09 Disember 2012

Suami abai nafkah batin

Soalan Dilema Perkahwinan, Majalah Pa&Ma, November 2011:

Suami sudah lama tidak memberi nafkah batin kepada saya. Sebelum ini dia memberi alasan penat dan masa tidak sesuai. Setelah berlaku krisis baru-baru ini, dia menjelaskan alasan sebenar nafkah batin tidak diberi kerana mahu mengajar. Saya keliru kerana kenyataannya itu seperti saya melakukan kesalahan besar sedangkan saya sendiri tidak pasti apa silap saya padanya.

JAWAPAN:

Sebelum saya ulas mengenai kes yang puan kemukakan, saya nak kongsikan dua dalil naqli. Pertamanya, satu hadis sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dan pada hubungan kelamin kamu semua (bersama isteri) merupakan sedekah. Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah! Apakah jika seseorang kami mendatangi isterinya (untuk berjimak) maka dia mendapat pahala? Rasulullah menjawab: Bagaimana pendapat kamu semua jika dia menyalurkan syahwatnya ke jalan yang haram, (sudah tentu) dia akan mendapat dosa kerananya. Demikian juga jika dia menyalurkan di jalan yang halal, pasti dia mendapat pahala.” - hadis riwayat Muslim.

Satu dalil lagi, firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, (kalau mereka masih juga degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah  Maha Tinggi lagi Maha Besar.” – surah al-Nisa’ ayat 34.

Kedua-dua dalil ini merupakan antara dalil-dalil yang ada yang sesuai untuk saya kongsikan bagi menjawab persoalan kali ini. Merujuk kepada kes yang dikemukakan, mungkin sebahagian pembaca berpendapat: “Tak perlulah nak kecoh bila suami tak nak berikan nafkah batin. Dah suami tak nak, duduk diam-diam sudah. Tak kena cerai atau tak kena bermadu sudah cukup baik.” Percayalah! Pendapat sebegini bukan saja anda boleh dengar daripada pembaca lelaki tetapi juga terbit daripada mulut atau paling tidak pun dalam minda pembaca wanita termasuk yang bernama isteri.

Sebab? Tak ramai yang tahu, intimasi atau seks atau hubungan suami isteri itu adalah hak bersama suami dan isteri. Bukan sekadar melayani kehendak batin suami semata-mata tetapi seks yang halal di dalam sesebuah perkahwinan, adalah untuk memenuhi kehendak batin suami dan kehendak batin isteri juga. Anda tentu ingat salah satu tujuan dan hikmah perkahwinan ialah untuk memenuhi kehendak batin seseorang. Seseorang ini termasuklah isteri, bukan suami semata-mata. Rata-rata perkahwinan, bila memperkatakan tentang intimasi, yang tergambar hanyalah isteri berhak memenuhi kehendak batin suami.

Sementelah pula, tak ada hadis atau ayat yang jelas mengatakan suami wajib memenuhi kehendak batin isteri, tidak seperti banyaknya nas yang menjadi dalil betapa isteri wajib memenuhi kehendak batin si suami. Tidak ada nas yang jelas ini bukan membuktikan bahawa Islam menafikan hak tuntutan batin isteri. Ada banyak ayat yang memberikan maksud, isteri juga mempunyai hak yang sama dengan suami di dalam kehidupan berumah tangga. Antaranya, ayat 19 surah an-Nisa’ yang bermaksud: Gaulilah mereka dengan baik…

Ayat ini membawa pengertian yang maha luas. Gauli isteri secara baik bererti suami perlu menjaga kebajikan isteri, menjaga makan minumnya, menjaga perasaannya. Gauli isteri secara baik juga memberi erti bahawa isteri perlu dilayani kehendak batin mereka menepati selera mereka. Saya yakin, ramai yang sedia maklum, terdapat perbezaan yang ketara antara kehendak batin suami dan kehendak batin isteri. Kebanyakan suami mempunyai kehendak batin yang tinggi dan selalu inginkan kehendak batinnya dipenuhi. Berbeza dengan isteri, kehendak batin isteri boleh ditoleransi. Jika penat, sedih atau mood yang tak menentu, isteri tak mengharapkan layanan untuk kehendak batin mereka.

Biarpun begitu, perbezaan kehendak si isteri berbanding si suami ini bukan menjadi alasan untuk si suami membiarkan sahaja si isteri tanpa diberi hak nafkah batinnya. Islam amat mengambil berat mengenai kehendak batin si isteri. Kenapa? Kerana seorang isteri hanya mempunyai suaminya sahaja untuk menyempurnakan kehendak batinnya. Berbeza dengan suami, jika tak lagi ‘berselera’ dengan isteri yang ada, suami diberikan pilihan untuk mempunyai isteri baru yang dapat memenuhi hajatnya. Lantaran, Rasulullah SAW mengiangatkan para suami dalam sabdanya yang bermaksud: “Jika seseseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula.” - hadis riwayat al-Suyuthi.

Malah para ulama’ melabelkan seorang suami yang sengaja enggan melayan kehendak batin isterinya sebagai seorang suami yang nusyuz. Ya! Suami pun boleh jatuh disabitkan nusyuz. Dalam surah yang sama ayat 128 pula Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan jika seorang wanita bimbang akan nusyuz atau sikap  tidak acuh dari suaminya maka tidak mengapa bagi kedua-duanya mengadakan suluh yang sebenar-benarnya dan suluh itu lebih baik (bagi mereka)”. Menurut Said Hawa dalam mentafsirkan ayat ini, seorang suami yang nusyuz bermaksud mengabaikan isteri dengan menghalang dirinya daripada isteri (tidak menggaulinya atau berkomunikasi dengannya), tidak memberi nafkah, menyakitinya dengan maki hamun atau memukulnya termasuklah kurang bercakap dan bermesra dengan isteri disebabkan usianya yang telah tua, susuk tubuhnya yang tidak lagi menarik, buruk akhlak, jemu atau ingin mencari yang lain. (Asas fi at-Tafsir)  

Kembali kepada kes; perkara penting yang perlu puan lakukan ialah berbincang hati ke hati dengan suami. Puan perlu dapatkan penjelasan mengenai kesilapan puan hingga dihukum sedemikian. Benarlah sekarang ini suami puan melaksanakan saranan dalam ayat 34 surah an-Nisa’ tapi tak adil kepada puan kerana pertuduhan kepada puan tidak dinyatakan malah kesalahan belum disabitkan. Dah namanya manusia, semua orang tak sempurna. Manusia dijadikan berpasangan sebagai suami dan isteri untuk saling menyempurnakan. Dalam hubungan suami isteri, kesilapan pasangan perlu dinyatakan. Bukan hanya diam kemudian tidak bertegur sapa kemudian meminggirkannya tanpa belaian, pelukan, sentuhan atau aksi asmara.

Jika suami jenis yang sukar dibawa berbincang ataupun sukar untuk menjelaskan, dapatkan bantuan pihak ketiga berupa kaunselor perkahwinan agar masalah yang membenak di minda suami dapat diluahkan. Ada jenis suami yang enggan bercerita tetapi cerita itu akan terbit juga bila diasak secara lembut oleh kaunselor, insyaAllah. Andai jelas dan nyata ada kesilapan dalam tingkah laku puan; usahalah untuk memperbaiki diri. Mohon peluang daripada suami malah suami memang wajib memberikan peluang tersebut seperti maksud firman-Nya dalam ayat yang sama mengenai hukuman yang suami laksanakan kepada puan: “Kemudian jika mereka mentaatimu maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkannya”.  

Penting untuk puan dan para pembaca semua maklumi juga, ayat 34 surah an-Nisa’ ini tentang cara yang perlu dilakukan oleh suami di dalam mengajar isteri yang enggan menurut cakap suami agar menurut perintah Allah SWT. Bukannya cakap suami yang mengikut emosi sendiri dan menyimpang daripada suruhan dan larangan Allah SWT. Haram bagi si isteri mentaati suami jika suruhan atau larangan si suami bertentangan dengan perintah Allah SWT.

Buat para isteri; belajarlah mengenai hak anda kerana anda juga punyai hak dalam perkahwinan. Saya mohon kepada para suami, agar sentiasalah membaca dan belajar tentang cara Rasulullah SAW mengendalikan rumahtangga baginda kerana baginda adalah contoh tauladan yang terbaik. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, bagi kamu pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) di hari akhirat serta dia sentiasa menyebut dan mengingati Allah sebanyak mungkin (di waktu susah dan senang).” – surah al-Ahzab: 21.

03 Disember 2012

Diskaun Disember

Sempena ulangtahun kelahiran saya pada 2 Disember, saya mengumumkan harga diskaun untuk sesi konsultansi bagi setiap tempahan bermula hari ini, 3 Disember hingga 31 Disember 2012, bererti kos perlu bayar ialah:-
*temujanji bersemuka hanya RM100 (tanpa bayaran tambahan),
*temujanji menerusi telefon RM50 dan
*temujanji via YM hanya RM70.

Untuk tempahan, sila buat bayaran dengan jumlah ditetapkan ke akaun Bank Islam 120650 10035871 atas nama Bina Bahagia Services kemudian SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama anda ke talian 013-2545965 dan nyatakan temujanji pilihan anda. Booking temujanji boleh dibuat bagi tarikh2 akan datang juga (selepas 31 Disember).

Untuk info, setakat update status ini, temujanji bersemuka di KL yg terdekat ialah pada 6 Disember dan 13 Disember. Temujanji bersemuka di Sungai Petani pula saya akan terima pada 20 Disember. Selepas tarikh2 ini, temujanji bersemuka bagi 2012 direhatkan sementara dan akan dibuka semula pada awal Januari 2013 TETAPI saya masih terima temujanji menerusi telefon atau chat Yahoo Messenger.

Tolong deal dengan PA saya - yg menguruskan jadual kerja saya, SMS ke 013-2545965 atau emel ke binabahagia@gmail.com untuk maklumat terperinci. Terima kasih atas sokongan rakan2... :)

14 November 2012

Diskaun Awal Muharram

DISKAUN AWAL MUHARRAM + BERSEMUKA KUALA TERENGGANU, SUNGAI PETANI & KUALA LUMPUR:

Sempena Awal Muharram 1434 Hijrah, esok bersamaan 15 November, saya mengumumkan harga diskaun untuk sesi konsultansi bagi setiap tempahan bermula hari ini 14 November hingga 16 November 2012, bererti kos perlu bayar ialah:-
*temujanji bersemuka hanya RM100 (tanpa bayaran tambahan),
*temujanji menerusi telefon RM50 dan
*temujanji via YM hanya RM70.

Untuk tempahan, sila buat bayaran dengan jumlah ditetapkan ke akaun Bank Islam 120650 10035871 atas nama Bina Bahagia Services kemudian SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama anda ke talian 013-2545965 dan nyatakan temujanji pilihan anda. Booking temujanji boleh dibuat bagi tarikh2 akan datang juga (selepas 16 November).

Saya akan terima temujanji bersemuka di Kuala Terengganu pada 19 November terhad untuk TIGA sesi sahaja (sebelah petang) bertempat di Quinara al-Safir. Untuk info, setakat update status ini, temujanji bersemuka di KL yg terdekat ialah pada 22 November. Seterusnya untuk temujanji bersemuka di KL ialah pada 28 November, 6 Disember dan 13 Disember. Temujanji bersemuka di Sungai Petani pula saya akan terima pada 20 Disember. Selepas tarikh2 ini, temujanji bersemuka bagi 2012 direhatkan sementara dan akan dibuka semula pada awal Januari 2013 TETAPI saya masih terima temujanji menerusi telefon atau chat Yahoo Messenger.

Tolong deal dengan PA saya - yg menguruskan jadual kerja saya, SMS ke 013-2545965 atau emel ke binabahagia@gmail.com untuk maklumat terperinci. Terima kasih atas sokongan rakan2... (",)

02 November 2012

Suami tidur berdengkur

Soalan Dilema Perkahwinan, Majalah Pa&Ma,Oktober 2011 


"Suami tergolong sebagai kuat berdengkur sehingga membuatkan tidur saya setiap malam tidak lena. Saya pernah menegurnya sehingga kerap kali kami bertengkar kerana hal ini. Ada yang menasihatkan agar suami berjumpa dengan pakar agar masalahnya dapat diatasi tetapi dia menolak. Apa harus saya lakukan untuk menasihatkan dia agar tidur saya di masa akan datang lebih tenang?"

JAWAPAN:

Membaca persoalan puan mengingatkan saya kepada satu drama Melayu yang ditayangkan di sebuah stesen televisyen mengenai suami kacak yang mempunyai masalah kencing malam berkahwin dengan isteri yang cantik tetapi tidur berdengkur. Saya kongsikan cereka ini di awal jawapan bagi mengingatkan diri saya, puan dan para pembaca semua mengenai hakikat kejadian kita sebagai hamba; kita mempunyai kelebihan dan dalam masa yang sama kita juga mempunyai kekurangan. Namun bukan bermaksud kita perlu terima sahaja kekurangan tersebut sekiranya ia jenis kekurangan yang boleh diatasi. Seperti kes puan, kekurangan dalam diri suami puan boleh diatasi, insyaAllah!

Sebelum saya jelaskan mengenai perkara yang boleh puan lakukan bagi membantu suami, ada baiknya puan memahami mengenai tabiat berdengkur terlebih dahulu. Pemahaman ini dapat membantu puan untuk lebih memahami masalah yang mengganggu bukan saja tidur puan tetapi boleh membahayakan suami puan sendiri.  Hakikatnya, berdengkur ketika tidur bukan satu perkara luar biasa. Mengikut satu kajian yang diterbitkan dalam sebuah jurnal berkaitan dengan hidung, telinga dan tekak; American Academy of Otolaryngology,  melaporkan bahawa terdapat lebih kurang  45% orang dewasa yang normal didapati berdengkur semasa tidur dan daripada jumlah tersebut sebanyak 25% di antaranya dikira berdengkur sebagai satu keadaan yang biasa maksudnya mereka adalah seorang pendengkur yang tegar. Masalah berdengkur juga lebih banyak berlaku di kalangan lelaki dan mereka yang mempunyai berat badan berlebihan.

Keadaan mendengkur ini juga biasanya akan bertambah dengan pertambahan usia seseorang itu, maksudnya semakin tua seseorang itu maka ia semakin terdedah untuk berdengkur semasa tidur. Ada banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu berdengkur yang dikaitkan dengan masalah keturunan, dipengaruhi  pola hidup, kesihatan dan persekitaran. Kajian juga mendapati tabiat dengkur sukar ditangani secara terus. Tiada ubat khusus yang boleh dimakan oleh seseorang untuk menghentikan dengkuran ketika tidur. Sebaliknya anda boleh cuba menghentikan kebiasaan ini melalui kaedah alami atau semulajadi dan perubahan pola hidup. Biarpun tidak mempunyai ubat khusus, tabiat berdengkur perlu diusahakan agar berkurangan atau hilang terus kerana kajian juga menjelaskan, tabiat berdengkur yang teruk boleh mengganggu pernafasan dan menyebabkan lemas di dalam tidur.

Saya faham mengenai keengganan suami untuk berjumpa pakar. Suami tidak menganggap dengkurannya ketika tidur sebagai satu penyakit. Mungkin bagi suami, puan sengaja enggan belajar menerima kekurangan yang bukan kehendaknya dan tindakan puan mencadangkan suami berjumpa pakar difahaminya sebagai satu penghinaan, seolah-oleh dia sedang menghadapi penyakit yang tenat. Jalan terbaik ialah puan membantu suami memahami hakikat sebenar berkaitan dengkuran ketika tidur; mengenai punca, kesan dan cara atasinya. Bila suami faham dengan jelas segala maklumat berkaitan berdengkur ini, suami akan lebih mudah untuk memahami kerisauan puan dan akan berusaha untuk mengatasi masalah tersebut insyaAllah.

Puan sendiri boleh membantu suami mengatasi masalah berdengkur dengan mencadangkan agar suami melaksanakan cara-cara seperti berikut iaitu mengubah posisi tidur, menurunkan 10% berat badan, menghindari alcohol atau ubat penenang, menyedut wap air sebelum tidur dan menggunakan ubat semburan hidung.

  • Mengubah posisi tidur - Berdengkur terjadi ketika langit-langit, tekak, lidah, tonsil atau otot di belakang tenggorok saling bersentuhan satu sama lain sehingga menimbulkan suara getar semasa tidur. Bunyi dengkuran muncul ketika posisi tidur terlentang sehingga lidah tertarik ke belakang dan aliran udara mengalami penyempitan. Lantas, cuba ubah posisi tidur dengan cara mengiring agar terhindar dari berdengkur.
  • Turunkan 10% berat badan- Orang yang overweight atau berat badan berlebihan memiliki jaringan leher yang tebal yang memungkinkan munculnya risiko berdengkur. Jikasuami puan termasuk di dalam kategori ini, usahakan untuk menurunkan berat badan lebih kurang 10% daripada berat sedia ada sekarang, insyaAllah akan dapat membantu menghentikan kebiasaan berdengkur tersebut.
  • Hindari alkohol dan ubat penenang - Jangan salah faham. Saya tidak mengatakan suami puan mengambil alkohol. Kajian tunjukkan alkohol juga punca berdengkur dan perlu dielakkan. Malah,  jika suami puan menggunakan sebarang ubat penenang seperti pil tidur juga dapat menjadi penyebab berdengkur kerana kecenderungan menekan pernafasan. Lantaran itu, hentikan atau kurangkan kebiasaan menggunakan ubat-ubat penenang, jika ada.
  • Sedut wap air sebelum tidur - Antara sebab berdengkur ialah hidung tersumbat. Bagi membebaskan hidung tersumbat, boleh gunakan kaedah menyedut dalam-dalam wap air melalui hidung sebelum tidur atau meletakkan tuala yang telah direndam dalam air panas dan menyedut wapnya untuk menghilangkan lendir penyebab hidung tersumbat.
  • Cubalah ubat semburan hidung- Kajian juga menujukkan ubat semburan hidung dapat menyembuhkan hidung tersumbat sehingga dapat terhindar dari risiko berdengkur kerana memungkinkan lubang hidung terbuka luas. Puan juga boleh gunakan sejenis ubat pengekang lubang hidung yang ada dijual di pasaran sekarang bagi membantu suami puan tidur lebih selesa malah agar tidak mengganggu tidur puan lagi.
Puan boleh bercerita mengenai cara-cara menghindari dengkuran ini kepada suami tika masa yang sesuai. Jelaskan secara berhikmah, bukan mengajar. Paling penting, jangan sampai suami merasakan puan membenci tabiat dengkurnya dan paling tragis, bimbang jika dia merasakan puan membencinya kerana tabiat dengkur tersebut. Di samping berusaha memahamkan suami dan mengubah sifat dengkurnya itu, puan perlu panjatkan doa kepada Allah agar hati suami dilembutkan untuk menerima segala usaha puan membantunya mengatasi masalah berdengkur tersebut.

Puan juga perlu lebih banyak bersabar kerana tidak mustahil, suami puan berkeras untuk tidak berusaha mengubah tabiat dengkurnya itu. Jangan putus asa! Hingga tiba detik tersebut, puan boleh pekakkan telinga dengan menyumbat lubang telinga puan dengan kapas untuk seketika. Ingat! Masalah dengkuran suami juga termasuk di dalam ujian perkahwinan. Jika tidak berwaspada dan usahakan dengan baik, boleh menyebabkan kehancuran rumahtangga, nauzubillah!!