Soalan Dilema Perkahwinan, majalah Pa&Ma bulan Januari 2013:
"Saya sudah enam tahun berkahwin
dan kini dikurniakan dua cahaya mata berusia 5 dan 3 tahun. Keadaan ekonomi
kami suami isteri kukuh kerana kami berdua sama-sama bekerja malah gajinya jauh
lebih tinggi daripada gaji saya. Malangnya selepas kelahiran anak kedua suami
berhenti kerja kerana alasan tiada keserasian dengan ketua barunya di pejabat.
Bagi saya tindakannya itu kurang bijak kerana dia tidak mendapatkan kerja baharu
sebelum berhenti.
Oleh sebab itu ekonomi kami
sekeluarga kini sangat teruk. Malah banyak perbelanjaan yang terpaksa saya
potong untuk menyesuaikan bajet keluarga dengan gaji saya yang kecil ini. Suami
juga banyak berhutang dengan ahli keluarganya untuk menampung keperluan
dan tidak membayar hutangnya seperti dijanjikan menyebabkan hubungan
kekeluargaan menjadi keruh sehingga kadangkala kami dipulau.
Untuk pengetahuan puan,
hubungan saya dan suami Alhamdulillah sangat baik dan mungkin sebab itulah kami
masih kekal sehingga ke hari ini. Bagi saya rasa hormat dan patuh saya terhadap
suami tidak berubah walau pun dia tidak bekerja. Saya bertahan hanya kerana
Allah dan saya harungi ini semua kerana yakin ini adalah ujian Allah untuk
saya. Di rumah dia banyak membantu membuat kerja-kerja rumah seperti memasak
dan mencuci pakaian, mengemop lantai dan menjaga anak.
Saya tidak pernah menceritakan
hal ini kepada sesiapa walau pun kepada keluarga saya sendiri kerana bimbang ia
akan membuka aib rumah tangga kami. Tambahan pula saya anak yatim piatu tiada
sesiapa yang perasan perubahan hidup saya ini. Tetapi suami saya terpaksa
menceritakan kepada ibu bapanya setelah didesak ibunya yang mendapat panggilan
telefon dari pejabat yang dia sudah lama tidak pergi bekerja. Baru-baru ini dia
bekerja tetapi tidak sampai enam bulan telah berhenti lagi kerana katanya gaji
kecil tetapi beban kerja terlalu banyak sehingga setiap hari perlu
stayback di pejabat. Di samping itu dia juga sering outstation sedangkan
gaji kecil tak mampu menampung kos perjalanan ke luar daerah. Saya nasihatkan
dia supaya berbincang dengan ketuanya tentang masalah tersebut tetapi dia
memilih untuk berhenti tanpa notis. Saya pasrah dan tidak mempersoalkan
tindakannya itu kerana tidak mahu dia tertekan. Malah ibunya juga masih belum
tahu yang dia kini sudah kembali menganggur. Bulan lepas saya terpaksa
memberhentikan persekolahan tadika anak pertama yang berusia 5 tahun dan dijaga
bapanya di rumah semasa saya bekerja kerana bajet sudah lari.
Masalah kewangan meruncing ini
tanpa saya sedari telah berlarutan selama tiga tahun dan tidak mampu saya
ceritakan penderitaan saya dari segi kewangan sehingga terpaksa mengikat perut
di pejabat untuk berjimat dan ada kalanya terpaksa membonceng motosikal rakan wanita
ke tempat kerja kerana kereta disorok kerana bimbang ditarik kerana bayaran
bank yang tertunggak. Suhanallah banyaknya dugaan tidak tertanggung oleh saya,
hanya Allah yang tahu.
Saya ingin bertanya, apa
hukumnya suami tidak bekerja dan tidak memberikan nafkah sebaliknya hanya
mengharapkan gaji isteri dan ihsan orang lain walhal dia sihat dan boleh
bekerja? Saya juga khuatir anak-anak yang membesar dengan punca yang tidak
halal kerana suami tidak membayar hutangnya kepada ahli keluarganya. Apakah tindakan
yang sepatutnya perlu saya lakukan dan apakah penyelesaian terbaik yang boleh
dibuat tanpa melibatkan penceraian. Terima kasih."
JAWAPAN:
Firman Allah
SWT dalam ayat 286 surah al-Baqarah bermaksud: "Allah tidak membebani
seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya." Ayat ini
membuktikan setiap ujian yang diberikan oleh Allah kepada hamba-Nya adalah
bersesuaian dengan kemampuan hamba-Nya untuk bertindak. Kegagalan menangani
ujian bukan kerana ujian tersebut di luar kemampuan sebaliknya kerana diri
individu tersebut sendiri yang gagal memaksimakan usaha bagi mengatasi ujian
tersebut. Allah telah berjanji dan percaya dengan kemampuan hamba-Nya.
Jika Allah
SWT yakin dengan kemampuan kita menangani ujian dan dugaan yang diberikan-Nya,
kenapa kita tidak percayakan kemampuan diri kita sendiri? Tahniah kerana puan
tergolong dalam kelompok individu yang yakin dan percaya dengan kemampuan diri
dan pastinya juga mempercayai-Nya. Jelas sekali puan adalah seorang yang redha.
Redha bukan bermaksud menyerah begitu sahaja tetapi perlu bersabar dan usahakan
jalan penyelesaian sama seperti yang sedang dilaksanakan oleh puan tika ini.
InsyaAllah, pasti ada ganjarannya.
Menjawab
persoalan mengenai hukum bagi suami yang tidak bekerja dan tidak memberikan nafkah sebaliknya
hanya mengharapkan gaji isteri dan ihsan orang lain walhal dia sihat dan boleh
bekerja, saya nak kongsikan satu hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Cukuplah seseorang itu dianggap
berdosa apabila suami mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya.” – hadis
riwayat Abu Daud. Firman
Allah SWT yang bermaksud: “Kaum lelaki
itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah
telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum
wanita dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah)
sebahagian dari harta mereka.” – surah al-Nisa’ ayat 34.
Hadis dan ayat ini jelas
membuktikan seorang lelaki dengan status seorang suami wajib bekerja dan
berusaha bagi menyara isteri dan anak, jika ada. Suami yang sengaja gagal
bekerja dan berusaha untuk membiayai keperluan hidup isteri dan anaknya adalah
tergolong dalam kelompok yang disebut di dalam hadis – suami
mensia-siakan orang yang menjadi tanggungannya dan di suami tadi adalah
berdosa. Dalam kes puan, suami puan telah dengan sengaja enggan bekerja
walaupun dia kononnya mempunyai alasan yang dianggap sebagai wajar dan
munasabah. Hakikatnya alasan yang diberikan si suami adalah tidak wajar
sebaliknya hanya mengikut emosi sendiri.
Tidak
mempunyai keserasian dengan ketua kemudian mengambil tindakan berhenti kerja
membuktikan suami puan mengikut emosi dan tidak mempertimbangkan keputusan
tersebut sebaiknya. Berhenti kerja sekali lagi kerana bebanan kerja yang tidak
setimpal dengan bayaran juga membuktikan si suami terlalu mementingkan diri
sendiri. Sewajarnya dalam keadaan yang terdesak dan mendesak yang dilalui oleh
puan dan anak-anak, si suami perlu bertahan dan berusaha lebih.
Walaupun
tidak dapat menampung segala perbelanjaan keperluan puan dan anak-anak tetapi
memadai jika dapat membantu puan, sesuai dengan tuntutan syariat yang terdapat
dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang yang mampu memberi nafkah hendaklah
menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka dia hendaklah
memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu).
Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan
Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa)
Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” – surah
al-Talaq ayat 7.
Ayat ini menjelaskan, kadar pemberian nafkah adalah mengikut kemampuan seorang
suami dan suami tidak wajar membebankan dirinya melebihi dari kemampuannya yang
sebenar. Maksud membebankan diri di sini ialah melakukan sesuatu yang melebihi
kemampuan atau di luar upaya suami. Sebagai contoh berhutang dengan mana-mana
pihak bagi merealisasikan kehendak isteri yang melampau. Berbeza dengan
tindakan suami puan yang berhutang bagi memenuhi keperluan atas sebab tindakan
dirinya sendiri yang enggan bekerja, tidak termasuk di luar upaya suami.
Tindakan berhutang tanpa usaha untuk menjelaskan hutang tersebut menjadikan
suami puan seorang yang gagal melaksanakan amanah dan sengaja memungkiri janji.
Jangan risau bab anak-anak yang
makan dari punca yang haram disebabkan kegagalan suami menjelaskan hutang.
Perkara tersebut tidak berlaku. Bab hutang dan bab punca kewangan yang ada
digunakan sepenuhnya bagi menampung keperluan anak-anak adalah perkara yang berbeza.
Anak-anak wajib dijaga dan dibiayai keperluan mereka. Hutang juga perlu
diselesaikan tetapi oleh orang yang berhutang. Dalam kes puan, suami yang
berhutang dan anak-anak pula dibiayai keperluan mereka oleh puan.
Bagi mengatasi masalah ini,
perkara pertama yang perlu puan lakukan ialah menasihati suami agar bekerja.
Puan perlu berterus terang mengenai kerumitan dan kesulitan yang puan alami.
Jangan bimbangkan mengenai tekanan yang mungkin dia hadapi. Sebagai ketua
keluarga, suami adalah lelaki yang sememangnya perlu menerima dan menghadapi
tekanan tersebut, bukannya menyerahkan segala tekanan yang ada ke bahu puan
seorang isteri. Ya, puan mampu tapi ada batasannya dan paling penting, segala
yang puan usahakan dan laksanakan sekarang bukanlah peranan dan tanggungjawab
puan sebaliknya adalah tanggungjawab suami.
Suami lakukan kerja rumah? Ya!
Memang diakui tapi kerja tersebut bukan kerja utama seorang suami. Ikutkan
fitrah hidup dan norma masyarakat, kaum wanita bekerja di rumah dan kaum lelaki
pula keluar mencari rezeki. Sesuai dengan kemampuan fizikal dan emosi yang
dianugerahkan oleh Allah kepada makhluk bernama lelaki dan wanita. Bila fitrah
ini diubah, berlakulah kecelaruan dan masalah. Ulama salaf pernah memfatwakan
wanita diharamkan bekerja bertujuan menjaga kebajikan wanita dan mengelakkan
fitnah. Sesuai dengan perkembangan dan menepati kebenaran ijtihad, wanita
dibenarkan bekerja bagi membantu suami, bukan mengambil alih tanggungjawab
suami.
Puan perlu bertegas dalam perkara
ini dan berikan tempoh masa untuk suami berubah. Peluang boleh diberi bagi
tempoh minima tiga bulan dan maksima sembilan bulan. Jika suami masih enggan
bekerja atau gagal bekerja sebaiknya, dapatkan khidmat nasihat daripada pegawai
di Pejabat Agama berdekatan untuk menegur dan membimbing suami. Berkemungkinan
dek kerana ego, suami sengaja enggan mendengar cakap puan. Dalam masa yang
sama, puan perlu mengkhabarkan kepada ibu mertua puan mengenai sikap suami
puan. Ibu mertua diharapkan dapat menasihati dan menegur sikap anaknya agar
berubah menjadi seorang suami yang baik.
Dalam masa yang sama, puan perlu
berdoa agar dilembutkan hati suami untuk berubah sikap dan berusaha keras bagi
melaksanakan segala tanggungjawabnya yang perlu untuk mengubah nasib puan
sekeluarga. Bila usaha dah dibuat, doa dah dilaksana dan peluang diberikan
kepadanya tetapi suami masih kekal di tempat yang sama, puan boleh berkeras
dengan mengugut untuk memohon takliq atau fasakh di Mahkamah Syariah. Situasi
kes puan melayakkan puan mengambil tindakan tersebut. Ada jenis manusia yang
akan berubah bila mula terasa kehilangan. Moga dengan ugutan itu, suami akan
sedar dan bertindak ke arah yang lebih baik.
Moga Allah mudahkan urusan puan dan ingatlah... kita
tak mungkin dapat mengubah sikap malah hati orang lain. Tapi kita boleh
berusaha agar hatinya malah sikapnya berubah menjadi lebih baik. Usaha
bermaksud laksanakan tindakan yang perlu beserta doa mohon yang terbaik
daripada-Nya. Jika DIA izinkan, insyaAllah usaha dan doa kita berhasil. Hati
kita, hati orang lain juga... hanya dipegang oleh Allah SWT. Hanya Allah mampu
berikan keputusannya. Namun, andai dia tak juga berubah setelah usaha dan doa,
sudah tiba masanya untuk kita mengubah pendirian kita terhadap dirinya pula;
agar kita terus berada dalam keadaan redha, bersyukur dan tidak kufur nikmat.