08 September 2008

Balik raya: fahami perasaan orang lain juga

Jadual saya agak padat bulan puasa ini. Tak dapat nak selalu menjenguk blog ini. Ada yang meminta saya membincangkan isu balik beraya. Saya dah pernah bincangkan tentang perkara ini di dalam Resipi Hidup pada tahun 2005. Saya masukkan perbincangan tersebut di sini. Harapan saya, menjawab persoalan anda. Maaf kerana tidak dapat aktif mengemaskini blog. Saya akan 'qadha' bila berkesempatan nanti, insyaAllah!
----------------------------------------------

Tak lama lagi, Aidil Fitri akan menjelma. Memang ramai ler yang dah merancang untuk balik berhari raya. Bila cakap bab balik berhari raya ni, satu perkara yang sering dihadapi oleh pasangan suami isteri ialah, nak balik rumah siapa? Saya terpanggil untuk membincangkan isu ini setelah menerima satu emel daripada seorang isteri yang telah mendirikan rumahtangga sejak enam tahun yang lalu dan sejak tempoh tersebut, setiap kali tibanya Aidil Fitri, beliau memaksa diri supaya rela untuk balik ke rumah mertuanya. Hari raya ketiga atau keempat, barulah beliau berpeluang beraya bersama ibu bapa dan adik-beradiknya yang lain. Bukan tak pernah menyuarakan hasrat hati untuk berhari raya bersama keluarganya pula, sekurang-kurangnya, adakan giliran mengikut selang tahun. Tapi suaminya membantah, konon alasan, kesiankan ibunya yang dah tak der suami. Bapa mertuanya meninggal beberapa bulan selepas perkahwinan mereka. Walaupun mempunyai adik beradik yang lain namun, sebagai anak lelaki sulung, suaminya berasa bertanggungjawab untuk menggembirakan hati ibunya ketika semua orang sedang bergembira. Paling malang, suaminya takkan mahu berbincang lagi pasal balik beraya ni. Kata-katanya adalah muktamad.

Hmmmmm… bukan satu dua kes sebegini rasanya kan, mesti ramai yang menghadapi situasi sebegini. Yang paling sadis, pernah ada satu kes ketika awal-awal kerjaya saya di dalam bidang guaman dan kaunseling keluarga ini, sepasang suami isteri yang baru menimang cahayamata, bercerai gara-gara tidak mencapai kata sepakat tentang balik beraya. Hari raya yang sepatutnya disambut dengan suasana ceria dan gembira dengan semua ahli keluarga, dah bertukar menjadi gerbang percaturan hidup berumahtangga. Sebenarnya, situasi yang kelam kabut dan memendam rasa seperti kes-kes yang saya sebutkan tadi boleh dielakkan sekiranya setiap individu, samada suami, isteri, ibu, bapa dan semua sanak saudara mengambil sikap memahami hati dan perasaan orang lain juga. Paling penting, setiap suami perlu memahami perasaan isteri dan tidak terkecuali, para isteri juga perlu memahami hati dan perasaan si suami.

Semua orang sedia maklum, Aidil Fitri adalah hari yang paling bermakna bagi setiap individu Muslim. Hari inilah, semua sanak saudara berkumpul. Yang jauh dan yang dekat, semuanya mengambil kesempatan ini untuk bersama-sama, bermesra setelah sekian lama tidak bersua. Ada antaranya pula, hari raya inilah sahaja peluang untuk bertemu ahli keluarga. Sudah tentulah hari raya ini memberikan seribu satu makna yang tersendiri kepada setiap individu. Lantas, setiap orang berhak untuk menunaikan segala hajat dan hasrat yang terpendam di hati. Sebaik-baiknya, bagi mereka yang telah berumahtangga, perbincangan hati ke hati perlu dibuat agar kebahagiaan yang ada tidak tergugat. Saya yakin, ramai yang bertindak mengadakan giliran. Raya tahun ni, balik kampung abang. Raya tahun depan, balik kampung ayang pula. Alhamdulillah, jika dapat sepakat seperti ini.

Masalahnya, bila timbul kes seperti pengirim emel tadi. Ya, semua orang boleh terima hasrat murni si suami untuk menggembirakan ibunya. Tetapi, perlu diingat, apakah si isteri tidak ingin menggembirakan ibunya? Setiap suami dan setiap isteri juga adalah anak kepada seorang ibu dan seorang bapa. Jika anda ingin menggembirakan ibu bapa anda, sama juga dengan pasangan anda. Alasan ibu anda yang keseorangan bukanlah satu alasan yang munasabah untuk menafikan hak pasangan anda balik beraya bersama ibu bapanya. Adik beradik yang lain juga ada untuk menemani ibu buat seketika. Jika anda adalah anak tunggal sekalipun, tak salah jika anda mengajak ibu anda beraya bersama-sama anda di rumah mertua. Satu perkara lagi, selepas sahnya satu-satu perkahwinan, tiada lagi istilah ibu bapa awak atau ibu bapa saya. Ibu bapa anda adalah ibu bapa pasangan anda dan ibu bapa pasangan anda adalah juga ibu bapa anda. Kesemuanya perlu dijaga sama rata. Kesemuanya perlu dihormati dan dijaga hati mereka. Perkahwinan juga bukan sekadar menyatukan dua individu lelaki dan wanita sebagai suami isteri, tetapi turut menyatukan dua buah keluarga menjadi satu kumpulan bersaudara.

Lantas, bukan sahaja suami atau isteri, ibu bapa dan sanak saudara lainnya juga perlu memahami perasaan orang lain. Ibu bapa perlu memahami perasaan menantunya yang juga berkeinginan untuk menyambut hari raya bersama ibu bapa sendiri. Ibu bapa perlu memahami bahawa anak mereka bukan lagi hak mutlak mereka. Anak mereka kini mempunyai satu tanggungjawab kepada pasangannya dan keluarga pasangannya juga. Tidak wajarlah ibu bapa bermasam muka sekiranya anak menantu tidak balik beraya di rumahnya kerana tahun ini, tiba giliran bisannya pula. Sekiranya masing-masing dapat meletakkan diri mereka di tempat orang lain, cuba merasai apa yang orang lain rasai, insyaAllah, masalah pergaduhan dan persengketaan setiap kali tibanya Aidil Fitri tidak akan berlaku.

Kepada semua pembaca, gunakan juga kesempatan hari yang mulia ini untuk saling memaafkan. Jika ada ibu bapa yang terasa hati dengan perlakuan anak-anak, paling ketara bagi kes-kes perkahwinan tanpa restu orang tua, ampunkanlah kesalahan anak dan menantu anda. Fahamilah rasa cinta dan kasih sayang mereka. Anak dan menantu anda hanya akan bahagia jika mendapat restu daripada anda. InsyaAllah, jika tibanya Aidil Fitri kali ini, kita semua saling memahami, bahagia akan kita temui. Ingatlah, bukan hanya kita yang ada hati dan perasaan, semua orang mempunyai hati dan perasaan. Sama-samalah menjaganya…..

Tiada ulasan: