yang dilalui dalam kehidupan kita. Saat gembira, detik kecewa, pengalaman manis, tragedi pahit, selalunya akan tetap kekal dalam ingatan. Paling tragis bila hadapi luka kekecewaan berpunca daripada pasangan. Ramai yang berusaha untuk melupakan cerita kecewa dan duka tersebut tetapi hampa, ia tetap kekal malah bertambah segar.

Saya pernah kongsikan; usaha anda untuk melupakan sesuatu sebenarnya adalah usaha anda untuk terus mengingati perkara tersebut. Ingat lawannya adalah lupa; ia berpunca dari satu sumber iaitu minda anda. Anda tak mungkin dapat melupakan dalam usaha anda untuk melupakan kerana ia lebih kepada satu proses untuk menambah ingatan terhadap perkara tersebut. Jalan terbaik ialah biarkan saja ingatan itu kekal. Bila ia mengganggu emosi anda, segera ubah situasi; tukarkan fokus anda kepada perkara lain. Jangan dilayan ingatan tersebut. Ingat! Bila anda bersedia untuk memulakan hidup baru dengan pasangan anda, betul-betul mulakan buku baru, bakar terus buku lama biar jadi abu.

Saya faham, memang sukar mempercayai sesiapa saja yang telah diketahui pernah menipu kita sebelumnya. Terus terang, saya sendiri juga sukar percaya namun sebagai manusia, kita sewajarnya MEMBERIKAN PELUANG kepada sesiapa sahaja apatah lagi kepada pasangan sendiri. Di dalam agama kita sendiri, Islam mengajar kita untuk memberi peluang kepada pasangan hidup kita. Semua maklum, cerai terbahagi dua iaitu cerai rajei dan cerai bain. Cerai rajei ialah cerai yang boleh dirujuk kembali tanpa akad baru di dalam tempoh eddah yang tertentu. Terdapat dua peluang untuk rujuk kembali sekiranya berlakunya perceraian rajei. Jika cerai bain pula, tidak boleh dirujuk sebaliknya perlu nikah semula kecuali bain kubra. Ringkasnya Islam mengajar umatnya untuk sentiasa memberi peluang kepada pasangan masing-masing demi keharmonian rumahtangga.

Lumrah hidup, setiap manusia mempunyai kekurangan dan kelemahan serta tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan lantas BERIKANLAH KEMAAFAN kepadanya. Anda dan pasangan anda adalah insan biasa, sama-sama mempunyai kelebihan dan kekurangan. Jika Yang Maha Kuasa boleh menerima taubat hamba-Nya, siapalah kita untuk mendabik dada enggan memaafkan insan lain. Berikan kemaafan yang lahir daripada hati, bukan sekadar angguk atau pengakuan lisan. Saya faham anda telah memaafkan tapi tolong koreksi diri, apakah anda benar-benar ikhlas memberi maaf? Anda perlu ikhlas ketika meluahkan “saya maafkan!!” atau apa sahaja ayat yang anda gunakan dengan tujuan memaafkan tersebut. Maafkanlah walau terlalu sukar untuk anda melupakan segala luka atau derita yang diberikannya kepada anda. Memaafkan adalah amalan yang amat mulia.

Rasulullah SAW, seorang yang maksum dan dijanjikan dengan syurga sanggup memaafkan nenek tua yang sering memaki hamun baginda dengan pelbagai kata nista malah si nenek sanggup membaling najis kepada baginda ketika dalam perjalanan untuk menunaikan solat. Kita sebagai umat baginda, sewajarnya lebih bersifat memaafkan kerana memberi kemaafan adalah dendam yang terindah, itu antara lirik lagu popular penyanyi Aishah.

Apabila anda bersedia dan ikhlas memaafkan kesalahan orang lain ataupun pasangan anda sendiri, tanpa perlu dipaksa anda akan dapat menerima pasangan anda kembali. Menerimanya seperti biasa. Seperti tidak pernah wujud sengketa sebelumnya, insyaAllah. Saya akui, terlalu banyak masa yang perlu untuk mewujudkan keadaan tersebut, keadaan seperti tidak pernah berlaku apa-apa masalah namun, percayalah…. anda akan mampu menerimanya jika anda bersedia dan sanggup memberi peluang. Dalam masa yang sama, berdoa agar anda diberikan kekuatan dan ketabahan untuk meneruskan hidup bersama pasangan anda. Mohon agar pasangan anda berubah menjadi yang lebih baik, tidak lagi terlibat di dalam insiden-insiden yang boleh melukakan hati anda semula. Mohon juga agar anda mampu membiarkan pengalaman perit yang lalu berlalu begitu sahaja tanpa anda sendiri mengungkit atau membangkitkannya semula.

Pasangan anda manusia, anda juga manusia yang masing-masing tidak lepas daripada melakukan kesilapan. Cinta membuatkan manusia terpedaya, nafsu pula membuatkan manusia buta. Kedua-dua keadaan ini cukup untuk menenggelamkan seseorang. Bezanya sama ada orang tersebut akan terus lemas atau berjaya diselamatkan. Siapa yang menyelamatkan bukan penentu hala tuju masa depannya kerana yang pasti, Allah masih memberinya peluang dan harapan. Lantas, kenapa kita sesama manusia enggan memberikan peluang dan harapan yang sama? Hebatkah anda kerana tidak duduk dalam kasutnya, melakukan kesilapan yang pernah dilakukannya?

Malah, hakikatnya tak perlu melupakan segala kisah lama yang menderitakan anda untuk anda kembali mempercayai pasangan dan memulakan sebuah kisah baru.  Tekad dan berazamlah untuk betul-betul memulakan hidup baru. Jangan sesekali ungkit kisah lama, teruskan hidup anda dengan kisah baru, pengalaman baru tetapi belajar daripada kesilapan lama. Masih payah nak kembali percaya? Takkan payah jika anda benarkan diri anda untuk percaya!

Tak boleh juga? Itu bukan kata anda tapi kata emosi anda yang dihasut dek syaitan dan nafsu yang ada di dalam diri anda. Ingatlah! Syaitan memang suka jika perkahwinan yang halal musnah. Lantas, bila emosi diganggu, kepercayaan diberi mula timbul ragu, ucapkanlah zikir mengingati Allah agar hati segera tenang, segera berserah dan mohon bantuan-Nya agar mahligai dibina akan kembali bercahaya, ceria, bahagia dan dirahmati-Nya hingga ke akhirat!

29 Disember 2012

Jadual sesi konsultansi 2013

Bagi mereka yang perlukan khidmat konsultansi kekeluargaan, guaman syarie dan motivasi diri, saya akan terima temujanji bersemuka, temujanji melalui telefon atau chat Yahoo Messenger.


Jadual sesi bersemuka mengikut tarikh yang saya umumkan di Facebook atau boleh dapatkan info dengan SMS ke 013-2545965 dan waktu bagi slot bersemuka ialah seperti berikut:
Sesi 1= 10.30am-12pm
Sesi 2= 12pm-1.30pm
Sesi 3= 2pm-3.30pm
*** terhad 3 sesi sahaja sehari
*** jumpa di KL Sentral sahaja. Temujanji bersemuka selain dari KL Sentral akan dimaklumkan, jika berkaitan.
 



Jadual sesi menerusi telefon atau chat YM seperti berikut: 

Isnin hingga Khamis:
Sesi 1= 10am-11.30am
Sesi 2= 11.30am-1pm
Sesi 3= 2pm-3.30pm
Sesi 4= 3.30pm-5pm
Sesi 5= 10.00pm-11.30pm

Jumaat:
Sesi 1= 9am-10.30am
Sesi 2= 3pm-4.30pm
Sesi 3= 10-11.30pm

Sabtu:
Sesi 1= 10am-11.30am
Sesi 2= 11.30am-1pm
Sesi 3= 10pm-11.30pm

* Bergantung kepada kekosongan program

Untuk booking, sila bank in RM100 ke akaun Bank Islam 120650 10035871 atas nama Bina Bahagia Services kemudian SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama anda ke talian 013-2545965 dan nyatakan anda sama ada inginkan temujanji bersemuka, menerusi telefon atau chat YM. Jadual akan ditetapkan berdasarkan kekosongan jadual terdekat. Bayaran tambahan RM50 dikenakan usai temujanji bersemuka.Dapatkan pengesahan dengan SMS ke 013-2545965. Terima kasih.

25 Disember 2012

Kuliah bulanan bersama saya

Tahun 2013 bakal bermula. Sempena kedatangan tahun baru ini, saya mempunyai hasrat untuk bersama2 dengan rakan2 semua khususnya kaum wanita bagi membincangkan dengan lebih lanjut mengenai isu kekeluargaan dengan memberi fokus kepada hukum syarak dan undang2 yg diamalkan di Mahkamah Syariah di Malaysia - undang2 keluarga, undang2 jenayah dan lain2.

Lantaran, saya mengharapkan kerjasama anda untuk mewujudkan siri kuliah bulanan di tempat anda dan saya akan bersama rakan2 semua nanti bagi perkongsian lebih terperinci, insyaAllah.

Jika anda berminat, sila emelkan ke binabahagia@gmail.com untuk perbincangan lanjut. Moga lebih banyak perkongsian bakal berlaku nanti, insyaAllah.... (",)