03 Julai 2008

Takliq bukan mainan

Terlalu sibuk, dua hari yang penuh dengan temujanji hingga tak sempat menjenguk blog. Hari ini pun jadual saya padat. Kebetulan hari ni berpuasa (puasa ganti bersalinkan Sulaim 23 hari, baru berbayar sehari je), saya mengambil kesempatan ini untuk menjenguk emel dan blog.

Agak mengejutkan bila terdapat 25 keahlian baru untuk kelab menjadikan semua ahli berdaftar sejak pelancaran 1hb Jun berjumlah 75 orang. Terima kasih kepada setiap ahli, insyaAllah saya akan usahakan untuk mengadakan program pertama awal Ogos nanti. Maklumat lanjut akan saya umumkan kemudian.

Kembali kepada topik hari ini. Rasanya semua orang sudah maklum, perkahwinan dan perceraian adalah perkara serius, bukan perkara lawak atau mainan. Malangnya, masih ramai lagi yang sanggup mempermainkan ikatan yang sewajarnya disanjung dan dipelihara dengan baik. Antaranya ada kes suami yang sesenang hati melafazkan ucapan takliq bagi mengugut isteri.

Takliq bermaksud menggantung perkahwinan kepada syarat yang tertentu yang jika berlaku syarat tersebut, perkahwinan akan dibubarkan. Sebagai contoh, suami melarang isteri keluar dari rumah dan menyebut; Jika kamu (isteri) keluar dari rumah, jatuh talak (sama ada disebut jumlah talak atau tidak). Dalam kes ini, perkahwinan digantung kepada syarat isteri tidak boleh keluar dari rumah. Bererti, sekiranya isteri keluar dari rumah walau dengan apa alasan sekalipun, talak dikira jatuh.

Ya! Takliq ada di dalam hukum syarak dan di dalam peruntukan undang-undang. Namun, takliq bukan satu jalan untuk anda menggantung perkahwinan anda sesuka hati mengikut emosi anda sendiri. Takliq dibenarkan di dalam Islam untuk kemaslahatan khasnya kebajikan isteri dan itulah juga yang ditetapkan oleh undang-undang. Takliq bukan senjata untuk anda mengongkong, mengancam atau mengugut isteri.

Di dalam satu kes, seorang isteri disuruh oleh suami agar balik ke rumah (dari pejabat) pada pukul tiga. Jika isteri engkar, akan jatuh talak tiga. Isteri yang bimbangkan kata-kata suami segera meninggalkan pejabat pada pukul tiga dan tiba di rumah selepas pukul tiga. Sebaliknya suami marah-marah kerana suami maksudkan isteri perlu ada di rumah pada pukul tiga. Isteri yang sedang sarat mengandung hanya mampu menangis.

Keadaan jadi gawat apabila selepas seminggu suami meminta maaf dan ingin kembali kepada isteri, dengan alasan dia tidak memaksudkan kata-katanya sebelum itu. Apa lagi yang nak dimaksudkan jika jelas perkataannya jika isteri tak balik pukul tiga, jatuh talak tiga. Bukan talak rajie sebaliknya talak bain kubra, tak boleh rujuk malah tak boleh nikah semula kecuali selepas isteri bernikah dengan lelaki lain dan kemudiannya bercerai.

Di dalam satu kes yang lain pula, seorang lelaki yang baru selesai melafazkan akad nikah, membisikkan kepada isterinya; Jika I tak dapat U malam ni, jatuh talak tau. Mungkin bergurau tetapi kuasa Allah, memang benar si suami gagal 'mendapat' isteri pada malam tersebut. Kecohlah bila sehari kahwin dah terpaksa bercerai.

Itu antara ucapan takliq selain ucapan yang perlu diucapkan oleh suami selepas akad nikah. Bila keadaan takliq begini berlaku, pengesahan perlu dibuat di Mahkamah Syariah.

Namun ingat!! Jangan menipu fakta kes. Ada kes isteri yang menipu Mahkamah, memberikan bukti-bukti palsu malah ada yang sanggup menipu alamat terkini suami dengan harapan suami tidak hadir ke Mahkamah dan kes boleh diteruskan tanpa pembelaan suami. Sekiranya permohonan takliq anda disahkan dan bekas suami merasakan anda menipu, bekas suami mempunyai hak untuk mengemukakan permohonan membicarakan semula kes di Mahkamah.

Setiap individu ada haknya tetapi jangan sampai menipu kerana matlamat tidak menghalalkan cara.

Tiada ulasan: