14 Oktober 2008

Ziarah di Aidil Fitri

Kita masih berada dalam suasana hari raya... masih ramai yang mengadakan rumah terbuka dan ramai juga yang mengatur jadual bergilir-gilir memenuhi undangan. Namun, ada juga yang tidak ambil pusing tentang ziarah di Aidilfitri ini. Malah, ada yang bertanyakan, perlu ker ziarah?

Saya lampirkan soalan-soalan berkaitan yang ditanyakan kepada saya oleh seorang wartawan bagi rencana mengenai ziarah di Aidilfitri yang khabarnya, akan disiarkan di dalam akhbar harian semasa cuti raya (saya tak berksempatan membelinya).

1. Bagaimana kita, sebagai pihak berwajib dan ibu bapa harus mendidik anak-anak supaya menziarahi keluarga atau saudara mara, sedangkan dalam zaman serba maju hari ini, masyarakat, terutama golongan muda tidak lagi mahu menghayati erti Syawal sebenar. Ini dapat dibuktikan bahawa amalan ziarah menziarahi sesama saudara, sahabat handai dan jiran tetangga misalnya, tidak lagi dianggap sebagai satu keperluan atau kewajipan.

Jawapan:
Jalan terbaik bagi mengatasi masalah golongan muda yang gagal menghayati erti Syawal yang sebenar, bermula dari rumah mereka sendiri. Ibu bapa adalah orang yang paling dekat dan paling layak menasihati golongan muda ini agar meneruskan amalan ziarah-menziarahi yang diamalkan sejak sekian lama malah dituntut oleh Islam.

Malangnya, ada ibu bapa sendiri yang tidak mempraktikkan amalan ziarah ini. Sebab itulah golongan muda tidak berminat untuk melakukan amalan tersebut. Malah, ada sesetengah ibu bapa yang malu dan enggan membenarkan anak-anak kecil beraya menziarah saudara dan jiran tetangga, bimbang dikatakan menyuruh anak-anak mengutip duit raya. Pendapat sebegini adalah salah. Sepatutnya, anak-anak diajar terus menziarahi saudara dan jiran untuk saling bermaafan dan mengeratkan persaudaraan. Jika ada yang memberikan duit raya, tak salah nak terima tetapi kalau tak ada, jangan meminta. Pesan sedemikian kepada anak-anak, bukan menghalang terus anak-anak daripada menziarah.

Ada juga yang berasa sayang nak keluar daripada rumah kerana bimbang terlepas cerita menarik yang ditayangkan di kaca televisyen. Sikap sebegini sepatutnya boleh dikikis sekiranya kelebihan amalan menziarah itu diketahui dan diambil peduli.

2. Adakah ia disebabkan sikap sombong, pentingkan diri sendiri atau berlagak sehingga amalan turun-temurun ini tidak lagi dihayati.
Jawapan:
Mungkin juga ada kesan daripada sikap sombong, pentingkan diri sendiri atau berlagak tersebut tetapi penyebab paling utama ialah kelebihan amalan menziarah yang gagal dihayati oleh pihak terlibat. Ada yang beranggapan, amalan menziarah adalah untuk bermaaf-maafan dan mereka ini berpendapat, mereka tidak melakukan kesalahan kepada jiran atau saudara tersebut maka tidak perlu lah menziarah. Hakikatnya, menziarah bukan sekadar untuk bermaaf-maafan sebaliknya untuk mengeratkan silaturrahim. Malah, setiap daripada kita digalakkan untuk saling bermaaf-maafan walaupun anda rasa tidak melakukan kesalahan kerana ada tikanya, kita terlupa kesilapan kita. Malah, mungkin bagi kita tidak ada apa-apa yang bersalah atau menyakiti orang lain sebaliknya bagi orang tersebut, kita telah bersalah. Ingat!! Dosa sesama manusia takkan diampunkan oleh Allah selagi manusia tersebut tidak memaafkan kesilapan anda.

Jika kelebihan ini dihayati bersama, insyaAllah amalan ziarah akan segar semula.

3. Adakah ia kesilapan remaja itu sendiri? Ini kerana, remaja hari ini lebih mementingkan kebebasan, dlm erti kata lain lebih gemar ke pusat beli-belah pada Hari Raya pertama.
Jawapan:
Seperti yang telah saya katakan di awal tadi, peranan paling penting wajib dimainkan oleh ibu bapa dalam mendidik generasi muda menyukai dan mengamalkan amalan menziarah. Jika ibu bapa gagal membentuk anak-anak menyukai amalan menziarah dan membiarkan anak-anak remaja berpeleseran di pusat membeli belah, ibu bapa juga harus dipersalahkan dan bukan hanya golongan remaja.

Mungkin ada ibu bapa yang tidak tahu tabiat buruk anak-anak. Tak boleh nak salahkan ibu bapa? Tak juga sebab ibu bapa memang memegang tanggungjawab mendidik anak-anak daripada usia bayi. Bayi yang lahir adalah umpama kain putih, ibu bapa yang bertanggungjawab mencorakkannya. Jika corak anda corak batik, takkan nak jadi abstrak pula. Setiap ibu bapa perlu ambil tahu ke mana anak-anak pergi, dengan siapa anak anda berkawan malah segala pergerakan anak-anak anda perlu berada di dalam pengetahuan anda.

Bukan mengongkong tetapi apabila anak-anak tahu dirinya sentiasa diawasi, dia akan lebih berhati-hati untuk melakukan sesuatu yang tidak anda sukai.

4. Nyatakan prinsip ziarah-menziarahi saudara mara atau sahabat handai dlm Islam?
Jawapan:
Sebenarnya amalan ziarah-menziarahi saudara mara atau sahabat handai amat dituntut dalam Islam. Seseorang Muslim itu tidak akan sempurna imannya sekiranya dia tidak menghubungkan silaturrahim sesama mereka.

Di dalam satu hadis yang bermaksud: “Dari Abi Hurairah ra katanya: Sabda Rasulullah SAW: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat janganlah dia menyakiti jirannya, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” – hadis riwayat al-Bukhari.

Amalan ziarah atau kunjung mengunjung merupakan satu wasilah atau cara mengerat dan mengukuh tali silaturrahim sesama kita. Amalan ziarah memberi manfaat yang amat besar dan faedah yang berguna dalam konteks perpaduan ummah. Amalan ziarah juga membolehkan yang jauh menjadi dekat, yang renggang menjadi rapat, yang bersengketa menjadi damai, yang susah menjadi mudah dan sebagainya. Jelasnya melalui amalan ziarah ini akan terbentuklah satu ikatan yang dinamakan hubungan silaturrahim.

Islam telah menggariskan pelbagai panduan untuk menghubungkan silaturrahim sesama manusia, lebih-lebih lagi saudara seagama, supaya umat Islam menjadi umat yang kuat, umat yang berjaya, umat yang tidak hidup bersendirian atau dengan istilah “aku aku”, “engkau engkau”. Sebaliknya umat Islam itu bersaudara, saling kenal mengenal, bantu membantu antara satu dengan yang lain.

Pengertian silaturrahim dalam Islam amat luas serta amat mendalam. Contohnya, bila seseorang telah mengucap dua kalimah syahadah, maka terjalinlah ikatan persaudaraan Islam atau silaturrahim, tidak kira di mana mereka berada, apa bahasa mereka, apa warna kulit mereka dan sebagainya. Pendek kata semua orang Islam adalah bersaudara dan berada dalam akidah yang satu seperti firman Allah SWT dalam surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah, bertaqwalah kamu kepada Allah mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.”

Melalui amalan menziarah juga, hubungan sesama manusia menjadi erat dan bertambah akrab. Ini disebabkan asal kejadian manusia dari keturunan yang satu iaitu dari keturunan Nabi Allah Adam as. Dengan sebab itulah Islam mengajak manusia supaya saling kenal mengenal antara satu sama lain, hormat menghormati, saling bekerjasama dan faham memahami sepertim firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud: “Wahai umat manusia sesungguhnya kami telah ciptakan kamu lelaki dan perempuan dan telah kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan, semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang paling takwa di antara kamu.”

Jelas sekali, Islam menganjurkan agar ujarnya saling kenal mengenal kerana kesannya amat baik untuk perpaduan umat Islam sendiri. Jalan terbaik bagi saling mengenal ialah menziarah.

5. Aktivit berkumpul, adakah ia satu kemestian yang perlu dilakukan masyarakat hari ini. Cthnya: berkumpul saudara-mara sambil melalukan aktiviti spt membuat ketupat, lemang dll.
Jawapan:
Sewajarnya amalan berkumpul dan bekerjasama tersebut dilakukan oleh segenap lapisan masyarakat. Selain dapat bekerjasama membuat persediaan menyambut raya, perkara yang paling penting ialah konsep tolong menolong yang dianjurkan oleh Islam. Malah, melalui kerjasama ini hubungan silaturrahim sesama umat Islam, sesama jiran dan saudara mara akan dapat dijalin dan dikekalkan.

6. Adakah remaja hari ini jauh berbeza dengan remaja dahulu. contoh terdekat, saya sendiri pada zaman kanak-kanak dahulu, tanpa perlu menunggu tibanya Hari Raya, saya akan dibawa ibu bapa berkunjung ke setiap rumah saudara mara atau jiran tetangga. Manakala setiap kali Syawal tiba, kami akan berkumpul dan kemudiannya bergilir-gilir `menyerbu' setiap rumah sambil bermaaf-maafan serta menikmati hidangan seperti ketupat, lemang, rendang dan bahulu.'
Jawapan:
Dulu, kini dan selamanya, konsep hari raya adalah sama. Terpulang kepada individu itu sendiri untuk meneruskan amalan mulia setiap kali hari raya tersebut, atau tidak.

7. Peranan ibu bapa?
Jawapan:
Ibu bapa wajib menerapkan amalan menziarah di kalangan anak-anak. Sewajarnya ibu bapa mengajak anak-anak bersama-sama menziarah. Seperti yang biasa saya dan adik-adik lakukan, kami akan keluar beramai-ramai bersama Mak dan Bapa menziarah sanak saudara. Ada tikanya, kami kenal dengan saudara yang sebelum ini tak pernah jumpa. Masa inilah Mak dan Bapa akan mengenalkan kami sesama sendiri.

8. Bagaimana usaha untuk mengembalikan budaya sebegini agar berterusan sehingga ke generasi anak cucu kita nanti.
Jawapan:
Antaranya: Pihak berwajib boleh mengadakan kempen dan penerangan tentang kelebihan menziarah. Ibu bapa perlu menanamkan amalan menziarah di dalam diri anak-anak. Rancangan menarik di televisyen pula hanya ditayangkan pada malam hari bagi memberi peluang kepada anak-anak muda yang lebih gemarkan hiburan, melakukan amalan menziarah pada waktu siang hari.


Ayuni bersalaman dengan Bapa saya di pagi raya

Suhail bersalaman dengan Mak saya di pagi raya

Kanak-kanak menerima duit raya drpd Bapa saya (tak masuk ke rumah sbb kami dah kat luar nak bergerak ke rumah Tok (nenek) saya

Kami sekeluarga (Mak, Bapa dan kami lapan beradik bersama pasangan dan anak masing2) bergambar bersama Tok (bertudung putih -duduk) dan Wan (berbaju biru-duduk). Tok dan Wan adalah Mak dan Bapa kepada Mak saya. Tok dan Wan sebelah Bapa dah kembali kpd-Nya. (tiada di dalam gambar, adik saya Suzalina - sbg jurukamera)

Rakan sepengajian semasa sekolah menengah di Madrasah Infitah Khairiah atau lebih dikenali sbg Sek. Arab Sik - Latifah bersama suami dan anak2nya yang berkunjung ke rumah Bapa saya pd hari raya kedua

13 Oktober 2008

Kisah pecah rumah

Beberapa jam lagi, genap sebulan kes pecah masuk ke rumah saya berlaku. Boleh dikatakan agak lama tetapi kejadian yang berlaku masih jelas di ingatan dan bayangan mata saya.

Seperti laporan saya kepada Balai Polis berdekatan: Pada 14/9/08 jam lebih kurang 0350 hrs ketika saya sedang tidur di rumah alamat di atas, saya terasa kain saya telah diselak, saya terjaga dan dapati 1 (L) bangsa tidak pasti dalam keadaan bogel melarikan diri ke arah pintu belakang dan terus menghilangkan diri. Saya dapati lelaki itu pecah masuk rumah saya melalui pintu belakang....

Itu petikan laporan polis yang saya lakukan pada 4.47am. Mengimbas detik kejadian: Saya terjaga apabila terasa kain sarung yang saya pakai diselak perlahan-lahan. Ketika membuka mata, dalam keadaan cahaya yang samar (bantuan cahaya lampu kalimantang dari pintu (bertirai) di bahagian dapur - dalam jarak lima hingga enam langkah daripada tempat tidur saya), saya ternampak seorang lelaki dalam keadaan bogel. Mungkin menyedari saya terjaga, dia segera bangun dan berjalan laju berjengket-jengket meninggalkan hujung kaki saya.

Saya masih di dalam keadaan bingung, sama ada mimpi atau realiti, mengikut jejak lelaki tersebut dengan ekor mata. Tika lelaki tersebut tiba di bahagian pintu dapur, pemisah dapur dan ruang tamu - saya tidur bersama anak-anak di ruang tamu (lari ikut pintu belakang), tika tirai yang ada diselak, jelas kelihatan susuk tubuh lelaki tersebut dari arah belakang sebab tika itu dia berada betul-betul di bawah cahaya lampu kalimantang. Saya pasti saya tidak bermimpi, segera saya bangun dan tika itu, terdengar bunyi pintu belakang ditutup.

Saya segera ke pintu. Lampu luar segera saya nyalakan (tak salah malam sebelum tidur, saya dah nyalakan). Dalam keadaan takut tetapi disebabkan marah, saya mendapat kekuatan dan keberanian untuk membuka pintu. Bila pintu kayu dibuka, saya dapati pintu grill terbuka luas dan terdapat kunci padanya. Kunci tersebut masih saya simpan (lihat gambar di bawah).

Saya kunci semula pintu dengan kunci yang ditinggalkan penceroboh, kunci semula pintu kayu, barulah saya kejutkan adik dan bibik (suami tiada di rumah tika kejadian). Menyedari telefon bimbit saya hilang, saya segera ke rumah seorang lagi adik saya yang tinggal hampir 1 km daripada rumah saya. Selepas itu kami sama-sama menuju ke balai polis berhampiran membuat laporan.

Dalam sesi pemeriksaan bersama seorang Inspektor, saya dimaklumkan bahawa kes saya juga akan disiasat di bawah cubaan serangan seksual. Pegawai tersebut berjanji akan datang ke rumah saya untuk memeriksa cap jari yang ditinggalkan oleh penceroboh. Sejak tarikh kejadian, tidak ada sesiapa pun dibenarkan memegang tombol pintu bahagian belakang rumah kerana hanya pada tombol tersebut boleh didapati kesan cap jari (pada kunci dah bercampur dengan cap jari saya.)

Malangnya hingga hari ini, saya masih menunggu panggilan telefon daripada pegawai berkenaan, (panggilan saya tiada maklum balas), masih menunggu kumpulan pemeriksa yang dikatakan akan datang memeriksa kesan cap jari... hampir sebulan saya menunggu...

Teringat kata seorang rakan: hmmmm, boleh buat je lah laporan tu Su ooooo.... dan hari ini, saya hampir percaya, sungguh benar; bikin tak serupa cakap... kerja tak serupa ucap...

*** Membaca perbincangan ini, mungkin ada yang terfikir, saya sedang memalukan diri sendiri. Terpulanglah... apa juga pandangan anda, tujuan saya berkongsi pengalaman saya ini adalah untuk pengajaran dan teladan kepada semua. Terus terang, saya boleh dikategorikan agak sukar terjaga tiba-tiba. Disebabkan otak dan badan yang penat namun setiap kali tidur, saya tak lupa memanjat doa agar saya sekeluarga terpelihara daripada niat jahat orang. Ada masanya, kita yakin dengan tahap keselamatan yang kita sediakan di rumah tetapi kita lupa berserah kepada-Nya.... hanya Dia Pelindung yang Maha Agung!

Juga untuk menilai, benarkah slogan atau motto yang dilaung-laungkan oleh sesetengah pihak tentang diri mereka? Ingatlah! Anda diberikan amanah. Kegagalan anda menjalankan amanah akan memberikan kesan besar kepada orang lain. Fikir-fikirkan lah....

**** Di bawah adalah gambar yang saya ambil petang hari kejadian setelah cuaca menunjukkan hujan lebat akan turun dan mereka yang berjanji akan datang membuat pemeriksaan masih belum muncul...

kunci yang digunakan oleh penceroboh

kesan ujung tapak kaki pada satu bahagian di kawasan
belakang rumah (seakan kalut mengenakan pakaian)

kesan dicerobohi (ini kawasan semak di bahagian belakang rumah saya)

pucuk daun yang layu -
pokok di kawasan semak belakang rumah (bukan laluan orang)

09 Oktober 2008

Puasa Enam

Dah masuk hari ke sembilan Syawal. Ada yang dah selesai berpuasa enam. Ada yang baru nak mula. Saya menerima emel bertanyakan mengenai puasa enam ni. Syukur baru sekejap tadi seorang rakan memanjangkan maklumat mengenai puasa enam ini yang dipetik daripada tulisan Abu Anas. Saya kongsikan dengan pembaca semua:
______________________________________

"بسم الله الرحمن الرحيمالحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الأمين، وعلى آله وصحبه أجمعين.

Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, ’Asyura’ dan enam hari dalam bulan Syawal).

Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu’alaihiwas allam bersabda, Allah subhanahu wata’aala berfirman (dalam hadis Qudsi): كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ... وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ . رواه مسلم.
Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah menjelaskan) : “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Sahih Muslim no: 1151]

Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat. Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda: مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا . رواه البخاري.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Sahih Al-Bukhari no: 2840]

Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Bersempena dengan bulan Syawal ini, artikel ini akan membincangkan tentang puasa sunat ini.

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.
Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda: مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ. رواه مسلم.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].

Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki- Nya.

Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal.
Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Kerana itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadhan, sedangakan pada bulan lain Allah swt dilupai”.

Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.
Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.” [Syarah Sahih Muslim 8/56]

Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata: أَنَّ رَسُولَ اللهِ نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ . رواه مسلم.Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari no: 1991].

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.

Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama’ ialah:

1- Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?
Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.

Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah swt: وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ . آل عمران: 133Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Aali Imran:133]

2- Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.
Wujud perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Ada dua pendapat ulama’ dalam masalah ini. Pendapat Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu 'anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah ra berkata: كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلا فِي شَعْبَانَ. قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ . رواه البخار

Maksudnya:“Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah saw. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah saw” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.]

Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.

Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.

Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra. Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (’ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya” . [Syarah Sahih Muslim 8/22].

Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut ].

3- Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam.
Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?

Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.

Ada dikalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat: Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma’rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]

Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qadha atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatinya). Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut ]

Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid). Wallahu a’lam.

Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama’ mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.

Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw. Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah saw. Sepatutnyalah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal. Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan. Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya.

Sebagaimana sabda Nabi saw: إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا . رواه البخاريMaksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah swt ke jalan yang di redhai-Nya serta dapat melaksanakan ibadah puasa enam hari di bulan Syawal ini dengan sempurna. Seterusnya kita dimasukkan ke dalam golongan orang yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Aamin.وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم تسليما إلى يوم الدين

Akhukum: Abu Anas Madani, Pondok Sungai Durian.04 Syawal 1429h-041008M www.abuanasmadani. com

***Terima kasih!!

07 Oktober 2008

Yang penting ingatan

21hb September yang baru berlalu, genap setahun usia putera bongsu saya. Selepas solat Maghrib, saya adakan majlis potong kek. Ringkas sahaja. Bukan kerana sambutan tika bulan puasa malah sama juga sambutan ulangtahun kelahiran anak-anak sebelum ini, sambutan yang saya adakan adalah ringkas. Sekadar diraikan bersama adik-adik.

Kedekut? Terpulang la... yang penting bagi saya adalah ingatan dan anak-anak gembira. Terus terang, saya bukannya antara golongan berada yang mampu menghabiskan duit ratusan ringgit hanya untuk meraikan ulangtahun anak-anak. Kalau dah diadakan sekali, nanti tahun mendatang, nak kena buat lagi.... dah biasakan anak-anak begitu kan... tiga anak, tiga kali setahun.... membazir kan? Lebih baik duit tersebut saya simpan untuk pembelajaran anak-anak.

Kalau anda mampu, terserah lah.... cuma nasihat saya, anak-anak yang biasa hidup senang akan mudah tersungkur bila menghadapi kesusahan sebaliknya anak-anak yang sentiasa kenal erti kepayahan, akan sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan...
Cukup dulu untuk perjumpaan semula selepas hari raya. Banyak yang nak saya kongsikan dgn anda. Cerita pecah rumah, cerita raya... macam-macam... tungguuuuu!!! :)

Kepada yang masih beraya, hati-hati ya!!!


Kek hari lahir Afkar Sulaim yang pertama 21hb September 2008

Ummi tiup lilin yang dah padam sebab Kak Yang ngan Bang Cik tiup lagi cepat drp Ummi

Sulaim sengih jer masa potong kek dgn Ummi

Kak Yang ngan Bang Cik tumpang potong kek sama yer Dik Sulaim

Anjang (berkaca mata) dan Untie Baby pun sama-sama raikan birthday Sulaim

Ini Kak Farah, kawan Anjang ngan Untie