Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan kebajikan Masyarakat pada pertengahan tahun ini, Malaysia bakal menjadi Negara yang mempunyai lebihan warga tua iaitu generasi berusia 60 tahun dan ke atas. Menurut statistik, pada tahun 2000, warga tua di Malaysia berjumlah 1.45 juta atau 6.2%. Pada tahun 2009 pula berjumlah 2.03 juta iaitu 7.1% dan jumlah ini dijangka meningkat pada tahun 2035 dengan menguasai 15% daripada populasi penduduk Malaysia. Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, sesebuah Negara dengan statistic menunjukkan warga tuanya melebihi 10% adalah termasuk dalam kategori Ageing Nation. Mengikut kajian, antara punca berlakunya masalah ini ialah makin berkurangnya perkahwinan dan berdasarkan maklumbalas dalam sesi ceramah saya, rata-rata orang muda hari ini khususnya wanita, takut untuk berkahwin dan yang lelakinya pula, ada keinginan tetapi mempunyai masalah kewangan. Lantas, bila soalan cepu emas ditanyakan, jawapan diberikan; takdir belum tentukan!
Hakikatnya, jodoh bukan semata-mata ketentuan takdir sebaliknya memerlukan usaha dan ikhtiar kita juga. Menepati maksud firman Allah SWT dalam ayat 11 surah ar-Ra’du: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri”. Ayat ini jelas membuktikan bahawa jodoh atau ketentuan untuk mempunyai pasangan hidup bukan semata-mata kehendak Ilahi tetapi bersangkut dan berkait dengan usaha dan ikhtiar kita sendiri juga.
Mr/Mrs Right bukan dipilih tapi dicipta
Ramai yang berusaha untuk mencari individu yang terbaik bagi memenuhi citarasa dan keinginannya untuk dijadikan sebagai teman hidup dan mereka ini lupa, pilihan akan sentiasa tersedia di depan mata. Bermaksud anda akan sentiasa mempunyai pilihan dan perkara yang penting; kita memang berhak memilih tetapi terlalu memilih adalah satu penyakit. Tak perlu cari yang sama sikap dan minat. Berbeza sikap dan minat juga bukan halangan hidup bahagia bersama. Perlu difahami; pasangan ertinya saling menyempurnakan. Setiap individu diberikan kelebihan malah juga kekurangan. Lantas, melalui konsep saling memberi dan menerima serta ikhlas, akan berhasillah Mr atau Mrs Right pilihan anda.
Panduan mencari pasangan
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang wanita itu dinikahi boleh kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Biarpun hadis ini menyebut tentang kriteria memilih calon isteri namun hadis ini juga relevan dan berkait rapat dengan kriteria calon suami. Perlu difahami maksud ‘kerana agamanya’; bukan bermaksud perlu mempunyai kelayakan atau sijil pendidikan tinggi dalam bidang agama tetapi bermaksud lelaki atau perempuan yang melaksanakan tuntutan agama Islam iaitu melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan. Malah menurut para fuqaha’, asas ketetapan kufu’ atau sekufu menurut syarak ialah sama taraf dalam ilmu dan amalan agama; bukan sama taraf dalam paras rupa, kekayaan atau pangkat malah bukan juga harta.
Bukan semua layak berkahwin
Dalam usaha untuk mendapatkan calon pilihan, setiap individu perlu koreksi diri, apakah anda betul-betul layak untul berkahwin? Opss… jangan terkejut! Bukan saja nak poligami, nak monogami pun ada syarat kelayakannya dan jika anda gagal penuhi kelayakan, hukum asal berkahwin yang harus boleh menjadi makruh atau haram. Seseorang lelaki dikategorikan sebagai wajib berkahwin apabila mereka mampu dari segi fizikal dan kewangan malah dibimbangi sekiranya tidak berkahwin, takut terjerumus kepada maksiat zina. Lelaki yang sunat berkahwin ialah mereka yang mampu dari segi fizikal dan kewangan dan mempunyai keinginan untuk berkahwin. Bezanya mereka tidak bimbang akan terlibat dengan zina sekiranya tidak berkahwin.
Lelaki yang haram berkahwin pula ialah mereka yang tidak mampu dari segi nafkah zahir dan batin. Haram juga bagi lelaki yang berkahwin dengan tujuan untuk memudaratkan isterinya. Lelaki yang tergolong dalam senarai makruh berkahwin ialah mereka yang tidak mampu memberi nafkah kepada isterinya tetapi berkeinginan untuk berkahwin. Lelaki yang harus berkahwin pula ialah mereka yang tidak mempunyai sebab yang mendesak untuknya berkahwin dan tidak pula mengharamkan dia berkahwin.
Lambat jumpa jodoh juga ada hikmah
Jika anda termasuk dalam kategori yang lambat berkahwin, jangan susah hati dan jangan bersedih. Ya! Saya akui, sukar untuk meneruskan hidup bila berdepan dengan pelbagai soalan berkaitan perkahwinan. Saya sendiri mengalaminya lantaran hanya berjaya menamatkan zaman bujang tika usia 28 tahun. Tika itu, saya hanya membiarkan segala soalan tersebut berlalu kerana saya yakin, biarpun jodoh termasuk ikhtiar kita di samping takdir-Nya; keputusan dan perancangan-Nya sentiasa yang terbaik. Setiap ketentuan dan kehendak Allah itu ada sebab dan hikmahnya. Ada orang yang bertemu jodoh dalam usia muda, ada yang bertemu jodoh agak lewat usia dan ada juga yang ditakdirkan hanya bertemu jodoh di akhirat kelak.
Sebab dan kenapa? Hanya Dia yang mengetahui segalanya. Ada kes perkahwinan di usia muda yang berakhir dengan perceraian hanya selepas dua atau tiga tahun perkahwinan malah ada kes, hanya selepas sebulan perkahwinan. Ada kes perkahwinan lewat usia tetapi kekal bahagia hingga akhir hayat. Bukan bermaksud kahwin muda tak bagus. Bukan juga bererti kahwin lewat itu yang terbaik. Sebab tak semua kes kahwin muda bermasalah dan bukan semua kes kahwin lewat itu bahagia. Perkara utama ialah setiap ketentuan Allah itu mempunyai alasan yang tersendiri yang hanya akan anda ketahui bila tiba masanya nanti. Yang penting, jangan putus asa, jangan putus doa; DIA akan berikan anda pasangan bila itu adalah yang terbaik untuk anda.
Berkahwin hanya bila bersedia
Perkahwinan bukan mainan, bukan juga makmal kajian sebaliknya perkahwinan adalah permulaan medan perjuangan untuk melaksanakan segala amanah dan tanggungjawab anda sebagai suami dan juga isteri. Lantas; berkahwinlah bila anda dan si dia sudah betul-betul bersedia; bukan sebab dipaksa orang tua atau nak elak maksiat dan fitnah semata. Maksiat tak perlu dielak jika anda tak dekat. Buat para gadis, PASTIKAN BAKAL SUAMI BENAR-BENAR LAYAK. Jangan mudah bertoleransi dari awal, natijah besar menanti anda di belakang hari. Paling penting; dalam ada juga keadaan sentiasa benar-benar serahkan setiap keputusan kepada-Nya, DIA akan bantu, insyaAllah!
****Siaran Cermin Diri Kosmo! pada 18 November 2011
1 ulasan:
saya suka entri ini.
kepada teman2 yg masih solo pun diri saya juga...
jangan terlalu obses memikirkan sangat soal jodoh..ia urusan Allah..
jalanilah kehidupan seperti biasa disamping doa dan usaha..insyaallah..
saya agak teruja bilamana ada yg begitu tertekan..ttg jodoh apabila memikirkan usia..
jika kita benar2 redha dan ikhlas dgn corak perjalanan kehidupan diri kita ini...tiada apa yg perlu dirisaukan dipeningkan wahima perihal jodoh dan a[a sekalipun...percayalah...
semua segalanya sudah tertulis di luh mahfuzd...
laluilah sehingga tiba 'di sana'..
Catat Ulasan