27 November 2008

Isu anak tak sah taraf

Saya menerima emel yang meminta komen saya tentang fatwa Mufti Perlis tentang isu anak tak sah taraf. Sebenarnya, saya baru saja emelkan perbincangan mengenai perkara ini kepada pihak Buku Prima sebagai isu tambahan di dalam buku saya yang bakal terbit awal tahun depan.

Memandangkan terdapat permintaan, saya masukkan petikan perbincangan tersebut di dalam blog saya ini dengan harapan, memberikan faedah kepada semua, insyaAllah.
_________________________________________

Saya mengulas semula perbincangan bab ini setelah timbulnya fatwa baru ini dan sehingga perbincangan ini saya ulas semula, kira-kira selepas dua minggu fatwa Mufti Perlis ini dikeluarkan, belum ada mana-mana pihak yang setanding dengan beliau memberikan komen sama ada menyokong atau membantah. Dah nyata, saya bukanlah orang yang cukup layak untuk memberikan komen namun sebagai seorang yang turut berada di dalam permasalahan yang dibincangkan, saya rasa bertanggungjawab untuk memberikan pandangan dan pendapat walau mungkin ketika buku ini berada di pasaran, telah ada pendapat lain yang dikeluarkan.

Terus terang, saya tidak bersetuju dengan pandangan ini. Memetik semula kata- kata Dato’ Setia Hj. Mohd. Tamyes bin Abd. Wahid , Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Negeri Selangor dalam kertas kerja yang dibentangkan pada Seminar Penolong Pendaftar Nikah Daerah Hulu Selangor, 28 November 2007, di Petaling Jaya, Selangor, berkaitan Anak Tak Sah Taraf Mengikut Hukum Syarak: “Penyelesaian sesuatu masalah sosial yang berlaku tidak boleh diambil melalui jalan yang singkat dan semudah seperti yang disangka. Ia perlu dilihat dari keseluruhan aspek dengan melibatkan pendekatan agama serta pembangunan insan dan pembentukan masyarakat yang beretika dan baik.”

Semua sedia maklum, isu hamil luar nikah dan anak tak sah taraf bukanlah isu luar biasa malah bagaikan satu kelaziman di dalam masyarakat hari ini. Saya kemukakan petikan akhbar Kosmo bertarikh 30hb Oktober 2008:

KUALA LUMPUR - Mengejutkan! Sebanyak 257,411 sijil kelahiran yang didaftarkan rupa-rupanya tanpa dicatatkan nama bapa dari tahun 2000 hingga Julai lalu.

Perkara itu didedahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar ketika menjawab soalan lisan R. Sivarasa (PKR-Subang) semasa sesi soal jawab Dewan Rakyat, semalam.

Menurutnya, data itu dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ekoran anak-anak yang dilahirkan itu tidak mempunyai sah taraf atau anak luar nikah.

"Pendaftar tidak boleh mencatat nama bapa pada sijil kelahiran bagi anak-anak tidak sah taraf atau luar nikah kecuali atas permintaan bersama ibu dan orang yang mengaku dirinya sebagai bapa.

"Ini selaras dengan peruntukan Seksyen 13 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 atau Akta 229," katanya.

Tambah Syed Hamid, di bawah peruntukan Seksyen 28 Akta 299, pendaftar berhak untuk mendapatkan maklumat sebaik mungkin berkenaan ibu dan bapa yang sah bagi setiap kelahiran yang hendak didaftarkan.


Berdasarkan laporan rasmi ini ada pihak yang telah mengunjurkan pengiraan statistik untuk melihat sejauh mana parahnya kejadian ini. Jika diteliti daripada data yang diberikan sejak tahun 2000 sehingga Julai 2008 ini bermakna memakan masa selama 103 bulan dan bilangan harinya adalah 3090 hari iaitu 103 X 30.Secara purata di mana ada hampir 2,500 (iaitu 257,411 ÷ 103) kes anak luar nikah setiap bulan didaftarkan secara rasmi, dan ini bermakna setiap hari secara purata Jabatan Pendaftaran menerima 83.3 kes (257,411 kes ÷ 3090 hari) pendaftaran anak luar nikah. Ini juga bermakna secara statistiknya satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam masa 17 minit 17 saat.Masalah pembuangan bayi juga semakin parah di mana sebanyak 228 kes buang bayi direkodkan di seluruh negara sepanjang 2004 hingga tahun 2006. Kes paling banyak dilaporkan di Selangor dengan 69 kes, 59 kes berlaku di Johor, seterusnya 29 kes bagi Sabah dan 25 kes berlaku di Sarawak .

Ini bermakna, secara puratanya setiap bulan sebanyak 6.33 (228/36) kes buang bayi berlaku. Jadi, jika dinisbahkan dengan hari, maka pada setiap 5 hari 1 jam ada seorang bayi yang dibuang. Data dan statistik di atas menunjukkan bagaimana parahnya masalah sosial dan perzinaan yang berlaku di Malaysia , terutamanya di kalangan muda-mudi yang melakukan perbuatan jijik dan keji itu. Angka-angka yang diberikan di atas bukanlah menunjukkan angka yang sebenar kerana semua orang tahu kes yang tidak dilaporkan jauh melebihi jumlah yang dilaporkan.

Malah terdapat beberapa kes anak luar nikah didaftarkan dengan nama bapa angkat tanpa di kesan oleh Jabatan Pendaftaran, sebagai contoh ada doktor swasta di JB yang menguruskan anak luar nikah yang diberi sijil kelahiran kepada keluarga yang inginkan anak. Ada juga kejadian pasangan yang cepat-cepat bernikah setelah tahu ‘perut kembung’, banyak kes yang mengebumikan anak hidup atau mati yang tidak dijumpai dan banyak ke yang mana kandungan digugurkan di hospital swasta.

Fikirkanlah, dengan adanya fatwa yang hanya mengiktiraf anak-anak yang lahir selepas tempoh enam bulan perkahwinan sebagai anak sah taraf, kes-kes hamil luar nikah makin bertambah berkali-kali ganda sepanjang tahun; apakah yang akan berlaku sekiranya kebebasan diberikan seperti fatwa yang baru dikeluarkan itu?

Terdapat dua alasan yang diberikan kenapa perlu ada fatwa baru berkaitan masalah anak tak sah taraf ini iaitu:
1. satu tekanan kepada anak yang tidak berdosa apabila anak tersebut mendapati hanya dia yang tidak berbinkan bapanya sedangkan adik-beradiknya yang lain berbinkan bapanya.
2. ibu bapa amat sukar untuk menerangkan masalah tersebut kepada anak berkenaan kerana itu akan membuka aib yang telah cuba ditutup di samping boleh menghilangkan rasa hormat anak kepada ibu bapa yang telah insaf dan sedang membina dan mendidik keluarga.

Saya faham malah mengakui antara kebaikan fatwa baru seperti yang dinyatakan iaitu untuk menutup keaiban lepas yang berlaku kepada pasangan yang sudah berkahwin dan bertaubat, menghilangkan perasaan malu dan terasing anak yang selama ini tidak dibinkan kepada bapanya disebabkan faktor kekurangan tempoh perkahwinan dan membantu ibu bapa yang terlanjur meneruskan kehidupan dan pembinaan keluarga.

Namun, satu persoalan yang perlu difikirkan bersama, apakah fatwa baru ini akan dapat menamatkan atau mengurangkan kes-kes hamil luar nikah? Saya pernah berdepan dengan pasangan lelaki dan wanita yang hubungan mereka dilarang oleh keluarga. Tanpa segan mereka luahkan cara mudah: “mengandung dulu nanti boleh lah kahwin.” Jika ini mentaliti mereka yang terlibat di dalam kes hamil luar nikah, memanglah parah. Saya bukan mendoakan tetapi saya yakin, dengan adanya fatwa baru ini, kes-kes zina dan hamil luar nikah akan makin bertambah dan menjadi-jadi.

Realitinya, wujudnya fatwa yang memperakui anak yang dilahirkan selepas tempoh enam bulan perkahwinan adalah satu fatwa yang amat relevan dan cukup mengambil kira kemaslahatan setiap ahli masyarakat termasuk pasangan dan anak yang terlibat. Ya! Saya akui anak yang terlibat akan rasa tertekan namun harus diingat, anak yang terlibat di dalam masalah ini boleh bertindak wajar dan waras sekiranya diasuh dengan ajaran dan kehendak syariat. Ibu bapa seharusnya bertindak berani berdepan dengan kebenaran dan bukan berusaha menyembunyikannya. Harga diri di depan anak-anak? Kenapa baru sekarang fikirkan harga diri? Nak bina semula harga diri? Binalah tetapi dengan memperakui hakikat dan kebenaran dan bukan menyembunyikannya malah menjerumuskan anak anda ke jalan yang salah menurut syariat.

Kenapa salah? Jika anak anda itu dinasabkan dengan nama anda, bagaimana dengan perkahwinannya kelak, terutama jika anak itu anak perempuan? Dah sah itu bukan anak yang sah menurut syarak maka anda tidak berhak mewalikannya. Apakah tika dewasa dan tika hari istimewa itu, anda nak bocorkan rahsia anda? Atau anda akan terus menyembunyikannya hingga sanggup mengabaikan sah atau tidak perkahwinan anak anda? Nak biarkan anak anda yang tidak bersalah itu berada dalam keadaan wait atau persetubuhan syubhah, semata-mata ingin menyembunyikan rahsia sebenar?

Hakikatnya juga, tak perlukan fatwa baru. Satu peruntukan daripada Akta Pendaftaran dengan jelas menyebut: “Pendaftar tidak boleh mencatat nama bapa pada sijil kelahiran bagi anak-anak tidak sah taraf atau luar nikah kecuali atas permintaan bersama ibu dan orang yang mengaku dirinya sebagai bapa.” Peruntukan ini sudah memadai bagi menyelesaikan alasan yang diberikan bagi mewujudkan fatwa baru ini. Memang lah susah tapi berbaloi lah dengan perbuatan salah yang dilakukan sebelum ini. Susah pun, tak lah sampai anak tu dah pandai membaca, barulah pihak berkuasa nak luluskan. Paling penting, anda perlu telus dan jujur dengan tidak menjadikan diri anda sebagai wali semasa perkahwinan anak anda. Jika anda benar-benar bertaubat, anda akan sanggup hadapi apa juga rintangan dan halangan.

Ini pendapat saya berdasarkan ilmu yang ada. Harapan saya, akan ada pihak yang mempertimbangkan semula perkara ini.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

assalamualaikum,
puan saya ingin bertanya..jika pasangan itu bernikah setelah wanita itu mengandung selama 2 bulan 2 minggu..adakah anak itu masih boleh di bin/bintikan dengan nama bapa biologinya..
maaf..saya kurang arif tentang tempoh kehamilan.apakah yang dikatakan bahawa anak itu boleh di bin atau di binti kan dengan nama bapa biologi setelah bayi itu lahir seleas 6 bln tempoh kelahiran.
contoh:
tarikh nikah bersamaan wanita itu tengah hamil 2 bulan 2 minggu, 3 februari..dan itu perkiraaan bayi itu akan lahir penghujung bulan ogos..persoalan saya, adakah bayi itu dikira anak sah taraf?

sekian,
wassalam.
terima kasih