Seperti laporan saya kepada Balai Polis berdekatan: Pada 14/9/08 jam lebih kurang 0350 hrs ketika saya sedang tidur di rumah alamat di atas, saya terasa kain saya telah diselak, saya terjaga dan dapati 1 (L) bangsa tidak pasti dalam keadaan bogel melarikan diri ke arah pintu belakang dan terus menghilangkan diri. Saya dapati lelaki itu pecah masuk rumah saya melalui pintu belakang....
Itu petikan laporan polis yang saya lakukan pada 4.47am. Mengimbas detik kejadian: Saya terjaga apabila terasa kain sarung yang saya pakai diselak perlahan-lahan. Ketika membuka mata, dalam keadaan cahaya yang samar (bantuan cahaya lampu kalimantang dari pintu (bertirai) di bahagian dapur - dalam jarak lima hingga enam langkah daripada tempat tidur saya), saya ternampak seorang lelaki dalam keadaan bogel. Mungkin menyedari saya terjaga, dia segera bangun dan berjalan laju berjengket-jengket meninggalkan hujung kaki saya.
Saya masih di dalam keadaan bingung, sama ada mimpi atau realiti, mengikut jejak lelaki tersebut dengan ekor mata. Tika lelaki tersebut tiba di bahagian pintu dapur, pemisah dapur dan ruang tamu - saya tidur bersama anak-anak di ruang tamu (lari ikut pintu belakang), tika tirai yang ada diselak, jelas kelihatan susuk tubuh lelaki tersebut dari arah belakang sebab tika itu dia berada betul-betul di bawah cahaya lampu kalimantang. Saya pasti saya tidak bermimpi, segera saya bangun dan tika itu, terdengar bunyi pintu belakang ditutup.
Saya segera ke pintu. Lampu luar segera saya nyalakan (tak salah malam sebelum tidur, saya dah nyalakan). Dalam keadaan takut tetapi disebabkan marah, saya mendapat kekuatan dan keberanian untuk membuka pintu. Bila pintu kayu dibuka, saya dapati pintu grill terbuka luas dan terdapat kunci padanya. Kunci tersebut masih saya simpan (lihat gambar di bawah).
Saya kunci semula pintu dengan kunci yang ditinggalkan penceroboh, kunci semula pintu kayu, barulah saya kejutkan adik dan bibik (suami tiada di rumah tika kejadian). Menyedari telefon bimbit saya hilang, saya segera ke rumah seorang lagi adik saya yang tinggal hampir 1 km daripada rumah saya. Selepas itu kami sama-sama menuju ke balai polis berhampiran membuat laporan.
Dalam sesi pemeriksaan bersama seorang Inspektor, saya dimaklumkan bahawa kes saya juga akan disiasat di bawah cubaan serangan seksual. Pegawai tersebut berjanji akan datang ke rumah saya untuk memeriksa cap jari yang ditinggalkan oleh penceroboh. Sejak tarikh kejadian, tidak ada sesiapa pun dibenarkan memegang tombol pintu bahagian belakang rumah kerana hanya pada tombol tersebut boleh didapati kesan cap jari (pada kunci dah bercampur dengan cap jari saya.)
Malangnya hingga hari ini, saya masih menunggu panggilan telefon daripada pegawai berkenaan, (panggilan saya tiada maklum balas), masih menunggu kumpulan pemeriksa yang dikatakan akan datang memeriksa kesan cap jari... hampir sebulan saya menunggu...
Teringat kata seorang rakan: hmmmm, boleh buat je lah laporan tu Su ooooo.... dan hari ini, saya hampir percaya, sungguh benar; bikin tak serupa cakap... kerja tak serupa ucap...
*** Membaca perbincangan ini, mungkin ada yang terfikir, saya sedang memalukan diri sendiri. Terpulanglah... apa juga pandangan anda, tujuan saya berkongsi pengalaman saya ini adalah untuk pengajaran dan teladan kepada semua. Terus terang, saya boleh dikategorikan agak sukar terjaga tiba-tiba. Disebabkan otak dan badan yang penat namun setiap kali tidur, saya tak lupa memanjat doa agar saya sekeluarga terpelihara daripada niat jahat orang. Ada masanya, kita yakin dengan tahap keselamatan yang kita sediakan di rumah tetapi kita lupa berserah kepada-Nya.... hanya Dia Pelindung yang Maha Agung!
Juga untuk menilai, benarkah slogan atau motto yang dilaung-laungkan oleh sesetengah pihak tentang diri mereka? Ingatlah! Anda diberikan amanah. Kegagalan anda menjalankan amanah akan memberikan kesan besar kepada orang lain. Fikir-fikirkan lah....
**** Di bawah adalah gambar yang saya ambil petang hari kejadian setelah cuaca menunjukkan hujan lebat akan turun dan mereka yang berjanji akan datang membuat pemeriksaan masih belum muncul...
belakang rumah (seakan kalut mengenakan pakaian)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan