28 Julai 2008

Mandul dan anak angkat

Maklumat berkaitan tempe (seperti entri saya sebelum ini) turut saya panjangkan ke emel yahoogroup rakan-rakan sepengajian dulu. Seorang rakan bertanya, kenapa perlu dihebahkan pasal ni sebabnya berita tersebut tak perlu dirisaukan sangat.

Saya akui kebenaran pendapat tersebut namun, apalah salahnya mengambil tahu dan berwaspada. Walaupun ianya satu kajian dan mungkin sekadar satu antara sebab mandul, tidak bererti maklumat sedemikian tidak perlu diberikan perhatian. Perkara paling penting yang boleh dijadikan iktibar ialah bukan semua masalah kemandulan berpunca daripada kaum wanita.

Teringat beberapa kes yang pernah saya kendalikan dan kes terbaru, aduan seorang isteri pada hujung minggu yang lalu: suami enggan menjalankan pemeriksaan kesihatan bagi mengenalpasti punca lambat mendapat zuriat.

Sememangnya jodoh pertemuan, ajal maut, rezeki dan anak adalah kerja Allah. Dia yang Maha Berkuasa menentukan segala-galanya. Ada pasangan yang dikurniakan anak cepat dan ada yang terpaksa menunggu bertahun-tahun lamanya. Namun, ketetapan tersebut tidak menafikan keperluan kita makhluk-Nya untuk berusaha dan berikhtiar.

Ikhtiar terpenting adalah berjumpa dengan pakar kesihatan. Bukannya menuding jari menyalahkan isteri kemudian sibuk pulak nak cari pengganti. Telah dibuktikan, bukan semua kes gagal mendapatkan cahayamata berpunca daripada isteri sebaliknya ada juga kes berpunca daripada suami.

Kenapa enggan mengakui kebenaran? Tak perlu ego tak bertempat. Tak rosak harga diri jika anda berjumpa pakar bagi menentukan keadaan kesihatan anda. Takkan hilang nilai diri jika benar andalah punca kegagalan.

Sebagai manusia, anda ada kelebihan dan perlu terima kelemahan sendiri sama juga anda perlu terima hakikat kelemahan pasangan. Allah tak kejam sebaliknya setiap yang berlaku ada hikmahnya. Lantaran itulah juga, Islam membenarkan pengambilan anak angkat.

Saya pernah ditanya, bolehkah mengambil anak luar nikah sebagai anak angkat? Apa salahnya?? Yang berdosa adalah ibu bapanya, bukan anak tersebut. Anak luar nikah adalah sama statusnya dengan anak sah taraf lainnya, mereka adalah bersih dan suci. Tak perlu percaya cerita perbuatan zina akan tetap berlanjutan 12 atau tujuh keturunan. Itu semua karut. Kepercayaan anda itulah yang boleh merosakkan masa depan anak yang suci tersebut.

Ambillah anak-anak tersebut, asuh dan bentuk mereka menjadi insan soleh dan solehah. INGAT!!! Jangan kutuk atau ungkit kesilapan ibu bapa mereka atau kaitkan sikap mereka dengan perlakuan salah ibu bapa kandung kereka. Walaupun mereka hanya anak angkat, mereka berhak mendapat sepenuh perhatian dan kasih sayang daripada anda sama seperti anak sendiri. Mereka juga adalah amanah Allah. Jangan abaikan mereka!!

1 ulasan: