29 Ogos 2008

Salam Ramadhan al-Mubarak

InsyaAllah, hari Isnin ni seluruh umat Islam akan memulakan ibadah puasa. Jika masih ada puasa yang belum diganti, masih ada masa walau agak tenat di saat-saat akhir ini.

Ketika Ramadhan menjelang, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Wahai manusia, menjelang tiba bulan agung lagi berkat. Bulan yang di dalamnya ada satu malam lebih baik daripada seribu bulan. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan mengerjakan amalan fardu, seolah-olah dia sudah mendapat 70 pahala fardu pada bulan lain. Sesiapa mendekatkan dirinya dengan amalan sunat, seolah-olah dia mendapat pahala amalan fardu pada bulan yang lain. Ia adalah bulan sabar iaitu bulan yang awalnya rahmat, tengahnya keampunan dan akhirnya selamat dari neraka.” (Hadis riwayat Ibn Khuzaimah)

Hadis ini menjelaskan kepada kita betapa Ramadhan adalah bulan rahmah dan barakah. Apakah anda telah bersedia untuk menyambut ketibaan bulan mulia ini? Antara persiapan yang perlu dilakukan menjelang Ramadhan ialah:

1. Persediaan diri untuk berpuasa:
Seminggu sebelum berpuasa kita dikehendaki mengurangkan kadar makanan kita dan lebihkan makan buah-buahan serta sayur-sayuran. Pastikan pembuangan air besar lawas.

2. Memahirkan diri dengan segala rukun, sunat, harus, makruh yang berkaitan dengan puasa pada Ramadhan, sunat tarawih dan lain-lain lagi:

3. Membiasakan diri bangun pada sepertiga malam untuk bertahajud dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ia sebagai persediaan membiasakan tarawih dan tahajud pada Ramadhan.

4. Memperuntukkan beberapa jumlah wang untuk dijadikan sedekah jariah dan zakat fitrah.

5. Rancang strategi tersusun untuk memperbanyakkan hafalan dan tadarrus al-Quran.

6. Melatih dan membentuk diri bersifat mahmudah, sifat terpuji seperti sabar, membanyakkan senyuman kepada sahabat dan kerabat.

7. Meninggalkan sifat mazmumah iaitu sifat keji seperti memfitnah, mengumpat dan mengata orang. Kurang bercakap lagha (merapu), tidak berbahasa lucah, kotor dan keji.

8. Memohon maaf dan memaafkan orang lain.

Tahukah anda, ada satu riwayat menceritakan, malaikat Jibril a.s telah berdoa ketika saat menjelang Ramadhan:

"Ya Allah! Tolong abaikan puasa ummat Muhammad, apabila sebelum memasuki bulan Ramadhan dia tidak melakukan hal-hal yang berikut:
1. Tidak memohon maaf terlebih dahulu kepada kedua orang tuanya (jika masih ada);
2. Tidak bermaafan terlebih dahulu antara suami isteri;
3. Tidak bermaafan terlebih dahulu dengan orang-orang sekitarnya.

Maka Rasulullah SAW pun mengaminkan doa tersebut sebanyak tiga kali.

Saya tidak pasti kedudukan periwayatan hadis ini tetapi yang penting, perkara yang disampaikan adalah perkara yang perlu diberikan perhatian. Rata-rata berpendirian, tunggu raya nantilah mohon maaf... sedangkan hakikatnya, kita semua perlu bermaaf-maafan sejak sebelum memulakan puasa lagi.

Mungkin ada yang berpendirian, anda tidak perlu memohon maaf sebab anda tidak pernah melukakan hati sesiapa. Tambahan lagi jika anda tersenarai antara yang suka bergurau atau kelakar. Bagi mereka yang berprinsip sebegini, saya nasihatkan, mohonlah juga kemaafan kerana anda tidak akan rugi apa-apa.

Manusia mempunyai pelbagai perwatakan dan perangai. Ada tikanya anda bermaksud gurauan tetapi diambil serius oleh orang lain. Ada tikanya anda merasakan ianya luahan ikhlas tetapi ada yang mengambil kesempatan daripada luahan ikhlas tersebut untuk menjatuhkan anda.

Sama-samalah kita memohon maaf sesama kita. Saya juga memohon ribuan kemaafan jika tanpa sedar, saya melukakan hati anda semua.

Semoga kita dapat menjalani ibadah Ramadhan dengan rahmat dan barakah daripada-Nya.

28 Ogos 2008

Keperluan Wasiat menurut undang-undang di Malaysia

Ada emel yang meminta saya bincangkan mengenai wasiat. Teringat, rakan sepengajian yang kini bekerja dengan sebuah syarikat perunding wasiat pernah menyediakan perbincangan yang dikehendaki. Saya pastekan di sini untuk maklumat semua:
-----------------------------------------------------------

Menurut undang-undang Perwarisan Islam yang juga dikenali sebagai Faraid, aset-aset orang Islam yang telah meninggal dunia akan diserahkan kepada waris-waris yang berhak berdasar bahagian yang telah ditentukan.

Sebagai contoh, sekiranya seorang suami meninggal dunia meninggalkan hanya seorang bapa, seorang isteri, seorang anak perempuan dan seorang anak lelaki, selepas pembayaran semua hutang beliau, aset-aset beliau akan dibahagikan menurut hukum Faraid seperti berikut:

Bapa - satu per enam
Isteri - satu per lapan
Anak lelaki dan anak perempuan - baki harta dalam nisbah 2 bahagian untuk anak lelaki dan satu bahagian untuk anak perempuan

Berdasarkan kes ini, kebanyakkan orang Islam berpendapat bahawa Wasiat adalah tidak perlu dan membuang masa sahaja.

Wasiat bukan sahaja digalakkan oleh Rasullullah S.A.W tetapi merupakan cara menyatakan hasrat seseorang untuk membahagikan harta pusaka kepada benefisiari tertentu selepas kematian. Malah yang lebih penting adalah Wasiat merupakan satu mekanisme untuk membolehkan simati ketika masih hidup memilih seseorang yang beliau percayai untuk bertindak sebagai Wasi yang akan mentadbir harta pusakanya menurut hasratnya apabila dia telah meninggal dunia kelak. Malah di dalam Wasiat, pewasiat lelaki dibenarkan oleh undang-undang Islam untuk melantik penjaga bagi harta anak-anak yang masih kecil.

Kewujudan Faraid atau Undang-undang perwarisan Islam bukanlah bermakna bahawa seseorang yang berhak mewarisi menurut Faraid boleh mewarisi harta pusaka si mati dengan segera selepas kematian beliau.

Semua aset dan liabiliti si mati di kategorikan sebagai harta pusaka. Harta pusaka seseorang yang meninggal dunia tanpa meninggalkan Wasiat di panggil sebagai Harta Pusaka Tidak Berwasiat (manakala Harta Pusaka Berwasiat apabila seseorang meninggal dunia meninggalkan Wasiat).

Banyak langkah perlu dilakukan oleh seorang benefisiari bagi harta pusaka tidak berwasiat sebelum mereka boleh menikmati harta pusaka tersebut. Peruntukan daripada Akta Probate dan Pentadbiran 1959, Akta Pusaka Kecil (Pembahagian 1955) , Enakmen Pentadbiran Agama Islam yang berkaitan serta peraturan-peraturan mahkamah Tinggi 1980 perlu di gabungkan serta digunapakai dan ini termasuklah:

1. Permohonan Sijil perwarisan /Faraid daripada Mahkamah Syariah untuk menentukan bahagian/saham setiap benefisiari yang layak.

2. Permohonan Surat Kuasa Mentadbir ke Mahkamah Tinggi ( untuk harta pusaka bernilai lebih daripada RM600,000) oleh seseorang yang telah dilantik dan dipersetujui oleh semua benefisiari untuk bertindak sebagai pentadbir. Sekiranya tiada persefakatan dalam memilih seorang pentadbir proses permohonan ini akan tertangguh dan mengambil masa yang lama.

3. Bagi harta pusaka yang bernilai RM 50,000.00 atau lebih, biasanya perintah mahkamah akan diperolehi sekiranya Pentadbir boleh menyediakan “ Bon Pentadbiran” dimana penjamin tersebut adalah untuk memastikan bahawa pentadbir melaksanakan tanggungjawab dengan betul, kecuali pengecualian daripada bond pentadbiran tersebut diperolehi daripada mahkamah atau pentadbir yang dilantik adalah syarikat pemegang amanah.

Dari segi masa, proses pembahagian harta pusaka tidak berwasiat mungkin boleh mengambil masa diantara satu ke dua tahun dan mungkin lebih lama sekiranya benefisiari gagal memberi persetujuan dalam memilih pentadbir ataupun pentadbir gagal mendapatkan penjamin yang mencukupi. Sepanjang proses undang-undang yang diperlukan berjalan, harta pusaka si mati akan terbeku.

Halangan-halangan yang telah disebut di atas dapat diatasi sekiranya si mati semasa hayatnya telah membuat Wasiat dan melantik Syarikat Pemegang Amanah sebagai Wasi.

Wasiat menurut kacamata Islam

Orang Islam digalakkan menulis Wasiat . Ada golongan yang bersifat sinis tentang mengapa perlu menulis Wasiat dengan mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W tidak membuat Wasiat. Hadis berikut menjelaskan keadaan sebenar bahawa Rasulullah S.A.W telah menulis Wasiat.

Diriwayatkan Talha bin Musharrif Saya bertanya Abdulah bin Abu Aufa, “Adakah Rasulullah S.A.W membuat Wasat? Dia menjawab “Tidak,” saya bertanya beliau “Bagaimanakah umat Islam disunatkankan supaya berwasiat (atau diperintahkan supaya berwasiat? Ia menjawab, “Raslullah S.A.W berwasiat dengan kitab Allah (a Quran)- Dipetik daripada Sahih Al Bukhari (jilid IV m/s 1)

Sesungguhnya, orang Islam digalakkan untuk menulis Wasiat . Seperti yang diriwayatkan
Rasullulah s.a.w bersabda bermaksud: “Bukanlah seorang Muslim yang sebenar yang mempunyai harta untuk diWasiatkan untuk tidur dua malam kecuali Wasiatnya sudah tertulis dan disimpan dibawah kepalanya”.- Dipetik daripada Sahih Al Bukhari (jilid IV m/s 1)

Keluarga adalah aspek yang penting bagi masyarakat Islam dan Faraid memastikan bahawa Pewasiat tidak boleh menghalang ahli-ahli keluarga yang berhak menurut al Quran daripada menerima pusaka. Tidak seperti Undang-undang sivil pewasiat bebas untuk menghalang ahli keluarganya mewarisi hartanya di dalam Wasiat, seorang Islam hanya boleh mewasiatkan satu pertiga asetnya dan secara umumnya hanya kepada bukan waris. Hanya dengan persetujuan semua waris selepas kematian Pewasiat peraturan satu pertiga tersebut boleh di atasi.

Faraid dan Wasiat dengan kata lain seperti undang-undang dan ekuiti dimana dan saling memerlukan di antara satu sama lain. Faraid menjaga hak waris manakala wasiat pula memberi hak dan ruang kepada pewasiat untuk mewariskan hartanya kepada orang-orang yang bukan waris menurut Islam seperti anak atau ibu bapa angkat, ahli keluarga bukan Islam, cucu atau ahli keluarga yang tidak mendapat bahagian dalam Faraid ataupun untuk apa-apa tujuan kebajikan.

Kesedaran tentang Faraid

Faraid adalah undang-undang perwarisan Islam yang menetapkan bahagian yang khusus untuk waris-waris tertentu dan bukannya menentukan bentuk pembahagian. Ramai orang Islam yang salah faham tentang konsep Faraid serta tidak memahami peranan bersama diantara Faraid dan Wasiat didalam Islam .

Seseorang yang meninggal dunia serta meninggalkan segala harta untuk dibahagikan menurut Faraid, mungkin tidak menyedari bahawa tindakannya itu mungkin boleh menyebabkan kesan tidak baik dari segi ekonomi. Sebagai contohnya seseorang yang meninggal dunia tanpa Wasiat meninggalkan waris seorang isteri, 5 orang anak perempuan dan seorang abang serta meninggalkan aset hanya sebuah rumah dan sebuah kereta. Faraid akan menetapkan bahagian yang diperolehi oleh setiap orang waris.

Untuk mendapat kepentingan/keuntungan daripada perwarisan faraid mereka tersebut harta-harta tersebut mestilah dijual sebelum keuntungan hasil jualan tersebut boleh dibahagikan secara wajar menurut Faraid. Walau bagaimanapun setiap benefisiari mesti bersetuju agar aset tersebut dijual dan sekiranya salah seorang daripada mereka tidak bersetuju, harta tersebut akan ditinggalkan terbiar tanpa kesudahan.

Keadaan ini akan berbeza jika simati telah meninggalkan Wasiat. Dia masih boleh menetapkan didalam Wasiatnya untuk membahagikan aset-asetnya menurut Faraid dan pada masa yang sama di dalam Wasiatnya dia memberi kuasa kepada Wasi untuk bertindak menggunakan budi bicara yang luas untuk menjual asset tersebut tanpa perlu mendapatkan persetujuan daripada benefisiari. Daripada hasil jualan tersebut, pembahagian harta pusaka boleh dibahagikan tanpa bertangguh.

Konklusi

Tidak dinafikan bahawa seseorang yang mempunyai aset tanpa menbuat Wasiat akan menimbulkan pelbagai kesusahan kepada orang-orang yang beliau sayangi apabila meninggal kelak.

***Untuk mendapat maklumat lanjut tentang perkara ini anda boleh menghubungi Puan Amna Fazilah, as-Salihin Trustee Berhad di Talian 03-79581993 atau layari http://www.as-salihin.com/.

27 Ogos 2008

Melatih anak-anak berpuasa

Alhamdulillah, ada sedikit kesempatan untuk bersama pelayar setia blog saya ini. Tak lama lagi, Ramadhan akan menjelma. Biasanya, bulan Ramadhan inilah, setiap individu akan berusaha berkumpul bersama ahli keluarga untuk berbuka puasa. Pastinya suasana kekeluargaan lebih terasa apabila setiap ahli keluarga…suami, isteri dan anak-anak bersama-sama ketika berbuka puasa. Suasana akan jadi lebih meriah sekiranya ada di kalangan anak-anak kecil yang baru belajar berpuasa.

Puteri sulung saya sendiri dah tak sabar-sabar nak berpuasa. Mungkin, sesetengah ibu bapa mengambil pendekatan..alaaahh..anak kecil lagi, tak payah ler nak puasa…sedangkan kita perlu ingat, melentur buluh haruslah dari rebungnya. Sekiranya telah besar dan dewasa baru ingin dilentur, ketika itulah anak-anak tidak endahkan didikan dan ajaran kita.

Bagi mewujudkan sebuah keluarga yang cemerlang, didikan kepada anak-anak mengenai Islam hendaklah ditekankan dan dipupuk sejak jiwa anak-anak masih muda. Anak-anak dilahirkan di dalam keadaan fitrah iaitu suci tanpa sebarang kecacatan dan kecelaan rohani. Justeru, sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, praktikkan amalan puasa ini di dalam diri anak-anak kita. Maksud saya, bukanlah anak kecil yang masih menyusu tetapi anak-anak yang telah menjengah usia lima atau enam tahun.

Tetapi harus diingat, anak-anak perlu dilatih untuk berpuasa dan bukannya memaksa mereka berpuasa. Sebagai permulaan, terangkan secara mudah kepada anak-anak tadi, apakah maksud puasa? Jelaskan bahawa ketika berpuasa, kita tidak dibenarkan makan di siang hari. Kita hanya boleh menjamah makanan setelah masuk waktu Maghrib. Ketika bersahur pula, kejutkan anak-anak untuk bangun dan bersahur bersama kita.

Jangan risau bahawa kita mengganggu tidur mereka kerana anak-anak akan berasa dihargai sekiranya mereka dapat turut serta di dalam aktiviti yang kebanyakannya dilakukan oleh orang dewasa. Terangkan juga mengenai tempoh berpuasa selama sebulan di sepanjang bulan Ramadhan sahaja. Jelaskan, selepas tamat sebulan berpuasa, kita akan meraikan kegemilangan dan kejayaan kita berpuasa dengan tibanya Aidil Fitri.

Tidak salah sekiranya kita menjanjikan apa-apa hadiah atau balasan sekiranya anak-anak berjaya menamatkan puasa. Sebagai contoh, janjikan, sekiranya Adik berpuasa satu hari, Ibu akan berikan RM10.00. Insentif ini akan menyemarakkan semangat anak-anak untuk berpuasa. Ketika menyerahkan insentif tersebut, jelaskan bahawa insentif daripada kita hanya akan diperolehi ketika anak-anak masih kecil. Apabila anak-anak telah meningkat remaja dan dewasa, mereka akan mendapat insentif yang lebih besar daripada Allah s.w.t. Penjelasan ini akan dapat menyingkirkan salah faham anak-anak bahawa dengan berpuasa mereka akan mendapat hadiah dan membuatkan mereka mengerti bahawa insentif daripada Allah adalah lebih utama dan berharga.

Namun begitu, sekiranya kita dapati anak-anak kita amat lemah sekali dan tidak mampu untuk meneruskan puasa, pujuk mereka secara baik untuk berbuka kerana membiarkan anak-anak meneruskan puasa dalam keadaan demikian akan mendatangkan akibat buruk kepada kesihatan malahan ada sesetengah kes, menjadi penyebab kepada kematian.

Mungkin ada sesetengah anak-anak yang meminta daripada kita untuk berbuka dengan alasan tidak tahan lagi untuk terus berpuasa. Di dalam situasi ini, sekiranya kita rasakan keadaan tidaklah seteruk mana, cuba pujuk dengan elok agar anak tersebut meneruskan puasa. Tidak dinafikan, sesetengah anak-anak pandai mencari helah untuk tidak berpuasa dan kita harus berhati-hati dengan sikap sebegini. Jangan kita anggap didikan kita telah sempurna dan anak-anak takkan mencari helah kerana anak-anak terdedah kepada persekitaran sekeliling yang lebih mempengaruhi jiwa dan hidupnya berbanding dengan didikan kita.

Sebagai ibu bapa, kita hendaklah sentiasa berdoa agar anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna kepada kita semua....

26 Ogos 2008

Bicara Hati Seorang Wanita....

Segala puji hanya bagiMu Tuhan
Lantaran telah menjadikan daku seorang wanita
Dicipta dari tulang rusuk kiri Adam
Dengan seindah dan sebaik ciptaan

Daku..
Si tulang bengkok
Yang KAU gubah dengan kekuatan perasaan
Mengatasi panjangnya akal fikiran, sebagai fitrah dan anugerah
Hasil doa seorang lelaki
Namun Ya Allah
Biarlah kejadianku memberi guna, bengkok yang ada manfaatnya.

Kiranya daku menjadi seorang isteri
Kurniakanlah padaku kekuatan
Menjadi tulang belakang seorang suami, seorang mujahid
Pengembang perjuangan di sayap kiri
Diadun dengan kelembutan
Menjadi teman sejati, sahabat setia, penyejuk mata, pembina semangat dan penguat jiwa
Seanggun peribadi Saidatina Khadijah
Ketenangan baginda Rasulullah, utusan Allah

Bebas jiwa dari belenggu keperempuanan
Yang memiliki sembilan nafsu
Merdeka dari kepentingan peribadi
Setulus Siti fatimah yang seringkali ditinggalkan suami, Saidina Ali
Dihantar pemergiannya tanpa bertanya "Bila kan pulang?"
Disambut kepulangannya dengan penuh khidmat dan kemanisan
Bersulamkan kemesraan
Rumahtangga adalah syurga
Wadah suburnya CINTA ketuhanan, Ubudiyyah
Akal yang tunggal tidak dibiarkan
Hanya berlega dicelahan periuk belanga
Di sebalik lipatan lampin anak
Menjangkau kebangkitan Islam di alam sejagat
Menjadi pentadbir di sebalik tabir!!!

Namun Ya Tuhan
Siapalah daku untuk memiliki
Watak wanita solehah pendamping nabi
Dek berkaratnya mazmumah yang bersarang di hati
Maka kurniakanlah daku
Sekeping hati yang sentiasa insaf
Hak seorang suami
Tidak kan mungkin kupenuhi
Biar telah ku jilat nanahnya yang berlelehan
Biar telah ku tadahkan wajahku
Buat mengusap debu di telapak kakinya

Dan sememangnya daku mengimpikan
Watak seorang ibu
Yang bakal melahirkan
Putera-putera secekal Musa'ab bin Umar
Menggadai dunia demi kasih Tuhannya
Segigih Zubair Ibnu Awwaam
Yang diangkat Rasul sebagai 'hawarij'nya
Hasil didikan seorang wanita bergelar ibu
Jua..
Memiliki puteri setabah dan seteguh Masyitah
Rela direbus demi mempertahankan iman
Atau sesuci Maryam
Seluruh hidupnya mengabdikan diri kepada Tuhan

Meskipun daku bukan ibunya yang memiliki peribadi semurni Siti Fatimah
Ibu Syeikh Abdul Kadir Jailani
Yang tiap titis darah mampu berzikir ke hadrat Ilahi

Namun..
Mudah-mudahan zuriatku
Bakal menampilkan
Mujahid-mujahid yang rindu memburu syahid
Srikandi-srikandi yang mampu memakmurkan muka bumi Allah
Dengan ketaqwaan, kesolehan, ramainya ummat Rasulullah
Yang saling redha berkorban dan dikorbankan
Buat menyemarakkan Islam di akhir zaman
Sebagaimana kisah seorang ibu yang telah kematian Putera-puteranya di medan jihad

"Mereka telah berbahagia sebagaimana aku bahagia.
Aduhai, kiranya aku punya seorang anak lagi,
Kurelakan dia turut gugur di jalan Ilahi!"

Dan seandainya daku ditaqdirkan kehilangan mereka
Setenang Ummu Faisal
Yang tidak menjadikan kematian suami dan anak-anaknya
Halangan Kecintaan padaMu Ya Ilahi

Redhailah daku yang dhaif ini sebagai hambaMu
Inilah pengaduan harap dan munajat
Kiranya KekasihMu sendiri pernah menyatakan
" Kulihat kebanyakan dari isi neraka itu adalah wanita??.."

****Saya terima menerusi satu emel suatu tika dahulu. Tak tau siapa pencetus idea ini. Yang penting, inilah hasrat murni seorang wanita Muslimah...