20 Februari 2012

Jodoh dan perkahwinan

Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan kebajikan Masyarakat pada pertengahan tahun ini, Malaysia bakal menjadi Negara yang mempunyai lebihan warga tua iaitu generasi berusia 60 tahun dan ke atas. Menurut statistik, pada tahun 2000, warga tua di Malaysia berjumlah 1.45 juta atau 6.2%. Pada tahun 2009 pula berjumlah 2.03 juta iaitu 7.1% dan jumlah ini dijangka meningkat pada tahun 2035 dengan menguasai 15% daripada populasi penduduk Malaysia. Menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, sesebuah Negara dengan statistic menunjukkan warga tuanya melebihi 10% adalah termasuk dalam kategori Ageing Nation. Mengikut kajian, antara punca berlakunya masalah ini ialah makin berkurangnya perkahwinan dan berdasarkan maklumbalas dalam sesi ceramah saya, rata-rata orang muda hari ini khususnya wanita, takut untuk berkahwin dan yang lelakinya pula, ada keinginan tetapi mempunyai masalah kewangan. Lantas, bila soalan cepu emas ditanyakan, jawapan diberikan; takdir belum tentukan!

Hakikatnya, jodoh bukan semata-mata ketentuan takdir sebaliknya memerlukan usaha dan ikhtiar kita juga. Menepati maksud firman Allah SWT dalam ayat 11 surah ar-Ra’du: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri”. Ayat ini jelas membuktikan bahawa jodoh atau ketentuan untuk mempunyai pasangan hidup bukan semata-mata kehendak Ilahi tetapi bersangkut dan berkait dengan usaha dan ikhtiar kita sendiri juga.

Mr/Mrs Right bukan dipilih tapi dicipta

Ramai yang berusaha untuk mencari individu yang terbaik bagi memenuhi citarasa dan keinginannya untuk dijadikan sebagai teman hidup dan mereka ini lupa, pilihan akan sentiasa tersedia di depan mata. Bermaksud anda akan sentiasa mempunyai pilihan dan perkara yang penting; kita memang berhak memilih tetapi terlalu memilih adalah satu penyakit. Tak perlu cari yang sama sikap dan minat. Berbeza sikap dan minat juga bukan halangan hidup bahagia bersama. Perlu difahami; pasangan ertinya saling menyempurnakan. Setiap individu diberikan kelebihan malah juga kekurangan. Lantas, melalui konsep saling memberi dan menerima serta ikhlas, akan berhasillah Mr atau Mrs Right pilihan anda.

Panduan mencari pasangan

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seorang wanita itu dinikahi boleh kerana empat perkara; kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya. Maka hendaklah kamu mengutamakan yang beragama, nescaya kamu berbahagia.” Hadis riwayat Bukhari dan Muslim. Biarpun hadis ini menyebut tentang kriteria memilih calon isteri namun hadis ini juga relevan dan berkait rapat dengan kriteria calon suami. Perlu difahami maksud ‘kerana agamanya’; bukan bermaksud perlu mempunyai kelayakan atau sijil pendidikan tinggi dalam bidang agama tetapi bermaksud lelaki atau perempuan yang melaksanakan tuntutan agama Islam iaitu melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan. Malah menurut para fuqaha’, asas ketetapan kufu’ atau sekufu menurut syarak ialah sama taraf dalam ilmu dan amalan agama; bukan sama taraf dalam paras rupa, kekayaan atau pangkat malah bukan juga harta.

Bukan semua layak berkahwin

Dalam usaha untuk mendapatkan calon pilihan, setiap individu perlu koreksi diri, apakah anda betul-betul layak untul berkahwin? Opss… jangan terkejut! Bukan saja nak poligami, nak monogami pun ada syarat kelayakannya dan jika anda gagal penuhi kelayakan, hukum asal berkahwin yang harus boleh menjadi makruh atau haram. Seseorang lelaki dikategorikan sebagai wajib berkahwin apabila mereka mampu dari segi fizikal dan kewangan malah dibimbangi sekiranya tidak berkahwin, takut terjerumus kepada maksiat zina. Lelaki yang sunat berkahwin ialah mereka yang mampu dari segi fizikal dan kewangan dan mempunyai keinginan untuk berkahwin. Bezanya mereka tidak bimbang akan terlibat dengan zina sekiranya tidak berkahwin.

Lelaki yang haram berkahwin pula ialah mereka yang tidak mampu dari segi nafkah zahir dan batin. Haram juga bagi lelaki yang berkahwin dengan tujuan untuk memudaratkan isterinya. Lelaki yang tergolong dalam senarai makruh berkahwin ialah mereka yang tidak mampu memberi nafkah kepada isterinya tetapi berkeinginan untuk berkahwin. Lelaki yang harus berkahwin pula ialah mereka yang tidak mempunyai sebab yang mendesak untuknya berkahwin dan tidak pula mengharamkan dia berkahwin.

Lambat jumpa jodoh juga ada hikmah

Jika anda termasuk dalam kategori yang lambat berkahwin, jangan susah hati dan jangan bersedih. Ya! Saya akui, sukar untuk meneruskan hidup bila berdepan dengan pelbagai soalan berkaitan perkahwinan. Saya sendiri mengalaminya lantaran hanya berjaya menamatkan zaman bujang tika usia 28 tahun. Tika itu, saya hanya membiarkan segala soalan tersebut berlalu kerana saya yakin, biarpun jodoh termasuk ikhtiar kita di samping takdir-Nya; keputusan dan perancangan-Nya sentiasa yang terbaik. Setiap ketentuan dan kehendak Allah itu ada sebab dan hikmahnya. Ada orang yang bertemu jodoh dalam usia muda, ada yang bertemu jodoh agak lewat usia dan ada juga yang ditakdirkan hanya bertemu jodoh di akhirat kelak.

Sebab dan kenapa? Hanya Dia yang mengetahui segalanya. Ada kes perkahwinan di usia muda yang berakhir dengan perceraian hanya selepas dua atau tiga tahun perkahwinan malah ada kes, hanya selepas sebulan perkahwinan. Ada kes perkahwinan lewat usia tetapi kekal bahagia hingga akhir hayat. Bukan bermaksud kahwin muda tak bagus. Bukan juga bererti kahwin lewat itu yang terbaik. Sebab tak semua kes kahwin muda bermasalah dan bukan semua kes kahwin lewat itu bahagia. Perkara utama ialah setiap ketentuan Allah itu mempunyai alasan yang tersendiri yang hanya akan anda ketahui bila tiba masanya nanti. Yang penting, jangan putus asa, jangan putus doa; DIA akan berikan anda pasangan bila itu adalah yang terbaik untuk anda.

Berkahwin hanya bila bersedia

Perkahwinan bukan mainan, bukan juga makmal kajian sebaliknya perkahwinan adalah permulaan medan perjuangan untuk melaksanakan segala amanah dan tanggungjawab anda sebagai suami dan juga isteri. Lantas; berkahwinlah bila anda dan si dia sudah betul-betul bersedia; bukan sebab dipaksa orang tua atau nak elak maksiat dan fitnah semata. Maksiat tak perlu dielak jika anda tak dekat. Buat para gadis, PASTIKAN BAKAL SUAMI BENAR-BENAR LAYAK. Jangan mudah bertoleransi dari awal, natijah besar menanti anda di belakang hari. Paling penting; dalam ada juga keadaan sentiasa benar-benar serahkan setiap keputusan kepada-Nya, DIA akan bantu, insyaAllah!

****Siaran Cermin Diri Kosmo! pada 18 November 2011

17 Januari 2012

Santai Ilmiah bersama saya

Bagi memberi ruang dan peluang buat mereka yang tidak berkemampuan, saya sediakan sesi konsultansi berkumpulan dalam siri Santai Ilmiah bersama saya.

Program terhad kepada LIMA (05) peserta WANITA sahaja. Tarikh terdekat ialah pada 25hb Februari dan 24hb Mac.

Bagi yang berminat, sila booking dengan membuat bayaran RM40 sahaja ke akaun Bank Islam 120650 10035871 atas nama Bina Bahagia Services kemudian SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama anda ke talian 013-2545965 dan nyatakan anda ingin sertai Santai Ilmiah mengikut tarikh pilihan anda. Bagi memudahkan urusan, SMS ke 013-2545965 dan dapatkan kepastian mengenai kekosongan tempat sebelum membuat bayaran.

Program bermula 9.30am hingga 12.30pm bertempat di Pejabat Panel Guaman dan Perundingan Syariah UM. Bagi lima peserta terlibat, anda boleh berkongsi dengan saya dan rakan2 yang turut serta. Jangan risau! Setiap peserta perlu jalani sesi KERAHSIAAN BERSAMA sebelum sesi dimulakan.

Sesi untuk April dan Mei akan diumumkan nanti.

Jadual sesi konsultansi 2012

Isnin hingga Khamis:
Sesi 1= 10am-11.30am
Sesi 2= 11.30am-1pm
Sesi 3= 2pm-3.30pm
Sesi 4= 3.30pm-5pm
Sesi 5= 10.30pm-12am

*Sesi 1 hingga 4 boleh secara bersemuka atau melalui telefon atau chat Yahoo Messenger.
*Sesi 5 sama ada menerusi telefon atau chat Yahoo Messenger sahaja.

Jumaat:
Sesi 1= 9am-10.30am
Sesi 2= 3pm-4.30pm
Sesi 3= 10-11.30pm

*Sesi 1 hingga 3 sama ada menerusi telefon atau chat Yahoo Messenger sahaja.

Sabtu (Minggu Pertama dan Ketiga):
Sesi 1= 10am-11.30am
Sesi 2= 10pm-11.30pm

*Sesi 1 dan 2 sama ada menerusi telefon atau chat Yahoo Messenger sahaja.

Sabtu (Minggu Kedua dan Keempat):
Sesi 1= 10am-11.30am
Sesi 2= 11.30am-1pm
Sesi 3= 10pm-11.30pm

*Sesi 1 dan 2 boleh secara bersemuka atau melalui telefon atau chat Yahoo Messenger.
*Sesi 3 sama ada menerusi telefon atau chat Yahoo Messenger sahaja.

Untuk booking, sila bank in RM100 ke akaun Bank Islam 120650 10035871 atas nama Bina Bahagia Services kemudian SMS nombor rujukan atau tarikh dan masa bayaran beserta nama anda ke talian 013-2545965 dan nyatakan anda sama ada inginkan temujanji bersemuka, menerusi telefon atau chat YM. Jadual akan ditetapkan berdasarkan kekosongan jadual terdekat.

Untuk temujanji bersemuka, anda perlu jelaskan bayaran tambahan selepas sesi temujanji berakhir (maksima 1 jam 30 minit) berjumlah RM50 sahaja. Temujanji bersemuka diadakan di Pejabat Panel Guaman dan Perundingan Syariah, APIUM.

PERUBAHAN jadual di atas boleh berlaku jika saya terlibat dengan program seminar atau media. Dapatkan pengesahan dengan SMS ke 013-2545965. Terima kasih.

13 Januari 2012

Berhemah didik anak degil

***Disiarkan melalui Cermin Diri, Kosmo! Mei 2011.


Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah r.a, diriwayatkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Setiap anak lahir dalam keadaan fitrah iaitu suci dan bersih, maka kedua ibu bapanyalah yang menjadikannya bersikap seperti perangai Yahudi, Nasrani atau Majusi”. Hadis ini jelas membuktikan ibu dan bapa mempunyai tanggungjawab besar untuk membentuk keperibadian dan sikap anak-anak. Terdapat tiga perkara utama yang perlu diusahakan dalam membentuk keperibadian anak-anak iaitu laksanakan komunikasi unggul, tunjukkan teladan yang baik dan paling penting; utamakan solat dan berdoa.


Komunikasi Unggul

Ramai ibu bapa yang menganggap disiplin anak-anak akan dibentuk melalui kekerasan. Hakikat sebenarnya; peribadi mulia anak-anak akan wujud hasil daripada komunikasi unggul antara ibu bapa dan anak. Ibu bapa perlu sentiasa berdampingan dengan anak-anak, bercakap dengan mereka, mengambil berat mengenai setiap kehendak mereka dan jangan sampai anak-anak merasakan mereka tersisih. Sikap degil dan keras kepala si anak boleh wujud hasil daripada rasa tidak puas hati yang wujud dalam diri anak tersebut. Mereka bersikap degil sebagai tanda protes dan memberontak agar mereka diberi perhatian.


Anak perlukan kasih sayang dan belaian. Manjakan anak-anak tetapi jangan berlebihan. Belajar untuk katakan tidak bila perlu dan tepat pada masa dan keadaannya. Jika anak bersalah, jangan terus menengking marah. Praktikkan untuk menegur terlebih dahulu, jelaskan kesilapannya dan pesankan; jangan ulangi kesilapan tersebut. Pakar psikologi menjelaskan; seorang anak kecil perlu ditegur dan diperingatkan mengenai sesuatu perkara sekurang-kurangnya 200 kali. Selepas 200 kali teguran diberi, barulah anak tersebut boleh dimarahi.


Marah yang berpada-pada; jangan gunakan kata-kata kesat dan keras. Jiwa anak-anak terlalu lembut, mudah untuk mengingati sesuatu yang melukakan hati dan terlalu payah untuk melupakannya malah banyak kes; segala keperitan dan kepedihan yang dialami tika kecil akan diingati hingga dewasa malah paling membimbangkan; sikap tersebut diwarisi kepada anak-anaknya pula.

Jangan biasakan memukul anak hanya kerana perkara kecil. Pukulan hanya langkah terakhir apabila teguran berulang kali diberikan dan pemulauan anak-anak dilaksanakan. Pemulauan bermaksud; pinggirkan anak tersebut seketika; tak dilayan kehendaknya, tak dibawa bersembang sama; sebagai menjelaskan anda merajuk hati dengan sikap tidak pedulinya dengan teguran anda.

Setelah teguran diberi, pemulauan dilakukan barulah pukulan boleh dilaksanakan. Itupun hanya dengan tujuan mengajar; gunakan rotan yang sederhana, tidak terlalu besar dan tidak pula terlalu kecil. Pukulan diberikan dengan keadaan lengan rapat ke tubuh dan dihayun rotan tersebut ke bahagian tubuh yang terlindung. Tempat terbaik ialah di tapak kaki. Untuk makluman; pakar kesihatan mengakui, pukulan di tapak kaki membantu pengaliran darah yang sudah semestinya baik untuk kesihatan.

Teladan yang baik

Ramai ibu bapa yang bersikap seperti ketam; menyuruh si anak berjalan betul tetapi diri sendiri gagal berjalan betul. Ibu bapa sepatutnya bersikap “Walk your talk!”- tunjukkan sikap yang baik untuk anak-anak agar anak-anak boleh teladani sikap tersebut. Jika tak suka anak-anak lewat mandi, ibu bapa seharusnya mandi awal pagi. Jika tak suka anak-anak bercakap keras dan kasar, ibu bapa perlu bercakap baik dan berhikmah.


Jangan sesekali kelirukan anak-anak dengan arahan. Sebagai contoh; si ibu menegur kesilapan si anak tetapi si bapa pula memarahi si ibu. Anak akan keliru, mana satu yang betul sebenarnya? Sama juga; jangan tonjolkan sikap buruk yang telah menjadi tabiat anda kepada anak-anak. Anda tentu tahu, anak anda diajar di sekolah merokok itu tidak elok untuk kesihatan. Jika anda merokok di depan anak, mereka akan keliru dengan ajaran guru, sekaligus tidak hormatkan guru dan lebih sadis apabila mereka gagal untuk hormati anda sebagai ibu atau bapa. Penting; jika ada perselisihan faham antara anda dan pasangan anda, elakkan bermasam muka atau bertengkar di hadapan anak. Sikap keras anda akan mudah diteladani oleh mereka.


Utamakan solat dan berdoa

Sebagai individu Muslim, anda perlu mendidik agar anak anda mengutamakan solat lima waktu. Solat bukan semata-mata tanda syukur kepada Allah atau ibadat kepada-Nya sebaliknya solat adalah sebagai satu pembentukan akhlak dan disiplin yang baik. Ajar anak-anak mengaji Muqaddam atau al-Quran sejak mula, boleh diajar tika anak sudah mula berkata-kata. Ajarkan anak solat, biar tidak betul pergerakannya, pembentukan sejak usia muda akan membentuk kebiasaan agar solat bukan lagi menjadi satu bebanan. Jiwa yang menghayati solat akan terhindar daripada perkara tidak baik seterusnya melahirkan akhlak yang terpuji, insyaAllah!

Sebagai ibu bapa; sentiasa praktikkan untuk mendoakan yang terbaik untuk anak-anak. Jangan biasakan kata-kata kesat dan negatif kerana ia mudah menjadi doa untuk anak anda....