Seorang wanita pernah mengeluh di hadapan saya, kenapalah aku dijadikan sebagai wanita? Alangkah seronoknya kalau aku dijadikan sebagai lelaki....
Saya yang mendengar keluhan tersebut tika itu hanya mampu tersenyum dan melafazkan; bersyukurlah kerana ditakdirkan menjadi wanita. Cukup dengan perkataan-perkataan itu kerana saya tahu, wanita tersebut sudah terlalu berkecamuk dengan masalah yang dihadapinya dek kerana seorang lelaki bernama suami.
Hakikatnya, kenapa harus mengeluh dengan kejadian diri? Tidakkkah rakanku sekelian mengetahui, betapa hebatnya kedudukan kita sebagai wanita. Sememangnya, kebanyakan antara kita menjadi mangsa penderitaan yang disebabkan oleh lelaki tetapi derita tersebut hanya di dunia semata.
Islam telah menjanjikan martabat yang tinggi untuk kita sekiranya kita patuh dengan perintahNya. Malahan, sebagai wanita, kita adalah makhluk yang lebih mudah untuk mengumpul pahala.
Sebuah hadis Rasulullah SAW menyebutkan bahawa: Wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki. (Riwayat dari Ahmad Ibnu Hibban, Thabarani, Anas bin Malik).
Rasulullah SAW turut menegaskan bahawa tiap-tiap wanita yang menolong suaminya di dalam urusan agama, maka Allah memasukkannya ke dalam syurga lebih dahulu dari suaminya (sepuluh ribu tahun) kerana dia memuliakan suaminya di dunia dan dia juga mendapat pakaian dan bau-bauan syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan mengadapnya.
Bukan itu sahaja, segala jerih payah kita mengandungkan zuriat suami juga mendapat pengiktirafan yang amat tinggi. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Apabila wanita mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya, Allah mencatatkan baginya setiap hari seribu kebajikan dan menghapus baginya seribu kejahatan.
Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud: Apabila wanita mulai sakit untuk bersalin, Allah SWT mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah (perang sabil) dan apabila wanita melahirkan anak maka keluarlah dosa-dosa darinya seperti keadaan ibunya melahirkannya.
Subhanallah…Maha suci Allah, betapa besarnya anugerah yang Islam berikan kepada yang dilahirkan sebagai wanita.
Mengikut perspektif Islam, wanita adalah pelengkap kepada lelaki dan sekali gus memelihara keseimbangan ciptaan Allah SWT. Malah Rasulullah memartabatkan kaum wanita pada kaca mata Islam sebagai perhiasan dunia yang paling indah dan unik.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dunia ini penuh perhiasan dan perhiasan yang paling indah ialah wanita yang solehah.” – hadis riwayat Muslim. Hadis ini jelas menunjukkan betapa Islam memandang tinggi kedudukan wanita dalam kehidupan global.
Di dalam al-Quran pula, wanita digambarkan dengan tiga fungsi penting:
Pertama: wanita dianggap sebagai fitnah dan musuh andainya dia tidak dididik dan diasuh serta dibentuk menurut acuan Islam.
Kedua: wanita juga ujian bagi seseorang lelaki dalam menerajui bahtera kehidupan ke arah kebahagiaan dan kesejahteraan hidup.
Ketiga: wanita adalah anugerah Ilahi yang istimewa kepada lelaki yang mendambakan kemesraan dan kebahagiaan hidup.
Sejarah Islam sebenarnya melahirkan ramai personaliti wanita terbilang yang mampu menjadi teladan kepada wanita-wanita dewasa ini. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada empat wanita mulia yang juga penghulu segala wanita di dunia; mereka itu ialah Asiah binti Muzahim, isteri Firaun; Maryam binti Imran, ibunda Isa; Khadijah binti Khuwailid, isteri Rasulullah SAW dan Fatimah binti Muhammad, puteri kesayangan Baginda.” – hadis riwayat Bukhari”
Asiah adalah simbol teladan bagi wanita beriman yang tetap mempertahankan keimanannya kepada Allah SWT, meskipun hidup sebumbung bersama suaminya, Firaun yang tidak beriman kepada Allah SWT.
Maryam pula adalah simbol wanita dalam ibadahnya dan ketinggian darjat ketakwaannya kepada Allah SWT serta mampu memelihara kesucian diri dan kehormatannya ketika mengabdikan dirinya kepada Allah SWT.
Khadijah adalah simbol kepada isteri yang setia tanpa mengenal penat lelah mendampingi suaminya menegakkan panji-panji kebenaran Islam, berkorban jiwa raga dan segala harta bendanya serta rela menanggung pelbagai risiko dan cabaran dalam menyebarkan risalah Islam yang diamanahkan kepada Rasulullah SAW.
Fatimah pula adalah simbol pelbagai dimensi wanita yang solehah; anak yang soleh dan taat di hadapan ayahandanya; isteri yang setia dan taat di hadapan suaminya serta ibu yang bijaksana di hadapan putera puterinya. Dialah ketua segala wanita dan juga seorang wanita mithali. Setiap detik kehidupan yang dilaluinya, sewajarnya dijadikan ikutan wanita hari ini.
Islam menganjurkan setiap lelaki yang bakal melangkah ke alam perkahwinan agar berhati-hati memilih calon isteri. Kriteria calon isteri penting dalam kehidupan berkeluarga kerana ia adalah antara ciri kesolehan isteri yang dituntut Islam di samping bakal menjamin kerukunan dan kebahagiaan rumah tangga.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah kamu nikahi wanita kerana kecantikannya, kelak kecantikannya itu akan membinasakannya; janganlah kamu nikahi wanita kerana hartanya, boleh jadi hartanya akan menyebabkan kederhakaanmu; sebaliknya nikahilah wanita yang beragama. Sesungguhnya wanita yang tidak berhidung dan tuli tetapi beragama, itu adalah lebih baik bagimu.” – hadis riwayat Abdullah ibn Humaid.
Hadis ini menjelaskan, aspek keagamaan dalam diri seorang isteri adalah penentu hala tuju sesebuah rumah tangga yang dibina dan dibentuk. Agamanya yang bertapak kukuh dalam jiwa akan mendorong ketaatan kepada suaminya pada semua perkara yang tidak bertentangan dengan perintah Allah dan tidak mendatangkan mudarat kepadanya.
Isteri yang solehah juga akan bersifat amanah terhadap harta benda suaminya, di samping menjaga maruahnya. Sewaktu ketiadaan suaminya, seorang isteri solehah memelihara dirinya dan maruahnya seperti tidak boleh keluar rumah tanpa izinnya, tidak boleh menerima tetamu yang tidak dikenali dan sebagainya.
Ketaatan dan sifat beramanah seorang isteri solehah ini banyak dipengaruhi oleh firman Allah yang bermaksud: “...perempuan yang solehah mestilah taat dan memelihara kehormatan dirinya ketika ketiadaan suaminya dengan perlindungan Allah...” – surah an-Nisa, ayat 34.
Isteri solehah juga adalah isteri yang sentiasa menyempurnakan keperluan suaminya, di samping memelihara keredaannya pada setiap masa dan keadaan. Ini kerana keredaan suami adalah anak kunci utama yang melayakkannya menjadi penghuni syurga penuh kenikmatan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Mana-mana isteri yang meninggal dunia, sedangkan suaminya reda kepadanya, nescaya isterinya akan masuk syurga.” – hadis riwayat Al Hakim dan Tirmizi.
Yang paling penting ialah isteri solehah adalah pendidik dan pengasuh terbaik kepada anaknya. Anak yang menerima pendidikan dan bimbingan yang baik akan menjadi aset paling penting, bukan sahaja kepada ibu bapa, malah kepada seluruh masyarakat, agama dan negara.
Betapa besarnya fungsi seorang wanita yang bertindak sekali gus sebagai isteri dan ibu solehah dalam sesebuah institusi keluarga. Justeru, Allah menganugerahkan ganjaran syurga bagi wanita solehah yang beriman dan benar- benar melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu dalam kehidupan sehariannya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik wanita itu ialah wanita yang melahirkan anak, yang penyayang, yang memelihara kehormatannya, yang mulia pada kaca mata ahli keluarganya, yang menghormati suaminya, menghiaskan dirinya hanya untuk suaminya tercinta, memelihara diri daripada pandangan orang lain, yang mendengar kata-kata suaminya dan mentaati segala perintahnya. Apabila bersama suaminya, dia memberikan apa saja yang diperlukan suaminya dan dia tidak pula menolak ajakannya serta tidak merendah-rendahkan atau menghina kedudukan suaminya di hadapan orang lain.” – hadis riwayat Al Tausi.
Apa yang saya sebutkan di sini hanyalah sedikit, InsyaAllah, masa demi masa, kita akan sama-sama mengorek rahsia, indahnya kita dijadikan sebagai wanita.
Lantas…berbanggalah…!
1 ulasan:
Alhamdulillah.. setakat ini saya memang berbangga menjadi seorang wanita..
Catat Ulasan