Dah tiga hari kita berada di tahun Hijrah 1430. Hari yang sama juga, kita berada di penghujung tahun 2008. Esok, hari pertama di tahun 2009 bermula. Betapa cepat masa berlalu, seakan baru saja menyambut tahun baru 2008. Namun, apabila melihat anak-anak membesar di depan mata, sungguh... masa berlalu dan semakin cepat berlalu.
Bagaimana? Dah tertunai hasrat dan azam anda di tahun 2008 ini? Tak cukup resipi jika menyambut tahun baru tanpa memperkatakan mengenai azam kan? Walau ada yang berpendirian, azam perlu ada setiap hari, bukan setiap awal tahun sahaja. Jika anda hayati kata-kata hikmah dan puisi yang saya masukkan dalam entri sebelum ini, memang tidak dapat dinafikan, azam perlu ada pada setiap hari.
Cuma, dalam memperkatakan mengenai azam ini secara lebih luas; hakikatnya terdapat dua jenis azam iaitu azam untuk matlamat jangka masa pendek dan azam untuk matlamat jangka masa panjang. Matlamat jangka pendek inilah yang dikategorikan sebagai azam setiap hari. Ya lah, jika azam anda untuk berkahwin tahun 2009 ini, takkan lah boleh tercapai azam tersebut dalam masa sehari kecuali anda dah ada perancangan sejak awal, sejak hujung tahun 2008 dan majlisnya diadakan pada 1 atau 2hb Januari 2009. Tapi tak sesuai jugak menjadi azam 2009 sebab anda telah berhasrat sejak awal.
Berazam bermaksud anda berniat dan berhasrat untuk mencapai sesuatu. Sebaiknya, anda amalkan untuk menyediakan azam saban hari, saban minggu, saban bulan dan akhirnya azam paling besar untuk dicapai dalam tempoh setahun 2009 akan datang. Paling penting, bukan sekadar berazam sebaliknya berusaha untuk mencapai setiap azam tersebut.
Dalam berazam pula, perlulah azam dan hasrat yang baik. Hasrat, azam dan kehendak yang tidak menyakitkan hati orang lain, yang tidak mengganggu kebahagiaan orang lain. Saya tahu, ada individu yang memegang prinsip: Do or die. Saya hormati kekuatan semangat anda tetapi biarlah prinsip tersebut digunakan tepat pada tempatnya. Elakkan daripada menganiayai orang lain jika anda sendiri tidak suka dianiaya. Hormati hak orang lain jika anda mahu hak anda dihormati.
Perlu diingat; berazam bukan bermaksud anda akan senang dan mudah mencapai segala azam anda. Ingat!! Bukan senang nak senang. Setiap saat yang anda hadapi bererti kemungkinan anda berdepan dengan pelbagai ujian. Anda perlu berusaha dengan sedaya upaya anda. Terus tabah dan cekal menghadapi apa saja ujian kerana ujian yang anda hadapi bukanlah bertujuan menggagalkan usaha anda sebaliknya sebagai penambah semangat dan motivasi untuk anda terus berusaha mencapai azam anda itu.
Bercakap memang mudah tetapi saya tidak bercakap kosong. Hayati kisah individu cemerlang selepas menghadapi pelbagai ujian:
1. Thomas Edison - telah gagal selepas mencuba 9999 kali dan cubaan kali ke 10,000, mentol berjaya dicipta. Menurutnya, beliau bukan gagal tetapi belum menemui kaedah yang betul.
2. Kolonel Harlan Sanders - menjual ayam di kaki lima dan mengetuk pintu dari rumah ke rumah. Selepas cubaan kali ke 1009 kali, baru berjaya menjual seketul ayam dan kini, semua suka KFC.
3. Rasulullah SAW - berusaha selama 23 tahun untuk menyebarkan Islam, bermula secara sulit kemudian terang-terangan dan kini, Islam ada di mana-mana.
Susah kan nak berjaya tetapi setiap individu boleh melakukan apa juga hasrat, azam dan kehendak anda jika anda tetap cekal, tabah dan kuat semangat dan paling penting juga, tidak mengenepikan doa dan tawakkal kepada Allah SWT.
Seperti yang selalu saya katakan, hanya Dia yang tahu yang terbaik untuk anda. Lantas, dalam apa juga hasrat anda, serahkan kepada-Nya: mohon petunjuk daripada-Nya. Jika hasrat anda baik untuk anda dan insan tersayang di sekeliling anda, mohon dimudahkan pencapaiannya dan jika sebaliknya, tunjukkanlah jalan yang terbaik untuk anda lalui dan tempuhi agar anda dan insan sekeliling anda turut gembira.
Kenapa perlu pertimbangkan perasaan orang lain juga? Ya!! Sebagai manusia, kita tak mampu hidup sendiri. Walau siapa pun anda, walau sebanyak mana pun harta anda, walau setinggi mana pun pendidikan anda, walau sebesar mana pun pangkat anda, anda tetap perlukan orang lain untuk hidup sejahtera.
Ingatlah kejadian diri, kita semua bermula dengan setitis mani yang amat hina, dijadikan sebagai manusia yang dianugerahkan akal berbeza dengan makhluk Allah lainnya agar kita berfikir dengan waras dan wajar. Manusia yang waras akan berusaha menunaikan segala tanggungjawab yang diberikan kepadanya: sebagai anak, sebagai ibu atau bapa, sebagai isteri atau suami, sebagai pekerja, sebagai majikan, sebagai jiran, sebagai pelajar, sebagai guru dan pelbagai peranan lagi termasuklah peranan kita sebagai hamba-Nya.
Lantas, demi 1430 yang baru bermula dan 2009 yang bakal menjelma, sama-samalah kita perbaiki diri, menjadi insan cemerlang dari segi akhlak, cemerlang dalam ilmu, cemerlang dalam memegang apa juga peranan yang diamanahkan kepada kita... insyaAllah, kecemerlangan paling utama, dalam mendapat keredhaan-Nya...amiinnnn
**** Teringat lagu nasyid yang menjadi pembakar semangat saya dan rakan2 ketika menghadapi pilihanraya MPPUM tahun 1996. http://members.tripod.com/kepena20/files/text/sorotan.htm
Cari-cari, berjumpa juga, Alhamdulillah! Hayatilah:
Liriknya:
Umat Islam harus cemerlang
Hari ini mesti lebih baik dari semalam
Jangan buang masa
Siapa kata kita tidak boleh
Kita ada ALLAH Maha Kuasa
Kita punya kuasa tenaga
Do’a sebagai senjata
Umat Islam sentiasa boleh!
Umat Islam sentiasa boleh!
Umat Islam zaman lampau
Taat perintah Rasulullah
Bersama berusaha
Bersatu tuju wawasan
Dunia dan Akhirat
Wawasan dunia dan Akhirat
Akhirnya Islam cemerlang seluruh dunia
Wawasan diri
Penuhi dada dengan ilmu
Wawasan agama bekalan masa depan dan Akhirat
Kuat usaha
Jujur dan amanah
Sentiasa mengharap keredhaan ALLAH
Aqidah ibadah harus sempurna
Ibadah tanpa aqidah wawasan syaitan
Ulama’ warisan anbiya’
Pegangan mereka harus diikut
Ajaran sesat wajib hindari!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan