02 Mei 2011

Bila suami gagal mendidik...

Sebagai seorang suami, tanggung jawabnya adalah membimbing isteri. Tetapi lain halnya dalam situasi yang saya alami. Dalam banyak keadaan, sayalah yang banyak menegur suami apa yang patut dipatuhi dan apa yang patut dihindari sebagai umat Islam. Saya kini buntu kerana masih gagal menegur suami supaya taat menunaikan solat 5 waktu. Hal ini amat menyedihkan saya kerana khuatir anak-anak kami yang masih kecil turut berperangai sama sepertinya apabila meningkat dewasa.

JAWAPAN:

Saya yakin, ramai yang maklum dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan.” – surah al-Nisa’ayat 34. Biarpun penghujung ayat ini dijelaskan mengenai sebab lelaki dijadikan pemimpin iaitu kerana mereka wajib memberikan nafkah kepada kaum wanita; hakikatnya ayat ini juga bermaksud; kaum lelaki iaitu bapa atau suami bertanggungjawab dalam membentuk akhlak dan budi pekerti isteri dan anak-anak agar menepati kehendak dan saranan syarak. Peranan ini menjadi perkara asas dalam kehidupan berkeluarga.

Lantaran; setiap wanita disarankan agar betul-betul memilih calon suami. Biarpun hadis hanya menyebut mengenai kriteria pemilihan isteri yang dituntut oleh syarak, hakikatnya kaum wanita juga perlu menggunakan hadis tersebut sebagai panduan dalam mengenal pasti ciri-ciri suami pilihan. Buat penyoal dan mereka yang ditakdirkan berdepan situasi serupa; jangan sesali takdir Ilahi. Setiap yang ditakdirkan oleh-Nya bukanlah perkara sia-sia. Pasti ada sebab dan alasannya anda dijodohkan dengan suami yang sebegini.

Fahamilah; bukan hanya kaum lelaki sebagai ayah dan suami yang memikul tanggungjawab mendidik ahli keluarga ke jalan yang diredhai-Nya. Sebenarnya, setiap individu termasuklah isteri dan ibu; bertanggungjawab mempastikan setiap ahli keluarganya berada di landasan yang betul, sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka....” – surah al-Tahrim ayat 6. Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan perintahkanlah keluargamu (serta umatmu) mengerjakan solat dan engkau hendaklah tetap bersabar menunaikannya....” - surah Toha: 132.

Dalam menangani permasalahan yang dihadapi oleh puan; perkara paling penting ialah puan perlu berusaha sedaya upaya untuk mentarbiahkan suami puan tanpa jemu. Usaha tarbiah dan mendidik suami mengerjakan bukan sahaja solat sebaliknya segala yang diperintahkan oleh-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya perlu dimulakan dengan diri puan sendiri. Puan perlu praktikkan solat dengan sebenar-benarnya. Malah bukan saja solat tetapi sikap dan keperibadian puan perlu mencerminkan keperibadian Muslimah dan Mukminah unggul seperti yang disarankan oleh syarak. Jangan sampai suami puan boleh memulangkan paku buah keras; menghina dan mencaci maki sikap puan yang tidak menepati saranan syarak walaupun mengerjakan solat.

Di samping itu, puan boleh belikan buku-buku agama yang berkaitan dan hadiahkan kepada suami. Kalau dia masih tak baca, jangan menyindir sebaliknya puan bacakan buku tersebut secara perlahan-lahan di hadapannya; boleh dibacakan tika sama-sama nak masuk tidur. Jangan terlalu banyak; cukup sekadar peringatan ringkas mengenai perkara utama berkaitan solat dan seumpamanya. Contohnya; bacakan maksud firman Allah seperti yang saya kongsikan pada awal jawapan persoalan ini; mudah tetapi penuh makna. Puan juga boleh pasangkan kaset atau CD ceramah-ceramah agama berkaitan tetapi jangan pula sepanjang masa. Memadailah satu jam sehari sebagai permulaan dan ditambah sedikit demi sedikit agar suami tak terasa dia sedang diajar yang sudah pasti boleh mengundang kemarahannya.

Puan juga boleh sediakan satu tempat khusus seperti papan putih (white board) untuk mencatat peringatan buat diri dan ahli keluarga berkaitan solat dan segala perintah-Nya serta larangan-Nya. Letakkannya di tempat yang mudah dibaca oleh semua termasuk suami. Jangan tujukan khusus untuk suami sahaja; ego suami pasti tercalar yang memungkinkan lebih sukar untuk ditarbiah dan dididik. Puan boleh juga mengajak suami untuk sama-sama melakukan solat berjemaah bersama puan. Ajaklah dengan lembut; bukan keras. Kalau perlu, puan boleh merayu. Luahkan rasa cinta dan sayang puan kepada suami dan keinginan puan untuk kekal hidup bersamanya di akhirat nanti dan jelaskan; tak mungkin puan dan suami dapat hidup bersama di sana nanti andai bekalan yang dibawa ke sana tidak sama seperti kehendak Ilahi.

Malah puan boleh menjadikan cinta suami kepada puan sebagai tebusan; jika benar kasih dan cintakan puan, mohon agar suami menunaikan solat bersama-sama puan. Pastikan suami solat bersama puan dahulu; jangan fikirkan tika suami berjauhan daripada puan. Jika suami mahu solat bersama puan; ia boleh menjadi permulaan yang baik untuk suami terus kekal solat walau berjauhan daripada puan, insyaAllah!

Nasihat saya; dalam usaha mendidik dan mengajak suami untuk solat, jangan sesekali mengajak atau mengarah di depan anak-anak. Biar suami berkeras atau degil; puan tetap perlu menjaga air muka dan harga diri suami. Tak boleh benarkan suami dipandang rendah oleh anak-anaknya sendiri. Apatah lagi menyindir suami di depan anak-anak. Ingat! Berdakwah mengajak ke arah kebaikan tidak menghalalkan perkara yang dilarang oleh syarak.

Berkaitan anak-anak pula; puan perlu usahakan mendidik mereka sejak awal. Jelaskan tentang kehendak syarak; sebab juga balasan dan hukuman jika engkar. Jika anak-anak sedar mengenai ayah mereka yang tidak mengerjakan solat, cakapkan dengan baik; ayah mereka akan solat juga nanti cuma sekarang ini, hidayah Allah kepada ayah mereka belum sampai dan mohon agar anak-anak berdoa moga Allah SWT bukakan hati ayah untuk mengerjakan solat.

Pesankan agar anak-anak patuhi setiap perintah Allah terutama solat. Jangan sesekali tinggalkan solat walau ayah mereka masih enggan menunaikan solat. Ceritakan tentang azab jika meninggalkan solat dan minta anak-anak terus berdoa agar ayah mereka ingin menunaikan solat sebab sayangkan si ayah agar si ayah tidak terkena azab kerana tidak menunaikan solat. Percayalah! Jiwa anak-anak terlalu bersih dan suci dan lebih mudah dibentuk asalkan mereka dilentur sejak dari rebung lagi. Jika keadaan terkawal; boleh gunakan anak-anak untuk mengajak suami untuk sama-sama kerjakan solat.

Paling utama; puan jangan putus asa dan jangan putus berdoa. Mohon kepada-Nya agar suami dilembutkan hati mahu mengerjakan solat, agar anak-anak juga mahu mengerjakan solat. Di samping berdoa; puan boleh praktikkan bacaan surah al-Insyirah di dalam setiap masakan dan minuman yang puan sediakan. Setiap kali nak memasak atau sediakan minuman, mulakan dengan bacaan Bismillah kemudian bacalah surah a-Insyirah dan pada masa yang sama, niatkan di dalam hati agar suami dan anak-anak lembut hati serta ringan untuk mengerjakan solat dan ibadat lainnya. Jika puan masih mandikan anak-anak; bacakan juga surah al-Insyirah ini setiap kali menyiram mandi anak-anak.

Di samping doa dan ikhtiar tersebut; saya mohon agatr puan praktikkan bacaan doa-doa al-Mathurat. Terdapat banyak buku himpunan doa-doa al-Mathurat ini di pasaran. Usahakan membaca paling kurang al-Mathurat Sughra (kalau dalam buku al-Mathurat itu ada ditandakan dengan bintang *) pada setiap pagi selepas Subuh dan setiap petang selepas Asar. Boleh sebut doa tersebut di dalam Bahasa Melayu agar puan lebih faham dan lebih khusyuk berdoa. InsyaAllah; segala doa yang ada di dalam al-Mathurat tersebut mampu menjadi pendinding malah mendidik kita serta ahli keluarga menuju jalan yang diredhai-Nya. Pesan saya; jangan sesekali putus harap dalam berdoa. Pasti ada sebab dan hikmahnya bila doa anda masih belum dimakbulkan oleh-Nya.

Ingatlah!! Sebagai makluk dan hamba-Nya, kita hanya mampu untuk berusaha, selebuhnya terutama dalam perkara berkaitan hidayah adalah di tangan-Nya. DIA yang berkehendak untuk menentukan hamba-Nya yang mana akan menerima hidayah untuk taat beribadah kepada-Nya. Yang penting, selagi suami masih menjalankan tanggungjawabnya yang patut sebagai suami; memberi nafkah zahr dan batin serta melayan puan dengan baik, puan perlu terus berusaha mengajak secara berhikmah dan berdoa untuk suami juga anak-anak. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Semoga Allah SWT merahmati seorang isteri yang bangun malam hari untuk mengerjakan solat malam lalu membangunkan suaminya untuk solat bersama. Apabila si suami enggan, dia memercikkan air ke wajah suaminya.” – hadis riwayat Abu Daud.

**** Dilema Perkahwinan, Majalah Pa&Ma bulan November 2010.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Assalamualaikum Ustazah
Saya punyai suami yang baik,tidak meninggalkan solat, tetapi tidak mahu berpuasa semenjak membuka bengkel kereta 3 thn lpas,klaupun berpuasa hnya stngah hari,saya runsing & tak tahu bagaimana cara untuk menasihati suami lagi,sudah penat saya menasihatinya secara baik malangnya suami hanya mendiamkan diri. Saya ada ajak suami solat bersama tetapi dia tidak mahu atas alasan 'ilmu' yang di plajari dari sepupunya tidak membenarkan solat bersama istri. Slain tu soal nafkah suami pandang ringan,kadang2 bagi,kadang2 tak bagi tapi saya tak meminta sekiranya suami tak bagi duit perbelanjaan,sebaliknya saya kluarkan duit sendiri yg tak brapa cukup untuk membeli barang2 basah,saya suri rumah sepenuh masa dan punyai seorang anak & tinggal bersama mertua.Saya tak di benarkan bekerja oleh ibu mertua saya sebaliknya di suruh jaga anak yang berusia 4 thn,Saya ingin berniaga scara kcil kecilan tapi suami buat tak tahu & tak mahu bagi duit lebih,hanya RM100 suami bagi dari duit gajinya RM2500,hanya RM300 yang di tolak stiap bulan untuk membayar hutang bank.Kadang2 ibu mertua yang belikan barang2 dapur,saya tak tahu di mana suami blanjakan duitnya,stiap kali di tanya suami hanya mendiamkan diri,saya sedih yang amat dengan sikap suami.Setiap kali solat saya selalu mendoakan yang terbaik untuk kehidupan kami,kdang2 saya seperti putus asa untuk melayan suami bila pulang dari kerja..bantulah saya ustazah,
Sekian..Nia