27 Ogos 2008

Melatih anak-anak berpuasa

Alhamdulillah, ada sedikit kesempatan untuk bersama pelayar setia blog saya ini. Tak lama lagi, Ramadhan akan menjelma. Biasanya, bulan Ramadhan inilah, setiap individu akan berusaha berkumpul bersama ahli keluarga untuk berbuka puasa. Pastinya suasana kekeluargaan lebih terasa apabila setiap ahli keluarga…suami, isteri dan anak-anak bersama-sama ketika berbuka puasa. Suasana akan jadi lebih meriah sekiranya ada di kalangan anak-anak kecil yang baru belajar berpuasa.

Puteri sulung saya sendiri dah tak sabar-sabar nak berpuasa. Mungkin, sesetengah ibu bapa mengambil pendekatan..alaaahh..anak kecil lagi, tak payah ler nak puasa…sedangkan kita perlu ingat, melentur buluh haruslah dari rebungnya. Sekiranya telah besar dan dewasa baru ingin dilentur, ketika itulah anak-anak tidak endahkan didikan dan ajaran kita.

Bagi mewujudkan sebuah keluarga yang cemerlang, didikan kepada anak-anak mengenai Islam hendaklah ditekankan dan dipupuk sejak jiwa anak-anak masih muda. Anak-anak dilahirkan di dalam keadaan fitrah iaitu suci tanpa sebarang kecacatan dan kecelaan rohani. Justeru, sempena bulan Ramadhan yang mulia ini, praktikkan amalan puasa ini di dalam diri anak-anak kita. Maksud saya, bukanlah anak kecil yang masih menyusu tetapi anak-anak yang telah menjengah usia lima atau enam tahun.

Tetapi harus diingat, anak-anak perlu dilatih untuk berpuasa dan bukannya memaksa mereka berpuasa. Sebagai permulaan, terangkan secara mudah kepada anak-anak tadi, apakah maksud puasa? Jelaskan bahawa ketika berpuasa, kita tidak dibenarkan makan di siang hari. Kita hanya boleh menjamah makanan setelah masuk waktu Maghrib. Ketika bersahur pula, kejutkan anak-anak untuk bangun dan bersahur bersama kita.

Jangan risau bahawa kita mengganggu tidur mereka kerana anak-anak akan berasa dihargai sekiranya mereka dapat turut serta di dalam aktiviti yang kebanyakannya dilakukan oleh orang dewasa. Terangkan juga mengenai tempoh berpuasa selama sebulan di sepanjang bulan Ramadhan sahaja. Jelaskan, selepas tamat sebulan berpuasa, kita akan meraikan kegemilangan dan kejayaan kita berpuasa dengan tibanya Aidil Fitri.

Tidak salah sekiranya kita menjanjikan apa-apa hadiah atau balasan sekiranya anak-anak berjaya menamatkan puasa. Sebagai contoh, janjikan, sekiranya Adik berpuasa satu hari, Ibu akan berikan RM10.00. Insentif ini akan menyemarakkan semangat anak-anak untuk berpuasa. Ketika menyerahkan insentif tersebut, jelaskan bahawa insentif daripada kita hanya akan diperolehi ketika anak-anak masih kecil. Apabila anak-anak telah meningkat remaja dan dewasa, mereka akan mendapat insentif yang lebih besar daripada Allah s.w.t. Penjelasan ini akan dapat menyingkirkan salah faham anak-anak bahawa dengan berpuasa mereka akan mendapat hadiah dan membuatkan mereka mengerti bahawa insentif daripada Allah adalah lebih utama dan berharga.

Namun begitu, sekiranya kita dapati anak-anak kita amat lemah sekali dan tidak mampu untuk meneruskan puasa, pujuk mereka secara baik untuk berbuka kerana membiarkan anak-anak meneruskan puasa dalam keadaan demikian akan mendatangkan akibat buruk kepada kesihatan malahan ada sesetengah kes, menjadi penyebab kepada kematian.

Mungkin ada sesetengah anak-anak yang meminta daripada kita untuk berbuka dengan alasan tidak tahan lagi untuk terus berpuasa. Di dalam situasi ini, sekiranya kita rasakan keadaan tidaklah seteruk mana, cuba pujuk dengan elok agar anak tersebut meneruskan puasa. Tidak dinafikan, sesetengah anak-anak pandai mencari helah untuk tidak berpuasa dan kita harus berhati-hati dengan sikap sebegini. Jangan kita anggap didikan kita telah sempurna dan anak-anak takkan mencari helah kerana anak-anak terdedah kepada persekitaran sekeliling yang lebih mempengaruhi jiwa dan hidupnya berbanding dengan didikan kita.

Sebagai ibu bapa, kita hendaklah sentiasa berdoa agar anak-anak kita menjadi anak-anak yang soleh dan solehah. Semoga Ramadhan kali ini lebih bermakna kepada kita semua....

2 ulasan:

cikgooden berkata...

ramadhan datang lagi..rasa macam baru ja sambut raya tahun lepas. Ya, anak-anak perlu dilatih.Kekadang kita kena prihatin jugak dengan keadaan mereka kan. terutama macam sebaya anak2 saya tu. 7 tahun dan 8 tahun. kalau dia mengadu sakit perut...or, letih puasa, dengan muka yg pucat, adakah kita masih nak melatih dia?...

Suzana Ghazali berkata...

Salam

Dalam melatih puasa, tak perlu ada paksaan. Jika keadaan anak-anak membahayakan, benarkanlah mereka berbuka. Sebagai orang dewasa yang menepati syarat untuk mendapatkan rukhsah atau keringanan juga dibenarkan berbuka puasa apatah lagi kanak-kanak. Bezanya orang dewasa perlu gantikan semula dan bg kanak-kanak, tak perlulah kerana belum menepati syarat wajib berpuasa. Yang penting, dalam usaha melatih anak-anak berpuasa, kita perlu pastikan anak-anak mempunyai 'bekalan' yang cukup untuk berpuasa sepanjang hari dan pastikan juga 'bekalan' tersebut tidak hilang sebelum masa berbuka. Cthnya, pastikan anak-anak menikmati hidangan masa sahur. Memang sukar menyuruh anak-anak bangun awal pagi dan makan tetapi ada caranya: mungkin boleh masakkan makanan kegemarannya dan pastikan anak-anak tidur awal supaya tidak bermasalah untuk bangun tika sahur. Elakkan juga anak-anak bermain terlalu lasak hingga meletihkan. Jika sikap ini dipupuk di dalam diri anak-anak, insyaAllah latihan anda akan berkesan, demi masa depan anak anda sendiri, insyaAllah!